Jadikan kerja sebagai TANGGUNGJAWAB
Baru sahaja dua minggu berkerja di bahagian pembuatan sebagai jurutera pembuatan, dia telah berfikir untuk berhenti! Fenomena yang mengejutkan kebanyakan daripada kita, apabila sudah mendapat kerja, tiba-tiba memilih untuk berhenti. Ampun maaf buat sahabat-sahabatku jika perkara ini ‘terkena’ pada diri anda. Bidang kejuruteraan adalah bidang yang mencabar, seorang jurutera dikatakan ‘tiada masa untuk kehidupan’ kerana kehendak industri sememangnya berorientasikan keuntungan yang optima. Kekangan masa dan kesibukan melampau itu sudah menjadi asam garam kehidupan jurutera. Terbaru beberapa orang sahabatku yang sudah berkerja sebagai jurutera di kilang pembuatan memilih untuk menyambung pelajaran dengan alasan ‘tiada kehidupan’ apabila menceburkan diri dalam kerjaya sebagai jurutera.
Teringat saya pada ketika menghadiri Latihan Industri tahun lepas, penyelia mengatakan bahawa ‘kerahan tenaga’ yang diberi semasa latihan adalah 10% daripada keperluan sebenar tekanan kerja apabila anda diterima masuk dalam firma. Kesibukan ini tidak mengambil kira sama ada menjadi ahli pasukan kerja di bahagian pengurusan, jabatan kejuruteraan, bahagian pembuatan, servis dan maintainence, atau lain-lain. Takkanlah budaya dan suasana kerja sama seperti budaya belajar yang lebih santai dan selesa. Tidakkah semasa berkerja, gaji yang dibayar juga tinggi? Paling tidak pun RM1800. Dan jika anda bertuah lagi, gaji yang ditawarkan adalah RM2200 – RM2500. Seorang sahabat saya yang sedang menjalani latihan pengurusan dalam firma konsultan bahagian kejuruteraan dibayar RM2200 sebagai gaji bulanannya. Jangan pula anda menempelak, “mentang-mentanglah belum berada dalam industri” kepadaku. Aku akan menyusul selepas ini tidak berapa lama lagi insyaAllah.
Saya teringat pada kata-kata Allahyarham Hashim Harun, bekas pengarah BPR pertama yang juga pernah menjadi orang penting dalam UIAM, “Saya dapat menjalankan banyak tugas kerana saya cukup ‘bernafsu’ untuk berkerja”. Kerja yang dijadikan sebagai tanggungjawab dan amanah akan menjadikan seseorang sentiasa bersemangat untuk menghadapi kesukaran dalam kerjaya. Ada juga orang berkerja kerana memang ‘gila’ kerja; “Do everything by no means”. Kadang-kadang konsep kerja sebegini ada bahayanya, mengapa? Mungkin sikapnya itu menyebabkan dia menjadi seolah-olah’ lebih sudu dari kuah’ atau menjalankan fungsi/tugas yang tidak sepatutnya dibuat olehnya. Perkara ini tidak akan terjadi sekiranya seseorang yang berkerja sentiasa fokus kepada skop kerja yang diberikan kepadanya.
Akhir sekali, ingin saya ingatkan kepada anda semua bahawa dalam dunia hari ini kita tidak harus terlalu mencari kerja yang mudah dan rileks (dalam konteks bidang kerja di syarikat swasta yang berkait rapat dengan pengilangan produk atau perkhidmatan profesional), jika anda mahukan kehidupan yang bebas dari kekangan itu, jadilah bos untuk diri sendiri.
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home