Tokotrienol
Tokotrienol penting untuk kesihatan
Oleh Hajah Che Anisah Che Idris
Pegawai Penyelidik Kanan
VITAMIN E adalah nama generik bagi dua kumpulan sebatian yang mempunyai struktur sebatian yang hampir sama iaitu tokoferol dan tokotrienol. Setiap satu sebatian ini mempunyai masing-masing empat struktur (stereoisomers) iaitu dalam bentuk alpha-tokoferol , alpha-tokotrienol, beta-tokoferol, beta-tokotrienol, gamma-tokoferol, gamma-tokotrienol, delta-tokoferol dan delta-tokotrienol.
Vitamin E yang mengandungi lapan struktur di atas terdapat di dalam pelbagai jenis makanan dalam jumlah dan kombinasi yang berbeza. Minyak sayuran seperti minyak sawit, kaya kandungan Vitamin E. Selain itu, sayur-sayuran hijau, telur, daging dan ikan juga mengandungi vitamin E tetapi dalam jumlah yang kecil.
Alpha tokoferol adalah unsur vitamin E yang paling banyak hadir secara semula jadi dalam makanan. Ia memberi kebaikan untuk kesihatan dan digunakan secara meluas sebagai sumber vitamin E.
Tokotrienol yang dianggap sebagai saudara kembar kepada tokoferol kerana struktur sebatian yang hampir sama kecuali pada bahagian hujung hidrokarbonnya saja berbeza. Tokotrienol mempunyai hujung hidrokarbon yang tak tepu manakala hujung hidrokarbon bagi tokoferol adalah tepu.
Di bahagian inilah letaknya keunikan tokotrienol berbanding dengan tokoferol yang menyumbang kebaikan dan manfaat besar kepada kesihatan manusia. Pada hari ini, keunikan ini menjadi daya tarikan dan tumpuan utama saintis seluruh dunia untuk terus mengkaji kebaikan tokotrienol kepada kehidupan manusia.
Kepentingan Vitamin E disebabkan sifat antioksidanya. Oleh kerana ia mempunyai sifat sebagai pengambil oksigen. Justeru, kehadirannya akan menghalang daripada berlaku pengoksidan radikal bebas ke atas asid lemak tak tepu, fosfolipida, vitamin A dan C dalam badan. Di samping itu ia juga berupaya mengekalkan kestabilan sel membren dan membantu mengurang kerosakan selular akibat aktiviti pengoksidan radikal bebas itu.
Tokotrienol mempunyai sifat antioksidan yang sangat diperlukan oleh badan. Ia berupaya melawan dan menghalang risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser dan melambatkan proses penuaan.
Tokotrienol kini di komersial secara meluas di pasaran sebagai dieteri tambahan dan disediakan dalam bentuk kombinasi di antara tokoferol dengan tokotrienol. Melalui kombinasi itu, ia akan menyediakan lebih banyak dan pelbagai kebaikan segi diet seimbang yang diperlukan oleh badan.
Badan manusia memerlukan oksigen untuk hidup tetapi melalui metabolisma anaerobic (tanpa oksigen) di dalam badan akan menghasilkan bahan sampingan yang dikenali sebagai radikal bebas. Bahan ini mempunyai sifat yang tidak stabil dan boleh bertindak sebagai pemusnah.
Radikal bebas akan terhasil melalui beberapa cara seperti oksidasi metabolisma tenaga atau dari tindak balas kimia toksik atau dari menghidu udara tercemar.
Jika tidak diberi perhatian yang sewajarnya, radikal bebas itu boleh menyebabkan kerosakan dalam badan, antaranya akan menyerang lipid di dalam sel membren menjadi teroksida pada dinding arteri, merosakkan enzim selular dan merosakkan kod genetik pada DNA.
Ia juga boleh menyebabkan penukaran dan peningkatan ke atas paras LDL-C yang akan membawa risiko penyakit jantung.
Sekiranya kerosakan pada DNA yang disebabkan oleh radikal bebas tidak dibaiki atau dipulihkan sepenuhnya, kerosakan pada DNA ini akan kekal dan menjadikan keadaan bertambah buruk akan berlaku di dalam badan.
Bagi jangka masa panjang kesan kerosakan ini akan dapat dilihat melalui tanda umum seperti penuaan, kerosakan kesihatan mata (katarak) dan mengundang risiko penyakit jantung, kanser dan lain lagi.
Dalam keadaan biasa, kerosakan yang berlaku itu dapat di pulihkan melalui sistem pertahanan semula jadi yang ada dalam badan, umumnya terdiri daripada nutrien antioksidan seperti vitamin E, vitamin C, selenium dan karotenoid.
Nutrien itu membantu pemulihan melalui tindakan spesifik metalloenzim dan berbagai bahan phytokimia dari diet yang diambil pada setiap hari.
Kekuatan dan keberkesanan antioksidan tokotrienol adalah 40 hingga 60 kali lebih tinggi berbanding dengan kekuatan alpha tokoferol. Saintis percaya bahawa kekuatan itu menjadi penyumbang utama kepada keberkesanan ke atas pemulihan kerosakan akibat radikal bebas dan menghalang risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser dan penyakit kulit.
Ketika radikal bebas menyerang di dalam badan, tokotrienol dan tokoferol dalam bentuk alpha-, beta-, delta- dan gamma- berada dalam keadaan berserakan di merata bahagian bersama sel membren dalam jumlah yang sedikit.
Walaupun dalam jumlahnya yang sedikit tetapi ia masih berupaya meneutralkan radikal bebas berkenaan. Justeru itu, ia meminimumkan kerosakan yang berlaku pada selular serta mengekalkan kestabilan sel membren badan.
Berikutan dari serangan radikal bebas berkenaan tokotrienol dan rakannya yang lain juga akan berubah menjadi bahan radikal setelah mengalami pengoksidan semasa serangan itu. Ia perlu diganti atau diperbaharui bagi mengembalikan semula sifat semula jadi sebagai pelindung untuk menghadapi serangan berikutnya.
Oleh itu, pengambilan diet tokotrienol perlu dilakukan secara berterusan. Saintis membuktikan radikal bebas Vitamin E itu akan pulih dan kembali semula kepada keadaan semula jadi melalui pengambilan antioksidan itu dengan mencukupi secara berterusan.
Berbagai faktor luar lain seperti keradangan, merokok, pencemaran udara, sinaran radiasi (x-ray, sinar UV), bahan toksik dan bersenam secara ekstrem juga boleh menggalakkan penghasilan radikal bebas dalam badan. Oleh yang demikian, manusia yang terdedah kepada sumber oksidasi itu memerlukan bekalan dietari antioksidan yang mencukupi.
1 Comments:
George Town – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi membuktikan kepakaran dalam bidang penyelidikan perubatan dengan menghasilkan suplemen daripada ekstrak buah kelapa sawit tokotrienol.
Catat Ulasan
<< Home