Rahsia Mata...
Dalam pada kita biasa dengan kependekan WYSIWYG yang mewakili 'Apa yang Kamu Lihat adalah Apa yang Kamu Dapat', jarang di kalangan kita mendengar DIY (Do It by Yourself) atau buat sendiri. Konsep DIY adalah satu konsep mempelajari perkara yang mudah untuk kegunaan kehidupan sehari-hari. Ia lebih merujuk kepada penyelesaian kendiri yang perlu dipelajari berbanding mengupah orang lain.
Artikel dalam Dewan Ekonomi mengenai konsep perniagaan francais bernama DIY Home Properties adalah aplikasi kepada keperluan pelaksanaan DIY. Bayangkan, jika kita mengupah orang untuk membaiki tombol pintu kita akan dikenakan bayaran perkhidmatan yang menyamai dua kali harga tombol tersebut. Jika DIY dilaksanakan, kitalah yang membeli dan memasangnya semula. Kos membaiki hanya terletak pada harga tombol dan sedikit masa kita. Begitu juga dengan perkara lain seperti menukar lampu kalimantan, mentol, atau fius pada plug barangan elektrik. Namun begitu, tidak semua perkara boleh dibuat sendiri dan kita tiada pilihan untuk mengelaknya.
DIY dalam penjagaan mata dibuat oleh kebanyakan daripada kita dengan membeli ubat mata di kedai-kedai runcit. Berikut adalah artikel yang diedit daripada News Strait Time, 'Steroid eye drops abuse' [1] untuk dikongsi bersama anda. Terima kasih buat Pn. Alin Malek (bukan nama sebenar), Juruteknologi Perubatan USM Kubang Kerian atas pertolongan menterjemah sedikit terma perubatan yang ditanyakan kepadanya.
Seorang pelajar universiti berumur 20 tahun sedang merenung masa depannya, matanya hampir buta. Perawatan kendiri terhadap matanya menjadi punca kepada masalah penglihatan kepada sebelah matanya.
Dia tidak keseorangan. Sekurang-kurangnya lima orang yang melakukan perawatan kendiri terhadap mata menggunakan ubat mata cecair steroid. Pakar mata berpendapat masalah ini meningkat apabila orang awam mengambil ubat mata tersebut untuk menghilangkan kegatalan pada mata atau merawat kekeringan mata (dry eye). Pengerusi Persatuan Optamologi, Prof. Dr. Muhaya Mohamad berkata empat pesakitnya berumur di antara 12 hingga 13 tahun menderita glaukoma selepas menggunakan ubat mata cecair steroid. Beliau berkata: "Ubat mata ini menghilangkan kegatalan dan ketidakselesaan dengan cepat. Sebab itulah mereka yang menggunakannya akan membeli berulang kali. Mereka tidak tahu bahawa ubat tersebut boleh merosakkan mata mereka."
Pakar Perunding Optamologi di Hospital Selayang, Dr. Choong Yee berkata: "Penggunaan ubat mata cecair steroid bagi tempoh yang lama (dua hingga tiga bulan) akan meningkatkan tekanan pada mata. Tekanan ini akan sentiasa naik, jika dibiarkan tanpa dirawat akan menyebabkan kerosakan pada sistem saraf optik. Kehilangan tahap penglihatan berlaku pada bulan keenam sehingga tahun kelima. Ubat-ubatan yang mengandungi steroid tidak boleh digunakan dalam perawatan kendiri."
Apakah yang perlu diketahui oleh kita? Buatlah pemeriksaan mata di klinik, jangan membeli ubat mata di kaunter kedai farmasi. Pembeli harus melihat kandungan deksametason (dextamethasone), fluorormetalon (fluoromethalone), dan betametason (betamethasone) yang menunjukkan kewujudan steroid di dalam ubat mata. "Jika kamu malas berjumpa doktor, lihatlah kandungan ubatan yang dibeli dan hindarkan diri daripada membeli ubat mata steroid." Dr. Muhaya berkata.
Rujukan
[1] NST, 15 Ogos 2005, ms 4.
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home