Selamat Datang Pelajar Baru Sidang 2005/06
Selamat datang diucapkan kepada pelajar-pelajar baru sidang 2005/06, syabas dan tahniah kerana telah berjaya menjadi sabahagian daripada warga kampus kejuruteraan. Melangkah kaki ke gerbang ilmu yang terkenal dan mempunyai prestij tersendiri bukan bermakna anda telah berjaya mengatasi segalanya. Sebenarnya anda baru sahaja memulakan medan perjuangan baru dalam alam universiti yang lebih mencabar, anda sedang bermula dari sifar. Anggaplah diri anda sebagai pembawa gelas kosong, dan anda sedang mengisinya dengan air, semestinya pada akhir perjalanan nanti anda mengharapkan gelas itu akan penuh. Penuhnya gelas itu bukan sekadar penuh dari segi lahiriahnya, malah mempunyai kualiti yang terbaik.
Medan penerokaan ilmu yang mencabar ini diharapkan dapat diisi dengan perkara yang baik yang menjurus kepada penyerapan nilai-nilai yang baik. Justeru niat menuntut ilmu mestilah betul untuk memartabatkan maruah diri, keluarga, agama, bangsa dan negara. Nilai yang baik bermakna kita tidak meletakkan mentaliti pemikiran kita setara dengan mereka yang berada di luar institusi pendidikan tinggi. Garaplah nilai itu supaya budaya ilmu yang dilalui tidak dicemari dengan gejala negative yang merosakkan system sosial seperti yang berlaku di luar kampus. Apabila saya ingin memperkatakan tentang sistem sosial, saya menyedari bahawa di universiti juga persekitarannya tidak jauh berbeza dengan keadaan di luar. Hal ini kerana penularannya telah lama membiak dan subur, anda yang melihatnya janganlah pula terikut-ikut secara membuta tuli.
Apakah sebenarnya cabaran di universiti? Saya ingin menggariskan beberapa perkara yang difikirkan menjadi gugatan kepada semua. Pertamanya bagi yang mula-mula mengalami suasana baru, mereka semestinya berdepan dengan kejutan budaya atau culture shock. Jika dahulu berasal dari sekolah berlatar pendidikan agama, sekolah uniseks – seperti Naim Lilbanat, Maahad Muhammadi (L), MMP, STF, SDAR (sekadar beberapa nama), mereka mungkin tidak pernah melihat budaya tersebut. Akibatnya, mereka terkeliru untuk menentukan haluan mereka sama ada ingin mengelak atau mengikut arus. Sistem yang diwujudkan di universiti juga tidak mempunyai mekanisme untuk menghalang perkara ini. Semua orang berfikir, apa salahnya kita menghalang mereka sedangkan mereka mempunyai intelek yang tinggi untuk menilai baik atau buruk. Intelek yang tinggi tidak cukup jika tidak berlandaskan pertimbangan agama, maka kebanyakan kita lupa dan lalai sehingga terlalu mengikut kehendak nafsu sehingga kadang-kadang berlaku keterlanjuran. Jika tidak benar, kita tidak akan mendengar berita yang menggemparkan seperti pembuangan bayi, tinggal bersekedudukan tanpa nikah, mahasiswa terlampau, bunuh dan seumpamanya di kalangan pelajar institut pengajian tinggi.
Perkara kedua yang ingin disentuh di sini ialah pembentukan personaliti. Universiti adalah tempat untuk mempelajari pelbagai juzuk ilmu, pengajian melalui kuliah tidak mencukupi. Oleh itu, mahasiswa perlu bergerak proaktif membina sakhsiah diri dengan kemahiran komunikasi dan pengurusan yang baik. Sejak dari awal pembabitan anda di universiti, fikirlah bagaimana untuk menyediakan diri anda sebagai seorang yang proaktif. Lebih penting lagi keadaan semasa mendesak kita mengikut rentak perdana yang memerlukan dua elemen: kelulusan yang baik dan rekomen. Untuk memudahkan anda direkomen dan mendapat pekerjaan dan jawatan yang sesuai dengan bidang pengajian, anda mesti membina network yang baik. Carilah peluang untuk mengenal ramai orang yang akhrinya nanti boleh membantu kita mengesyorkan jawatan tertentu, melainkan sekiranya anda berfikir untuk membuka syarikat sendiri atau menjadi usahawan. Bagi yang sudah melalui sesi ujian kerja dalam medan Latihan Industri atau Praktikal, pastikan hubungan dua hala anda dengan bekas penyelia anda sentiasa baik. Apabila tamat pengajian, jangan lupa meminta bantuannya untuk menyerahkan resume anda kepada mana-mana kenalan mereka, atau jika anda bernasib baik, anda akan dipelawa menyertai syarikatnya. Sebagai seorang muslim, saya tidak lupa untuk mengatakan bahawa peri penting bagi kita menjadi intelek yang faham tentang kepentingan beragama. Berusahalah untuk mencari ruang supaya keterikatan kita dengan persatuan agama untuk memastikan wadah perjuagan agama berjalan sejajar dengan pencarian ilmu duniawi yang lain.
Ada orang berkata, menjalankan gerak kerja yang berkaitan dengan agama adalah suatu perkara yang menyusahkan. Tidak ada yang menyusahkan melainkan anda sendiri yang membuatkannya susah. Realiti masyarakat di luar, menurut Jabatan Pendaftaran seramai 100 ribu orang Melayu telah memohon untuk menukar nama kerana telah murtad. Terdapat satu kes, seorang peguam yang terkenal membacakan senarai nama yang diperoleh Jabatan Pendaftaran, tiba-tiba ibu saudara kepada salah seorang pelajar universiti yang disebutkan menyangkal dari belakang. Setelah diselidiki, dia terpaksa membuka tudung anak saudaranya untuk memastikan perkara tersebut. Alangkah terkejutnya, di sebalik tudungnya tersembunyi rantai salib, dia telah beragama Kristian. Jika perkara itu adalah realiti, bagaimana cara yang terbaik untuk kita menjaga kebajikan diri sendiri terutama yang berkaitan dengan agama? Caranya tidak lain dan tidak bukan melalui penglibatan kita dengan persatuan agama atau mencari ruang untuk mengikuti program agama yang dianjurkan di universiti atau membaca/mendengar pengajian agama yang disediakan dalam pelbagai media. Saya masih ingat, setahun yang lalu seorang pelajart baru bertanya “Betulkah PMI adalah nadi penggerak perjuangan pembangkang?” Saya bertanya semula “Di mana anda mendapat maklumat ini? Adakah kamu ada terbaca dalam perlembagaan PMI disebutkan yang menyentuh perkara ini?” Saya ingin memberitahunya, sesebuah persatuan yang ingin ditubuhkan di universiti terlebih dahulu akan mengemukakan perlembagaan organisasinya kepada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP). Justeru, jika PMI adalah nadi perjuagan pihak pembangkang, ia akan ditolak sejak dari awal lagi, nama PMIUSM (atau mana-mana universiti) tidak akan wujud.
Semoga kalian semua berjaya mencapai kejayaan yang diidamkan.
"2&3 Jul 2005 Nur Lembah Pangsun, Ulu Klang menggamit keutuhan ukhwah"
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home