Komen tentang TV
Pengenalan
Kajian Byron Reeves dan Clifford Nass dari Stanford University membuktikan menerusi satu set kajian dan penyelidikan bahawa manusia kini melayani peti televisyen dan komputer sebagai entiti sosial. Kini ramai bercakap dengan televisyen, bersahabat dan percaya hanya televisyen memahami mereka .John Naisbitt mengakui gejala ini dan mengatakan inilah prinsip asas kemajuan teknologi iaitu high-tech dan high-touch. Kedua-dua perkara ini adalah kesan kejayaan teknologi telah mempengaruhi hubungan manusia.
Rancangan Realiti TV.
Konsep rancangan realiti adalah konsep hiburan baru yang memberi habuan lumayan dan segera. Apabila rancangan ini dipopularkan di Barat, dunia lain mula menciplak idea tersebut. Keadaan ini tentunya disebabkan profit atau keuntungan yang berganda diperoleh daripada penganjuran program sebegini. Malaysia selaku negara membangun tidak terlepas daripada biasan atau tempias revolusi program tv. Sebagai contoh beberapa stesen tv di Malaysia telah mempopularkan rancangan realiti tv seperti Mencari Cinta, Akademi Fantasia, X-Plore Race, Mentor dan Who Want to Be Millionaire (sekadar beberapa contoh). Jika difikirkan dari segi pembangunan nilai manusiawi, apakah faedah yang disumbangkan kepada golongan terbanyak terutama penonton?
Apakah yang berlaku di sebalik program realiti tv?
Jika dikatakan program ini mempunyai banyak kelebihan seperti mengasah bakat-bakat baru, ia hanyalah tertentu dan diskrit dalam bidang yang difokuskan iaitu hiburan. Terdapat beberapa kesan buruk program realtiti tv, di antaranya
1. Membazir masa.
2. Mesej picisan dan ringan.
3. Pembaziran wang.
4. Kekeliruan anjakan pemikiran.
5. Pengaruh psikologi yang buruk.
Kesan buruk
Kesan buruk pertama ialah membazir masa. Setiap kali diadakan program realiti tv, ibu bapa dan anak-anak akan berkumpul di hadapan kaca tv. Mereka berfikir dengan cara ini dapat memupuk nilai dan semangat kekeluargaan. Sebaliknya ia tidak memberi apa-apa faedah dalam pembangunan nilai kendiri mahupun keluarga. Jika sebuah keluarga meluangkan masa perdana dengan duduk berkumpul di perpustakaan mini di rumah, sambil membaca buku atau membincangkan permasalahan akademik anak-anak; tidakkah aktiviti memberi faedah kepada perkembangan minda anak dan seluruh keluarga? Masa berhibur semestinya tanpa disedari akan berlalu dengan pantas walaupun sebenarnya mengambil masa yang lama. Hal ini berbeza apabila kita duduk mengadap buku atau apa jua bentuk aktiviti yang memerlukan ketukan minda. Masa yang hanya lima minit dirasakan seolah-olah satu jam. Inilah dia penipuan psikologi, minda yang tidak terlatih dengan aktiviti berfikir dan merenung akan menjadi sukar untuk melakukan perkara yang ilmiah dan bermakna.
Selain itu, program realiti tv memberi mesej picisan dan ringan. Ringan dan picisan adalah dua instrumen yang lumrah dalam program untuk tujuan hiburan. Mesej yang ingin disampaikan kadang-kadang tidak ada, dalam konteks pembentuk dan pembangunan insan. Program seperti ini tidak mengajak penonton berfikir dan menilai secara kritis aspek tertentu. Sebagai bukti, lihatlah mesej yang jelas dibincangkan dalam rancangan Bicara Siswa berbanding Akademi Fantasia. Mengapa wadah perbincangan dalam rancangan Biacara Siswa yang melibatkan cetusan idea-idea bernas kurang mendapat sambutan? Jika dikatakan rancangan tersebut tidak mesra penonton, ia tidak betul. Bahkan di dalam rancangan tersebut disediakan ruang dan peluang bagi penonton menyatakan pandangan.
Ketiga, rancangan realiti juga membazir wang. Bayangkan berapa wang dihabiskan untuk mengundi peserta yang hendak diketengahkan sebagai pemenang? Apakah dengan wang digunakan untuk memenangkan peserta itu akan dapat dikecapi sama hasilnya oleh penonton? Akhirnya syarikat penyedia perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS) mengaut untungnya, yang dikongsi bersama penganjur rancangan. Penonton mungkin tertipu dengan sedikit hiburan yang dihdangkan lantas tidak berasa 'kedekut' untuk membelanjakan sedikit wang untuk mengundi peserta. Keseronokan yang terlampau itulah yang menyebabkan tindak balas spontan penonton untuk membuat undian tanpa memikirkan wangnya hilang. Sebenarnya banyak aspek psikologi yang diolah bagi mencapai matlamat yang berorientasikan keuntungan ini. Bermula dari jumlah penonton sehingga kepada statistik bilangan pengundi, dan kefanatikan terarah.
Seterusnya rancangan tv juga menyebabkan kekeliruan dalam anjakan pemikiran manusia. Hari ini lapangan hiburan dilihat sebagai satu skop baru untuk diiktiraf sebagai medium kejayaan. Berjaya menjadi artis dan hidup glamour seolah-olah kejayaan yang baik. Apabila berjaya menjadi penghibur dan terkenal mudahlah wang diperoleh, banyaklah undangan ke majlis-majlis yang berbayar didapati. Seorang ahli sosiologi Dwight Macdonald memperkenalkan istilah kitsch bagi menggambarkan kelahiran budaya popular (produk media elektronik dan cetak) sebagai produk sampah . Secara mudahnya kitsch adalah budaya pop yang tidak berjejak oleh satu peradaban dan jati diri yang berwibawa termasuklah program realiti tv. Program realiti tv yang diolah sedemikian rupa dengan menawarkan hadiah lumayan mewujudkan jutawan segera tanpa perlu berusaha gigih. Menurut Prof. Diraja Ungku Aziz kewujudan fenomena ini amat membimbangkan untuk perkembangan survival tamadun umat Melayu Islam dalam jangka masa panjang. Katanya untuk menjadi berjaya, tidak perlu belajar empat tahun, tidak perlu memerah otak untuk menghasilkan produk ilmiah yang dapat dimanfaatkan. Maka jika begini halnya, maka tunggulah suatu detik kebebalan berpanjangan dalam perkembangan tamadun ummah ini.
Kesan negatif terakhir rancangan realiti tv ialah pengaruh psikologi yang buruk. Gejala fanatisme yang memuncak, sehingga ikon-ikon yang ditonjolkan atau berhubung kait dengan peserta boleh dieksploitasi dalam perniagaan lain. Sebagai contoh, kita telah mendengar satu lagi ikon popular iaitu tudung mawi dan minyak urut mawi selepas tamatnya program AF3. Bahayanya perkara ini menjadikan mereka dipuja-puja secara berlebih-lebihan. Apakah dengan pujaan sedemikian kita akan mendapat syafaatnya di akhirat sana? Jika minat sekalipun, berpada-padalah. Tidak perlu menterjemahkannya dalam skop yang lebih mendalam dan signifikan. Saya bersetuju sekiranya dikatakan bahawa penampilan artis, pemakaian, gaya rambut, style percakapan dan lirik lagu mempengaruhi peminat*. Namun begitu, berapa banyak artis yang dapat menjadi contoh yang baik dalam semua aspek yang disebutkan itu? Jika ada, ia merupakan kes terpencil dan jarang-jarang ditemui. Jika ada, mungkin artis nasyid tanah air yang kurang mendapat liputan media dalam misi dakwah mereka.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, program realiti tv tidak menyumbang kepada perkembangan mental penonton melainkan menyediakan ruang berhibur. Penonton harus bijak memilih rancangan tv yang berfaedah untuk perkembangan minda mereka.
************************
Disediakan pada 18 Ogos 2005.
* Jangan keliru dengan laporan akhbar berhubung perkara ini dalam wawancara bersama Pegawai Istana Negara. Di dalam laporan tersebut, wartawan yang menulis hanya mengatakan bahawa Dato’ Hassan Din mengatakan seolah-olah lirik sahaja lebih penting berbanding penyampaian dan pemakaian artis.
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home