Sabtu, Julai 16, 2005

Utamakan keperluan melebihi kehendak


Seseorang yang telah berkerjaya atau masih dalam alam pembelajaran kadang-kala memerlukan sedikit kelebihan dalam perbelanjaannya. Keperluan kewangan ini bergantung kepada cara dan gaya perancangan kewangan yang dingini. Ada pelbagai cara yang dibuat oleh kedua-dua golongan ini untuk mendapat wang sampingan seperti melaburkan wang dalam Akaun Pelaburan Am (GIA), jual beli saham atau melibatkan diri dalam perniagaan pelbagai aras (MLM). Dalam ketiga-ketiga cara yang disebutkan ini, GIA memerlukan seseorang pelabur menyediakan sejumlah wang untuk disimpan dan dikehendaki menetapkan tempoh matang. Wang yang dilaburkan tidak boleh dituntut sebelum tempoh matang, maknanya apabila matang dia akan memperoleh pulangan berupa wang asal yang dilaburkan serta keuntungan yang dikongsi pada kadar yang dipersetujui dengan pihak bank. GIA boleh dibuat di mana-mana bank seperti Bank Islam, Bank Muamalat dan Bank Rakyat. Saya menyatakan tiga bank ini sahaja kerana tinjauan yang dibuat meliputi produk pelaburan Islam yang ditawarkan oleh mereka. Hasil daripada kajian perbandingan yang dibuat, saya mendapati Bank Rakyat menawarkan pakej perkongsian untung rugi yang paling memberangsangkan. Pakej ini semestinya kerana kadar yang lebih tinggi dan menarik berbanding bank lain.

Alternatif kedua pula iaitu jual beli saham melalui pembelian saham syarikat senaraian awam melalui IPO yang dikeluarkan oleh syarikat. Kaedah ini mempunyai risiko tersendiri kerana sebelum membeli saham seseorang dimestikan memahami dan mengetahui prospek pernigaan syarikat. Blok-blok saham yang ditawarkan biasanya secara pukal iaitu satu blok mewakili seribu unit saham. Jika saham yang ditawarkan berharga 10 sen sesaham, maka satu blok berharga RM100. Untuk membeli saham seseorang perlu bersedia menghadapi risiko untung rugi daripada pelaburan yang dibuat. Mempunyai sejumlah wang yang banyak (mana ada orang beli saham setakat saru blok sahaja?) juga tidak bererti jika anda tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang jual beli saham. Percayakah anda? Seseorang yang ‘bermain’ saham sebenarnya menjadikan broker saham lebih kaya jika dia menyerahkan urusan jual beli sahamnya menggunakan khidmat broker saham. Jika dia mendapat untung, jumlah keuntungan yang diperoleh hanya 40% dari jumlah keuntungan sebenar.

Akhir sekali, cara yang paling popular dan paling banyak disertai oleh kebanyakan daripada kita iaitu MLM. Rekod KDNHEP sehingga April 2004 menunjukkan sebanyak 489 syarikat jualan langsung yang berlesen, 291 adalah MLM. Bidang pernigaan ini mempunyai pulangan (turnover) yang begitu tinggi. Setiap tahun ada sahaja pertambahan entiti baru dalam perniagaan MLM ini. Jika anda seorang perempuan, anda tentu biasa mendengar pelbagai jenama MLM yang berkaitan dengan kosmetik atau barangan kemas. Pernahkah anda mendengar Bio Sirih Cosmetic? Jika ditanya kepada saya apakah syarikat MLM yang Islamik dan terjamin kualitinya? Walaupun saya tidak melibatkan diri dalam perniagaan ini, saya suka mengesyorkan kepada anda tentangnya. Setahu saya, syarikat ini mengeluarkan produk penjagaan diri untuk wanita yang menggunakan unsur aromaterapi. Aromaterapi adalah rawatan yang berasaskan bau bagi menggalakkan kesegaran minda apabila menggunakannya. Bio Sirih hanya sesuai untuk perempuan sahaja, iklan Bio Sirih boleh dilihat dalam majalah ANIS (kerana saya biasa jumpa dalam majalah ini sahaja). Bio Sirih adalah produk sebuah syarikat yang didaftarkan sebagai pengilang produk HALAL Malaysia.

Apa pun kata orang, nak cari duit sampingan untuk menampung perbelanjaan atau memenuhi kehendak dalam hidup mestilah dibuat mengikut batasan agama. Jangan kerana terlalu ingin mendapat wang, kita mengabaikan soal halal haramnya. Perbelanjaan hendaklah dirancang supaya kita berbelanja mengikut kemampuan kewangan, membeli keperluan hidup bukan kehendak hidup. Keperluan dan kehendak adalah dua perkara yang berbeza, keperluan ibarat melengkapkan kehidupan dengannya. Sebaliknya kehendak boleh jadi penting atau tidak, jika penting ia sebenarnya telah melangkaui keperluan kita (beyond our needed). Selamat merancang kewangan, berbelanjalah dengan berhemah supaya anda tidak menjadi seperti seorang yang ‘biar papa asal bergaya’ kerana ia adalah sikap hipokrit dan menyusahkan hidup anda.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home