Sabtu, Disember 03, 2005

Sebuah dedikasi sempena Hari Warga Staf


Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana berjaya menyatukan hati-hati kita bagi menjayakan Hari Keluarga USM 2005 ini. Selawat dan salam buat junjungan kita Nabi Muhamamad S.A.W.

Kita rasa bertuah kerana diberi kesempatan untuk bersama-sama menghayati kebersamaan dalam gerak kerja bagi memastikan kecemerlangan universiti yang tercinta. Mudah-mudahan perhimpunan ini dicatat sebagai antara amal ibadah kita kepada Allah, InsyaAllah.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih dipanjang umur untuk mengerjakan ibadah kepada-Nya. Seperti mana yang kita maklum, ibadah dalam Islam terbahagi kepada dua, iaitu ibadah khusus dan umum. Ibadah khusus merupakan tanggungjawab terus kepada Allah seperti solat, puasa, zakat dan haji. Ia menjadi tunggak kejayaan dalam melengkapkan keperibadian diri sebagai muslim. Manakala ibadah umum pula bersifat hubungan manusia sesama manusia dan makhluk lain. Skopnya lebih luas dan mencakupi pelbagai lapangan kehidupan seperti kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, berorganisasi, dan bernegara. Ibadah umum melibatkan setiap individu muslim yang memainkan peranannya sama ada sebagai bapa, ibu, anak, majikan, pekerja, pemimpin, pengikut dan sebagainya. Setiap daripada kita yang ada di sini mungkin memegang lebih daripada satu watak yang disebutkan di atas, tanggungjawab juga bertambah besar apabila lebih banyak watak yang dipegang.

Dalam konteks sebagai warga staf, sudah tentulah konsep berkerja sebagai ibadah harus difahami dan dihayati dengan bersugguh-sungguh. Kerja sebagai ibadah ialah satu tuntutan kehidupan yang akan mendorong manusia mengecap kebahagiaan di dunia mahu pun akhirat. Pelbagai pendekatan digunakan bagi melahirkan pekerja yang cemerlang dirangka oleh pihak pengurusan sesebuah organisasi. Antaranya menyediakan latihan-latihan intensif, kursus induksi, kem motivasi, latihan dalam kerja, anugerah tahunan organisasi, serta aktiviti luar seperti rekreasi, sukan dan hari keluarga.Semua peluang yang disediakan ini menuntut kebijaksanaan kita bagi membahagikan masa kerana semestinya mengalih perhatian kita daripada tugas utama sebagai pekerja. Mengimbangi keperluan kerja utama dan aktiviti lain yang melibatkan organisasi induk yang lebih besar adalah agenda yang tidak boleh dikesampingkan. Maka setiap warga kerja mesti memiliki sifat-sifat dan sikap pekerja yang dinamik. Mesra, mudah berurusan, perhubungan (public relation) yang baik, disiplin, komitmen yang tinggi, kesetiaan, jujur dalam menunaikan amanah adalah contoh-contoh nilai positif yang harus ada dalam diri pekerja. Berkerjalah seolah-olah kita merasakan tidak ada kehidupan tanpa melakukan pekerjaan itu. Dalam hal ini, suka saya bawakan ayat al-Quran yang kita baca yang bermaksud "dan katakanlah (wahai Muhammad) beramallah (berkerjalah) kamu, maka Allah, rasul-rasul dan orang-orang beriman akan memerhatikan perbuatan kamu..." (At-Taubah:)

Ayat ini memberitahu kita bahawa dalam melakukan apa jua pekerjaan, niat dan tujuan mestilah betul, ikhlas kerana Allah semata-mata. Natijah yang baik daripada perbuatan kita hanya dilihat dan dinilai oleh Allah, rasul dan orang-orang yang beriman. Hal ini bermakna tidak bermakna perkara yang baik tetapi kurang mendapat perhatian, sokongan padu daripada orang lain merupakan perkara yang sia-sia untuk dilaksanakan. Al-Quran mengajar kita supaya mengikhlaskan diri dalam semua perkara dan menunaikan amanah dengan jujur. Bertitik tolak daripada dua perkara ini, akan mewujudkan warga kerja yang berkualiti, cemerlang, memiliki pemikiran luar biasa (think out of the box), mempunyai rasa hormat yang tinggi, dan boleh memberi kerjasama sepenuhnya dalam mencapai objektif jabatan atau organisasi. Pakar pengurusan iaitu Stephen Covey yang menulis buku Tujuh Tabiat Orang yang Berjaya memberi tips tajamkan gergaji. Tips ini diberi sebagai peransang bagi mewujudkan warga kerja yang sentiasa mahu terkehadapan. Ini bermakna konsep berkerjalah kamu yang disebut dalam al-Quran adalah asas kepada semangat kerja yang berterusan, tanpa memikirkan sama ada memenuhi kepentingan peribadi tertentu atau sebaliknya, tanpa mengenepikan kepentingan organisasi yang lebih kolektif. Pakar itu juga mengatakan bahawa sikap sentiasa ingin belajar sesuatu yang baru, rajin bertanya, suka menghulurkan bantuan sama ada idea atau tenaga perlu ada bagi memastikan diri kita berfungsi di dalam sesebuah organisasi.

Membangun organisasi umpama berdiri tegaknya sebuah bangunan, anggaplah setiap daripada kita merupakan batu bata kecil digunakan dalam strukutur bangunan. Hilang satu bata, bermakna catat struktur keseluruhan bangunan. Retak satu bata, bermakna akan retak berpuluh-puluh lagi ikatan bata yang lain. Mewujudkan kebersamaan dalam tindakan ke arah mencapai matlamat organisasi perlulah dijana melalui kekuatan kerjasama di kalangan warga kerja. Unit-unit kecil yang memainkan peranan sebagai suborganisasi harus memahami kehendak organisasi secara kolektif, mewujudkan rangkaian dan persefahaman yang baik, dan kerjasama yang erat.
"dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan, dan jangan kamu tolong-menolong dalam hal kejahatan dan permusuhan" (al-Maidah:3)
Kita mempunyai peranan sendiri dalam jabatan-jabatan kecil yang bernaung di bawah nama universiti. Maka sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dan pangkat harus berkerjasama ke arah mencapai misi dan visi universiti. Soal perbezaan identiti ras (bangsa), taraf ekonomi, atau tahap pendidikan harus diketepikan. Dalam hal ini, junjungan besar kita Muhammad S.A.W berbunyi


"Tidak ada kelebihan seorang Arab dengan orang 'Ajam (bangsa asing) melainkan taqwa kepada Allah" atau


"Manusia itu sama taraf, sama seperti ratanya sikat. Tidak ada kelebihan bangsa Arab ke atas bangsa asing melainkan taqwa kepada Allah" (au-kama-qol)

Natijah daripada kerjasama.

Kesatuan hati dan pemikiran amat penting kepada kita dalam menjayakan sebuah misi universiti. Terdapat beberapa kebaikan atau natijah yang positif daripada kerjasama setiap warga kerja. Pertama mewujudkan sebuah organisasi yang dihormati, yang dapat melahirkan pekerja yang baik. Individu yang dihormati dan menghormati pula pihak lain berurusan dengan rapat terutama mahasiswa akan menghasilkan graduan yang baik. Organisasi yang berkesan diurus dengan tidak wujudnya karenah birokrasi sehingga menyusahkan orang-orang yang berurusan dengannya. Sesuai dengan seruan, (Yassiruu wala tu'assiruu)

"Permudahkan dan jangan menyusahkan"

Kedua, masyarakat di sekitar dapat merasakan keberadaan kita di dalam sebuah institusi yang disegani tahap keilmuannya. Peranan organisasi memberi kesan kepada kelangsungan ummah seperti memasyarakatkan universiti ke arah membina hubungan yang erat di antara universiti dan masyarakat setempat. Gagasan idea pembangunan ummah yang unggul boleh dimulakan dari sebuah universiti dengan membangunkan nilai insan setiap individu di dalam daerah universiti, seterusnya meresap masuk ke dalam minda masyarakat. Alangkah malang sekiranya kewujudan kita tidak memberi kesan yang positif dalam perkembangan tamadun bangsa komuniti yang tinggal berhampiran universiti. Secara umum, universiti memainkan peranan ke arah pembangunan nusa yang memberi kesan-kesan positif dalam bidang sosiologi, ekonomi, budaya dan keilmuan sebuah negara.

Ketiga (yang terakhir untuk dinyatakan di sini), dengan kerjasama dapat melahirkan warga kerja akan menghargai organisasi, setia dan gigih bekerja untuk memajukan organisasi. Hal ini bersesuaian dengan tema Hari Keluarga Warga Staf USM 2005, 'Universitiku Rumahku'.

Sekian.

Ucapan ini disediakan untuk ucapan Pen. Peng. Pusat Islam sempena menyambut Hari Keluarga Warga Staf USM 2005.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home