Jangan biarkan tragedi berulang
Tinggallah bumi Jordan, tinggallah bumi Timur, bumi yang subur dengan Islam sehingga kembang mewangi di gugusan Barat. Sejarah sudah tercipta. Ia berulang kerana pejuang kebenaran terus berjihad menghidupkan puntung-puntung bara Islam. Bosnia hari ini kami datang setelah seluruh bumimu lumpuh dan runtuh. Jangan salahkan Barat, jangan salahkan musuh tetapi salahkan salahkan diri sendiri. Runtuh iman, hilanglah segala-galanya. Itulah dirimu Bosnia. Tandus kedamaian, kontang kasih sayang, tersisih iman dan derhaka membara. Sedarilah. Insaflah. Mulakan semula jalan yang dipilih oleh para Rasul dan anbiya. Nescaya engkau akan berjaya. Bosnia! [1]
Demikian coretan rasa dan citra nusa yang digarap dengan baik oleh Abu Hassan Morad dalam Natasya. Apakah suatu hari tidak mustahil, perkataan Bosnia bertukar menjadi Malaysia? Kita tidak mahu perkara yang buruk ini menimpa generasi mendatang. Kita memang tidak mahu tamadun bangsa kita ranap dan dihenyak oleh musuh sedemikian rupa. Namun apakah kita boleh rasa aman dan selamat dengan kebobrokan masyarakat Malaysia yang ada hari ini? Apakah ada jaminan kita akan aman selama-lamanya dengan keadaan muda mudi Islam yang hanya pada namanya Islam tetapi sifar pegangan dan sensitiviti agamanya? Setiap remaja Islam merupakan generasi penerus ummah ini. Jika kita tidak memeinkan peranan memperkasa dan mempertahan jati diri Muslim dalam diri siapa lagi? Sejarah tragis Bosnia memang tidak dikehedaki oleh kita, malah tidak pernah terbayang oleh kita dek rasa aman dan selamat untuk selama-lamanya. Apakah persedian kita untuk mempertahan diri kita? Akidah kita? Iman kita? Agama kita? Ada orang yang skeptikal, kononnya aliran pendidikannya sekular, maka tidak menjadi tanggungjawabnya untuk agamanya.
Tahukah anda? Setiap penganut agama lain telah didoktrinkan dengan pemikiran bahawa mereka merupakan tentera-tentera dan duta bagi agama mereka? Mereka dengan bangga memperlihatkan identiti agama melalui pemakaian simbol sebagai syiar agama mereka. Saya pernah mengajar beberapa orang kanak-kanak Palestin, tinggal di bumi bertuah ini kerana bapa mereka menyambung pelajaran di peringkat ijazah kedoktoran di tempat saya menuntut ilmu. Bayangkan betapa hebatnya mereka, dalam usia baru meningkat remaja (belasan tahun) sudah ada kesedaran diri terhadap agama. Katanya, "Kami benci dan tidak suka meraikan hari Sabtu dan Ahad sebagai hari cuti. Mengapa kita tidak bercuti pada hari Jumaat?" Penulis teragak-agak juga menjawab persoalan ini. Memang hari Sabtu adalah hari suci bagi bani Israel, manakala hari Ahad adalah hari kemuliaan orang Kristian. Saya tidak pernah berjumpa dengan remaja-remaja Melayu Islam yang suka membincangkan perkara seperti ini yang menyentuh sensitiviti agama. Kebanyakan remaja kita hanyut dalam dunia remaja yang hanya sekali, seronok dengan kesenangan, lalai dengan budaya hedonisme, dan malang lagi terdapat remaja kita yang menjadi ensiklopedia artis!
Tanya diri kita, apakah aras dan tahap kepedulian kita untuk membangunkan agama Islam yang suci ini? Ayuh mulakan dari diri kita, jika bukan kita siapa lagi?
Nota kaki.
[1] Trilogi Abu Hassan Morad [Natasya, Julia dan Cinta Madinah], USPD (2005), ms. 111.
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home