Rabu, November 23, 2005

Genius


Rancangan Wanita Hari Ini semalam membincangkan topik kanak-kanak genius berisiko. Adi Putra dijemput sebagai tetamu dalam perbincangan tersebut di samping ibunya dan seorang pensyarah di Jabatan Psikologi dan Pendidikan UPM. Nampaknya media memberi liputan yang berlebih-lebihan terhadap beliau seolah-olah begitu genius. Namun tidak dinafikan keupayaannya menyebut angka sehingga sebutan billion dalam bahasa Melayu dan Inggeris, serta membuat pengiraan. Kiranya keupayaan ini sekurang-kurangnya melayakkan beliau digelar genius pada usianya enam tahun.

Pemerhatian yang dibuat oleh penulis mendapati bahawa cara penyelesaian masalah yang dibuat berdasarkan logik yang memudahkannya faham penyelesaian. Semestinya cara ini hanya difahami oleh beliau seorang sahaja dan sukar pula untuk diterangkan kepada orang lain. Bayangkan, jika dalam banyak perkara yang anda buat, dengan segala kelainan yang hanya difahami oleh anda, bagaimana mungkin anda mampu meyakinkan orang lain untuk menerima konsep tersebut? Samalah juga halnya dengan seorang saintis yang cuba menerangkan konsep empat matra (4D), tiada siapa yang faham perkara tersebut melainkan dirinya sahaja suatu ketika dahulu. Usaha menerangkan konsep empat dimensi telah dibuat oleh seorang saintis di hadapan ratusan ahli matematik dan fizik. Malangnya penjelasan beliau yang panjang lebar hanya membuatkan orang tercengang-cengang dan tidak faham apa-apa. Anda boleh membaca Fourth Dimension untuk memahami perkara ini.

Keadaan sebegini mungkin akan dialami oleh adik Adi Putra, jika psikologinya tidak diurus dan ditangani dengan betul akan memberi tekanan kepadanya. Lama-kelamaan dia mungkin menjadi sewel (maaf cakap, ini adalah realiti. Kebanyakan orang genius biasanya bersikap pelik dan luar biasa). Apa pun, semoga kecerdikan yang dimilikinya tidak menghilangkan masa ‘santai’ sebagai kanak-kanak. Kadang-kadang, seorang yang hilang masa dan penghayatan hidup sebagai kanak-kanak boleh menjadi seorang yang tidak normal pada masa hadapan. Alam kanak-kanaknya juga harus dilayan dan diberi perhatian supaya kehidupannya tidak terkongkong, sehingga menyebabkan beliau tidak cemerlang setelah meningkat dewasa. Penulis mendoakan semoga Adi Putera menjadi dirinya yang sebenar dan membesar dengan normal!

1 Comments:

At 3:16 PTG, Blogger Naim said...

Bacaan lanjut boleh dirujuk dalam artikel 'Mengurus Anak Genius', oleh Tajaiyah Ihsan, Mingguan Malaysia, 8 Jan 2006. Ruangan kesihatan, ms. 26.

 

Catat Ulasan

<< Home