Alam mistik, percayakah kita?
Sudah dua tiga hari tidak dapat mencoret sesuatu di laman ini kerana masalah server. Saya menyangka pihak pentadbiran mengenakan sekatan ke atas semua domain yang mewakili aktiviti blogger di sini. Setelah bertanya pada seseorang yang arif tentang IT, saya dimaklumkan bahawa masalah ini berpunca daripada linux, server USM tidak menyokong aplikasi linux! Tidak banyak yang boleh dibuka melainkan Utusan Malaysia, Harakahdaily, Ukhwah.com, Terengganukini dan The Star. Laman web USM juga tidak boleh diakses. Apabila membuat posting ini, saya juga tidak dapat melihatnya sama ada disiarkan pada tarikh yang betul (30 Dis 2005) atau sebaliknya. Sekali lagi diulang, saya hanya dapat membuat posting. Jika anda boleh membaca artikel ini, bermakna posting saya berjaya disiarkan dalam keadaan saya tidak dapat memastikan kesahihannya.
Seorang pembaca bertanya (dengan memanggil saya Ustaz!), "Apakah saya sudah bekerja dan berapa lama sudah bekerja?" Jawapannya saya belum bekerja. Laporan SKT yang ditulis tidak semestinya menunjukkan saya telah bekerja. Saya masih menjadi pemburu ilmu yang tegar, tabah dan sabar melalui liku-liku perjuangan yang berliku. Cuma hal yang saya lalui mungkin tidak sama dengan orang lain, kerana hanya menumpang teduh di desasiswa (hostel pelajar dipanggil desasiswa) selama satu semester sahaja. Pada semester seterusnya saya menginap jauh dari kebingitan kekampungan desa yang penuh dengan aneka ragam mahasiswa dan mahasiswi. Saya amat tidak bersetuju dengan keadaan saya yang terpaksa berhadapan dengan senior-senior yang ala-ala rockers dan menyedut asap tengit yang bukan kemenyan. Asap itu mengundang bahaya buat diri yang digelar sebagai manusia pelaku sekunder.
Tahukah anda? Perokok sekunder yang tidak merokok secara terus mempunyai risiko kesihatan apabila menyedut udara yang tercemar oleh asap rokok. Malah keburukannya lebih besar daripada perokok primer. Protes diam itu menyebabkan saya mencari kedamaian dan tempat yang terasing, jauh dari semua warna-warni kemeriahan desasiswa. Jauh bukan terbuang, tetapi terbilang. Terbilang dek kerana satu-satunya tempat yang teristimewa. Banyak perkara yang ganjil-ganjil menjengah apabila berada sendiri, berseorangan. Tidak lupa, pengalaman 'bergelut' dengan makhluk di alam ghaib. Pengamal perubatan mengatakan bahawa fenomena tersebut disebabkan aliran darah tersekat. Atau mangsa terlalu keletihan sebelum lelap. Namun, dalam keadaan santai dan biasa-biasa kadang-kadang 'tetamu' yang tidak diundang menjenguk jua. Perbezaan alam menyebabkan hanya kesan kekejangan dan sesak nafas menyebabkan mangsa tahu dirinya sedang 'bergelut' dengan jin tersebut. Perlu diketahui melalui pengalaman yang dialami, saya mendapati kesemua peristiwa cemas bertitik tolak daripada kealpaan diri tidak membaca sebarang doa pelindung sebelum tidur. Benar, sebelum mata betul-betul lelap sekitar sepuluh minit memejam mata badan seperti ditimpa batu yang berat di dada. Mata terbuka, telinga mendengar bunyi di sekeliling. Nafas sesak, dan suara tertahan beberapa lama sebelum berjaya 'melawan' untuk melepaskan diri. Itulah serba sedikit alam mistik yang saya yakin ada di sekitar kita.
1 Comments:
itu yg orang panggil kene tindih tu ek?
Catat Ulasan
<< Home