Selasa, Disember 20, 2005

Kesempitan dan peluang



Ketika mengendalikan sesi latihan dalam kumpulan (LDK) yang digelar Selari Sains, kami membuat modul membaling telur. Pada awal-awal perbentangan modul, langsung tidak terfikir olehku bagaimana mungkin sebiji telur yang dilepaskan dari aras satu, dua, tiga dan seterusnya boleh berkeadaan selamat apabila jatuh ke tanah. Semua peserta diberikan hanya sebiji telur, mereka dikehendaki membalingnya dari aras pertama bangunan empat tingkat dengan syarat telur itu masih selamat. Kriteria selamat yang dipiawaikan tentunya tidak mengalami keretakan atau pecah.

LDK ini telah dijalankan di blok bangunan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, USM Kejuruteraan. Peserta kem diberi masa 30 minit untuk memikirkan cara, mencari bahan-bahan bantu yang lain bagi memenuhi syarat yang ditetapkan dalam modul ini. Setelah melihat sendiri penyelesaian yang dikemukakan oleh peserta-peserta, sedarlah saya bahawa; dalam kekurangan ada peluang. Kreativiti peserta terserlah dengan kesungguhan yang tiada bandingnya. Mereka mencari apa sahaja bahan terbuang seperti plastik, botol, kertas, tali, kain buruk, span, stoking dan kotak untuk melindungi telur yang dibaling.

Terdapat beberapa metod yang digunakan seperti membungkus telur dengan kertas dalam keadaan hentakan dikurangkan. Lebih hebat lagi, ada yang berjaya membuat payung terjun menggunakan plastik sampah, botol dan belon. Setelah selesai acara permainan baling telur, hanya lima biji telur yang pecah akibat sistem pertahanan yang tidak mantap. Semua kumpulan (18 kumpulan) yang lain berjaya memenuhi standard keselamatan yang diberikan oleh fasilitator. (Catatan: Kumpulan PMR digabungkan sehingga jumlah kumpulan dikecilkan kepada tujuh kumpulan. Jumlah kumpulan yang dibentuk dalam kem ini: 31)

Sedarlah, dalam kekurangan ada ruang dan peluang untuk manusia mengubah keadaan. Kreativiti dan daya usaha hanya datang dengan penghayatan yang sesungguhnya apabila manusia berada dalam kesempitan, dengan syarat ada kemahuan untuk mengubah keadaan itu. Orang yang pesimis terhadap dugaan dan cabaran hidup adalah manusia yang gagal sebelum berjuang. Mereka lebih suka mengalah tanpa berikhtiar dengan baik, sehingga menganggap kononnya itulah takdir buatnya. Akhirnya dia menyalahkan takdir, sedangkan dirinya merupakan penyebab utama kepada keadaan yang buruk itu. Tidak semua yang susah, sukar dan memeritkan akan berakhir dengan tragedi atau natijah yang buruk jika kita berusaha untuk mengubahnya. Berusaha dengan bersungguh, dan bertawakkal kepadanya. “Dan menjadi haq bagi Kami (Allah) menolong orang-orang yang beriman” (Ar-Ruum:47)

Kesimpulan: Tangani masalah kehidupan anda dengan positif, jangan melihat masalah atau musibah sebagai perkara yang negatif. Ingatlah, setiap manusia yang beriman diberi taklifan yang layak dan mampu ditanggungnya (rujuk ayat 286: al-Baqarah).

* Gambar menunjukkan hasil kreativiti peserta melepaskan telur dari aras 3. Telur dijatuhkan seperti aksi penerjun yang menggunakan payung terjun.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home