SMM mahu bertemu KPT.
Anis Nazri melaporkan...
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berpendirian tidak akan bertemu dengan mana-mana wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membincangkan isu demokrasi kampus dan mahasiswa, melainkan dengan menterinya sendiri, Dato' Dr Mohd Shafie Salleh.
Presiden SMM, Ahmad Rethauddin Abdul Wahab berkata ini kerana segala persoalan berkenaan mahasiswa dan demokrasi kampus yang tercalar selama ini hanya boleh dijawap oleh Shafie.
"Segala yang berlaku di dalam kampus, sama ada hak mahasiswa mahupun berkenaan pilihan raya kampus, mestilah dijawab oleh Dato' Shafie sendiri.
"Jadi, SMM memutuskan hanya akan bertemu beliau," tegas beliau kepada wartawan dalam sidang media tertutup yang diadakan di Petaling Jaya, petang semalam.
Rethauddin berkata, pada 21 September lalu, pihak KPT telah menyatakan persetujuan untuk berjumpa dengan SMM, bagaimanapun ditolak kerana kementerian hanya menghantarkan wakil Shafie.
Katanya, SMM bertegas berkenaan perkara itu memandangkan pengalaman mereka daripada siri-siri pertemuan dengan wakil KPT sebelum ini yang tidak mendatangkan sebarang tindak balas.
"Pengalaman kita menyaksikan setiap kali pertemuan dengan wakil KPT, tidak pernah ada sebarang maklum balas.
"Mereka (wakil KPT) hanya berjanji akan membawa kepada menteri, tetapi tiada sebarang respons daripada menteri mahupun wakil KPT berkenaan.
"Oleh itu, berdasarkan pengalaman tersebut, SMM hanya akan bersetuju jika pertemuan itu dihadiri oleh Dato' menteri sendiri," tegas beliau.
Dalam pada itu, SMM turut melancarkan 'Kempen Mengembalikan Keadilan dan Demokrasi Kampus' serta 'Tabung Kutipan Derma bagi Mengembalikan Keadilan dan Demokrasi di Universiti'.
Kempen tersebut dilancarkan oleh Rethauddin sendiri, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Baderun Hanif dan mahasiswi Universiti Putra Malaysia (UPM), Lim Sook Swan yang dipanggil oleh pihak UPM, baru-baru ini untuk perbicaraan mahkamah universiti.
Sook Swan, dihadapkan ke mahkamah universiti atas dakwaan kononnya beliau mengapi-apikan mahasiswa untuk memboikot pilihan raya kampus, menyertai perarakan yang bermula dari Masjid Negara ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menghantar memorandum bantahan mengenai pilihan raya kampus.
Selain beliau, lima lagi rakannya di UPM turut dihadapkan ke mahkamah universiti, bagaimanapun tiada sebarang tindakan tatatertib dikenakan terhadap mereka.
Dalam majlis yang sama, SMM turut menuntut agar pilihan raya kampus diadakan semula dengan lebih bersih dan adil, menghentikan pencabulan hak mahasiswa dan menggugurkan semua pendakwaan terhadap mahasiswa.
Surat terbuka yang menyatakan tuntutan berkenaan turut mengandungi laporan-laporan berhubung dakwaan penyelewengan pilihan raya kampus serta pencabulan hak mahasiswa yang terhakis.
Selain SMM, 55 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, dalam dan luar negara, termasuk badan politik tempatan turut menandatangani surat berkenaan yang akan dipanjangkan kepada KPT untuk tindakan lanjut
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home