Ahad, Julai 31, 2005

Bermaruahkah kita?



"Cantik di mata, belum tentu 'cantik' hatinya"
begitulah tajuk yang diletakkan walaupun kandungannya seratus peratus berbeza. Suatu hari seorang kawan di luar negara yang sama-sama belajar di sekolah menengah meminta pandanganku tentang cinta. Aku katakan, cinta itu suatu yang subjektif. Cinta hadir dan pergi berdasarkan kepada cara kita mengadili perasaan itu, ia adalah fitrah yang tidak dapat dielakkan. Namun, bagiku cinta semestinya disubur, dikembang dan diterjemahkan dengan sesungguhnya selepas ikatan yang sah. Aku masih ingat pandangan yang dinyatakan oleh Datin Sabariah dalam majalah Anis tentang cinta. Kata beliau, "Cinta lebih bermakna sekiranya dihangatkan selepas menjadi suami isteri yang sah". Jika anda ingin membaca majalah bertema kekeluargaan, aku mengesyorkan majalah Anis sebagai tatapan ilmiah.

Sahabatku bertanya, "Bagaimana jika saya telah melihat gambarnya (yang ditunjukkan kepada saya)? Saya melihatnya seorang yang cantik". Aku menjawab, penilaian cantik atau sebaliknya juga adalah abstrak. Jika cantik di mata, nilaikan pula agamanya. Aku mengatakan demikian supaya nanti dia tidak tertipu dengan kecantikan luaran, dan menyesal di kemudian hari. Aku mencadangkan kepadanya supaya diselidiki dahulu latar belakang wanita tersebut. Dia agak tidak bersetuju, "Kadang-kadang manusia takut pada bayang-bayangnya sendiri sedangkan dia tahu bayang-bayang itu tidak dapat memudaratkannya." "Oppsss!!!!" Terkejut juga aku, marah betul sahabatku dengan pandanganku, aku katakan kepadanya "Jika ingin jawapan yang memuaskan hati kamu, jangan tanya kepada saya". Aku menutup perbicaraan dengan "Jika tiada wang, jangan sembang lebih". Aku merumuskan perbincangan itu dengan mengingatkan kepadanya, jika benar nak kahwin, kumpulkan dahulu wang yang secukupnya untuk perkahwinan itu. Semoga diberi kemudahan baginya mencapai hasrat murninya.

-----------------

Kadang-kadang, secara tidak sengaja terdapat sesetengah orang yang membaca artikelku terasa kerana sememangnya dia melakukan perkara yang dinyatakan itu. Jika hal ini berlaku, itulah tandanya anda masih bermaruah. Pepatah Arab ada mengatakan "Seorang yang hina tidak merasa hina apabila dihina". Umapama mayat binatang yang disiat-siat, ia tidak mampu berbuat apa-apa, tidak bertindak balas dengan kelakuan orang ke atasnya. Begitu juga seorang manusia yang sedang melakukan kemungkaran, apabila ditegur "Lawanya baju, tahulah badan kamu dah solid. Jangan tunjukkan bentuknya itu" atau "Aiii, elok seluar tu, ingatkan pelajar mana tadi, Melayu rupanya (dia berseluar pendek)". Jika dia bermaruah, ia akan terasa dan berubah, jika dia seorang yang hina maka dia mampu tersenyum lagi. Menghadiahkan senyuman kepada orang yang menegurnya adalah petanda bahawa dia tidak bermaruah. Lihatlah berapa ramai remaja Islam (lelaki dan perempuan) hari ini yang berpakaian ketat, singkat dan seumpamanya yang tidak menutup auratnya dengan sempurna.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home