Cerita SN ke-4
Beliau dilahirkan pada 9 April 1935. Kini usianya telah meningkat 70 tahun. Pada tahun 2000, sempena sambutan ulangtahunnya yang ke-65, Sasterawan Negara (SN) ini melancarkan mogok. Mogok sastera yang dibuat sebagai protes; tanda tidak puas hati dengan kerenah birokrasi [1]. Pasti seorang SN yang ke-4 dalam senarai penerima anugerah tertinggi dalam bidang kesusasteraan itu menghadapi liku-liku hidup kerana ketidakadilan proses pembayaran royalti ke atas hasil tulisannya. “Saya bukan mengharapkan wang, tetapi tanpa wang bagaimana mahu meneruskan kehidupan?” Pokok perjuangan sasterawan tulen sepertinya bukanlah wang, tetapi itulah punca rezekinya. Berkarya dan terus berkarya tanpa jemu atau letih.
Siapa SN yang hebat ini? Beliaulah A Samad Said, menulis karya agung berjudul Salina. Beliau menyiapkan novel Salina ketika usianya 23 tahun, sebaya dengan umurku sekarang.
Sinopsis Salina.
Novel Salina diterbitkan pada tahun 1989 oleh A.Samad Said dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Salina merupakan salah satu novel yang mempunyai keunikan tersendiri di dunia sastera Melayu moden. Karya ini mempunyai nilai budaya dan sastera yang tinggi, ia dikatakan sudah pun meninggikan kedudukan sastera Melayu. Siti Salina dalam Salina merupakan seorang yang bersifat jahil dan tidak beriman. Walaupun begitu, dia mendapat simpati dari kalangan pembaca kerana A. Samad Said berhasil mewujudkan amanatnya yang ingin beliau sampaikan akibat peperangan yang buruk.
Di dalam novel ini banyak unsur pemberontakan akibat daripada kesan peperangan. Sebagian besar watak dalam karya ini adalah sebenarnya korban Perang Dunia Kedua. Dalam pada itu, segala tindak-tanduk Salina juga berpunca daripada perang yang kejam itu. Dia kehilangan orang tua, kekasih, dan cita-cita juga dihancurkan oleh peperangan. Maka, Salina memaparkan imej pemberontakannya dengan menceburkan diri dalam situasi syiqaq. Pemberontakan Salina dapat digolongkan satu pemberontakan yang bersifat pembalasan dendam. Menurut A. Camus pemberontakan seperti ini tidak dapat memberi kesan yang mendalam. Pemberontakannya dipandang juga sebagai satu pemberontakan yang bersifat penyakit(morbid).
Kalau ditinjau dalam konteks ini, pemberontakan ini adalah salah satu tindakan untuk menghasilkan valuasi baru selepas memusnahkan ketidakadilan yang merupakan formula dasar untuk kehidupan dan juga satu proses untuk menyelamatkan jiwa manusia. A. Samad Said dengan sengaja menciptakan watak Salina sedemikian rupa, kerana masyarakat Melayu yang mementingkan keimanan tidak dapat menerima Salina yang dengan mentaliti yang sihat bertingkah laku seperti yang ditunjukkan dalam novel ini. Bagaimanapun novel yang diciptakan oleh seorang penyair agung ini dapat dikatakan karya sastera yang memberi warna baru kepada dunia novel Melayu.
Baca lagi komentar Salina dalam Salina: Olak dan Gelombang, oleh Abdul Ahmad
Pun begitu, aku masih tidak berpeluang memegang novel tersebut (nampak sangat aku malas membaca, dan tidak suka berjalan ke pameran buku). 29 Ogos 2005 [2], satu lagi detik bersejarah dalam hidupnya apabila ada pihak yang perihatin terhadap perjuangan murninya. 29 Ogos 2005, tercatat sejarah baru apabila pengkisahan hidupnya didokumentasikan seperti mana Dokumentasi Sehari Bersama Tuan Guru. Menurut penerbit CD dokumentasi SN A Samad Said ini, pengkisahan itu dimuatkan dalam bentuk audio visual memakan masa 46 minit. Pastinya ia suatu yang menarik untuk peminat sastera, lihatlah bagaimana kehidupan seorang sasterawan yang hebat ini. Berapa lama beliau membaca dalam sehari? Lebih kurang (minimum) enam jam sehari.
Jom! Sama-sama kita miliki CD yang menyorot kehidupan seorang SN ini.
Rujukan
1. A Samad Said: Bersara dari dunia sastera!, Tamadun, Mei 2000, Bil. 69, ms. 52.
2. Dinsman, Siasah, 19 Ogos – 2 September 2005, Bil. 2.
1 Comments:
Saya berpendapat bahawa novel Salina sungguh baik penulisannya. Yang lebih ketara adalah jalan ceritanya yang mempunyai unsur-unsur suspense dan sebagainya. Cerita ini sungguh menghayalkan apabila membacanya kerana ingin ketahui penutup bagi ceritanya. Ini sangat berlainan sekali jikalau dibandingkan dengan novel-novel lain kerana penutupnya tidak seperti kita sering baca dengan keadaan yang bahagia bagi watak-watak yg dipamerkan dalam sesuatu novel itu. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan syabas kepada penulis, A Samat Said kerana telah melahirkan sebuah novel yang bertaraf antarabangsa pada pandangan saya. Seandainya jika dapat diterbitkan Salina bahagian 2, saya dan pembaca yang lain tentu akan dapatkan buku novel itu.
Terima Kasih
Catat Ulasan
<< Home