Jumaat, Disember 23, 2005

Kegembiraan semalam


Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Ilahi. Tahniah buat adinda Siti Nor Asiah Bt Isa[1], adikku yang keempat kerana berjaya meneruskan tradisi abang-abang dan kakak-kakak. Keputusan PMR yang baru diumumkan sekali lagi melonjakkan nama baik keluarga, tentunya ayahanda dan bonda orang yang sedang bergembira meraikan kejayaan itu. Apabila kejayaan itu menjadi tradisi keluarga, orang lain tentunya tidak hairan. Tiada siapa yang pelik dengannya, kerana sudah menjadi budaya cemerlang dengan pencapaian penuh semua A dalam subjek yang diambil. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan izinNYA jua setelah berusaha dengan gigih.

Kini fokus sedang beralih kepada adikku yang ketiga, bekas pelajar SESMA sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Terengganu. Apakah mungkin dia akan berjaya menyaingi pencapaian abangnya yang pernah mendapat tawaran belajar di luar negara? Belum pasti lagi, beliau baru sahaja berjaya menduduki temuduga untuk menyambung pelajaran di UTP. Semoga kejayaan yang bermakna juga menjadi miliknya yang menggunakan nama AKI. Masih segar dalam ingatan, menjadi kerabat SBP merupakan satu tuah buatnya. Sejak awal kemasukannya ke SESMA, aku sudah mengamanahkan pimpinan PUISMA untuk menjaganya. Mendidik dan memberi ruang kepadanya supaya apabila berada di kalangan senior SESMA, dia akan menjadi orang kuat PUISMA. PUISMA merupakan badan kerohanian pelajar yang bergerak aktif di sekolah tersebut. Syukur, percaturan dan perancangan politiking ini menjadi. Dia merupakan produk SESMA yang juga hard core PUISMA. Terima kasih diucapkan buat bekas pimpinan PUISMA tahun 2001 kerana menjalankan amanahku dengan baik.

Apakah cerita ini tidak selayaknya berada di sini? Tidakkah kita perlu bercerita juga kegembiraan kita kepada orang lain? Tidakkah berkongsi cerita seperti ini menunjukkan kita menunjukkan rasa syukur kepadaNYA? Tunjukkan di mana dalilnya. Sila buka al-Quran dan baca surah Adh-Dhuha, lihatlah pertanyaan Allah dalam ayat terakhir itu. "Maka apakah dengan nikmat-nikmat Allah kamu menyebutnya?" Tetapi kadang-kadang, manusia lebih suka mengeluh dan menyebut sesuatu apabila ditimpa musibah. Inilah silap orang kita, apabila musibah melanda mudah dan lancar mulut menyebut "Aduh....tak sihat." Atau "Huhh...demam sikit." Jadi berpadalah kita dalam menghadapi musibah, ujian keimanan dari Allah buat hambaNYA. Sebab itu, kita dianjur berdoa seperti "Ya Allah, kami memohon keimanan yang menggembirakan hati kami. Dan kami memohon keyakinan yang mantap, sehingga kami tahu bahawa tidak ada musibah yang menimpa kami melainkan telah tertulis untuk kami. Dan jadikan kami orang yang redha dengan bahagian (kurniaan/musibah) yang Engkau berikan kepada kami."

Nota kaki
[1] Di bawahnya masih ada enam orang, seorang lelaki dan lima perempuan.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home