Pendaftaran nombor prabayar
Di bawah projek perintis tiga bulan itu, semua pelanggan prabayar baru di Pulau Pinang dan Melaka diwajibkan mendaftar apabila mereka membeli pek prabayar yang baru.
Sementara itu, pengguna sedia ada pula digalakkan untuk mendaftar memandangkan langkah itu akan mula dilaksanakan mulai 1 Januari tahun depan.
Menurut Shaziman, Pulau Pinang dan Melaka dipilih untuk projek perintis itu kerana kedua-dua negeri itu mempunyai pengguna mudah alih prabayar yang kedua tertinggi selepas Kuala Lumpur dan Selangor.
Beliau memberitahu, terdapat 16 juta pengguna telefon mudah alih di negara ini dan 80 peratus daripadanya adalah prabayar. Katanya, rakyat Pulau Pinang dan Melaka mewakili 65 peratus daripada populasi pengguna telefon bimbit di negara ini.
Shaziman menjelaskan, langkah yang diambil oleh kerajaan itu adalah bagi mengekang penyalahgunaan perkhidmatan itu seperti untuk tujuan memfitnah serta ugutan dan ia telah dilaksanakan di negara lain seperti Australia, Singapura, Taiwan, Thailand dan Switzerland.
Para di atas memuatkan berita “Tamat automatik jika tidak daftar” yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia, 2 Okt. 2005. Hati terdetik untuk menukar nombor telefon memandangkan akan berpindah ke negeri lain pula tidak lama lagi. Keperluan semasa berada di Pulau Pinang sudah hampir kepada pengakhirannya. Akhbar KOSMO! pula melaporkan prosedur untuk pendaftaran termasuklah memberi salinan kad pengenalan dan mengisi borang maklumat diri pengguna. Jika begini, terpaksa berfikir dua tiga kali juga untuk menukar nombor telefon.
Pendaftaran pengguna talian prabayar bukanlah isunya. Isunya ialah kontaminasi nilai kehidupan, etika dan moral. Isunya ialah semakin kompleks kehidupan manusia sehingga terdapat segolongan mereka yang menyalahgunakan kecanggihan teknologi. Jika tidak disalah guna seperti menyebar SMS berbentuk ugutan, cacian, lucah dan SMS ala surat layang perkara ini tidak perlu dilaksanakan. Tidak kurang juga mereka yang menyebarkan mesej bergambar (MMS) yang bertujuan menjatuhkan reputasi orang yang bermusuh dengannya dengan niat mengaibkan individu tersebut. Pun begitu, semua kepincangan ini tidak akan berlaku sekiranya kita berpegang kepada tuntutan agama (semua agama mengajar moral yang menghormati hak orang lain). Islam sebagai agama kehidupan mengajar kita menghormati hak orang lain, melayani orang lain seperti kita menghendaki orang lain melayani kita. Jika kita meladeni mereka sebagai musuh, mengapa kita harus gusar dan resah apabila mereka meladeni kita sebagai musuh pula?
Kesimpulan: Semua perkara yang kita buat, ada pencatatnya di kiri dan kanan kita (kiraaman kaatibiin). Mereka tidak pernah bercuti daripada menjalankan tugas yang diperintahkan kepada mereka.
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home