Rabu, Ogos 17, 2005

Kuliah Ust. Roslan (3)

Bahagian akhir

Pertama, kegemilangan umat Islam akhir zaman berlaku apabila berjaya menjadi seperti garam yang meresap kemasinannya ke dalam air. Betapa jiwa mereka berjaya memberi kesan yang bermakna kepada orang lain.

'Seperti garam yang meresap ke dalam air' diulang hampir sepuluh kali sepanjang ucapannya.

Kemudian sahabat bertanya lagi, "Bagaimana keadaan mereka ketika itu, ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Mereka seperti ulat dalam daun"

Huraian
Kita ambil contoh ulat putih dalam daun pisang. Kita tengok setiap hari lori tanah lalu, daun pisang dilanda habuk dan debu. Tetapi jika kita buka daun yang bergulung, kita dapati ulat di dalamnya putih bersih, tidak kotor. Biar apa yang melanda, ulat tetap tidak tercemar. Maknanya apa? Maknanya umat yang gemilang itu, yang hebat itu adalah mereka yang mempunyai jati diri. Mempunyai prinsip jati diri yang menjadikan mereka tidak mudah terpengaruh oleh anasir-anasir jahat dalam masyarakat. Mereka tak mudah jadi pengikut budaya orang lain. Mereka tidak mudah terpesona dengan cara hidup atau style kehidupan moden yang melalaikan.
Maka kita telah diberitahu di sini bahawa ciri kedua umat yang hebat adalah mereka yang seperti ulat di dalam daun. Ulat dalam kepompong itu tetap suci bersih walau ditujah persekitaran yang kotor.

Kemudian sahabat bertanya lagi, "Bagaimana mereka itu, ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Mereka seperti orang yang menggenggam bara api"

Huraian
Tuan-tuan, muslimin muslimat yang dirahmati....genggam bara api biar jadi abu. Betapa jika kita nak biarkan bara api terus menyala, kita pegang kukuh-kukuh. Kita tatang elok-elok walau tangan kita melecur. Siapa yang boleh buat begitu? Maknanya umat yang cemerlang dan hebat itu, kata nabi mereka yang pegang sungguh-sungguh pada tali Allah. Kalau main-main, tidak ke mana, nak buat baik sikit sudah tentu kita jadi lemah. Rasa tidak bermaya, rasa canggung dan asing lalu meninggalkan kebaikan itu. Berapa ramai umat Islam hari ini yang pegang sungguh-sungguh ajaran Islam? Berapa? Berapa ramai di kalangan kita sanggup bersusah payah untuk kebaikan agama? Ingatlah sesungguhnya syurga itu dibentangi dengan kesukaran, (kepedihan, pengorbanan), manakala neraka itu dibentangi dengan perkara yang menyukakan (sedap pada nafsu, menyeronokkan, melekakan).

--------

Kesimpulannya, kecemerlangan umat akhir zaman ini menurut nabi adalah manusia yang mempunyai tiga ciri:
1. Mempunyai keupayaan merobah keadaan.
2. Mempunyai jati diri.
3. Berpegang sungguh-sungguh dengan ajaran Islam.

Semoga kita berusaha untuk memiliki tiga ciri kecemerlangan umat akhir zaman ini di samping kegemilangan kita dalam bidang akademik. InsyaALlah.

Sekadar rumusan ringkas dengan mengambil intipati kuliah. Semoga bermanfaat untuk kita semua.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home