Uzlah...lagi....
Hari ini aku ditemui oleh seorang sahabat yang bertanyakan tentang plot novel ‘Hatimu untuk Siapa’ tulisan Dr. HM Tuah. Aku memaklumkan bahawa, ia bukan sekadar sebuah novel cinta biasa. Novel tersebut memuatkan motivasi cinta, falsafah kesetiaan, dan manuskrip sejarah beliau yang mendapat pengiktirafan antarabangsa. Seorang sahabat lain yang berkunjung ke bilikku juga semata-mata menghabiskan bacaan Salina, memang menjadi tabiatku tidak membenarkan buku-buku yang mahal keluar dari bilikku untuk dipinjam oleh orang lain. Salina berharga RM70.90 diterbitkan oleh Rhythm Distribution Sdn. Bhd. Sesungguhnya membaca novel sebenarnya bukanlah sesuatu yang merugikan, melainkan jika novel yang bertemakan cinta picisan (bagi saya membaca novel yang bertemakan cinta yang biasa-biasa membuang masa!). Novel kebanyakannya memuatkan falsafah kehidupan, penuh dan sarat dengan mesej yang bermakna daripada penulis.
Jika dibuka akhbar lewat minggu ini, terdapat isu yang menarik terutama tentang AP. AP masih belum reda, sehingga dua orang ahli Parlimen diberi amaran kerana menyokong usul Ketua Pembangkang di Parlimen. Isu ini amat menarik, jika dibuat rombakan kabinet dalam masa terdekat ini, usaha PM untuk melucutkan menteri terbabit tidak mendatangkan hasil apa-apa untuk faedah politiknya. Kemungkinan menteri tersebut akan dipecat pada saat-saat akhir untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang. Langkah ini dilihat sebagai langkah popular bagi meraih sokongan pengundi. Berikutan kes memihak kepada pembangkang, sebenarnya ia merupakan petanda bahawa karier politik salah seorang daripada MP tersebut mencapai noktah akhir. Tunggu dan lihat apa yang akan terjadi selepas ini. AP bukan isunya! Kita ingin merungkai di sebalik AP itu, apakah terdapat ketelusan dalam pembahagiannya? Apakah kriteria yang sebenarnya bagi membolehkan seseorang itu memiliki AP? Dan kenapa wujud segolongan manusia yang menerima AP dalam jumlah pukal?
Apa pula yang berlaku di luar bilikku? Tiga hari bermula hari ini, Majlis Tilawah Al-Quran antara Desasiswa USM berlangsung, dianjurkan oleh Majlis Penghuni Desasiswa Lembaran (MPDL) dan Pusat Islam. Seorang sahabat dari Kubang Kerian sudah mendaftar diri sejak Subuh tadi. “Anta masih di sini.” Katanya memandangkan kunjungan beliau pada 2003 dahulu sebagai pengiring peserta, aku sudah berada di sini. Namun kehadirannya kali ini bukan sebagai pengiring, sebaliknya mewakili desasiswa Murni. Biasnya jika keadaan kelam kabut sebegini, aku akan ‘beruzlah’ ke suatu tempat yang jauh. Jauh dari keriuhan, jauh dari kesibukan orang-orang yang berurusan dengan majlis terutama selepas jam 10.30 malam. Sebelum jam 10.30 malam, rutin biasa adalah mengendalikan majlis berbuka puasa, solat taraweh, tadarrus al-Quran. Semuanya akan berakhir sekitar jam 10.15 malam. Jika beruzlah maknanya terputus semua rangkaian perhubungan yang canggih, tidak ada perantaran isyarat gelombang digital!
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home