Jumaat, Disember 02, 2005

Jangan tangankan mukanya.


Mendidik anak-anak secara praktikal bermula dari usianya mencapai tahap mumayyiz. Apa itu mumayyiz? Mampu membezakan di antara baik dan buruk, bersih dan kotor. Awal-awal mumayyiz adalah ketika berusia enam tahun, melangkah usia tujuh tahun lidah dan minda anak-anak boleh dilentur. Justeru seawal umur tujuh tahun, nabi menganjurkan ibu bapa mendidik anak kecil untuk solat. Ketika ini, perkataan dan percakapan anak-anak haruslah dijaga. Jika mengeluarkan perkataan yang buruk, maka ibu bapa harus mendenda mereka, menjelaskan perkataan tersebut tidak baik untuk diucapkan. Usia sepuluh tahun, tahap mumayyzinya telah matang. Waktu pendidikan awal selama tiga tahun untuk membiasakan diri dengan kewajipan solat sudah semstinya melekat dan kejap dalam pengamalan mereka. Ketika ini, apabila mereka liat mengerjakan solat nabi menganjurkan supaya dipukulkan anak kecil itu. Pukulan pula bukan dengan maksud mendera, pukulan pula bukan sebarang pukul. Pukullah anak-anak dengan rotan, merotan pula di bahagian tapak kaki seadanya. Hari ini, ibu bapa yang gagal menguruskan tekanan hidup menjadikan anak-anak sebagai medan melepaskan tekanan. Fenomena penderaan ini berpunca daripada ketidakfahaman mereka terhadap tanggungjawab mendidik anak-anak. Harus diingat, perbuatan menampar anak-anak atau isteri jauh sekali daripada aspek pendidikan dalam agama Islam.

Menampar semestinya pada bahagian muka, bahagian yang mewakili maruah manusia. Jika hal berkaitan maruah, kita sering mendengar frasa 'air muka', atau pepatah menconteng arang ke muka. Dalam kisah Hadis al-Ifki, nabi diuji dengan isteri baginda A'isyah R.A. Ketika A'isyah terlalu emosi dan jiwanya bergoncang dengan tekanan daripada tuduhan yang disebarkan, nabi memanggil Abu Bakr. Saidina Abu Bakr as-Siddiq selaku bapa mertua nabi diundang untuk menjadi hakim. Nabi meminta Abu Bakr mententeramkan anaknya. Apabila berhadapan dengan kedua-keduanya, A'isyah yang tertekan mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati nabi. Sahabat baginda yang terapat ini tidak sanggup membiarkan keadaan itu. Lantas di atas kapasitinya sebagai bapa, beliau merasakan haknya untuk mengajar A'isyah. Tangannya ringan singgah ke muka A'isyah. Kemudian baginda menegaskan, bukanlah maksud baginda memanggil Abu Bakr untuk menampar A'isyah. Kita lihat bagaimana pendidikan yang ditunujukkan oleh nabi kepada kita. Betapa dalam pendidikan, pendekatan psikologi yang bersifat membujuk lebih berkesan daripada kekerasan ke atas fizikal. Ingatlah wahai sahabatku, jika nanti anda menjadi seorang suami jangan tangani isteri dengan penampar. Jika anda seorang bapa @ ibu, jangan mudah-mudah menghadiahkan mereka (anak-anak) dengan tapak tangan di muka. Sepanjang saya membesar, muka yang dicium oleh ibu dan ayah tidak pernah menerima bekas tangan seorang ayah. Setegas-tegas seorang bapa, kami hanya menerima rotan sebagai bentuk denda fizikal.

1 Comments:

At 8:03 PG, Blogger saza said...

Tentu nanti anda bakal menjadi ayah dan suami mithali, insyaAllah...

 

Catat Ulasan

<< Home