Khamis, Oktober 27, 2005

Manifesto Ramadhan


Ramadhan al-Mubarak hampir meninggalkan kita. Sudah pasti seribu satu kenangan dalam proses pentarbiyyahan Ramadhan bagi mencapai darjat ketaqwaan di sisi Allah kejap dan mantap di dalam minda kita. Ramadhan berlalu digantikan Allah dengan Syawal yang bakal menjelma, Aidilfitri yang disambut ini merupakan anugerah yang bermakna bagi mereka yang telah berjaya. Kejayaan yang dimaksudkan adalah berupa kemenangan memenuhi objektif madrasah Ramadhan iaitu penyucian jiwa dan peningkatan kualiti ketaqwaan.

Namun begitu, kehidupan yang penuh pancaroba menjadi cabaran untuk menguji kita sejauh mana proses pentarbiyyahan Ramadhan dapat dikekalkan. Istiqamah dan beriltizam dengan amalan kebajikan sepanjang Ramadhan pada bulan-bulan selepasnya menunjukkan bahawa seseorang itu telah berjaya mencapai kualiti diri muslim yang unggul. Perkara ini akan diperoleh sekiranya amalan yang dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah seperti firman-Nya,


"Dan Kami (Allah) tidak memerintahkan kamu melainkan untuk mengabdi diri kepada Allah dengan mengikhlaskan diri.." (Al-Bayyinah:5).

Kesinambungan amalan ini haruslah dibuat supaya kualiti diri yang digarap ketika Ramadhan tidak hilang begitu sahaja.

Sebagai kesimpulan, amat malang dan rugi jika keadaan seseorang sebelum dan selepas Ramadhan tidak berubah. Peluang sebaik ini tidak mungkin akan diperoleh melainkan apabila kita bertemu semula dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Justeru hari-hari yang mendatang bagaikan kita masih berada di dalam roh bulan Ramadhan al-Mubarak. Hal inilah yang menjadikan kita telah berjaya merealisasikan konsep tarbiyyah Ramadhan sebenarnya dalam kehidupan kita.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home