Vot dan 'kira-kira'.
Seorang sahabat saya membeli peralatan komputer dan meminta supaya dibilkan. Tauke kedai berbangsa Cina bertanya, "Nak tulis yang betul atau 'kira-kira'?" Apakah yang tersirat di sebalik perkataan 'kira-kira' itu? Sahabat yang membeli itu bukanlah membuat pembelian untuk kegunaan jabatan, tetapi untuk diri sendiri.
Biasanya urusan pembelian yang melibatkan harta syarikat atau jabatan, pembelian dilakukan dengan menyediakan vot yang tertentu. Jumlah vot kemudiannya disokong oleh baucer belian atau bil yang disahkan oleh pembekal barangan yang dibeli. Vot ialah amaun wang yang diperuntukkan bagi sesuatu projek atau aktiviti. Jika melibatkan aktiviti atau program biasanya anggaran kasar bagi vot dibuat sebagai langkah keselamatan untuk mengelak defisit. Lebihan daripada vot setelah dibuat audit akan dikumpulkan untuk perbelanjaan lain pada masa hadapan. Bagi kebanyakan jabatan kerajaan, vot tahunan yang dikeluarkan dalam jumlah tertentu dan semua wang mesti dihabiskan pada akhir tahun kewangan. Hal ini bermakna terdapat peluang bagi kakitangan untuk membuat tuntutan yang lebih berbanding nilai belian yang sebenar dan dimasukkan ke dalam poket sendiri. Ini sebab kita biasa mendengar kes bersuhabat melakukan penipuan tuntutan bayaran yang melampaui nilai munasabah. Demikian yang sering berlaku apabila kedua-dua pihak berpakat untuk sama-sama melakukan penipuan tersebut. Malang juga jika peniaga dan kakitangan berkongsi 'keuntungan' yang diperoleh daripada tuntutan palsu yang hanya diketahui oleh mereka. Jika terdapat keraguan, nasib tidak akan menyebelahi pesalah dan mereka akan dikenakan tindakan tatatertib.
Kisah di atas diceritakan bukanlah sebagai dorongan kepada sesiapa untuk membuat perkara yang salah ini demi kepentingan dan kehendak untuk memenuhi gaya perbelanjaan. Bahana berbelanja melebihi kemampuan kewangan akan mendorong seseorang melakukan penyelewengan hatta seorang yang diamanahkan sebagai amil zakat. Sepanjang menjadi amil zakat Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang, penulis telah mendengar kes menggemparkan melibatkan amil zakat. Dek kerana pengaruh wang, amil zakat juga tidak boleh mempertahankan godaan sehingga sanggup menggunakan wang kutipan zakat sebagai modal untuk memulakan perniagaan. Isu berhubung pengurusan zakat dan kelemahan sistem pengurusan PUZ mendapat liputan meluas dalam majalah Melenia Muslim terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) edisi Disember 2005. Justeru perlu diingat bahawa sebagai seorang kakitangan kerajaan atau swasta yang berpendapatan sederhana, janganlah berangan-angan untuk menikmati gaya hidup mewah dengan membeli material yang mahal-mahal di luar kemampuan diri. Semua orang tahu, kemewahan material mempunyai prestij yang tersendiri. Namun secara logik, apa guna prestij jika di sebaliknya ada 'gunung' hutang? Setiap hari, fikiran tidak terlepas daripada memikirkan cara mendapat lebih banyak wang dalam masa yang singkat untuk membayar semua perbelanjaan yang dibuat.
Kesimpulan, hanya keimanan menjadi benteng terakhir untuk memastikan seseorang menjalankan amanah kerja dengan baik.
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home