Waqaf lazim
Suatu hari seorang guru menulis
'amin pergi ke stadium batu kawan amir pergi bersama-sama.' Kemudian beliau meminta dua orang pelajarnya menulis semula ayat itu dengan meletakkan tanda baca yang betul.
Pelajar 1 menulis : Amin pergi ke Stadium Batu Kawan. Amir pergi bersama-samanya.
Pelajar 2 menulis : Amin pergi ke Stadium Batu. Kawan Amir pergi bersama-samanya.
Menurut guru itu, kedua-dua ayat di atas betul, tidak ada yang salah.
Kemudian dia menulis pula 'ayah tidak marah kepada kamu kata emak dia gembira dengan tindakan kamu kata adiknya'
Kemudian dia meminta pelajar lain untuk menjawab, "Binalah ayat yang betul"
Pelajar 3 menulis: "Ayah tidak marah kepada kamu, kata emak dia gembira dengan tindakan kamu," kata adiknya.
Pelajar 4 menulis: "Ayah tidak marah kepada kamu," kata emak. "Dia gembira dengan tindakan kamu," kata adiknya.
Namun begitu, guru itu mengatakan bahawa pelajar 4 tidak tepat. Mengapa? Pelajar empat telah memindahkan fungsi kata ajuk yang dibawa oleh seorang pelaku iaitu 'adiknya'. Maka betapa di dalam tatabahasa, perubahan kepada struktur tanda baca mengubah makna ayat sama sekali. Ayat yang ditulis pelajar oleh pelajar empat langsung tidak mempunyai kesinambungan kerana sepatutnya pujukan itu seharusnya dibuat oleh seorang pelaku sahaja. Namun demikian, pelajar empat berpendapat ayatnya tidak juga salah kerana situasi yang dicetuskannya seolah-olah dia dipujuk oleh emak dan adiknya. Maka halnya terpulang kepada guru yang menilai, menurut penilaian guru itu, saya menghendaki jawapannya dijawab seperti yang dijawab oleh pelajar tiga. Akhirnya pelajar empat tetap dilihat sebagai salah.
Jika perkara ini berlaku dalam fenomena pembelajaran di sekolah, secara tidak langsung kita juga melakukan perkara yang sama. Secara sedar atau tidak, kita melakukan perkara tersebut semasa membaca al-Quran. Al-Quran yang kita baca kadang-kadang boleh berubah maknanya apabila dibaca tanpa mematuhi kaedah waqaf yang ditetapkan. Di dalam al-Quran terdapat satu waqaf (tempat berhenti) yang mesti diwaqafkan bacaan padanya. Sekiranya dibaca secara washol (sambung), ia akan menjejaskan makna ayat yang dibaca. Waqaf ini dipanggil waqaf lazim.
Waqaf lazim ditanda dengan huruf 'mim'. Terdapat dua jenis penandaan huruf mim kecil di dalam al-Quran tulisan resam Uthmani iaitu mim yang menunjukkan hukum Iqlab dan mim yang menunjukkan tanda waqaf lazim. Mim bagi hukum iqlab ditulis di atas huruf nun mati (nun sukun) yang bertemu dengan huruf 'ba' atau pada huruf berbaris dua (tan-win) yang bertemu dengan huruf 'ba'. Huruf mim tersebut ditulis dengan ekornya ditarik ke bawah (90 darjah). Manakala mim bagi waqaf lazim ditulis dengan ekornya dicondongkan sedikit (45 darjah). Kita lihat contoh mim waqaf lazim ini. Sila rujuk pada ayat 76 surah Yaasin.
Pertama makna ayat bagi orang yang membaca secara washol.
"Janganlah kamu bersedih dengan ucapan mereka "Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan".
Kedua makna ayat bagi orang yang membaca secara waqaf.
"Janganlah kamu bersedih dengan ucapan mereka. Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan".
Orang yang membaca secara washol berkata seolah-olah ucapan yang menyedihkan itu adalah "Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan". Sedangkan sebenarnya ucapan yang menyedihkan itu ialah cercaan, cacian, maki hamun dan tuduhan palsu yang dibuat kepada nabi. Sebaliknya bagi mereka yang membaca secara waqaf, ia akan membawa makna yang betul iaitu kata-kata semangat yang diberikan kepada nabi supaya tidak bersedih. Kemudian diikuti pula oleh jaminan Allah tentang perhatiannya kepada setiap perbuatan jahat manusia musyrik dan kuffar kepada nabi.
Maka kesimpulannya apabila bertemu dengan tempat waqaf lazim seperti ini di dalam al-Quran, berhentilah bacaan pada tempat tersebut. Membaca secara washol akan mengubah makna ayat tersebut. Di dalam contoh ayat yant yang diberikan itu, hendaklah berhenti pada kalimah 'Qauluhum', dan disambung dengan nafas lain pada kalimah 'Innaa'.
Sekian, selepas membaca artikel ini diharap anda telah
1.Dapat membezakan fungsi penandaan huruf mim kecil di dalam al-Quran tulisan resam Uthmani.
2. Memahami kaedah pembacaan apabila bertemu ayat yang mempunyai waqaf lazim.
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home