Sabtu, Disember 03, 2005

Darah muda


Jiwa muda, darah muda! Begitulah perkataan yang sinonim ditujukan kepada orang muda. Ketika muda, semangat berkobar-kobar. Ketika muda belia, semangat melakukan sesuatu sentiasa tinggi. Tidak salah mempunyai semangat juang yang tinggi, tetapi hendaklah disertai kefahaman, ilmu dan penghayatan prinsip serta nilainya. Tindak tanduk orang muda haruslah rasional dan berjejak, tidak terlalu melulu sehingga menyusahkan orang lain.

Bercakap soal penghayatan prinsip dan nilainya, teringat saya kepada gelodak darah muda yang mengalir dalam diri sendiri. Pernahkan anda mengalami keadaan ini? Ketika berada di jalan raya, saya kadang-kadang tidak sedar dengan sikap memandu laju. Peliknya apabila menjadi pembonceng, saya rasa amat bimbang dengan 'kegilaan' gaya pemanduan sesetengah sahabat. Ketika melanggar peraturan kecil di jalan raya, saya kadang-kadang tidak berasa bersalah. Apabila terdapat orang lain yang melakukannya, terasa pula bengangnya. Hati kecil pasti mengatakan itu salah!

Prinsip dan nilai (P&N) yang semakin hilang penghayatannya menjadikan kebanyakan daripada kemalangan di jalan raya. P&N membentuk sikap dan tindakan kita. Hal ini menjadi titik tolak kepada semua aktiviti yang dibuat. Justeru teroponglah diri sendiri dahulu sebelum kita 'meneropong' diri orang lain. Saya masih ingat moto Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), 'Membantu memperbaiki diri untuk memperbaiki orang lain', Konsep ini telah lama ditunjukkan oleh nabi. Inilah yang dikatakan dakwah bi al-hal iaitu menunjukkan teladan yang baik untuk ditiru.

Namun kerana rasional juga, orang-orang muda yang bersemangat sering dilabelkan oleh golongan berumur sebagai tidak bijak. Maklumlah orang-orang tua mahukan pendekatan lama yang tidak perlu diubah. Minda dan persepsi mereka kadang-kadang amat tegar untuk dilenturkan kerana merasakan mereka terlebih dahulu makan garam. Pengalaman yang mereka lalui menyebabkan sukar bagi mereka menerima pembaharuan dan pendekatan terkini yang perlu digagaskan bagi perkembangan belia. Justeru siapa yang perlu dipersalahkan? Darah muda orang muda atau pengalaman hidup golongan tua?

'Kegilaan' lain yang terdapat pada orang muda ialah mengharapkan natijah yang segera. Terdapat sebahagian daripada orang-orang yang berjiwa muda tidak sabar dengan demokrasi. Mereka mahukan pendekatan yang lebih radikal, sedangkan pendekatan itu tidak sesuai diamalkan di Malaysia. Malaysia pada pendapat saya masih mempunyai ruang-ruang diplomasi, walau saban tahun demokrasi yang dipersetujui bersama-sama merugikan pihak tertentu. Saya pernah ditanya tentang jemaah Islam yang radikal, pendekatan yang digunakan adalah berdasarkan latar belakang Indonesia. Itulah Hizbu at-Tahrir (HT), jemaah yang diwujudkan sebagai rasa tidak puas hati kepada PAS. Katanya PAS terlalu berlembut dengan mengikut rentak demokrasi berparlimen, Malaysia masih perlu mengamalkan konsep sederhana yang tidak memerlukan pertukaran kerajaan secara bersenjata.

Perlu diketahui, sebagai seorang yang cintakan Islam seseorang harus memahami beberapa tasawwur seperti Fiqh Harakah dan Fiqh Waqie. Maka mendepani massa seperti yang berlaku di Malaysia seharusnya mengikut lunas-lunas Fiqh Waqie yang sebenar. Lunas-lunas tersebut menunjukkan kepada kita secara praktikalnya umat Islam Malaysia boleh diikat hati dan pemikiran dengan pendidikan Islam. Usaha-usaha menarik minat mereka ke arah mencapai cita-cita mewujudkan masyarakat Islam dan pemerintahan yang Islamik masih boleh dilakukan dengan bebas. Tidak dinafikan terdapat juga sekatan-sekatan untuk menyuburkan perkara ini, fenomena yang biasa berlaku sejak zaman nabi lagi. Namun menggunakan kekerasan bukanlah cara yang terbaik kerana sudah pasti melibatkan kerugian nyawa, kerosakan harta, dan keadaan huru-hara.

Maka janganlah pula ada di kalangan golongan yang sedang bersemangat dalam HT ini menjadikan iltizam dan semangat juang mereka sebagai fitnah kepada gerakan Islam. Kita tidak mahu wujudnya pengganas baru di sebalik agama di Malaysia.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home