Sabtu, Disember 03, 2005

Jalan-jalan dalam hutan


Hobi yang sukar dan mencabar, tetapi seronok apabila melaluinya. Semestinya bagi saya adalah 'jungle tracking'. Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, sekurang-kurangnya sekali setahun penulis pasti menyertai aktiviti yang mencabar ini. Perjalanan menjejak lorong-lorong kecil di hutan, dengan nyanyian uggas dan kepelbagaian floranya amat mengasyikkan. Kaki yang melangkah pasti tidak terlepas daripada perhatian pacat-pacat yang laparkan darah. Bagi penulis, perjalanan seumpama ini tidak perlu dirisaukan sangat kerata secara purata hanya dua ekor pacat yang berjaya hinggap dan kenyang dengan darah. Mungkin darah penulis ini 'tawar' dan mungkin juga pacat 'kesian' kepada penulis yang seperti tidak berapa ada darah.

Sebelum melangkah jauh, terlebih dahulu penulis doa. Doa yang diambil daripada al-Quran untuk melindung diri daripada gangguan haiwan yang melata. Maksud doa daripada ayat al-Quran itu bermaksud, "Tuhan, aku memohon perlindunganmu daripada kejahatan haiwan yang melata (melainkan) engkaulah yang memegang ubun-ubun mereka. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus. Doa berbunyi dari "Rabbi a'uudzubika min syarri kulli daab-batin anta aakhidzun bina-shiyatiha inna rabbi 'ala shiroothin mustaqiim." Doa ini disandarkan kepada ayat 56 surah Hud.



  • Boleh juga dibacakan terus ayat ini sebagai doa, sekiranya anda tidak mahu menggunakan doa yang dicadangkan di sini. Ayat ini juga perlu diamalkan ketika bermusaffir seorang diri ke tempat asing, supaya tidak diganggu oleh kejahatan manusia dan tidak disesatkan dalam perjalanan. Tidakkah Allah berfirman, "sesungguhnya dijadikan setiap haiwan itu (daab-batin) daripada air. Sebahagiannya menjalar dengan perut, sebahagiannya berkaki dua, dan sebahagiannya berkaki empat..." (ayat 45: An-Nuur). Kalimah 'daab-bah' terdapat dalam empat belas ayat di dalam al-Quran.

    Hutan yang lembap menjadi habitat semula jadi pacat. Apabila menghisap darah, pacat mengeluarkan enzim yang dapat membekukan darah. Enzim inilah yang membantu kadar pengeringan darah dan tahap kesembuhan akibat kesan gigitan pacat. Jika anda mendapati seekor pacat kekenyangan, cabut pacat tersebut dan biarkan sahaja tempat belalainya bertapak tanpa dikesat terlebih dahulu. Jika dikesat, kesan pembekuan menjadi lambat dan berkemungkinan bahagian yang digigit lambat sembuh (dan berkudis). Apabila digigit pacat, anda sebenarnya bertuah. Pacat mengeluarkan darah kotor yang terdapat dalam badan, maka tidak hairan jika pakar perubatan menggunakan ahli keluarga pacat alias lintah dalam pembedahan. Lintah juga digunakan bagi tujuan berbekam pada ketika ini.

    Perjalanan aktiviti penulis pada kali terakhir amat berguna. Sebagai menutup tirai tahun 2005, ilmu tentang hutan semakin bertambah secara tidak formal. Kali terakhir membuat penjelajahan hutan, penulis dan peserta lain diajar serba sedikit ilmu kehutanan.

    Beberapa pantang larang di dalam hutan.

    1. Jangan tidur di laluan. Laluan yang digunakan oleh pengembara juga digunakan oleh makhluk lain seperti jin. Seorang penunjuk jalan menceritakan pengalaman beliau dialih oleh jin ketika tidur dalam kawasan laluan atau denai.

    2. Jangan bercakap perkara yang bukan-bukan di dalam hutan. Membuat bising dan terlalu bersuka-ria akan mengundang padah. Mungkin kehadiran anda dalam keadaan bising mengganggu hidupan lain di alam ghaib.

    3. Jika membuang air, jangan membuang di kawasan lidah jin. Kawasan air sungai yang berpusar seperti bentuk Ying Yang, iaitu air di antara dua permatang.

    4. Jangan membuang air di dalam lubang-lubang yang sedia ada sama ada di tanah atau di pokok. Lubang ini merupakan tempat tinggal haiwan berbisa atau jin.

    5. Tidak digalakkan tidur di tepi sungai yang mempunyai aliran air yang kuat. Bunyi air yang kuat mungkin menyebabkan kita tidak menyedari kehadiran binatang buas. Jika tentera, mereka tidak berkhemah di kawasan ini kerana mengganggu perhatian mereka terhadap pergerakan musuh.

    Ilmu perubatan daripada khazanah hutan.

    1. Kulit kijang - merawat buasir.
    Kulit kijang yang diawet menggunakan garam, dijemur sehingga kering. Carikan juga putik kelapa yang masih merah, dan dikeringkan. Kedua-dua bahan ini dibakar sehingga menjadi arang, debu arang dibungkus dengan kain. Rendam bungkusan di dalam air dan airnya diperah. Minum air tersebut sebanyak tiga kali, insyaAllah penyakit buasir akan sembuh.

    2. Hempedu beruang- merawat darah beku, membuang darah kotor.
    Beruang merupakan haiwan paling lasak di dalam hutan. Memakan madu sejak kecil, sehingga kepalanya seperti topi keledar - kalis peluru. Jika terjun daripada pokok tinggi ia tidak mengalami kecedaran serius seperti patah atau pendarahan dalaman. Hempedu beruang dicampur dengan beras pulut dan dimasak. Menurut pemandu arah kami, ubat itu dijual dengan harga RM5 bagi setiap biji beras pulut yang bersalut hempedu beruang. Ia amat mujarab untuk mencairkan darah beku dan membuang darah kotor dari badan.

    Hanya dua perkara ini sahaja yang sempat dicoretkan oleh penulis sebagai catatan dalam pengembaraan terakhir pada tahun ini.

    0 Comments:

    Catat Ulasan

    << Home