Jumaat, Disember 02, 2005

Rancang ibadah haji anda




Dalam undian 'Target mengerjakan haji' yang dibuat, rata-rata ahli forum memilih 'Apabila sudah berkemampuan'. Penyedia poll menggariskan had-had umur tentu bagi pilihan. Fenomena seperti ini, menunjukkan ramai di antara kita yang tidak meletakkan matlamat dalam bentuk yang solid, diskrit pada masa. Mereka lebih gemar meletakkan garis panduan target yang samar-samar, tidak pasti bilakah waktu yang ideal untuk mencapai perkara tersebut. Membuat perancangan untuk menunaikan sesuatu perkara (lebih-lebih lagi yang melibatkan wang), haruslah mengikut jangkaan-jangkaan di 'luar' batas kemampuan segera. 'Luar' itu maknanya memerlukan nafas panjang dengan perancangan yang strategik, mengambil masa terkumpul yang lama dan panjang. Sikap manusia yang gopoh-gapah banyak merugikan. Jika hari ini, berniaga pulangan keuntungan yang berlipat kali ganda diharap diperoleh seawal setahun umur perniagaan. Akibatnya ramai peniaga yang gagal menerima keuntungan dalam margin yang kecil, sehingga melupakan lima tahun akan datang keuntungan yang besar itu mampu dicapai.

Justeru, kita perlu mendidik diri untuk menerima yang sedikit. Berdikit-dikit dengan sesuatu kebaikan, akhirnya bak kata orang, pasir halus yang disusun dalam acuan konkrit mampu berdiri dengan gah menjadi sebuah bangunan yang kukuh. Ibadah haji yang ditunaikan dan akan ditunaikan memerlukan wang yang banyak. Dalam merencang, apakah tabungan yang telah dibuat secara berkala dan istiqmah yang telah dibuat? Saya telah mengkaji perkara ini, ketika belajar saya menabung RM50 sebulan untuk keperluan ini. Apabila bekerja nilai itu bertambah menjadi RM100. Semasa akaun tabungan menjadi tanggungan bapa (9-18 tahun), beliau memasukkan RM5 setiap bulan. RM5 bagi seorang bapa seperti ayah saya sudah cukup besar, kerana kami semuanya seramai 8 orang (pada ketika tabungan itu dibuat). Maka dengan perancangan ini saya berharap (jika dipanjangkan umur) dapat menunaikan haji pada umur 40 tahun, semestinya bersama-sama isteri. Bagaimana pula dengan anda? Apakah perancangan anda untuk ibadah haji ini?

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home