Peluang kedua.
Mengapa harus bersedih? Apakah dengan bersedih itu, wang yang hilang akan ditemui semula? Mengapa harus bersedih? Apakah dengan tangisan itu, seorang isteri yang telah mati akan hidup kembali? Mengapa harus bersedih? Apakah dengan rintihan kekesalan itu kekasih yang telah berpaling hatinya akan mencintai anda semula? Mengapa harus bersedih? Apakah dengan kesedihan itu kegagalan yang dahulu bertukar menjadi sebaliknya? Mengapa harus bersedih? Apakah masa boleh diundurkan semula agar anda dapat mengelak kemalangan itu? Mengapa harus bersedih? Apakah dengan kesedihan itu takdir yang telah berlaku kepada anda akan berubah? Mengapa harus bersedih? Apakah dengan kekecewaan itu kerugian anda dalam perniagaan boleh diraih semula?
Demikian sikap manusia, mengenang perkara yang buruk-buruk dan membuang masa untuknya. Waktu yang telah berlalu, biarkan ia berlalu. Semua kesedihan, kekecewaan yang disebut di atas tidak layak diberi perhatian yang mendalam. Hari semalam telah berlalu. Nostalgia hitam semalam tidak elok dikaji semula, kerana sesungguhnya ia membantut usaha kita mengorak langkah ke depan. Bayangan kekecewaan, kegagalan, kesedihan, ketidakupayaan masa lalu adalah halangan-halangan yang menyebabkan kita menjadi lesu. Mengimbaunya kembali menjadikan kita terperangkap dalam dunia kesedihan yang berpanjangan. Lihatlah, bagaimana hebatnya seorang manusia yang ditimpa musibah tetapi menanganinya dengan positif. Maharaja yang mengilhamkan idea Taj Mahal umapamnya, atau Hamka, atau al-Qurtubi. Kesemuanya menyumbang sesuatu yang hebat setelah berjaya mengatasi kesedihan mereka. Taj Mahal merupakan salah satu perkara ajaib dunia adalah manifestasi kecintaan kepada seorang isteri yang telah mati.
Mengapa harus sedih? Duhai diriku yang kerdil, bisikkan kata-kata semangat ini. Mengapa harus sedih, tidakkah masih ada ruang untuk berubah? Kegagalan pertama bukan bererti gagal buat selamanya. Jika kegagalan pertama itu telah membuatkanmu berputus harap, lihatlah bagaimana Rasulullah berdakwah selama 23 tahun. Andai kata pada kali pertama baginda berkumpul bersama musyrikin di Bukit Shofa, kemudian baginda mengalah, Islam tidakkan sampai ke bumi Malaysia. Duhai diri yang merasakan lemah, jika hari ini kamu telah berputus harap kerana tidak dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, ingatlah masih ada peluang untuknya. Tidakkah pensyarahmu pernah berkata, "Kamu cari dulu pengalaman dalam bidang industri selama dua tahun, kemudian bolehlah memohon masters secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ). Atau jika mahu membuatnya sepenuh masa, bersabarlah lagi sehingga lima tahun kemudian. Yang penting perlu ada pengalaman dalam industri. Ya, aku tidak bersedih. Sekurang-kurangnya borang masters yang diambil enam bulan dulu diisi jua, insyaAllah diisi jua. Hanya DIA yang tahu tangan yang bertuah yang mengisi borang itu.
Duhai diri, jangan berduka. Kadang-kadang apa yang dicoretkan disampaikan pada pengadil yang tidak boleh mengadili dengan baik. Tidakkah dalam arkib kehidupanmu, telah wujud seorang manusia yang mendapat tempat kedua dalam penulisannya di peringkat negeri. Namun penulisan yang sama mendapat tempat pertama di peringkat kebangsaan. Hebat bukan? Jika artikel demi artikel yang diharapkan untuk disahkan kebaikan isinya oleh admin sebuah portal x, maka sampai bila-bila admin portal x tidak akan membuatnya (untuk menggembirakan hatimu). Mungkin mesej artikel tersebut sangat berat dan tidak dapat diterima pembaca. Namun dirimu tidak bersedih atau putus asa, sekurang-kurangnya ada pengadil lain yang lebih baik dan mengahakiminya dengan baik. Sehinggakan salah satu artikelmu dalam Pertandingan Resensi Buku DBP peringkat IPTA 2005 berjaya memenangi tempat di kalangan pemenang hadiah utama.
Syukur, tidak semesti satu percubaan yang dilihat tidak berjaya bermakna anda sudah gagal. Selagi hidup, kita sebenarnya sentiasa ada peluang kedua dan seterusnya. Jika mati, mati hanya sekali, dan tidak lagi ada peluang kedua untuk hidup dan pulang ke dunia.
This article is inspired by al-Qarni in his book 'Laa Tahzan' or (Dont be Sad).
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home