Rabu, Disember 21, 2005

Judi SMS


Walaupun beberapa pihak mempertahankan bahawa peraduan ‘menguji minda’ yang disiarkan stesen televisyen tertentu pada awal pagi, tidak mempunyai unsur perjudian, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, tetap menegaskan ia adalah judi.

Harussani berkata, sebarang pertandingan membabitkan bayaran tertentu dan menyediakan wang ganjaran, adalah judi dan haram di sisi Islam. “Kalau kena bayar, ia ditakrif sebagai judi. Caj RM2 untuk setiap panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) menjadi kos yang perlu dibayar dan itu adalah judi. Kalau tiada hadiah, tidak mungkin orang akan membayar untuk masuk peraduan itu.

“Mereka (pihak tertentu) faham atau tidak takrif judi? Kalau tidak tahu, tanya... jangan main-main. Lagipun perkara ini sudah difatwakan Majlis Fatwa Kebangsaan, pertengahan tahun lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut pula enggan mengulas kerana menganggap penjelasannya mengenai isu itu baru-baru ini, sudah memadai.

Peraduan ‘menguji minda’ yang disiarkan pada awal pagi itu memerlukan penonton melengkapkan perkataan atau meneka gambar rajah dengan menghantar SMS atau membuat panggilan telefon pada talian yang tertera di kaca televisyen. Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM300 dan RM500 serta berpeluang mendapat wang tambahan sekiranya mampu menjawab soalan bonus, yang menawarkan hadiah RM10,000 bagi lima soalan.

Bantuan pembayang yang diberikan hos rancangan itu serta soalan yang agak senang mendorong ramai penonton terutama yang berjaga hingga awal pagi menyertai peraduan itu menerusi SMS dengan caj RM2 setiap SMS. Bagi panggilan telefon pula, pemanggil disyaratkan berusia 18 tahun ke atas dan setiap panggilan dicaj RM2, tidak kira sama ada mereka berjaya bercakap dengan hos acara itu atau sebaliknya. Amat jelas, peluang bercakap dengan hos bergantung kepada nasib kerana penganjur memiliki sistem sendiri untuk membolehkan suara pemanggil ke udara.

Rujukan

Saipul Adli Mohamad, Harian Metro, 8 Disember 2005.

Artikel di atas diedit daripada laporan akhbar yang dinyatakan. Anda juga boleh membaca jawapan Ust. Zaharuddin Abd. Rahman (JUDI SMS) dalam majalah I, Disember 2005, ms. 78.

2 Comments:

At 6:14 PG, Anonymous Tanpa Nama said...

Let's have ourself a very good Bola Tangkas play at JokerMM.com

 
At 12:04 PTG, Anonymous Tanpa Nama said...

merugikan duit sendiri....
sms mcm 2 mmg judi pun....

 

Catat Ulasan

<< Home