MEMILIH PASANGAN (1)
Dr. Ikmal (JIM) menulis....
Islam sangat melarang lelaki berfoya-foya dengan wanita. Pergaulan antara lelaki dan wanita ada batasnya. Jika seseorang lelaki itu ada keinginan terhadap seorang wanita, maka dia hendaklah masuk meminang dan berkahwin.
Langkah itu bukan sahaja membawa kepada pahala kerana mengikut sunnah Nabi saw, tetapi juga mengelakkan dirinya daripada keburukan dan maksiat.
Hentikanlah amalan membawa wanita yang bukan muhrim ke sana sini dengan niat suka-suka kerana ia bukan sahaja berdosa tetapi juga menjatuhkan kemuliaan pada diri dan keluarga masing-masing. Apatah lagi apabila hubungan berkenaan dengan sekadar suka-suka, tidak membawa kepada pernikahan.
Pengharaman ini wajar kerana kesan dari melanggar larangan tersebut akan terbawa-bawa kepada zuriat nanti. Allah sangat mengharapkan lahir dari zuriat itu, mereka yang baik dan cergas.
Hadis Rasulullah saw ada menerangkan bahawa baginda benci kepada orang yang suka membujang sampai ke tua.Berkahwin adalah sunnah Rasulullah saw, dan baginda akan berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat kelak.
Namun demikian untuk mendirikan rumahtangga berbagai-bagai persediaan yang perlu disiapkan sebagai bekalan dan jambatan untuk meniti alam berumahtangga.
Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri sebelum memilih seseorang sebagai pasangan hidup.Islam menegaskan pilihan hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada agama dan berakhlak mulia serta mempastikan samada sudah dipinang atau belum dan berbagai-bagai lagi. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
“Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi beragama adalah lebih baik.”
Baginda bersabda lagi yang maksudnya:
“Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya.”
Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calun isteri orang yang beragama serta berakhlak mulia,kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan
Allah swt.
Tanda-tanda seseorang wanita itu baik maruah dan akhlaknya antaranya ialah:
1. Berakhlak dengan Allah seperti tekun dan bersungguh-sungguh beribadah. Sabar dalam menempuh kesusahan (ujian) daripada Allah dan dalam mengerjakan perintah-perintahnya, sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah, tenang dalam menerima ketentuan Allah serta banyak mengingati Allah swt.
2. Tumpuan hatinya ialah untuk memperbaiki akhlak,mengurus rumahtangga dengan baik, memelihara ibadah dan menjaga hubungan dengan manusia.
3. Berakhlak dengan ibu bapa, memuliakan mereka serta membantu dan menyenangkan mereka. Sentiasa berusaha mengajak keluarga kepada kebaikan dan keredhaan Allah swt.
4. Baik pergaulannya sesama rakan, jiran dan masyarakat sekeliling. Tidak mengganggu dan menyakiti mereka, malah membantu dan memudahkan mereka dengan apa cara yang termampu.
5. Mentaati suaminya, redha dengan pemberian suami,melayan suami dengan baik, bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakan, menjaga aurat atau kehormatan diri dan memelihara maruah suami.
Disunatkan pula memilih gadis yang terdiri dari keturunan yang kuat agama, anak cucu orang alim dan soleh. Seseorang wanita yang kuat agama memiliki sifat-sifat kemanusiaan, berbudi pekerti tinggi.
Di sinilah letaknya realiti seorang wanita. Seorang wanita yang mempunyai sifat-sifat kewanitaan yang tulin maka itulah keistimewaan dan kecantikan yang hakiki. Rasulullah saw sendiri ada menerangkan bahawa seorang lelaki yang beristeri wanita solehah bererti dia telah mendapat satu nikmat Allah yang besar.Keterangan ini terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Abbas r.a:
“Empat jenis, sesiapa yang diberi keempat-empatnya bermakna dia telah memperolehi sebaik-baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu syukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa raga yang sabar dengan ujian dan isteri yang tidak melakukan dosa serta tidak menzalimi suaminya.”
Hikmah memperolehi wanita yang terdidik di dalam golongan keluarga yang soleh ini telah jelas dinyatakan sebahagian daripada sifat-sifatnya oleh Rasulullah saw:
“Tidak perlu bagi seorang Mukmin setelah ianya bertaqwa kepada Allah, sebaik-baik keperluan baginya ialah seorang isteri yang solehah, jika suami melihat kepada isterinya, isterinya tetap juga berbuat baik kepada suaminya dan jika suaminya tiada di rumah dia menyimpan rahsia dan harta suaminya.”
Demikianlah di antara kelebihan yang diperolehi oleh seorang suami jika ia memiliki isteri yang solehah.
Islam menggalakkan mengahwini wanita-wanita asing daripada keluarga terdekat untuk meluaskan hubungan kekeluargaan dan mngukuhkan persaudaraan Islam.
Risiko dari perkahwinan sanak saudara akan melahirkan anak-anak yang tidak sihat dan lembab otak. Tujuan digalak berkahwin dengan orang yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan supaya dapat melahirkan anak-anak yang sihat, bertenaga, cantik dan pintar.
bersambung....
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home