Isnin, Jun 20, 2005

Fakta Menarik 20 Jun



Fakta 1

Bekalan Elektrik Luar Bandar. Sejumlah RM463.6 juta telah dibelanjakan bagi pelaksanaan program bekalan elektrik luar bandar, yang memberi manfaat kepada 101,530 isi rumah tambahan di luar bandar dalam tempoh Rancangan (RMK-7). Daripada jumlah ini, 30,040 merupakan isi rumah luar bandar di Sabah dan 53,630 di Sarawak. Selain daripada itu, Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik yang disumbangkan oleh penjanakuasa elektrik telah ditubuhkan pada tahun 1997. Menerusi program bekalan elektrik luar bandar berkenaan, sejumlah 8,200 isi rumah di Semenanjung Malaysia telah turut dibekalkan elektrik. Pada penghujung tempoh Rancangan, liputan elektrik luar bandar di Malaysia ialah 93 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 11-10 [1].

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Jadual 11-10

Fakta 2

Dalam tempoh Rancangan (RMK-7), penyertaan Bumiputera dalam industri bekalan elektrik telah dipertingkatkan lagi melalui Program Pembangunan Usahawan TNB, termasuk memberi bantuan dalam pembuatan produk terpilih yang digunakan oleh industri tersebut, menawarkan khidmat nasihat kepada kontraktor dan mengadakan dialog dengan pertubuhan perniagaan Bumiputera yang berkaitan. Pada penghujung tempoh Rancangan, terdapat 42 vendor Bumiputera yang terlibat dalam pembuatan menara penghantaran, alatubah, gearsuis, peti pembekal, bidur kabel dan aksesori kabel, lampu jalan dan aksesori serta meter elektrik. Program Pembangunan Vendor yang diwujudkan oleh PETRONAS telah memberi manfaat kepada 43 vendor Bumiputera yang terlibat dalam pembuatan dan perkhidmatan teknikal bagi industri minyak dan gas yang kebanyakannya terdiri daripada pembuatan penukar haba, jeriji keluli, gasket ikatan pilin, bidur kabel, bekas pelincir plastik dan gelung pengikat wayar serta penyediaan perkhidmatan seperti penyelenggaraan loji/tangki dan penerbangan helikopter sewa khas [2].

Fakta 3

Minyak Mentah: Carigali dan Pengeluaran. Rezab minyak mentah negara dijangka bertahan untuk sekurang-kurangnya 10 tahun lagi. Untuk menampung rezab tersebut, usaha yang akan dilaksanakan termasuklah membangunkan lapangan minyak kecil yang berpotensi dan meningkatkan pengeluaran lapangan yang matang. Selain daripada itu, carigali di kawasan laut dalam akan diteruskan khususnya di Sabah dan Sarawak. Ini akan membolehkan paras pengeluaran purata dikekalkan pada 600,000 tong sehari dalam tempoh RMK-8 ini. Untuk menarik pelaburan dalam aktiviti carigali, terma kontrak perkongsian pengeluaran yang lebih baik akan dipertimbangkan. Usaha lain untuk mengekalkan pengeluaran minyak termasuklah memperolehi teknologi terkini dalam carigali dan pengeluaran serta memperhebatkan penyelidikan dalam pengekstrakan minyak dan pengurangan kos. Untuk meningkatkan lagi kadar pengekstrakan minyak, usaha akan ditumpu bagi memperbaiki produktiviti dan kecekapan. Pengeluaran minyak dalam negeri akan ditambah dengan bekalan minyak mentah daripada pelaburan PETRONAS di Afrika, Timur Tengah dan Asia [3].

Fakta 4


Memandangkan Petroleum semakin berkurang, maka sudah terdapat dasar baru yang digariskan bagi menghadapi keadaan ini. Kajian dan penyelidikan Bioteknologi mula dibangunkan untuk menghasilkan biodesel. Pernahkah anda dengar, minyak kenderaan dari gula tebu? Atau minyak dari glukosa yang diambil dari bahan-bahan yang mempunyai asas kanji? Semua penyelidikan itu sudah lama dijalankan di negara-negara maju untuk memastikan produk mesra alam. Dan anda pasti biasa mendengar minyak diesel yang diperbuat daripada minyak sawit [4]. Baca juga BEKALAN MINYAK DUNIA MERUNCING, APA PILIHAN KITA?

Fakta 5

Rakyat Malaysia terpaksa berbelanja lebih pada bulan lalu apabila kadar inflasi negara meningkat sebanyak 3.1 peratus, lonjakan tertinggi dalam tempoh lebih enam tahun. Paras itu adalah lebih tinggi berbanding kenaikan sebanyak 2.7 peratus pada bulan April, sekali gus melangkaui unjuran pasaran yang menjangka inflasi akan kurang daripada tiga peratus. Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 3.1 peratus kepada 108.8 pada bulan Mei 2005 berbanding 105.5 bagi bulan yang sama tahun lepas. Kadar inflasi tertinggi pernah dicatat Malaysia ialah selepas krisis ekonomi serantau iaitu 3.8 peratus pada bulan Februari 1999. Kadar inflasi bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini ialah sebanyak 2.6 peratus, melebihi purata 2.5 peratus yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia bagi keseluruhan tahun ini. Peningkatan 2.6 peratus dalam IHP ialah kenaikan dalam semua kategori kecuali pakaian dan kasut yang menurun 1.1 peratus [5].

Fakta 6

Tulisan jawi tidak pernah bangkit sejak diharamkan oleh Tan Sri Khir Johari sekitar tahun 1968 sehingga generasi ke generasi buta jawi yang memberi implikasi genarasi muda buta al-Quran. Program pemulihan Jawi memakan belanja jutaan ringgit, kini wujud J-QAF di sekolah-sekolah kebangsaan. Di Perak sahaja, sedang dibuat percubaan di 123 buah sekolah kebangsaan dengan pengambilan guru J-QAF melebihi 600 orang. Diberitakan bahawa J-QAF hanya akan bertahan dari 2005-2011. Program pemulihan Al-Quran melalui KAFA juga menelan belanja jutaan ringgit. Kedua-dua program ini adalah kesan keputusan yang merugikan umat apabila tulisan jawi diharamkan oleh kerajaan. Kesan sampingan lain juga timbul. Apabila generasi muda tidak sudah tidak terikat dengan tulisan jawi dan al-Quran, maka gejala sosial mula bermaharajalela. Gejala dadah sebagai contoh yang klasik, kerajaan terpaksa berbelanja RM3.7 juta sebulan atau RM45 juta setahun untuk merawat mereka yang terlibat [6]. Ucapan dalam Seminar Memperkasa Kualiti Keguruan SAR ke-3 sempena AGM PPSR ke-9.

Fakta 7

Sehingga kini terdapat lebih 38000 pelarian yang berdaftar dengan UNHCR, badan kebajikan pelarian di bawah Petubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Daripada jumlah itu, 20000 adalah dari Acheh dan 11000 daripadanya adalah pelarian bangsa Rohingya (orang Islam Myammar). Pada April 2005, UNCHR dan pertubuhan kebajikan pelarian menerima berita baik apabila Menteri Perumahan, datuk Azmi Khalid mengumumkan permit duduk (bermastautin) sementara kepada pelarian Rohingya. Mereka boleh mendapat hak berkerja dan kebajikan dalam aspek kesihatan dan pendidikan [7]. Bagaimana pula dengan PATI? Pada tahun 1998, ia dianggarkan bahawa terdapatnya sejuta pekerja migran di Negara Thai, dengan hanya 300,000 daripada mereka berada di negara itu secara sah. Malaysia pula dianggarkan menjadi destinasi bagi 1.8 juta pekerja asing, dengan kebanyakan mereka datangnya dari Indonesia, Bangladesh dan Filipina. Hanya 500,000 daripada mereka dikatakan mempunyai dokumen perjalanan yang sah, dan malah beberapa sumber mengatakan bahawa jumlah itu mungkin lebih tinggi lagi, terutamanya di negeri Sabah [8].

Rujukan
1. Laporan RMK-7, ms. 340
2. Laporan RMK-7, ms. 343
3. Laporan RMK-7, ms. 346
4. MPOB sedia dasar diesel sawit negara
5. Kadar Inflasi Tinggi: Jabatan Perangkaan Malaysia
6. Ucapan dasar Presiden, AGM ke-9, PPSR, 18 Jun 2005. ms. 7-8
7. Jessica Lim, All they want is …REFUGE, NST (Focus), June 19, 2005, pg. 6.
8. Muhammad Salleh (Sept. 2002), Realiti di sebalik isu pendatang tanpa izin, ms. 1

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home