Khutbah Ramadhan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Besyukur ke hadrat Allah kerana masih menjangkan umur kita, memberi kekuatan, kesihatan dan ruang untuk kita menghadapai hari-hari dalam bulan Ramadhan al-Mubarak. Hari ini kita memasuki fasa kedua dalam Madrasah Ramadhan Al-Mubarak. Sabda Nabi S.A.W
"Awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirannya kemenangan dari neraka"
`Mim'. Huruf kedua daripada perkataan Ramadhan ini membawa maksud `keampunan Allah s.w.t.' Dengan kata lain, bahawa bulan Ramadhan ialah bulan keampunan bagi Allah s.w.t. terhadap segala dosa-dosa hamba-hamba-Nya yang telah lalu. Sebab itulah dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
``Barangsiapa yang (berpuasa dan) menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan istihsab (kegembiraan), nescaya Allah s.w.t. akan mengampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.'' (Sepakat ulama hadis).
Allah menjanjikan keampunan yang luas buat hamba-NYA yang meminta keampunan. Selain daripada Nabi S.A.W, semua orang tidak terlepas daripada melakukan dosa lantaran kealpaan diri, desakan nafsu dan syaitan, pengaruh persekitaran atau kejahilan diri. Justeru memohon keampunan Allah merupakan sebaik-baik jalan kembali kepada fitrah insani yang suci. Seperti kata Umar al-Khattab
"Sebaik-baik orang yang berdosa ialah mereka yang memohon keampunan"
Allah S.W.T yang Maha Pengampun menerima taubat hamba-hambaNYA selagi nyawa tidak sampai ke kerongkong. Namun Allah tidak sekali-kali mengampuni dosa orang yang syirik kepadaNYA. Sentiasalah kita menginsafi dan bertaubat, beristighfar dan berazam untuk meninggalkan dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Beristighfar dengan menyebut Astaghfiurllah al-'Azim merupakan anjuran Rasulullah, jika baginda yang maksum boleh mengucapkannya 70 kali sehari, mengapa kita tidak boleh melakukan seperti itu?
Dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh manusia akan terhapus dengan melakukan kebajikan, kerana baik dan buruk sifatnya bertimbal balik. Firman Allah S.W.T
"...sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan, demikian itu peringatan bagi orang-orang yang mahu mengingatiNYA" [Hud:114]
Perhatikanlah pengertian firman Allah Taala berikut:
``Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan, dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat.'' (Al-Furqan: 70-71)
Ramadhan al-Mubarak yang Allah tawarkan kepada manusia menyediakan semua keperluan ke arah melakukan kebajikan. Ruang-ruang kebaikan terbuka seluas-luasnya untuk kita bagi mendapat ganjaran yang baik di sisi Allah sesuai dengan ayat yang dibacakan di atas. Menghulurkan derma, sedekah kepada golongan fakir, anak yatim, menyediakan makanan berbuka puasa, membaca al-Quran, solat sunat Taraweh, iktikaf di masjid, tolong menolong dalam kebajikan adalah di antara kebaikan yang boleh dilakukan oleh kita.
Memohon keampunan Allah adalah tanda kerendahan diri seorang hamba. Hamba yang tawadhuk, merendah diri di hadapan Allah tidak merasa aman dari dosa kerana dia sedar bahawa dirinya tidak suci.
"..maka janganlah kamu mengatakan diri kamu suci (merasakan tidak berdosa), sesungguhnya Dia mengetahui siapa di antara kamu orang-orang yang bertaqwa"
(32: surah An-Najm)
Orang yang bertaqwa sentiasa memohon keampunan Allah lantaran kelalaian diri dalam mengingati Allah. Maka tidak hairanlah mengapa kita dianjurkan dalam Islam memohon keampunan Allah walau pun selepas melangkah keluar daripada tandas. Mengapa selepas daripada meninggalkan tandas, kita dianjurkan beristighfar kepada Allah? Ini kerana ketika kita di dalamnya, kita tidak mengingatiNYA. Haram sama sekali kita berzikir di dalam tandas. Lantas saat yang begitu menjadi kita seolah-olah lalai dan alpa daripada mengingatiNYA sehingga kita dianjurkan memohon keampuanNYA setelah melangkah keluar dari tandas.
Sidang Jumaat, muslimin hadirin yang dirahmati Allah,
Realiti kehidupan hari ini, manusia lebih suka sekiranya orang yang melakukan kesalahan kepadanya memohon kemaafan. Jika kita bersalah, meminta kemaafan akan memulihkan perhubungan, meredakan kemarahan, dan meningkatkan penghormatan orang terhadap kita. Tetapi kadang-kadang, kemaafan manusia mempunyai batasan yang tertentu. Manusia yang keras hatinya, mempunyai sifat dendam dan penyakit hati yang lain sukar untuk memberi kemaafan. Namun Allah S.W.T dengan kesempurnaanNYA akan memberi keampunan kepada sesiapa sahaja yang memohon keampunan. Kita tidak boleh leka dengan melakukan dosa-dosa kecil secara berterusan. Hal ini ibarat pasir yang dikumpulkan, lama kelamaan pasir-pasir itu akan bertimbun menjadi sebuah bukit. Sifat Allah yang Maha Pengampun bukanlah tiket untuk kita menangguhkan taubat kita kepadaNYA. Kita tidak tahu apakah nyawa masih milik kita untuk saat-saat selepas ini atau tidak. Justeru, apabila kita mempunyai kesempatan bertaubat, mohonlah dengan sesungguhnya kepada Allah. Firman Allah,
"sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang membersihkan diri "
(222: Al-Baqarah).
Semoga dengan keampunan Allah itu akan memotivasikan kita dan menjernihkan kembali hati kita daripada karat-karat dosa, lantas memudahkan hati kita disinari cahaya petunjuk sebagai panduan dunia dan bekalan akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Tarbiyyah Ramadhan mengajak kita menghayati erti penderitaan, kesusahan dan kekurangan orang lain. Kita yang sentiasa senang kadang-kadang lupa dan seronok dengan kemewahan, sehingga kita tidak memikirkan nasib orang yang kurang bernasib baik.
Pertama, mimbar hari ini mengajak pendengar sekalian untuk sama-sama bermuhasabah untuk menilai sejauh mana keperihatinan kita terhadap orang yang kurang bernasib baik daripada kita. Apalah kiranya kita menghulurkan sedikit daripada harta yang kita miliki untuk membantu mereka kerana nilai yang kecil bagi kita amat besar kepada mereka.
"Tidak berkurangan harta itu kerana sedekah"
Hadis di atas memberitahu kita bahawa nilai yang dikurangkan daripada milikan kita tidak bererti kekurangan untuk kita. Nilaiannya bertambah di sisi Allah dalam bentuk ganjaran pahala kebaikan.
Kedua, mimbar ingin mengajak para pendengar supaya menghayati erti kebuluran. Orang yang kekurangan makanan, sanggup memakan apa jua makanan walaupun sudah dibuang dan tidak dikehendaki. Keadaan kita yang selesa menjadikan kita berlebih-lebihan dalam perbelanjaan atau dalam penyediaan makanan. Lebihan yang tidak dimanfaatkan akhrinya dibuang, dan berlakulah pembaziran. Fenomena ini sering berlaku lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan. Ketika berpuasa, nafsu makan yang tidak dikekang menjadikan kita kadang-kadang membeli makanan melebihi had yang sepatutnya. Setelah berbuka, sebahagian daripada makanan yang dibeli dijamah sedikit, dan sebahagiannya pula dibuang begitu sahaja. Ramadhan sepatutnya dapat mendidik kita erti berjimat cermat, dan mengelakkan pembaziran.
Ketiga, keamanan yang kita miliki. Dalam menjalani ibadah puasa, kita bersyukur kerana dikurniakan keamanan. Aman dari ketakutan akibat perang, bencana alam dan krisis kepimpinan atau politik. Keamanan yang kita miliki seharusnya menjadikan kita bergembira dan bersungguh-sungguh untuk melakukan ibadah puasa dan amalan sunat yang lain. Peluang ini tidak kita peroleh di tempat-tempat lain yang bergolak dan dilanda kemusnahan. Justeru sekiranya saudara kita yang mengalami kesukaran yang lebih hebat daripada kita dapat menunaikan puasa, malulah kita kepada mereka jika kita tidak dapat menunaikan ibadah puasa ini dengan baik dan semourna. Rebutlah peluang yang diberi oleh Allah kepada kita dengan sebaik mungkin dengan melakukan kebaikan.
Semoga khutbah hari ini memberi manfaat kepada kita semua.
Disediakan oleh Hamba Allah yang hina ini. -naim-
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home