Selasa, Jun 14, 2005

Ya Tuhan, kurniakanlah......

Semalam saya mengikuti kuliah Ust. Md. Nor Zakaria. Beliau mendedahkan penangkapan 40 orang remaja dan belia yang terlibat dengan kumpulan Black Metal versi baru iaitu JIT. Apa itu JIT? J=Jangan, I=ingat, ikut, T=Tuhan, pendek kata ‘Jangan Ingat Tuhan, Jangan Ikut Tuhan’. Penagkapan ini bukan sahaja tangkapan yang biasa tetapi jelas dengan bukti dokumen-dokumen yang digunakan untuk mendakyah golongan remaja Islam yang menjadi sasaran.

Hari ini, kita boleh berlapang dada kerana masih ada manusia yang mahukan agama dan ada sensitivity agama. Tetapi tidakkah kita bimbang pada masa akan datang, generasi selepas kita, zuriat yang bakal diturunkan dari darah daging kita mengatakan “Apa itu agama?” Pada ketika itu, manusia menjadi lebih kalut dan serabut dengan kepunahan duniawi. Apabila sampai kemuncaknya, mereka pasti kembali memikirkan nilai agama. Bersediakah kita pada saat itu? Sebenarnya sudah dinyatakan dengan jelas, ketika berlakunya demikian, dunia sudah berpenghujung. Kiamat sudah hampir, dan kita semestinya tidak mengharapkan agar kita berada pada zaman tersebut. Persoalannya, apakah kita yakin akan panjang umur untuk berhadapan dengan semua itu? Jika sekarang ini, kita mungkin rasa sudah serabut dan rimas dengan senario kemusnahan ummah, kita sebenarnya baru melihat benih-benih kebencian kepada agama yang baru bertunas.

Maka apakah persediaan kita? Siap siagalah kita untuk menghadapi keadaan yang dahsyat ini. Ayuh, kita mantapkan pemikiran kita dengan ilmu agama yang baik supaya pemahaman terhadap agama menjadi jitu. Setidaknya kita mampu mengatakan perkara ini halal dan itu haram, bukan sekadar mengatakannya tetapi tahu hujahnya. Orang yang bercakap dalam dunia hari ini dengan lunak bahasa sahaja sudah tidak diterima. Dunia kini memerlukan aspek penguasaaan mental yang hanya boleh dicapai dengan ilmu. Seperti teori sains, ia tidak praktikal selama mana tidak dibuktikan secara amali. Jadi, wajah-wajah dan watak diri kita bukanlah seorang yang hanya mampu bercakap tetapi tidak pandai memberi contoh. Maka hal ini menjadikan dakwah ar-rasul Muhammad S.A.W menjadi unggul. Baginda menjadi seorang pendakwah ‘bil-hal’ iaitu sebagai role model untuk diikuti oleh orang lain.

Masalahnya hari ini, orang sibuk bercakap tentang perjuagan Islam sedangkan pada masa yang sama kita lihat anaknya, isterinya dan orang yang terdekat dalam keluarganya tidak mempraktikkan Islam yang betul. Jadi bagaimana wadah Islami yang ingin ditonjolkannya berbekas dalam jiwa orang yang didakwahnya? Kita tidak usah pergi jauh-jauh, cuba lihat contoh ini. Suatu hari seorang rakan anda yang lelaki memakai seluar pendek menegur seorang adik senior di sekolah kerana memakai seluar pendek. Anda akan mendapati teguran itu dianggap sebagai suatu gurauan semata-mata. Jika pada ketika yang lain, orang yang sama ditegur oleh seorang yang warak, maka sudah tentu nasihat itu berbekas juga dihatinya. Pelajar yang menerima nasihat menjadi segan dan menghormati tazkirah yang tersebut. Pada ketika yang lain, apabila bertemu dia pasti tidak berseluar pendek lagi. Atau contoh lain, ada seorang tua berkata “Ya, kita mahu Islam ini, dan bukan Islam itu” Maka tanyalah orang yang mendengar, “Apakah Islam ini dan bagaimana pula bentuk Islam itu? Pakcik yang tua itu terdiam tidak dapat menjawabnya. Maka bagaimana kita dapat menerima mesej dakwah yang cuba disampaikannya? Begitu juga dengan orang lain, jika kita ingin mengajarkan sesuatu kepada orang, biarlah kefahaman kita betul dan kita dapat memberi penjelasan kepada perkara yang disebutkan.

Sebagai kesimpulan, jika anda mahu melihat generasi selepas anda atau zuriat yang bakal lahir dari sulbi anda menjadi ummah yang cemerlang dunia akhirat, bersedialah untuk membina institusi keluarga Islam dari diri anda. Anda bukan pemula dan bukan juga pengakhir. Anda boleh melihat contoh keluarga Islam yang sudah ada di hadapan mata anda, dan pelajarilah aspek kekeluargaan Islam itu supaya nanti masyarakat Islam madani yang menjunjung lunas Islam dapat dilahirkan. Jika bukan kita, siapa lagi? Ya Allah kurniakanlah…….. kami Isteri dan zuriat yang soleh…..sebagai penyejuk mata..Sekian terima kasih.

1 Comments:

At 12:14 PG, Blogger Wan Syahida said...

ada juga dengar tentang JIT tu.. memang kesal ada golongan sebegini. hm.

aii..dunia..dunia..*geleng kepala*

anyway, nasihat2 yang berguna..thank u Mr. Naim..

 

Catat Ulasan

<< Home