Isnin, Oktober 24, 2005

Kita tetap dari tanah


Persoalan yang cukup menarik untuk dibicarakan. Terlebih dahulu kita mesti memahami bahawa al-Quran bukanlah kitab saintifik, malah lebih daripada itu. Al-Quran adalah manhaj kehidupan manusia yang benar-benar menginginkan kehidupan yang diredhai Allah yang merangkumi tatacara kehidupan, hukum-hukum dan kepercayaan kepada perkara ghaib. Perkara ini pernah ditegaskan oleh Ahmed Deedat (semoga Allah merahmati rohnya) dalam bukunya “Quran is not the science book”.

Al-Quran merupakan sumber pelbagai ilmu termasuklah sains. Allah menggunakan istilah tamsil (perbandingan) bagi menunjukkan kerelatifan sifat manusia dengan unsur-unsur alam seperti sarang labah-labah, peristiwa logamaya, perihal anjing yang menjulur lidah, teori ketumpatan oksigen berbanding ketinggian, dan banyak lagi. Saintis Islam melihat perkara ini dengan mengolah peristiwa yang disebutkan itu dari perspektif sains, dibuktikan secara saintifik.

Al-Quran sentiasa mencabar minda manusia dengan persoalan “Apakah kamu tidak berfikir?” atau “Apakah kamu tidak memerhati?” Persoalan-persoalan inilah yang dikupas dan dikaji oleh saintis Islam melalui ujikaji di dalam makmal, atau pemerhatian menggunakan asas sains. Kajian demi kajian yang dibuat menjadikan saintis Islam menjadikan mereka lebih dekat kepada Allah. Manakala saintis bukan Islam pula menjadi takjub sehingga terdapat di kalangan mereka mengenali Islam setelah melakukan pengkajian. Betapa sains yang dipelajari menjadikan manusia kenal kepada Penciptanya dan alam ini dengan sesungguhnya.

Asas penciptaan: Tanah liat dan air.

Penciptaan manusia di dalam al-Quran amat menakjubkan. Sebagai makhluk terbaik, manusia pertama dicipta daripada tanah liat yang dibentukkan mengikut bentuk tubuh manusia dan ditiupkan roh ke dalamnya. Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan ingatlah, ketika Tuhanmu berkata kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menjadikan manusia daripada tanah. Maka apabila telah sempurna kejadiannya, Aku tiupkan roh ke dalamnya . Hendaklah kamu bersujud (hormat) kepadanya”

(Surah Shaad:71-72)

Dan firman Allah lagi,
“Maka tanyakan kepada mereka (musyrikin Mekah): Apakah mereka yang lebih kukuh kejadiannya ataupun ciptaan Kami? Sesungguhnya Kami menciptakan mereka daripada tanah liat.”
(Ash-Shaaffaat: 11)

Dua ayat di atas menegaskan bahawa asal penciptaan manusia (Nabi Adam) dari unsur tanah liat, kemudian Allah mencipta pula manusia selepas itu dari unsur tanah. Benarkah manusia diciptakan daripada tanah? Sedangkan sekarang ini kita terhasil daripada persenyawaan ovum dan sperma di dalam rahim ibu. Persoalan ini boleh dijawab dengan membandingkan sebuku roti, kita tahu roti dibuat daripada gandum. Adunan gandum yang dibakar sehingga masak menjadikannya roti dan tidak lagi dipanggil gandum kerana sudah bertukar rupa. Namun asas pembinaannya masih lagi gandum. Begitu juga manusia, walaupun manusia akhir zaman terhasil daripada persenyawaan telur-telur dari lelaki dan wanita, unsur tanah masih terdapat di dalamnya.

Saintis telah mengkaji perkara ini dan mendapati beberapa elemen bumi wujud dalam tubuh manusia. Tisu-tisu yang hidup mengandungi 26 elemen bumi; 95% adalah unsur karbon, hidrogen, oksigen, nitrogen, fosforus dan sulfur.

Dalam ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud “Kami telah menciptakan manusia daripada saripati tanah" (Al-Mukminuun:12)
Dalam ayat ini Allah menggunakan kalimah Arab ‘sulalatin’ yang ditafsirkan sebagai saripati dalam ayat tersebut membawa erti mewakili contoh atau sebahagian daripada elemen. Jadual 1 di bawah menunjukkan taburan elemen-elemen dalam seorang manusia berjisim 70 kg.
Berat
(Gram) Peratusan (%) Elemen Makro
--------------------------------------- Mineral-------------Simbol
43000 -------65.00-------------------Oksigen--------------O
12000 -------18.50-------------------Karbon---------------C
6300--------- 9.50------------------Hidrogen--------------H
2000-----------3.30------------------Nitrogen--------------N
1100-----------1.50------------------Kalsium---------------Ca
750------------1.00------------------Fosforus---------------P

* dan beberapa elemen lagi seperti Molebdenum, Silikon, Iodin, Boron, Kobalt, Vanadium, Selenium, Kromium, Mangan dan Kuprum.

Jadual 1: Komposisi elemen kimia bumi dalam tubuh manusia.

Jadual di atas juga menunjukkan bahawa elemen penting dan utama dalam penciptaan manusia dan makhluk lain adalah air. Perkara ini ditegaskan oleh Allah dalam ayat 45 surah An-Nur yang bermaksud, “Dan Kami jadikan setiap haiwan yang melata di bumi daripada air. Sebahagian daripada mereka menjalar, sebahagiannya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagaian pula berjalan dengan empat kaki. Allah menjadikan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya Allah Maha Berkuasa ke atas setiap perkara”

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home