Isnin, Disember 19, 2005

Cemerlang anak, cemerlang ibu bapa


Kecemerlangan hari ini biasanya ditakrifkan dengan pencapaian hebat dalam peperiksaan. Orientasi akademik yang lebih menjurus kepada peperiksaan telah menjadikan pelajar yang cerdik tetapi rendah nilai akhlak Islamnya. Justeru kecemerlangan itu haruslah disedari oleh ibu bapa sebagai seorang anak yang berjaya dalam bidang akademik dan pada waktu yang sama mempunyai syakhsiah yang terpuji. Cabaran dunia hari ini mengajak kita berfikir semula untuk menilai siapakah sebenarnya yang benar-benar cemerlang itu. Apakah dengan berjaya mencapai keunggulan dalam akademik, tetapi nilai agama dikesampingkan? Atau apakah dengan mempunyai budi perkerti yang baik, akhlak Islam yang murni tetapi kurang berjaya dalam lapangan ilmu? Kita tidak mahu kedua-duanya, kedudukan yang terbaik adalah mempunyai kelebihan dalam kedua-duanya, baik dan cemerlang dalam akademik juga syakhsiahnya.

Kalau kita lihat dan perhatikan, ibu bapa hari ini lebih resah dan gelisah sekiranya anak-anak tidak dihantar ke kelas tuisyen. Jarang kita mendengar ibu bapa menjadi susah hati sekiranya tidak dapat menghantar anak-anak untuk belajar al-Quran. Jarang kita mendengar ibu bapa menjadi risau jika anak-anak tidak pandai solat. Kita sering mendengar "Alaa...dia masih kecil lagi. Nanti bila besar tahulah dia untuk solat". Perkara ini harus disedari oleh ibu bapa agar anak-anak yang mewarisi kita menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Berbalik kepada persoalan 'Kecemerlangan Pelajar dan Peranan Ibu Bapa', kecemerlangan seorang anak semestinya bermula dari rumah. Suasana yang harmoni di rumah akan mempengaruhi jiwa dan mental anak-anak. Sebab itu kita lihat kebanyakan kes juvana yang berlaku berpunca daripada kepincangan institusi kekeluargaan. Ibu bapa bergaduh di hadapan anak-anak, ibu bapa mengabaikan tuntutan agama dalam kehidupan, ibu bapa sibuk mengejar kerjaya sehingga mengabaikan perhatian kepada anak-anak dan sebagainya. 80% daripada kes juvana yang berlaku disebabkan runtuhnya sistem dalam institusi kekeluargaan Islam. Sebagai ibu bapa kita mesti faham bahawa anak-anak yang masih mentah dan tidak matang mudah dipengaruhi oleh anasir buruk. Sekiranya ibu bapa tidak memberi perhatian kepadanya, mengabaikan asuhan dan didikan agama, maka sudah pasti anak-anak mudah terjebak dalam arus kerosakan. Kita tidak nafikan, ada juga kes pendidikan agama yang secukupnya telah diberi namun anak yang membesar akhirnya menjadi rosak. Hal ini bukanlah alasan untuk kita tidak menjalankan usaha mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berguna.

Sebelum kita pergi jauh, saya ingin memecahkan sedikit mentaliti ibu bapa hari ini. Kadang-kadang ibu bapa amat pesimis, terlalu rasa rendah diri dan tidak berani untuk menjadi pendorong kepada anak-anak. Jarang sekali di kalangan ibu bapa yang menemani anak-anak ketika melakukan kerja rumahnya kerana bimbang akan ditanya oleh anak-anak soalan yang tidak difahaminya. Lebih-lebih lagi apabila mata pelajaran Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris. Perkara ini sebenarnya suatu kesilapan yang tidak disengajakan. Aspek psikologi anak-anak sebenarnya akan berkembang dan digerakkan apabila anak-anak merasakan kasih sayang yang dicurahkan melalui perhatian daripada ibu bapa. Buatlah apa sahaja di samping anak-anak yang sedang melakukan kerja rumahnya atau mengulangkaji pelajarannya. Sekurang-kurangnya apabila kita menemani mereka belajar, mereka rasa bertuah kerana kita mengambil berat tentang perkembangan pelajaran mereka. Selain itu, setiap kali pulang dari sekolah, kita jarang juga bertanya kepada anak-anak apakah yang dipelajari hari ini, berapa markah ujian yang diperoleh, bila peperiksaan, ada kelas tambahan atau tidak? Ruang yang paling baik untuk membincangkan perkara ini dalam suasana yang biasa dan santai iaitu ketika makan tengah hari atau makan malam.

Perkara yang hendak ditekankan di sini ialah tugas bapa bukan sekadar menyediakan wang untuk membeli peralatan pembelajaran anak-anak semata-mata.

Artikel ini adalah sebahagian daripada kertas kerja yang disediakan dalam Seminar Penasihatan kekeluargaan Bestari 2, 2005.

“Alangkah bertuahnya anak-anak, rasa dihargai dan disayangi sekiranya ibunya memuji tulisannya yang cantik. Biar pun kita tidak pandai untuk mengajar mereka untuk menyelesaikan masalah pelajaran.” – Ust. Ellias Hj. Zakaria (Ceramah Motivasi untuk Ibu bapa: Sibuk, di mana tanggungjawab ibu bapa? – 17 Dis 2005)


1 Comments:

At 7:24 PG, Blogger saza said...

Good evaluation....keep it up..

 

Catat Ulasan

<< Home