Tilawah
Respon kepada cadangan qari
Perkembangan terbaru program reality TV yang diciplak daripada luar telah menyebabkan evolusi baru dalam bidang penyiaran. Program seperti ini telah terbukti menjadi dimensi baru dalam bidang komunikasi massa, ia telah berjaya memikat jutaan penonton untuk berhibur. Konsep menang-menang yang diwujudkan termasuklah memberi peluang kepada penonton menjadi pengadil di samping juri yang bertauliah merupakan rahsianya. Mereka mengatakannya konsep menang-menang, sedangkan menang itu hanya kepada mereka, kalah pula pada penonton teramai yang menghabiskan masa dan wang untuk menyatakan sokongan kepada peserta pilihan. Lebih teruk lagi jika penonton fanatik seperti mana ditafsirkan menggunakan manglish: - kipas susah mati (die-hard fan), sanggup ‘menderma’kan air mata kerana terharu dan sedih. Sedih kerana peserta pilihan tersingkir. Alangkah baik jika air mata itu dirembeskan kerana keinsafan kepada satu dosa. Alangkah baik jika air mata itu dialirkan keluar ketika munajat diri kepada Rabb, menegenang kekerdilan diri. Alangkah baik air mata itu menjadi manifesto kesungguhan kita dalam taubat.
Minggu lepas, semasa berlangsungnya program Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, seorang peserta mencadangkan konsep AF diadaptasi ke dalam pelaksanaaan pertandingan tilawah al-Quran. Ia hanya merupakan konsep, walaupun pada peringkat akhir, kemenangan ditetapkan oleh hakim yang bertauliah. Jika benar perkara itu akan dilaksanakan, kita tunggu dan lihat, berapa ramai bilangan penontonnya pula. Apakah perubahan itu akan menambah bilangan penonton yang mengikuti rancangan TV tilawah? Katakan jika sekarang penonton AF mencecah 10 juta, maka bilangan penonton rancangan Pertandingan Tilawah secara kasarnya hanya 200 000 orang. Jumlah 200 ribu mungkin mewakili semua peringkat umur, maka berapa ramai pula dari mereka ini yang mahir tentang al-Quran? Berapa ramai di antara mereka tahu untuk membezakan lagu Bayati, Hijaz, Nahwan dan sebagainya. Berapa ramai di kalangan mereka yang tahu kaedah jawab lagu, harakat-harakat dalam setiap jenis lagu yang dibawakan oleh qari/qariah? Berapa ramai pula yang tahu dengan pasti, bacaan ini salah, bacaan ini kurang tepat dan sebagainya? Maka jawabnya, tidak ramai.
Kebimbangan harus difikirkan, dunia kapitalis berorientasikan wang menjadikan manusia lupa segalanya. Kita tidak mahu wujud mentaliti ingin glamour dan cepat kaya menggunakan pendekatan mencuba nasib melalui pertandingan. Lebih-lebih lagi pertandingan yang dibuat berhubung kait dengan al-Quran. Al-Quran bukanlah untuk dibanding-bandingkan sipakah yang hebat mutu tarannumnya. Lebih dari itu, al-Quran sebenarnya perlembagaan hidup yang mesti dihayati. Betapa hari ini, manusia hanya pandai membaca al-Quran tetapi tidak menghayati intipati kehendak al-Quran. Maka jadilah pembaca al-Quran seperti burung tiung yang diajarkan kepadanya mengucap “Assalamualaikum”.
Sedarlah bahawa mendepani waktu dalam medan dakwah amat sukar, maka sukar juga kita mengatakan bahawa program reality TV bagi mencari bakat baru dalam bidang mengaji al-Quran berlagu sebagai tidak tepat. Saya tidak kata cadangan tersebut tidak betul, saya cuma ingin mengajak pembaca memikirkan perkara ini: ‘Adakah wajar al-Quran dipertandingkan?’ Suatu masa mungkin qari dan qariah yang menang hanya disebabkan rupa parasnya, berbanding kualiti bacaannya. Dan tilawah sebenarnya tidak pernah menjadi medium hiburan dalam kamus minda kebanyakan kita.
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home