Isnin, Januari 02, 2006

Perebutan kuasa


Tahun 2005 berakhir dengan beberapa peristiwa yang mengejutkan. Pastinya perebutan kuasa tertinggi dalam beberapa pertubuhan belia yang didominasi orang-orang Melayu, menarik perhatian massa. Kepimpinan beberapa pertubuhan yang dikatakan tidak lagi releven kerana diterajui oleh tokoh yang lewat umurnya, tidak mempunyai impak kepimpinan dan tidak memahami citra ahli-ahli muda untuk bergerak. Agenda-agenda persatuan yang sepatutnya berjalan dengan licin telah terganggu akibat pergaduhan yang tidak berkesudahan. Belia seharusnya ditrajui dan dipimpin oleh mereka yang berdarah muda, memahami kehendak ahli dan mementingkan pertubuhan. Bukannya terus-menerus menerima padah kemandoman proses penyelesaian sehingga melibatkan pihak-pihak lain untuk campur tangan. Tiada jalan yang baik melainkan kedua-kedua pihak yang bertelagah dalam perebutan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS )misalnya mengundur diri.

Selain GPMS yang sekian lama di bawah Dato' Suhaimi Ibrahim, Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) dengan ketuanya Dato' Syed Hamid Albar dan Pertubuhan Belia 4B yang dipengerusikan Datuk Seri Ali Rustam juga menampakkan riak-riak keretakan dan krisis kepimpinan. Lebih melucukan apabila terdapat sesetangah pihak yang menawarkan diri untuk menjadi presiden untuk GPMS [1], sedangkan hal itu tidak sepatutnya berlaku. Sesebuah organisasi yang besar hanya dapat diurus dengan berkesan jika majoriti ahli di seluruh negara bersepakat mencalonkan orang yang difikirkan paling layak. Maknanya pemilihan dibuat kerana kredibiliti, bukannya populariti atau pengaruh peribadi yang sempit. Namun begitu terdapat juga pendapat bahawa pemimpin belia haruslah dari kalangan mereka yang berpolitik [2]. Apa beza orang yang berpolitik menjadi presiden jika tidak disertai tujuan politik (political will)? Amatlah sukar sekiranya pemimpin belia dari kalangan orang politik menunjukkan gaya kepimpinan yang tidak terarah kepada matlamat politiknya. Apakah logik seorang yang memegang jawatan dalam UMNO misalnya, tidak menerapkan nilai-nilai aspirasi UMNO-BN dalam persatuannya? Jawapannya, tentu tidak.

Krisis kepimpinan berlaku dalam sesebuah organisasi apabila tiada kesan signifikan dari segi pencapaian objektif penubuhannya. Agenda-agenda pertubuhan telah dikesampingkan dengan kepentingan peribadi di samping tidak mendapat sokongan daripada ahli-ahli. Tempoh mengepalai persatuan dan pengekalan stail yang lama menjadikan pergerakannya tidak dapat memenuhi citarasa dan kehendak ahli-ahli yang inginkan perubahan. Rentak pemikiran orang yang telah lewat usianya sudah tentu tidak sama dengan mereka yang lebih muda. Tempias dan aura kepimpinan tidak meresap masuk ke sanubari pengikut apabila idea-idea baru tidak diguna pakai untuk menampakkan perubahan. Hal ini secara tidak langsung menjadi faktor penolak sehingga pengikut-pengikut di peringkat bawahan membuat reformasi, agar dengan penampilan muka baru yang lebih diyakini memberi impak kepada pergerakan pertubuhan. Sebenarnya tidak perlu skeptikal terhadap tentangan terutama apabila terdapat kemahuan untuk bertukar kepimpinan. Cuma hal pemimpin yang lama tidak mahu tunduk kepada kehendak ahli bawahan menyebabkan proses penyusunan semula organisasi menjadi serba tidak kena. Tidak pernah dalam sejarah, terdapat dua orang Presiden dalam satu persatuan. Nampaknya 'Malaysia Boleh!' [3] sudah membuktikan kebolehannya sambil ditertawakan oleh pemerhati lain sama ada yang berkepentingan atau pun tidak.

Satu hal yang dikenal pasti dalam pergolakan pertubuhan ialah ketiadaan agenda yang solid untuk diperjuangkan oleh mereka. Apakah benar terdapat agenda pembangunan umat Melayu benar-benar ikhlas diperjuangkan? Jika begitu, apakah fungsi pertubuhan belia yang wujud selama ini? Kita tidak pernah mengetahui apakah fungsinya, tiba-tiba heboh dan mendapat perhatian hanya apabila berlaku krisis kepimpinan. Saya pasti, ramai di kalangan kita tidak tahu kewujudan GPMS sehinggalah tersebar isu perebutan tampuk kepimpinannya. Persoalannya, apakah wajar diwujudkan pihak timbang tara bagi menyelesaikan pertelingkahan ini atau kedua-kedua Presiden yang telah 'dilantik' semula berundur? Wajarkah GPMS diberi nafas lagi oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS)? Kita telah kerugian banyak masa, buah fikiran, tenaga dan tumpuan selagi isu GPMS tidak selesai.

Nota kaki

[1] Menteri Besar Perlis tawar diri presiden GPMS. Utusan Malaysia, 31 Disember 2005.
[2] Kenyataan akhbar mengenai pandangan Menteri Besar Pahang dalam berita bertajuk 'Pemimpin GPMS perlu berlatar belakang politik', Utusan Malaysia, 2 Jan 2006.
[3] Rekod ini boleh dimasukkan dalam Malaysia's Book of Record. Boleh juga dicadangkan sebagai rekod baru dunia!

1 Comments:

At 4:56 PTG, Anonymous Tanpa Nama said...

Bila diri dikuasai oleh ego dan tamak kuasa beginilah jadinya. Bangsa tergadai..!!!
Kalau kat perhimpunan tu nyanyi anak kecil main api la apa la... last teladan mereka tunjuk kat kita.

 

Catat Ulasan

<< Home