Selasa, Disember 06, 2005

Cuti sekolah


Cuti sekolah merupakan masa yang paling banyak bagi anak-anak menghabiskan masa di rumah. Semestinya anak-anak tidak terlalu sibuk berkejar ke sana-sini bagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Pun begitu, perancangan yang rapi perlu dibuat bagi memastikan anak-anak tidak membazirkan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam hal ini, campur tangan ibu bapa bagi menentukan pengisian cuti sekolah anak-anak amat bermakna untuk kelangsungan diri mereka sebagai pelajar.
Bagi anak-anak yang akan menjadi calon peperiksaan penting (UPSR, PMR, SPM, STPM) pada sesi persekolahan tahun hadapan, persediaan awal harus dibuat. Masa depan anak-anak pada masa hadapan bermula dari sekarang. Cuti bukan bermakna menutup buku untuk sementara waktu dan melupakan alam persekolahan sepanjang masa tersebut. Pengisian ini boleh dibuat dengan memastikan anak-anak membuat latih tubi secara bersendirian atau bersama rakan-rakan yang lain. Latih tubi ini amat penting supaya mereka tidak lupa dengan ilmu yang telah dipelajari, di samping memberikan kekuatan kepada mereka membiasakan diri dengan jenis soalan peperiksaan.
Bagi ibu bapa, inilah juga peluang untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam diri anak-anak. Pembelajaran subjek Sains dan Matematik merupakan cabaran dalam medan pendidikan kerana anak-anak terpaksa menguasai bahasa ini. Kelas-kelas intensif untuk bahasa ini boleh menjadi alternatif kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak. Jika ibu bapa berkemampuan mengajar sendiri, langkah itu lebih baik dan menjimatkan wang. Kita perlu menyedari bahawa persaingan dalam medan ilmu dibezakan oleh tahap penguasaan ilmu seperti mana yang difirmankan Allah

Mafhumnya: “Dan apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Dan sesungguhnya orang yang mengambil peringatan itu adalah orang yang berilmu” (Az-Zumar:9)

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home