Jumaat, Ogos 26, 2005

Komen Prof. Khoo


Prof. Khoo Kay Kim berpendapat bahawa orientasi peperiksaan dalam sistem pendidikan menjadikan ‘Pendidikan bukan lagi pendidikan’. Demikian intipati wawancara khas wartawan Masa dengan beliau dalam edisi Ogos 2005. Berikut adalah satu petikan daripada wawacara ekslusif tersebut.

MASA: Itu bukan pendidikan?

Prof. Khoo: Itu bukan pendidikan. Pendidikan jauh lebih luas. Dan paling penting pendidikan mesti dapat membantu golongan muda berfikir secara rasional, analitikal, sanggup dan berani mengemukakan idea dan konsep baru, dan tak semestinya menerima jawapan yang sudah lama diterima. Sistem pendidikan mesti dapat menolong setiap orang murid sebagai individu. Saya diberitahu beberapa ribu murid yang keluar Tingkatan 5 tidak buat apa-apa. Tak tahu mereka pergi ke mana? Lama kelamaan ia akan menjadi masalah sosial kerana tidak tahu dan tidak boleh membuat keputusan. Mereka tidak belajar membuat keputusan.

Menurut beliau juga, bidang pengajian agama semestinya dijadikan bidang teras seperti sains dan teknologi kerana golongan inilah yang memainkan peranan penting dalam pembentukan modal insan. Beliau mencadangkan supaya pelajar cemerlang yang diserapkan dalam bidang agama diberi pengiktirafan yang setara dengan pelajar aliran sains dan teknologi dan diberi jaminan kerja.

Betapa malunya diri menjadi seorang Melayu dan Islam pula. Lidah Prof. Khoo memang jelas, kritis dan sinis. Meski komentar itu tidak merujuk secara spesifik kepada Islam, namun beliau juga menyentuh serba sedikit kebangkitan Islam di dunia. Terbaru menurutnya, di India sudah terdapat 150 juta umat Islam, tempat kedua di belakang Indonesia dari segi bilangan penganut agama Islam. Namun begitu, negara kita yang kerdil dan berbangga-bangga dengan Islam dan diperintah oleh orang Islam tidak dapat menjadi contoh negara umat Islam yang kompitensi. Mengapa dalam keadaan kita mempunyai peluang dan ruang untuk memperkasakan Islam, tiba-tiba asas pendidikan Islam dicantas sejak awal-awal lagi?

Perubahan dan kesedaran rakyat.

Menyedari hal ini, nampaknya sudah ada satu perubahan yang signifikan bagi melahirkan semula generasi Islamik pada masa akan datang. Sekarang kita sudah lihat bagaimana sekolah Tadika anjuran KEMAS sudah tidak popular. Rakyat yang celik akal dan faham bahaya yang akan datang, sudah beralih dan memilih untuk menghantar anak-anak ke Sekolah Tunas Seri Islam atau PASTI, atau seumapamanya yang berorientasikan Islam. Sekolah ini jauh lebih baik dari segi prasanan pendidikan dengan asimilisasi pendidikan Islam, Sains, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik walaupun bayarannya agak tinggi berbanding Tadika KEMAS.

Perkembangan ini sangat menarik, kerana wawasan 2020 seharusnya diisi dengan modal insan yang lengkap seraba-serbi. Lengkap serba-serbi bukanlah bermaksud sempurna, kerana tiada manusia yang sempurna. Kelengkapan itu merujuk kepada pertumbuhan minda dan jiwa raga generasi baru Islamis yang mempunyai daya intelek dan penghayatan beragama yang tinggi. Jika generasi ini dapat dihasilkan, kita tidak perlu bimbang masalah disiplin pelajar sekolah atau gejala sosial lagi. Inilah cabaran kependidikan generasi baru yang dihadapai oleh ibu bapa dekad ini. Persekitaran yang rosak telah menggugat usaha penerapan pendidikan agama dari rumah kepada anak-anak. Kadang-kadang anak yang tidak matang mudah terpengaruh dengan persekitaran sehingga mereka tidak mampu menjadi bak ikan di lautan nan masin.

Dan ingatlah, semua perkara sama ada baik atau jahat, bermula dari pendidikan. Dan pendidikan jua merupakan punca kebahagiaan.
"Kebahagiaan itu diibaratkan seperti sebatang pohon yang rendang, tempat tumbuhnya adalah jiwa dan perasaan kemanusiaan, ketaqwaan kepada Allah adalah merupakan air, udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya.. " ~ ( Yusof al-Qardawi ) ~

1 Comments:

At 7:40 PTG, Anonymous Tanpa Nama said...

Who knows where to download XRumer 5.0 Palladium?
Help, please. All recommend this program to effectively advertise on the Internet, this is the best program!

 

Catat Ulasan

<< Home