Jumaat, September 16, 2005

Derma

Khutbah hari ini, 16/09/2005


Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Hari ini, sedar atau tidak; kita sedang meniti waktu untuk bertemu dengan bulan penuh barakah iaitu Ramadhan Al-Mubarak. Kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak ini memberi peluang kepada kita untuk melakukan sebanyak-banyaknya ibadah sama ada berbentuk khusus (fardhiyah) atau umum (sunat).

Dalam Islam, ibadat terbahagi kepada dua. Pertama ibadah yang memerlukan ilmu, pemahaman, penghayatan dan pengamalan. Ibadah ini boleh dilakukan oleh semua orang Islam yang mempunyai kesihatan tubuh badan dan cukup syaratnya.

Manakala yang kedua ialah ibadah yang berbentuk kebajikan. Ia memerlukan ilmu, pemahaman, penghayatan, pengamalan, pengorbanan dan modal. Istimewanya ibadah ini kerana modal yang dilaburkan tidak bererti kita kekurangan sesuatu daripada sumbangan tersebut.

Ibadah derma, sedekah dan seumpamanya yang memerlukan sedikit pengorbanan harta yang kita miliki mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Tidak semua orang sanggup melepaskan perkara yang disayanginya untuk kebaikan orang lain. Tidak semua orang juga sanggup membiarkan hasil titik peluhnya diguna dengan mudah oleh orang lain yang tidak mengusahakannya. Tidak semua orang sanggup menerima hakikat bahawa harta yang dimilikinya telah berkurang secara zahirnya sehingga terpaksa menangguhkan kemahuannya pula. Semua kesusahan yang mungkin dihadapi ini akan mendapat limpah kurnia Allah yang Maha Kaya yang memberikan rezeki kepada manusia.

Firman Allah S.W.T yang berbunyi



“Perumpamaan orang yang membelanjakan harta ke jalan Allah umpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, setiap tangkainya mempunyai seratus biji benih yang lain, dan Allah melipatgandakan ganjaran (pahala) kebajikan kepada sesiapa yang dikehendakiNYA, dan Allah Maha Luas (kurniaNYA) lagi Maha Mengetahui”
(Al-Baqarah: 261)

Jika kita belajar ilmu hisab atau matematik, suatu jumlah yang ditolak akan berkurangan. Namun di dalam kira-kira Allah, formulanya sama sekali berbeza. Wang yang dibelanjakan mungkin hanya bernilai satu ringgit, tetapi nilaian di sisi Allah kepada sumbangan ini boleh jadi 70 ringgit sehingga 700 ringgit.

Jika kita imbau kembali sirah ar-Rasul, para sahabat berlumba – lumba untuk melakukan kebajikan ini. Mereka berlumba-lumba untuk mengorbankan harta benda demi kepentingan agama. Sebagai contoh, Uthman ‘Affan pernah mendermakan empat puluh ekor unta berserta khadam dan barang dagangan beliau untuk membiayai perjuangan Islam. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, mafhumnya;

Daripada Abu Hurairah r.a, Bahawasanya orang-orang fakir dari kalangan Muhajirin telah datang kepada Rasulullah lalu mereka berkata: ‘Orang-orang kaya meninggal dunia dengan membawa bersama-sama mereka darjat ketinggian dan nikmat-nikmat yang kekal abadi’. Maka Rasulullah S.A.W bertanya kepada mereka, ‘Mengapa jadi begitu?’ Mereka menjawab, kerana mereka dapat mendirikan sembahyang, sama seperti kami, berpuasa seperti kami, mereka bersedekah sedangkan kami tidak, dan mereka dapat memerdekakan hamba tetapi kami tidak dapat berbuat demikian’. Maka Rasulullah S.A.W bersabda, ‘Apakah kamu semua suka aku khabarkan sesuatu amalan yang pahalanya boleh dicapai seperti mana orang-orang yang mendahului kamu semua, dan kamu dapat mendahului orang-orang yang sesudah kamu? Dan tiada seorangpun yang lebih dari kalangan kamu semua melainkan orang yang mengamalkan seperti mana yang kamu lakukan.’

Mereka berkata, ‘Baiklah, wahai Rasulullah.’ Sabda baginda lagi, ‘Bacalah tasbih, takbir dan tahmid tiap-tiap kali selepas solat sebanyak 33 kali.’ Selanjutnya orang fakir dari kalangan Muhajirin datang kembali menemui Rasulullah S.A.W lalu berkata, ‘Saudara-saudara kita dari golongan hartawan telah mendengar mengenai apa yang kami amalkan, maka mereka juga mengamalkannya seperti kami.’ Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, ‘Yang demikian itu adalah kelebihan daripada Allah yang dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki’


Hadis di atas menunjukkan kelebihan berpihak kepada orang yang berharta dengan peluang-peluang yang telah diberikan oleh Allah, memungkinkan mereka melakukan kebajikan yang lebih banyak daripada orang-orang yang kurang berada.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Derma yang diterima Allah adalah derma yang ikhlas semata-mata keranaNYA. Sikap dan ciri orang yang mendermakan hartanya disebut Allah dalam beberapa tempat di dalam Al-Quran.

Pertama, seorang yang mahukan dermanya diterima Allah haruslah memberikan perkara yang terbaik. Jika kita mendermakan pakaian untuk anak-anak yatim, berilah pakaian yang baru, jika kita mendermakan beras kepada fakir miskin, berilah beras yang terbaik kualitinya, jika kita mendermakan wang, berilah wang yang paling elok wajahnya. Hal ini dinyatakan oleh Allah dalam firman-NYA yang berbunyi:


“Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk, lalu kamu dermakan (padahal kamu sendiri memandangnya sebelah mata sahaja). Ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”
(Al-Baqarah: 267)

Kedua, orang yang mendermakan hartanya tidak mengungkit-ungkit kebajikan yang telah dilakukan. Sifat ini harus dimiliki oleh setiap daripada kita supaya derma yang diberikan akan diterima Allah. Mengungkit-ungkit, menyebut kebaikan, serta mengatakan sesuatu yang mungkin menyakitkan hati orang yang menerima derma atau sedekah amatlah ditegah oleh Allah. Dalam hal ini pepatah Melayu yang sesuai untuk menggambarkan sikap seorang dermawan ialah ‘Menghulur tangan kanan, tangan kiri disorokkan’. Firman Allah, (maksudnya)


“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian tidak menyebut-nyebut pemberiannya dan tidak menyakiti perasaan orang yang menerima, mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Mereka tidak bimbang dan tidak pula bersedih”
(Al-Baqarah: 262)

Ketiga, orang yang mendermakan hartanya hendaklah faham bahawa kebajikan yang dibuat merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya. Allah menjadikan manusia berbeza keupayaan, kemampuan meraih harta, kaya atau miskin adalah dengan tujuan agar perbezaan ini mewujudkan peluang untuk melakukan kebajikan. Jika ditakdirkan Allah, semua orang hidup senang, kaya raya, sihat tubuh badan dan berupaya untuk berkerja dengan gaji yang lumayan; maka siapa pula yang akan menerima sedekah? Siapa pula yang boleh bersedekah? Apabila kita memperkatakan hal membasmi kemiskinan, maka perkara itu tidak akan berlaku secara mutlak sampai bila-bila. Allah menyediakan peluang ini supaya kita berfikir untuk memikirkan keperluan orang lain atas dasar peri kemanusiaan, serta merapatkan hubungan persaudaraan di antara golongan yang berada dengan mereka yang kurang berupaya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Apabila kita membuat pertimbangan untuk mengeluarkan derma, atau sedekah dan seumpamanya, seringkali kita menghadapi dilema. Kadang-kadang dating bisikan-bisikan buruk yang akhirnya menjadikan kita terlalu sayang kepada harta yang dimiliki. Bisikan-bisikan buruk ini merupakan mainan psikologi yang dirancang oleh syaitan kepada manusia. Syaitan sentiasa membisikkan janji buruk seperti kekurangan harta dan kefakiran. Firman Allah dalam ayat 268 surah al-Baqarah;


“Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kedekut dan kikir), sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-NYA. Dan Allah Maha Luas kurniaan-NYA lagi Maha Mengetahui.”

Selain itu, kebelakangan ini wujud juga keadaan orang-orang yang memberikan sumbangan atau penajaan kepada mana-mana pertubuhan atau golongan atas dasar kebajikan memperlihatkan tindakan mereka kepada khalayak. Implikasi kepada tindakan seumpama ini bergantung kepada niatnya. Jika amalan tersebut dilakukan untuk menggalakkan orang lain atau organisasi lain mengikut perkara baik yang dilakukan itu, maka natijahnya juga baik. Jika perbuatan itu dilakukan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kebaikan, maka dia hanya mendapat pujian dan penghargaan daripada manusia, sebaliknya tidak bermakna di sisi Allah. Maknanya sekarang ini terdapat juga manusia yang tidak mahu menderma kerana bimbang jika dibuat dalam satu majlis yang rasmi, akan menjejaskan niat asalnya untuk menderma. Begitu juga sebaliknya, ada orang yang resah dan gelisah sekiranya sumbangannya yang banyak tidak diberi liputan yang meluas untuk diketahui oleh orang ramai. Maka ditegaskan sekali lagi, segala amal kebajikan seseorang sama ada besar atau kecil nilainya bergantung kepada niat individu tersebut. Berilah sumbangan tanpa mengira besar atau kecil nilainya pada pandangan manusia, kerana Allah tetap menilainya dengan penilaian yang tidak dijangkakan oleh kita.

Firman-NYA,


“Tidakkah balasan kebaikan itu dengan kebaikan pula?”
(Ar-Rahman: 60)

Allah tetap menjanjikan pembalasan yang baik kepada setiap kebajikan yang dilakukan. Tidak semestinya kebaikan itu datang daripada orang yang kita tolong. Apabila kita memahami konsep kebaikan ini, kita tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan sesiapa sahaja yang memerlukan.

Sebagai kesimpulannya, Ramadhan yang kian menghampiri kita menyediakan pakej kebajikan yang banyak termasuklah derma. Menyumbanglah untuk kelangsungan aktiviti-aktivti yang dijalankan oleh pihak-pihak yang perihatin bagi menghidupkan penghayatan bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Semoga khutbah minggu ini memberi manfaat kepada kita semua.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home