Rabu, November 23, 2005

Enrique Mengundang Jauh


Sedar atau tidak, aku sudah memiliki empat daripada enam novel dalam senarai Finalis Hadiah Sako 2. Hal ini bermakna secara keseluruhannya, sudah enam buah novel dalam koleksi Hadiah Sako 1 dan 2 yang telah dihadamkan merangkumi:

- Hadiah Sako 1
Imam [Abdullah Hussein]
Wi & William [Azizi Hj. Abdullah]
- Hadiah Sako 2
Kawin-kawin [Azizi Hj. Abdullah]
Iman Markisa [Fatimah Busu]
Hatiku Terluka di Bukhara [Wan Hashim Wan Teh]
Enrique Mengundang Jauh [HM Tuah Iskandar]

Tiga lagi koleksi novel Hadiah Sako yang belum dibaca iaitu Nostalgia Padang, Pei Pan dan Jalur-jalur Pertentangan.

*********

Tajuk: Enrique Mengundang Jauh
Pengarang: Dr. HM Tuah Iskandar
Penerbit: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd
ISBN: 9676113026
Harga: RM22.00
Pengulas: Mohamad Hanafi Isa

Novel setebal 467 muka surat ini memuatkan 19 bab, menceritakan sejarah penjelajahan dunia oleh orang Melayu. Dalam hal ini penulis telah berjaya mengaitkan catatan kuno Harun Aminurrashid yang memperkatakan Panglima Awang sebagai manusia pertama yang mengelilingi dunia sekali gus membuktikan dunia ini bulat seperti mana ditegaskan oleh Fernado de Magellan, pelayar Sepanyol. Watak utama dalam novel ini adalah Lester Roylizam atau Lesh yang mencari identiti dirinya. pengembaraan Lesh untuk mencari identitinya dengan mengikuti pelayaran Hartawan Wilson di atas kapal The Princess. Namun begitu berlaku insiden ketika mereka berlabuh di Sumatera sehingga memaksa Lesh bersama-sama pelarian Indonesia memasuki Malaysia secara haram. Ketika sampai di Malaysia, Lesh bertemu dengan Mei Hua, rakan seuniversitinya yang kemudian menjadi pembantunya melengkapkan misi pencarian Lesh. Ketika ditahan oleh pihak keselamatan Malaysia, Lesh dihadiahkan manuskrip berupa catatan Mazil yang melakukan pengembaraan 35 tahun lalu. Manuskrip itu merupakan catatan pengembaraan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Mei Hua.

Mazil yang kemudiannya menukar namanya kepada Lambert Cale, yang mengembara untuk mengembalikan hak Melayu. Ketika pengembaraannya, terdapat beberapa insiden seperti pertemuannya dengan Sophia @ Otec Paisij di Bulgaria. Kesungguhan dan ketulusan Sophia ini menyebabkan Mazil terpaksa mengahwininya demi agama. Ketika membina kehidupan barunya, beliau terpaksa membina kekayaan untuk menebus kegagalan misi pengembaraannya, selain rasa bersalah dan malu kepada bapa mertuanya Tok Wi (Ayahanda Kawi) dan Baba Kiong. Beliau kemudiannya membina empayar perniagaan hotel lima bintang yang terkenal di UK, Londoner Properties.

Hal ini bermakna, secara tidak langsung dia telah mempunyai dua orang isteri, Sofia di Malaysia dan Sophia di Bulgaria. Hasil daripada perkongsian hidupnya dengan Sophia, lahirlah Lester Roylizam alias Lesh. Apakah sebenarnya yang dicari oleh Lesh? Bagaimana Lesh akhirnya bertemu dengan ibunya Sophia yang terpisah sejak kecil? Mengapakah Mazil menukar namanya menjadi Lambert Cale dan apakah kesudahan kepada pencarian Lesh ini? Dan apakah kesudahan nasib Londoner Properties milik Mazil itu? Semua persoalan ini dapat dijumpai di dalam novel ini. Penulis telah berupaya mengolah susur galur permasalahan dan penyelesaiannya dengan begitu menarik. Penulis juga berjaya mengolah kebenaran hujah bahawa orang yang pertama mengelilingi dunia adalah orang Melayu, bukan Fernado de Magellan.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home