RFN - ANB - DEB Baru dan Keretapi di Terengganu
Jika dahulu mahupun ketika ini, saya sering dimomokkan oleh rakan-rakan dengan kereta lipan (mereka menyebut kereta lipang) kerana ketiadaan jajaran landasan keretapi di Terengganu. Sebagai orang Terengganu, apabila berpeluang menaiki keretapi, ia adalah suatu kenangan yang sangat bermakna. Saya masih teringat, pertama kali menaiki keretapi KTM pada ketika berusia 16 tahun. Pada tahun 1998, selepas selesai menghadiri Nadwah Kepimpinan di SM(A) Persekutuan Labu, Negeri Sembilan, saya mengikuti seorang sahabat ke Kuala Lumpur. Kami menaiki keretapi dari Seremban ke Kuala Lumpur, sememangnya saat itu merupakan dimensi baru dalam sejarah hidup. Memasukkan kad untuk mengakses fungsi pintu laluan automatik di terminal amat melucukan. Ketika memasukkan kad itu, saya menunggu kalau-kalau perlu diambil semula kad yang dimasukkan dalam mesin tersebut.
Semalam, kerajaan telah membentangkan kepada kita tentang Rancangan Fizikal Negara (RFN). Salah satu instrumen penting dalam RFN adalah pembangunan Bandar berterusan (continuous urbanization @ CONURBATION). Peta Malaysia dalam pembangunan mapan ini melakarkan satu lagi rangkaian pembangunan bandar berangkai bermula dari Georgetown, turun ke Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuantan. Sementara itu Kota Bharu, Kuala Terengganu, Ipoh, Melaka, Seremban, Shah Alam Alor Setar, Kangar menjadi Conurbation Perantara. Selain itu, pembinaan lebuh raya ekspress juga dirangka bagi menghubungkan semua bandar utama di Malaysia. Apa yang menarik dalam plan RFN ialah infrastruktur perhubungan ditingkatkan dengan lingkaran landasan keretapi secara menyeluruh merangkumi Kuala Terengganu. Jika plan RFN dilaksanakan, keretapi bukan lagi momokan untuk dipersendakan kepada rakyat Terengganu.
Hari ini, dalam rangka pembangunan negara menuju wawasan 2020, terdapat satu istilah baru dalam bidang pembangunan dan perancangan bandar iaitu CONURBATION. Istilah yang hebat-hebat dengan konsep pembangunan yang baik tidaklah memberi apa-apa makna kepada kita sekiranya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dihangatkan semula bagi menyunting penguasaan 30% dalam kek ekonomi Malaysia tidak dapat dicapai semula. Perkara yang penting selari dengan perkembangan fizikal ini ialah pembangunan insan. Insan yang terbina dan mempunyai nilai, integriti, kredibiliti, memimpin dan terpimpin, disegani, bersikap dan berfikiran glokal, dan paling penting sebagai Muslim merupakan individu Muslim yang menghayati kehidupan beragama. Mengapa perkara terakhir ini sering dilihat sebagai satu tembok penghalang kepada semua yang disebutkan di atas?
Sebenarnya minda dan pemikiran kita telah dikongkong dengan konsep salah mengenai pembangunan. Ada orang terlalu taksub dan ekstrem dengan pembangunan fizikal semata-mata. Akibatnya dunia kapitalis menjadi wadah perjuangan nilai kehidupannya. Apa sahaja yang boleh diolah mengikut orientasi keuntungan akan diolah dan diusahakan tanpa mengambil kira halal haramnya. Sebaliknya ada juga yang terlalu skeptikal dengan tidak menginginkan sedikit pendekatan yang lebih terbuka sehingga menolak pembangunan fizikal. Mereka berpendapat kemajuan adalah suatu yang asing sedangkan dalam Islam, sekiranya pembangunan itu berjalan di atas landasan yang terangkum di dalam had-had syar’ie, ia dibenarkan dan digalakkan. Saya tidak mengatakan kita mesti menjadi liberal dengan mengambil mudah dalam hal agama, tetapi sebaliknya menimbang segala sesuatu mengikut tasawwur Islam yang tepat. Hal ini memang agak sukar, inilah cabaran baru bagi kita yang mempunyai kesedaran beragama.
Spektrum baru dalam wadah pembangunan Malaysia menuju puncak negara maju 15 tahun lagi tidak juga berguna sekiranya generasi yang ada hari ini lebih banyak yang leka. Cuba fikirkan di manakah kita ketika ini? Apakah kita mempunyai paradigma yang basa-basi seperti orang kemabukan hiburan? Apakah kita ambil pusing dan memikirkan semula kesan siginifikan apabila Terengganu dan Kelantan terus diletakkan sebagai Conurbation Perantara? Cubalah anda lakarkan semula peta Malaysia dengan meletakkan jajaran empat Conurbation utama, dan fikirlah apa pula kesan jangka panjangnya kepada nasib rakyat Terengganu dan Kelantan atau di Perlis dan Kedah? Yang pasti, ia didiami populasi orang Melayu yang teramai. Apakah ini akan menyemarakkan lagi perbezaan jurang dalam penguasaan kek ekonomi Malaysia walaupun semangat baru DEB dalam Agenda Nasional Baru (ANB) yang baru dikarang itu? Fikir-fikir, renung-renungkan, kita yang akan menjadi sebahagian daripada manusia yang melihat pembangunan ini? Apakah kita juga akan memberi sumbangan mapan yang bermakna dalam percaturan dunia baru Malaysia ini?
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home