Isnin, Disember 26, 2005

Arak dan fetus


Pada tahun 2005, saintis telah merakam imej bayi yang rosak dan tidak dilahirkan akibat amalan meminum arak oleh ibu ketika hamil. Pakar berpendapat hanya segelas arak seminggu mampu merencat perkembangan mental bayi yang akan dilahirkan. Tabiat buruk ibu hamil ini menyebabkan bayi menjadi 'tidak keruan' di dalam rahim. Ketidaknormalan kelakuan hiperaktif bayi disebabkan pembentukan sistem saraf pusatnya terganggu. Apabila ibu meminum etanol sebagai contoh, etanol akan melepasi plasenta dan memasuki persekitaran kitaran fetus. Etanol akan dicerna oleh fetus yang bernyawa, pencernaan makanan di dalam tubuh fetus menggunakan asid lemak sebagaimana manusia biasa. Sintesis akan berlaku apabila tindak balas kimia berlaku di antara alkohol dan asid lemak menghasilkan asid lemak etil ester. Dalam keadaan ini alkohol dikenal sebagai teratogen iaitu bahan kimia yang merencat perkembangan bayi dalam kandungan.

Profesor Peter Hepper dari Unit Penyelidikan Kelakuan Fetus, Belfast University telah menjalankan penyelidikan yang mengaitkan bahaya arak kepada ibu yang mengandung [2]. Kajian yang dibuat membabitkan 40 orang sukarelawati dari kalangan mereka yang hamil. Menurutnya 20 orang daripada sukarelawati mengaku mengambil alkohol manakala yang selebihnya tidak meminum arak sepanjang waktu mengandung. Semua sukarelawati menjalani ujian imbasan ultrabunyi pada minggu ke-18, 20,25,30 dan 35. Setiap siri ujian imbasan dibuat, beliau mengambil masa 45 minit untuk melihat kelakuan bayi dalam rahim. Beliau mendapati bayi-bayi yang dimiliki oleh ibu yang mengambil alkohol mempunyai gerak balas luar biasa seperti 'lompatan' secara terpaksa apabila didedahkan dengan bunyi bising (daripada alat ultrabunyi) dan beberapa rangsangan lain. Manakala bayi-bayi normal pula menunjukkan gerak balas yang 'matang' dan biasa.

Pakar neurologi kanak-kanak berpendapat, jika pembentukan sistem saraf pusat telah sempurna seawal minggu ke-18 fetus akan berkeadaan baik. Keadaan buruk yang diperoleh daripada kajian Profesor Peter Hepper merupakan gejala Sindrom Alkohol Janin (FAS - Fetal Alcohol Syndrome). Menurut Mohamed Izham Mohammed Ibrahim [3] seorang pelajar ijazah kedoktoran, kanak-kanak FAS biasanya mempunyai masalah pembelajaran, hiperaktif, gagal memberi tumpuan, kurang ingatan, sukar menyelesaikan masalah, tidak mempunyai koordinasi yang baik, gangguan percakapan, penglihatan dan pendengaran.

Nota kaki
[2] Jonathan Carr-Brown dan Mrtyn Halle, Alcohol makes baby twitch in the womb, News Sunday Times (Focus), 25 Dis 2005, ms. 16.
[3] Mohamed Izham Mohammed Ibrahim, Kesan Mudarat Alkohol Terhadap Janin, Buletin Pusat Racun Negara USM, 1998.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home