Khamis, Jun 30, 2005

Kelas Tasmi' Pusat Islam USM Kejuruteraan


PENDAHULUAN
Kelas tasmi’ Al-quran dan bacaan dalam solat merupakan program berterusan daripada Pusat Islam bertujuan memberi peluang kepada semua pelajar, staf dan masyarakat sekitar kampus untuk mempelajari atau mengulangi ayat-ayat Al-quran dan bacaan-bacaan ketika solat bagi merealisasikan tuntutan agama supaya menjadi muslim yang istiqomah dan khusyu’ dalam mengerjakan ibadah.


OBJEKTIF

• Memelihara lidah daripada melakukan kesilapan dalam bacaan ketika menunaikan ibadah solat.

• Membentuk pelajar, staf dan masyarakat sekitar menjadi insan istiqomah dalam pembacaan Al-Quran.


• Membentuk insan yang khusyu’ dalam solat dengan menghafaz dan menghayati makna-makna bacaan ketika solat

• Menanam nilai-nilai murni yang universal berasaskan Al-Quran & Sunnah.


• Menjadikan masjid sebagai pusat yang melaksanakan prinsip Ajakan Kebaikan dan Cegahan Kemungkaran.


SASARAN

Terbuka kepada semua pelajar, staf dan masyarakat sekitar kampus yang berkehendak untuk mengulangi bacaan Al-Quran serta mempelajari dan memperbetulkan bacaan ketika solat.


TARIKH, TEMPAT DAN MASA

Tempat : Masjid Kampus Kejuruteraan USM.

Hari : Selasa

Masa : Selepas Maghrib


PENGELOLA

Ustaz Mohd Zawawi Bin Awang


FAEDAH

Setelah program ini dijalankan, diharapkan banyak faedah yang akan diperolehi. Antara faedah-faedah yang akan dicapai ialah

• Melahirkan muslim yang celik Al-Quran dan sentiasa membacanya.

• Peserta dapat mengkhatamkan Al-Quran.

• Solat menjadi lebih sempurna dengan bacaannya yang betul.

• Mengingati makna bacaan-bacaan dalam solat, seterusnya menjadi khusyu’ ketika melakukan ibadah solat.

• Dapat menggalakkan penglibatan masyarakat kampus dan luar kampus dalam aktiviti-aktiviti masjid.

Cantik di mata belum tentu ‘cantik’ hatinya…


Memamg tangan ini tidak boleh duduk diam, setelah seminggu tidak berposting, terpaksa jua mencuri peluang di Pejabat untuk menaip artikel ini.
--------------------------------
Hari ini sekali lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datok Pa mengeluarkan hujah-hujah yang bernas untuk membayangkan kepada rakyat bahawa Minyak Petrol akan naik lagi. Jika harga minyak naik lagi dalam masa terdekat ini, bermakna sudah empat kali kenaikan harga minyak petrol berlaku pada tahun 2005 ini. Kita tidak mahu mengatakan ia sebagai justifikasi atau apa-apa lagi kerana ia sememangnya sudah menjadi sifir dan formula yang wajar dilakukan oleh mereka yang menetapkan dasar dalam pemerintahan negara. Siapalah kita untuk mempersoal nilai dan ragam fiskal negara?

Kedua, kejadian membunuh semakin manjadi rutin di kalangan remaja melayu kini. Terbaru kes di Persiaran Gurney melibatkan remaja yang mabuk dan bertindak melulu kerana salah sangka akibat teguran yang dibuat selepas mengganggu seorang remaja perempuan. Apa sudah jadi? Arak sudah menjadi minuman biasa pula pada sesetangah remaja Melayu yang sinonimnya beragama Islam.

Ketiga, ketika kita melihat kenaikan harga yang kerap, apakah tidak ada usaha yang digagaskan bagi menstabilkan semula sumber tenaga itu? Sepatutnya inilah masa yang sesuai untuk kita memanfaatkan sumber dan kepakaran yang ada untuk menghasilkan inovasi baru dalam bidang permotoran. Syarikat permotoran sudah semestinya meyediakan vacuum penyelidikan dalam rekaan enjin hybrid supaya dapat diadaptasi kepada penggunaan biodesel. Sumber yang banyak dan mempunyai potensi pula adalah minyak sawit walaupun di Negara maju yang lain minyak kanola atau kacang soya atau jagung atau gula tebu dijadikan sumber minyak biologi ini. PETRONAS selaku GLC utama yang menyumbang kepada income kerajaan tidak harus terlalu menumpu untuk mendominasi pasaran minyak kenderaan kerana FELCRA dan FELDA juga merupakan GLC yang memainkan peranan yang sama dalam pembangunan ekonomi negara. Perbezaannya di sini adalah apabila minyak sawit diberi perhatian untuk pembuatan biodesel, ia memberi nilai tambah kepada puluhan ribu peneroka yang mengusahakan komoditi sawit ini sekali gus menaikkan nilai wang yang diperoleh oleh mereka.

Keempat, ketika kerajaan sibuk-sibuk menegaskan bahawa kadar pergantungan ringgit dijangka terus kukuh dan stabil, rakyat yang masih tercari-cari peluang pekerjaan dengan gaji yang berbaloi terus bertambah. Kestabilan ringgit berkait rapat dengan hubungan antarabangsa yang dilihat dan dinilai daripada kestabilan politik. Malaysia masih lagi aman, tetapi keamanan itu telah dicemari dengan insiden-insiden yang cemar terutama rasuah politik. Kita melihat bagaimana kewajaran tindakan ketua utama yang berjaya menjadikan orang kanannya sebagai kambing hitam, walaupun sebenarnya masih banyak yang terlepas dan mampu bersahaja. Jika ia benar-benar ingin membersihkan imej partinya, saya yakin lebih 50% daripada mereka yang berjawatan dalam parti itu akan dipecat.

Fikir-fikir, siapa kita untuk menjangkakan yang sebaliknya? Apakah realiti menggambarkan potensi? Tidakkah potensi boleh menjadikan sesuatu imaginasi sebagai suatu realiti? Cantik di mata belum tentu ‘cantik’ di hatinya, kadang-kadang manusia ada masanya takut kepada bayang-bayangnya sendiri walau dia mengerti bayang-bayang itu tidak mampu memudaratkan dirinya. Kata orang sarjana “Tidak ada wang, jangan sembang lebih”.

Rabu, Jun 22, 2005

Apa khabar Terengganu

Berita di muka surat hadapan Metro hari ini (22 Jun) sungguh memalukan. Seorang ibu yang kehilangan bayinya yang baru dilahirkan enam jam “Kecewa pihak hospital lapor selepas 5 jam” dan “Gaya baru remaja perempuan Islam”. Sememangnya penyakit ummah kini telah menjadi satu fenomena yang menggerunkan keamanan kita. Dahulu kita hanya mendengar orang mencuri wang ringgit atau harta material yang boleh ditukarkan kepada wang. Hari ini, menusia yang terdesak dan kepingin memilik anak pula menculik bayi yang dikandung dengan susah payahnya oleh seorang wanita lain. Saya melihat peristiwa ini sebagai tiada kaitan dengan wang ringgit. Penculik bayi tersebut tidak akan menjadikan bayi itu sebagai tebusan dengan meminta galang ganti sejumlah wang. Saya melihat kejadian cilik ini sebagai rasa dan keinginan seorang yang amat mengharapkan seorang anak hadir dalam kehidupannya. Kita tunggu dan lihat cerita berikutnya dalam laporan akhbar selepas ini.

Berita kedua pula memaparkan karenah remaja Islam zaman moden. Suara dari pegawai agama di Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) tentang budaya punk di kalangan remaja perempuan. Berpakaian singkat yang menampakkan pusat, bertatu dan seumpamanya. Semoga para pembaca coretan ini tidak tergolong dari kalangan mereka. Belek dan terus belek, terpampang pula cerita HIV/AIDS, “Kes HIV/AIDS meningkat secara mendadak di Kelantan”. Alih-alih Kelantan juga yang menjadi ikon kambing hitam, hari-hari kita dengar kenyataan yang menggunakan nama Kelantan. Di mana perginya nama Terengganu yang bersebelahan Kelantan? Tidakkah di Terengganu kini, rakyatnya sudah mengamuk membantah tindakan kerjaaan negeri yang merobohkan masjid dan rumah-rumah peserta RTB yang diberi tanah oleh sebuah kerajaan yang sah? Jika anda masih belum melihat dokumentasi keangkuhan pemerintahan ini, silalah luang sedikit masa melihatnya sendiri di link ‘Jasamu’ Be End dalam ruangan ‘Link yang Menarik’ dalam sisipan sebelah kiri blog ini. Untuk melihat tayangan video ini, anda perlu membukanya menggunakan Real Player®. Klik untuk download RealPlayer 10

Saya sebagai anak Terengganu begitu tersentuh dan menitiskan air mata juga apabila melihat paparan dokumentasi tersebut. Apabila kita dikhabarkan, rumah orang Palestin diroboh, kita menjadi marah dan sedih. Apakah kita tidak sedih apabila melihat rumah hatta sebuah masjid dirobohkan di tanah air kita? Jika tidak sedih, anda bukan manusia, bukan seorang yang ada secebis naluri kemanusiaan. Di Terangganu bantahan besar-besaran sedang berlaku.

Sekian.

Isnin, Jun 20, 2005

Fakta Menarik 20 Jun



Fakta 1

Bekalan Elektrik Luar Bandar. Sejumlah RM463.6 juta telah dibelanjakan bagi pelaksanaan program bekalan elektrik luar bandar, yang memberi manfaat kepada 101,530 isi rumah tambahan di luar bandar dalam tempoh Rancangan (RMK-7). Daripada jumlah ini, 30,040 merupakan isi rumah luar bandar di Sabah dan 53,630 di Sarawak. Selain daripada itu, Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik yang disumbangkan oleh penjanakuasa elektrik telah ditubuhkan pada tahun 1997. Menerusi program bekalan elektrik luar bandar berkenaan, sejumlah 8,200 isi rumah di Semenanjung Malaysia telah turut dibekalkan elektrik. Pada penghujung tempoh Rancangan, liputan elektrik luar bandar di Malaysia ialah 93 peratus, seperti ditunjukkan dalam Jadual 11-10 [1].

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Jadual 11-10

Fakta 2

Dalam tempoh Rancangan (RMK-7), penyertaan Bumiputera dalam industri bekalan elektrik telah dipertingkatkan lagi melalui Program Pembangunan Usahawan TNB, termasuk memberi bantuan dalam pembuatan produk terpilih yang digunakan oleh industri tersebut, menawarkan khidmat nasihat kepada kontraktor dan mengadakan dialog dengan pertubuhan perniagaan Bumiputera yang berkaitan. Pada penghujung tempoh Rancangan, terdapat 42 vendor Bumiputera yang terlibat dalam pembuatan menara penghantaran, alatubah, gearsuis, peti pembekal, bidur kabel dan aksesori kabel, lampu jalan dan aksesori serta meter elektrik. Program Pembangunan Vendor yang diwujudkan oleh PETRONAS telah memberi manfaat kepada 43 vendor Bumiputera yang terlibat dalam pembuatan dan perkhidmatan teknikal bagi industri minyak dan gas yang kebanyakannya terdiri daripada pembuatan penukar haba, jeriji keluli, gasket ikatan pilin, bidur kabel, bekas pelincir plastik dan gelung pengikat wayar serta penyediaan perkhidmatan seperti penyelenggaraan loji/tangki dan penerbangan helikopter sewa khas [2].

Fakta 3

Minyak Mentah: Carigali dan Pengeluaran. Rezab minyak mentah negara dijangka bertahan untuk sekurang-kurangnya 10 tahun lagi. Untuk menampung rezab tersebut, usaha yang akan dilaksanakan termasuklah membangunkan lapangan minyak kecil yang berpotensi dan meningkatkan pengeluaran lapangan yang matang. Selain daripada itu, carigali di kawasan laut dalam akan diteruskan khususnya di Sabah dan Sarawak. Ini akan membolehkan paras pengeluaran purata dikekalkan pada 600,000 tong sehari dalam tempoh RMK-8 ini. Untuk menarik pelaburan dalam aktiviti carigali, terma kontrak perkongsian pengeluaran yang lebih baik akan dipertimbangkan. Usaha lain untuk mengekalkan pengeluaran minyak termasuklah memperolehi teknologi terkini dalam carigali dan pengeluaran serta memperhebatkan penyelidikan dalam pengekstrakan minyak dan pengurangan kos. Untuk meningkatkan lagi kadar pengekstrakan minyak, usaha akan ditumpu bagi memperbaiki produktiviti dan kecekapan. Pengeluaran minyak dalam negeri akan ditambah dengan bekalan minyak mentah daripada pelaburan PETRONAS di Afrika, Timur Tengah dan Asia [3].

Fakta 4


Memandangkan Petroleum semakin berkurang, maka sudah terdapat dasar baru yang digariskan bagi menghadapi keadaan ini. Kajian dan penyelidikan Bioteknologi mula dibangunkan untuk menghasilkan biodesel. Pernahkah anda dengar, minyak kenderaan dari gula tebu? Atau minyak dari glukosa yang diambil dari bahan-bahan yang mempunyai asas kanji? Semua penyelidikan itu sudah lama dijalankan di negara-negara maju untuk memastikan produk mesra alam. Dan anda pasti biasa mendengar minyak diesel yang diperbuat daripada minyak sawit [4]. Baca juga BEKALAN MINYAK DUNIA MERUNCING, APA PILIHAN KITA?

Fakta 5

Rakyat Malaysia terpaksa berbelanja lebih pada bulan lalu apabila kadar inflasi negara meningkat sebanyak 3.1 peratus, lonjakan tertinggi dalam tempoh lebih enam tahun. Paras itu adalah lebih tinggi berbanding kenaikan sebanyak 2.7 peratus pada bulan April, sekali gus melangkaui unjuran pasaran yang menjangka inflasi akan kurang daripada tiga peratus. Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 3.1 peratus kepada 108.8 pada bulan Mei 2005 berbanding 105.5 bagi bulan yang sama tahun lepas. Kadar inflasi tertinggi pernah dicatat Malaysia ialah selepas krisis ekonomi serantau iaitu 3.8 peratus pada bulan Februari 1999. Kadar inflasi bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini ialah sebanyak 2.6 peratus, melebihi purata 2.5 peratus yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia bagi keseluruhan tahun ini. Peningkatan 2.6 peratus dalam IHP ialah kenaikan dalam semua kategori kecuali pakaian dan kasut yang menurun 1.1 peratus [5].

Fakta 6

Tulisan jawi tidak pernah bangkit sejak diharamkan oleh Tan Sri Khir Johari sekitar tahun 1968 sehingga generasi ke generasi buta jawi yang memberi implikasi genarasi muda buta al-Quran. Program pemulihan Jawi memakan belanja jutaan ringgit, kini wujud J-QAF di sekolah-sekolah kebangsaan. Di Perak sahaja, sedang dibuat percubaan di 123 buah sekolah kebangsaan dengan pengambilan guru J-QAF melebihi 600 orang. Diberitakan bahawa J-QAF hanya akan bertahan dari 2005-2011. Program pemulihan Al-Quran melalui KAFA juga menelan belanja jutaan ringgit. Kedua-dua program ini adalah kesan keputusan yang merugikan umat apabila tulisan jawi diharamkan oleh kerajaan. Kesan sampingan lain juga timbul. Apabila generasi muda tidak sudah tidak terikat dengan tulisan jawi dan al-Quran, maka gejala sosial mula bermaharajalela. Gejala dadah sebagai contoh yang klasik, kerajaan terpaksa berbelanja RM3.7 juta sebulan atau RM45 juta setahun untuk merawat mereka yang terlibat [6]. Ucapan dalam Seminar Memperkasa Kualiti Keguruan SAR ke-3 sempena AGM PPSR ke-9.

Fakta 7

Sehingga kini terdapat lebih 38000 pelarian yang berdaftar dengan UNHCR, badan kebajikan pelarian di bawah Petubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Daripada jumlah itu, 20000 adalah dari Acheh dan 11000 daripadanya adalah pelarian bangsa Rohingya (orang Islam Myammar). Pada April 2005, UNCHR dan pertubuhan kebajikan pelarian menerima berita baik apabila Menteri Perumahan, datuk Azmi Khalid mengumumkan permit duduk (bermastautin) sementara kepada pelarian Rohingya. Mereka boleh mendapat hak berkerja dan kebajikan dalam aspek kesihatan dan pendidikan [7]. Bagaimana pula dengan PATI? Pada tahun 1998, ia dianggarkan bahawa terdapatnya sejuta pekerja migran di Negara Thai, dengan hanya 300,000 daripada mereka berada di negara itu secara sah. Malaysia pula dianggarkan menjadi destinasi bagi 1.8 juta pekerja asing, dengan kebanyakan mereka datangnya dari Indonesia, Bangladesh dan Filipina. Hanya 500,000 daripada mereka dikatakan mempunyai dokumen perjalanan yang sah, dan malah beberapa sumber mengatakan bahawa jumlah itu mungkin lebih tinggi lagi, terutamanya di negeri Sabah [8].

Rujukan
1. Laporan RMK-7, ms. 340
2. Laporan RMK-7, ms. 343
3. Laporan RMK-7, ms. 346
4. MPOB sedia dasar diesel sawit negara
5. Kadar Inflasi Tinggi: Jabatan Perangkaan Malaysia
6. Ucapan dasar Presiden, AGM ke-9, PPSR, 18 Jun 2005. ms. 7-8
7. Jessica Lim, All they want is …REFUGE, NST (Focus), June 19, 2005, pg. 6.
8. Muhammad Salleh (Sept. 2002), Realiti di sebalik isu pendatang tanpa izin, ms. 1

Sabtu, Jun 18, 2005

Polemik Beri Kondom & Jarum Suntikan Percuma

BILA MARINA MAHATHIR TAHU BAB KAEDAH USUL FIQH

Oleh : Dr. Mariah

Tarikh : 15 Jun 2005, 9:29 pm

Assalamulaikum semua,

Nampaknya dalam isu jarum percuma dan kondom, ulamak PAS masih membisu. Kita tak sepatutnya hanya mengkritik cadangan kementerian kesihatan dan juga Marina Mahathir and Co. Sepatutnya kita bawa cadangan balas.

Dalam menangani HIV/AIDS, kita perlu melihat pelbagai pendekatan. Kelemahan kementerian kesihatan ialah mereka hanya dapat memberi cadangan yang mereka boleh kawal, laksana dan nilai. Sebagai doktor saya nampak rasionalnya.

Objektifnya ialah mengawal perebakan HIV/AIDS bukan mengawal perzinaan! Mereka hanya mampu mendidik tabiat mengguna jarum bersih dan mendidik bagaimana melakukan seks selamat! Mereka tidak mampu mengubah hati-hati manusia. Apa pun di dalam perubatan, pencegahan itu diutamakan seperti juga di dalam Islam. Namun, dalam perubatan sekular ni, mengubat kefasikan tu tak ada dalam silabus dan mereka tak tau nak buat cammana.

Saya melihat yang PAS mesti membawa satu cadangan yang lebih mantap.
1) Short term measures (prevent spread of HIV/AIDS). Save lives.
2) Long term measures - menjauhi maksiat melalui pendekatan agama

Saya faham kita skeptikal tentang cadangan Marina Mahathir. Tetapi kalau betul ulama Iran, China dan lain-lain negara Islam boleh menerima cara ini (dan kita wajar mendengar penjelasan mereka, kaedah usul fiqh apa dan mana yang mereka pakai) sebagai penyelesaian jangka masa pendek dan mengambil peluang turun ke padang untuk mendekati mereka-mereka (penagih dadah) dan kemudian berdakwah kepada mereka, why not? Sekarang ini pun kita tidak buat apa-apa dengan golongan ini. Kita baru belajar turun padang dengan mengedar risalah di kelab-kelab dsbgainya.

Saya tahu kita sering mengkritik kerajaan tentang approach mereka terhadap segala masalah sosial dan akhlak. But what have we done, in our own small way?

I hope ulamak PAS akan lebih berani bertemu dengan NGO-NGO dalam hal ini and listen to them. They worked with the drug addicts and the HIV/AIDS victims. Kita masih beretorik. How can we begin to correct the morals of these people when we don't even listen to them. I hope our ulamak will be brave to lead a team from PAS and be brave enough to say YES to the current suggestion of distributing needles and condoms BUT also demand that this is NOT the only measure. Emphasize we need to educate these people and say that ulamak PAS is willing to counsel and help rehabilitate the drug addicts and the HIV/AIDS victims.

Please remember, the process of ijmak ulamak has long not taken place. Usually one or two ulamak says something and the rest stay mum. Isu ini memerlukan ijtihad ulamak. You give the condoms or not, the sexually active ones will still have sex with their wives or with other people. These are the victims. Even if the partners is not the wife, and some of us may say, they deserve to get infected for sinning, please remember that these people can spread the virus to the unborn child, donate their blood to the blood bank (and you may need blood one day!!).

Perzinaan tetap berlaku dikalangan mereka. Ada kondom ke tak ada sama saja. Saya sendiri tidak bersetuju yang jika kita kata dengan memberi kondom percuma kepada penagih dadah, kita menggalakkan perzinaan. Ini bukan lojik. Kondom percuma pun belum tentu mereka pakai!! Kalau lojik ini betul (kondom=zina), beri pada orang beriman pun sama kesannya (dan ini tak betul).

So ustaz Nasha, can we get a few ulamak to spearhead this and I will be with them in their team.

I welcome discussions!!! Please don't brand me anti-Islam pulak!!! Tolonglah

Dr Mariah


Komen:

Apakah tidak ada cara lain supaya kaedah perubatan yang difikirkan menepati syariat? Dato' Harussani punye cadangan yang bagus pun tak nak buat? macam mana lagi? Pada saya cadangan Mufti lebih realistik dan menepati syariat Islam.

Khamis, Jun 16, 2005

Tanggungjawab Pemuda Islam 9



DUA HAKIKAT PENTING DI GELANGGANG POLITIK YANG MESTI DIKETAHUI OLEH PEJUANG ISLAM

Saudara-saudara yang mulia…..
Dalam kegelapan yang menghitam ini, di sana masih terdapat harapan yang cerah,
berkerlipan cahayanya, dalam dua hakikat ini :

PERTAMA: Sesungguhnya Allah telah menurunkan bala ke atas penduduk yang
atheis, yang berterusan dalam kefasikan. Allah telah menurunkan bala kepada penyeru yang menghalalkan segala-galanya. Allah telah memecahkan mereka menjadi berpuakpuak, sebahagian dari mereka menggunakan kekuatan dalam usaha menghancurkan sebahagian yang lain. Inilah di antara kelebihan-kelebihan Allah yang dikurniakan kepada hamba-hambanya.

Firman Allah :
Maksudnya : "..dan andainya Allah tidak mempertahankan setengah mereka dengan setengah yang lain nescaya rosaklah bumi…" (Al-Baqarah : 251)
Kerana kalau mereka memanah umat Islam dengan busur yang satu nescaya jadilah bagi umat Islam satu penyakit teruk yang tidak boleh diubati lagi, tetapi mereka jadikan syaitan sebagai penolong mereka.

Firman Allah :
Maksudnya : "..dan sesungguhnya tipu helah syaitan itu adalah lemah.."
( Al-Nisa’ :76 )

KEDUA: Jiwa penganut Islam tidak kurang semangat mereka terhadap Islam dan
kemuliaan. Apa sahaja usaha dan perbuatan meruntuh dan menghancur yang dilakukan oleh pemimpin dan penyeru sekular tidak melemahkan mereka. Di sana ada beberapa bukti yang menunjukkan bahawa apabila ada satu jemaah yang cergas, cukup lengkap dengan syarat keahliannya untuk menjalankan peranan kepimpinan dan pentadbiran, jemaah yang tegak di atas keimanan yang kuat dengan berpegang teguh kepada Islam, yang bangun di atas akidah yang kuat dengan dasar Islam dan keazaman yang benar untuk mengorbankan segala2 pada jalan ini, sama ada perkara yang dikorbankan itu mahal atau murah maka tidak syak lagi bahawa pada akhir nanti dokongan umat akan kembali kepada mereka. Allah akan memberi kemenangan kepada mereka di dalam pertempuran yang menentukan di antara yang haq dengan yang batil. Merekalah yang akan bertanggungjawab membersihkan umat Islam dari segala bentuk najis fahaman atheis tidak bertuhan, amalan fasik dan jahat. Kemuliaan, kebahagiaan dan kemakmuran akan kembali seperti di abad sebelumnya.

Firman Allah:
Maksudnya : Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah ( kerana ) tidak berputus asadari rahmat Allah kecuali golongan yang kufur.
( Surah Yusuf: Ayat 87 )



bersambung......

Selasa, Jun 14, 2005

Ya Tuhan, kurniakanlah......

Semalam saya mengikuti kuliah Ust. Md. Nor Zakaria. Beliau mendedahkan penangkapan 40 orang remaja dan belia yang terlibat dengan kumpulan Black Metal versi baru iaitu JIT. Apa itu JIT? J=Jangan, I=ingat, ikut, T=Tuhan, pendek kata ‘Jangan Ingat Tuhan, Jangan Ikut Tuhan’. Penagkapan ini bukan sahaja tangkapan yang biasa tetapi jelas dengan bukti dokumen-dokumen yang digunakan untuk mendakyah golongan remaja Islam yang menjadi sasaran.

Hari ini, kita boleh berlapang dada kerana masih ada manusia yang mahukan agama dan ada sensitivity agama. Tetapi tidakkah kita bimbang pada masa akan datang, generasi selepas kita, zuriat yang bakal diturunkan dari darah daging kita mengatakan “Apa itu agama?” Pada ketika itu, manusia menjadi lebih kalut dan serabut dengan kepunahan duniawi. Apabila sampai kemuncaknya, mereka pasti kembali memikirkan nilai agama. Bersediakah kita pada saat itu? Sebenarnya sudah dinyatakan dengan jelas, ketika berlakunya demikian, dunia sudah berpenghujung. Kiamat sudah hampir, dan kita semestinya tidak mengharapkan agar kita berada pada zaman tersebut. Persoalannya, apakah kita yakin akan panjang umur untuk berhadapan dengan semua itu? Jika sekarang ini, kita mungkin rasa sudah serabut dan rimas dengan senario kemusnahan ummah, kita sebenarnya baru melihat benih-benih kebencian kepada agama yang baru bertunas.

Maka apakah persediaan kita? Siap siagalah kita untuk menghadapi keadaan yang dahsyat ini. Ayuh, kita mantapkan pemikiran kita dengan ilmu agama yang baik supaya pemahaman terhadap agama menjadi jitu. Setidaknya kita mampu mengatakan perkara ini halal dan itu haram, bukan sekadar mengatakannya tetapi tahu hujahnya. Orang yang bercakap dalam dunia hari ini dengan lunak bahasa sahaja sudah tidak diterima. Dunia kini memerlukan aspek penguasaaan mental yang hanya boleh dicapai dengan ilmu. Seperti teori sains, ia tidak praktikal selama mana tidak dibuktikan secara amali. Jadi, wajah-wajah dan watak diri kita bukanlah seorang yang hanya mampu bercakap tetapi tidak pandai memberi contoh. Maka hal ini menjadikan dakwah ar-rasul Muhammad S.A.W menjadi unggul. Baginda menjadi seorang pendakwah ‘bil-hal’ iaitu sebagai role model untuk diikuti oleh orang lain.

Masalahnya hari ini, orang sibuk bercakap tentang perjuagan Islam sedangkan pada masa yang sama kita lihat anaknya, isterinya dan orang yang terdekat dalam keluarganya tidak mempraktikkan Islam yang betul. Jadi bagaimana wadah Islami yang ingin ditonjolkannya berbekas dalam jiwa orang yang didakwahnya? Kita tidak usah pergi jauh-jauh, cuba lihat contoh ini. Suatu hari seorang rakan anda yang lelaki memakai seluar pendek menegur seorang adik senior di sekolah kerana memakai seluar pendek. Anda akan mendapati teguran itu dianggap sebagai suatu gurauan semata-mata. Jika pada ketika yang lain, orang yang sama ditegur oleh seorang yang warak, maka sudah tentu nasihat itu berbekas juga dihatinya. Pelajar yang menerima nasihat menjadi segan dan menghormati tazkirah yang tersebut. Pada ketika yang lain, apabila bertemu dia pasti tidak berseluar pendek lagi. Atau contoh lain, ada seorang tua berkata “Ya, kita mahu Islam ini, dan bukan Islam itu” Maka tanyalah orang yang mendengar, “Apakah Islam ini dan bagaimana pula bentuk Islam itu? Pakcik yang tua itu terdiam tidak dapat menjawabnya. Maka bagaimana kita dapat menerima mesej dakwah yang cuba disampaikannya? Begitu juga dengan orang lain, jika kita ingin mengajarkan sesuatu kepada orang, biarlah kefahaman kita betul dan kita dapat memberi penjelasan kepada perkara yang disebutkan.

Sebagai kesimpulan, jika anda mahu melihat generasi selepas anda atau zuriat yang bakal lahir dari sulbi anda menjadi ummah yang cemerlang dunia akhirat, bersedialah untuk membina institusi keluarga Islam dari diri anda. Anda bukan pemula dan bukan juga pengakhir. Anda boleh melihat contoh keluarga Islam yang sudah ada di hadapan mata anda, dan pelajarilah aspek kekeluargaan Islam itu supaya nanti masyarakat Islam madani yang menjunjung lunas Islam dapat dilahirkan. Jika bukan kita, siapa lagi? Ya Allah kurniakanlah…….. kami Isteri dan zuriat yang soleh…..sebagai penyejuk mata..Sekian terima kasih.

Isnin, Jun 13, 2005

Fakta Menarik 13 Jun

Fakta 1

Teknologi pengimejan sekali lagi meningkatkan keupayaanya apabila kaedah Computed Tomography (CT) diperkenalkan. CT membolahkan pakar forensik atau doktor bedah melihat imej di dalam badan manusia bukan sekadar imej sinar-X tetapi juga pelbagai keratan rentas bahagian badan dalam bentuk tiga dimensi (3D). Teknologi ini dicipta oleh Siemen Medical Solution telah digunakan untuk merakam imej mumia Raja Tut yang ditemui 83 tahun lalu. Mumia ini dipercayai berusia lebih 3000 tahun, dan terdapat lebih 1700 gambar diambil dari perlbagai sudut. Kisah penyiasatan mumia Raja Tut dimuatkan dalam dokumentari Tut: Resurrected yang telah disiarkan dalam siri National Goegrhapic Channel (Astro 52), 12 Jun 2005 jam 8 malam [1]. Beberapa hasil imbasan 3D boleh dilihat di laman web National Geographic

Fakta 2

Malaysia sekali lagi mencipta nama apabila mengumumkan terdapat lebih 40 000 kontraktor kelas F. Malaysia mempunyai terlalu ramai kontraktor kelas F iaitu dengan nisbah 1:350 (seorang kontraktor dalam setiap 350 orang penduduk) berbanding 1:5000 @1:10000 di Jepun. Kontraktor kelas F didefinisikan sebagai syarikat kecil yang layak membuat tender kerja awam dan mempunyai modal minimum RM5000. Kenapa begitu ramai kontraktor kelas F ini? Terdapat kontraktor yang telah mendapat lesen mendaftar untuk mendapat lesen tetapi menggunakan proksi mereka seperti isteri, bapa, ibu atau datuk. Lebih menggemparkan, terdapat juga seorang kontraktor berjaya mendapat sepuluh lesen menggunakan nama yang berbeza yang terdiri dari kalangan ahli keluarganya [2].

Fakta 3

Kajian tentang risiko serangan jantung akibat pengambilan ubat pencegah kesakitan (painkiller @ PK) yang dijalankan oleh Julia Hippisley-Cox dan Carol Coupland dari Universiti Nottingham adalah seperti berikut:
-- Kesan serangan jantung berlaku selepas tiga bulan pengambilannya.
-- Peratusan kadar serangan mengikut jenis dadah yang terdapat dalam PK
---- Diclofenax – 55%
---- Vioxx – 33%
---- Celebrex – 32%
---- Naproxen – 27%
---- Ibuprofen – 24%
Kajian ini telah disiarkan dalam British Medical Journal [3].

Fakta 4

Sehingga Mei 2005, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mempunyai 16 000 pelanggan perkhidmatan bank internet (bankislam.biz) dan 25 000 pengguna perkhidmatan kemudahan bank bergerak (bankislam.sms). BIMB merupakan bank pertama di Malaysia yang mendapat sijil BS:7799:2-2002 daripada Sirim QAS International [4]. Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan BIMB boleh dirujuk di laman Bank Islam


Fakta 5

Menara berkembar PETRONAS (TT) tidak lagi menjadi bangunan tertinggi di dunia. Kemunculan Taipei 101 (baca Taipei One-O-One) setinggi 508m [5] telah melenyapkan reputasi TT sebagai menara tertinggi. Menariknya, ia mempunyai pusat pemerhati pada ketinggian 382 meter (tingkat ke-89) yang boleh dinaiki menggunakan lif dalam masa 40 saat. Hal ini bermakna kelajuan lif tersebut secara purata adalah pada kadar 9.55m/s (2.65km/j). Imej Taipei 101 boleh dilihat di Link Taipei 101

Fakta 6

Tahukah anda medan elektromagnetik boleh membuatkan anda letih? Jika seseorang terdedah dengan sumber elektromagnet/elektrostatik seperti pekerja yang berhadapan dengan komputer, atau apa-apa mesin yang mengandungi senapang elektron ia akan mengalami keletihan dan tekanan kerja yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak menggunakannya dalam kerja seharian. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkalisifikasikan medan electromagnet (EMF) di dalam telefon bimbit, jalur lebar, pemancar radio dan TV mempunyai kesan radiasi berbahaya: karsinogen [6]. EMF juga menyebabkan sel darah menjadi rosak dan menyebabkan barah.

Fakta 7

Menurut pengasas Yayasan Jenama Asia Pacifik, sehingga kini terdapat 200 paten telah dibuat di Malaysia, 30% telah dijual dan dieksploitasi secara komersial [7]. Paten adalah salah satu elemen dalam Harta Intetelek (HI) yang melindungi hak pencipta. Ia digunakan sebagai langkah mempertahankan hak pencipta sesuatu inovasi agar hasil ciptaannya tidak diplagiat dengan mudah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Di Malaysia, PHIM mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen paten, link laman Perbadanan Harta Intelek Malaysia

Rujukan
1. Misteri Mumia, Utusan Malaysia (sisipan Mega), 1 Jun 2005, ms 22.
2. Azman Anuar, Buka mata kontraktor kelas F bumiputera, Utusan Malaysia, 10 Jun 2005, ms 11.
3. Study links painkillers to heart attack danger, NST, June 11, 2005, pg. 11.
4. Hamisah Hamid, Bank Islam expects more online clients, NST, June 11, 2005, pg. B11.
5. Prof. Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Taiwan’s Lesson for our Industries, NST (Focus), June 12, 2005, pg. 8
6. Buliding can cause sickness, Utusan Konsumer, May-June 2005, Vol 35, No. 3, pg. 19.
7. L.S. Sya, Making the Golden crop glitter, NST (Focus), June 12, 2005, pg. 10.

Khamis, Jun 09, 2005

Tanggungjawab Pemuda Islam 8

KEMUNDURAN UMAT DAN NEGARA ISLAM BERPUNCA DARI PEMERINTAHANNYA MENERAPKAN AJARAN YANG BUKAN ISLAM

Setelah beberapa analisa yang saya bentangkan kepada saudara-saudara ini, bolehlah sekarang saudara-saudara mengkaji apa yang sedang berlaku di negara-negara Islam bagi mengenali tempat penyakit dan dapat merumuskan ubat baginya. Tidakkah saudara-saudara melihat kerajaan Islam di dunia ini semuanya telah dihinggapi dan diresapi oleh kelemahan, seolah-olah menjadi batang kayu yang kosong? Apakah sebabnya terjadi demikian? Sebab asasinya ialah kerana kerajaan-kerajaan ummat Islam menentang akidah, menentang kemahuan dan perasaan orang Islam. Umat Islam ingin kembali kepada Islam, kepada syariatnya yang utuh sedangkan kerajaan Islam menekan mereka supaya berpegang teguh dengan ekor-ekor barat dan bergabung di dalam bloknya.

Di antara kesan pertentangan yang terus-menerus ini menyebabkan hati umat Islam tidak sehaluan dengan kerajaan mereka. Telah jelas secara lahiriah dan apa yang dapat dilihat bahawa mana-mana negara tidak menjadi kuat, tidak mempunyai kekuasaan, ketinggian dan kemajuan apabila kerajaannya berada di satu pihak dan rakyatnya berada di pihak yang lain. Mereka pula tidak bersama-sama dalam usaha mencapai kemajuan kerana kerajaan tersebut tidak mempunyai sifat yang dipercayai. Rakyat jelata pula tidaklah bangkit dengan hati yang bersemangat dan dan keazaman yang bersungguh-sungguh. Dan apabila telah terjadi begitu, sedang pertarungan telah berlaku di antara kerajaan dengan rakyat atau di antara tangan dengan hati, kiranya betul berlaku begini, maka mustahil kerajaan dapat mengharung langkah ke depan dan akan memajukan negara walaupun sedikit, kerana segala usaha dan tenaga yang dicurahkan disebabkan pertarungan dari dalam ini akan lenyap ditiup angin dan menjadi debu yang bertaburan. Dari suasana yang menyedihkan ini, sebagaimana yang saya jelaskan kepada saudarasaudara tadi, maka negara-negara ummat Islam masih ditimpa oleh bencana kediktatoran.

PEMERINTAH UMAT ISLAM MENIPU DAN MENINDAS ATAS NAMA DEMOKRASI

Golongan yang berhaluan barat yang diperniagakan oleh penjajah sebagai pengganti mereka di dalam negeri ummat Islam mengetahui dengan yakin bahawa sistem pemerintahan yang dijalankan dengan cara pilihanraya yang bersih, tampuk
pemerintahan tidak akan kekal ditangan mereka. Lambat laun ianya akan berpindah, sama ada cepat atau lambat kepada umat yang menuntut supaya mendirikan sistem pemerintahan di atas dasar akidah, ajaran, aliran fikiran dan nilai-nilai Islam yang mereka warisi. Memandang kepada keadaan demikian maka golongan sekular ini tidak akan membenarkan nilai-nilai keadilan dizahirkan dan mereka tidak membiarkan supaya nilai-nilai berjalan dengan baik. Malah penjajah akan segera menempatkan pemerintahan secara diktator sebagai ganti sistem demokrasi. Dalam hal itu pun mereka menamakan diktator tersebut dengan nama demokrasi demi untuk menipu manusia dan menonjol diri mereka sebagai pendokong sistem demokrasi, sedangkan mereka pada hakikatnya tak lain tak bukan ialah penipu.

MEMBANYAKKAN NEGARA-NEGARA ISLAM YANG DIPERINTAH OLEH TENTERA YANG TIDAK MENGERTI ISLAM

Pada mulanya, kediktatoran ini dijalankan oleh pemimpin politik yang berhaluan barat sahaja kemudian segalanya akan berkembang seperti biasa dan akan berjalan mengikut saluran yang semestinya. Hakikat ini telah disedari oleh kumpulan tentera didalam negara Islam. Mereka berpendapat bahawa sistem diktator tidak akan terbangun kalau tidak dipikul oleh golongan tentera. Taktik ini tidak akan sempurna tanpa senjata. Kesedaran ini timbul dari kalangan pemimpin tentera yang keluar dari kem dan menuju ke gelanggang politik. Mereka mulai mengadakan pakatan sulit dalam usaha mengubah sistem pemerintahan dan mula menguatkuasakan sistem dictator askar ke atas rakyat jelata sebagai ganti diktator politik. Sesudah itu mereka pun menyingkir pemimpin politik daripada pemerintahan dan mengurung mereka dalam penjara atau melakukan tahanan rumah.

Beginilah kita lihat tentera-tentera dalam negara ummat Islam hari ini. Mereka telah menjadi bencana kepada rakyat Islam. Tugas mempertahankan tanahair dan berjuang menentang musuh sudah tidak diendahkan lagi. Mereka disibukkan dengan kerja-kerja ingin menguasai politik negeri sendiri dengan cara kekerasan. Untuk tujuan ini mereka menggunakan kekuatan senjata ysng diserahkan oleh rakyat yang lemah itu untuk mempertahankan dan menjaga keamanannya. Dan sekarang sampailah saat di mana negara-negara Islam telah ditimpa masalah yang besar dan masalah yang rumit yang tidak dapat di selesaikan melalui parlimen atau dewan perwakilan rakyat dan tidak pula dapat diselesaikan dengan pilihanraya umum atau dengan cara memorandum. Ia hanya boleh diselesaikan dalam kem-kem tentera, dengan kereta kebal , pistol dan mesingun. Kalau keadaan ini menghairankan saudara-saudara maka saudara-saudara akan lebih hairan dengan tentera yang selalu berselisih faham sesama mereka dalam menentukan pemimpin mereka. Tiap-tiap seorang jeneral mengambil kesempatan menjalankan kediktatorannya dan mempertahankan kerusi pemerintahannya sesudah menghancurkan yang lain.

Di antara perkara yang membuat suka dan duka iaitu apabila salah seorang dari jeneral itu menguasai negeri, ianya dianggap sebagai harapan rakyat, penyelamatnya, pelopor yang unggul dan hero, hingga apabila ia berdepandengan akibat perbuatannya sendiri ia akan berbalik menjadi sebesar-besar pengkhianat dan seketat-ketat musuh terhadap rakyat. Manakala rakyat pula tak ubah seperti anak patung di tangan kanak-kanak kecil, tidak dapat mencampuri urusan negara, walaupun urusan yang paling kecil sekalipun.

bersambung.....

Rabu, Jun 08, 2005

Sepuluh Prinsip ke arah pembaharuan

Sepuluh Prinsip yang dicadangkan oleh al-Ghazali dalam bukunya “Dustur al-Wahdah al-Thaqafiyyah” [1]

Prinsip yang dicadangkan oleh Muhammad al-Ghazali sebagai panduan ke arah pembaharuan umat Islam.

1. Wanita adalah gandingan lelaki. Menuntut ilmu adalah suatu tuntutan yang meliputi kedua-dua jantina, begitu juga gesaan ke arah melakukan kebaikan dan larangan melakukan kemungkaran. Wanita juga dalam batas kesopanan Islam – mempunyai hak untuk menyertai pembangunan masyarakat dan melindunginya.

2. Keluarga adalah asas survival akhlak dan sosial bagi ummah, ia merupakan pendokong tabie bagi generasi yang muncul. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab bersama untuk mewujudkan suasanan yang baik di antara mereka. Lelaki adalah ketua keluarga, tanggungjawabnya jelas seperti yang disyariatkan Allah ke atas setiap individu.

3. Manusia mempunyai hak kebendaan dan moralselaras dengan keilmuan yang diberikan Allah kepadanya serta kedudukan yang tinggi di muka bumi ini. Agama Islam telah menjelaskan hak-hak tersebut dan menggesa supaya hak-hak itu dihormati.

4. Pemerintah – samada raja atau ketua negara – adalah petugas bagi rakyat dengan memelihara kepentingan agama dan keduniaan mereka. Kewujudan pemerintah berdasarkan pemeliharaan yang ditentukan itu serta berdasarkan kerelaan sebahagian besar rakyat. Seseorang itu tidak berhak untuk memaksakan rakyat memilihnya atau mentadbir mereka secara kuku besi.

5. Asas pemerintahan adalah syura, setiap bangsa berhak memilih cara melaksanakannya. Namun cara yang paling mulia ialah cara yang membawa keredhaan Allah serta mengelakkan dari riya’, mengumpul harta, penipuan serta cintakan dunia.

6. Hak milik perseorangan adalah terjamin dengan syarat serta hak-hak yang diperakui oleh Islam. Ummah adalah asas yang satu, tidak diabaikan satu anggota pun daripadanya dan tidak dipandang rendah mana-mana golongan. Persaudaraan umum merupakan hukum yang menaungi setiap individu dalam jemaah, urusan kebendaan dan moral tunduk kepadanya.

7. Keluarga negara-negara umat Islam bertanggungjawab mengenai dakwah Islamiyyah dan mencegah pendustaan ke atasnya, serta melindungi penganutnya daripada sebarang penganiayaan di mana sahaja mereka berada. Negara-negara umat Islam juga mesti berusaha untuk menegakkan pemerintahan khilafah Islam dalam bentuk yang sesuai dengan kedudukan agama.

8. Perbezaan agama bukan menjadi punca perbalahan dan permusuhan, sebaliknya peperangan meletus apabila berlaku pencerobohan atau fitnah atau sekumpulan manusia dianiaya.

9. Hubungan orang Islam dengan masyarakat antarabangsa adalah berdasarkan paiagam persaudaraan kemanusiaan yang murni. Orang-orang Islam melakukan dakwah berasaskan hujah dan kerelaan semata-mata dan tidak memendam kejahatan terhadap manusia yang lain.

10. Orang-orang Islam bersama bangsa lain tanpa mengira agama dan pegangannya – memberi sumbangan ke arah peningkatan manusia sama ada dari segi kebendaan dan moral, iaitu bertolak dari kemurnian Islam serta nilai yang diwarisi daripada tokoh para anbia: Muhamamad S.A.W.

Rujukan
1.Muhammad al-Ghazali, Warisan Pemikiran Islam Menurut Syara’ dan Rasional, DBP (1995), Cetakan Pertama, ms. 28-29. ISBN 983-62-4491-3

Isnin, Jun 06, 2005

Fakta Menarik 5 Jun

Fakta 1
KKSB yang dicatatkan dalam Malaysia Book of Record sebagai syarikat yang paling banyak mengeluarkan majalah berbahasa Melayu iaitu 27 buah. Ia menggunakan teknologi percetakan yang canggih diimport dari Jerman, teknologi tersebut merupakan sebuah mesin percetakan bernama Heilberge. Heilberge mampu menghasilkan 4000 cetakan setiap jam. Satu cetakan bermaksud ia mencetak 16 halaman (8 muka surat bagi setiap pipi) majalah pada sekeping kertas yang besar bersaiz kad manila. Pada awalnya toner dimasukkan dalam bekas cat, dan keseimbangan warna ini boleh dilihat pada skrin yang disambungkan kepada mesin. Apabila kerja mencetak siap ia akan dibawa ke bahagian akhir mesin yang secara automatik melipat kertas yang besar sehingga kelihatan sebesar majalah yang dijual. Pada tahap ini, ia hanya terlipat dalam keadaan masih bersambung-sambung, apabila proses binding dilakukan iaitu menggabungkan semua halaman yang sepatutnya bagi sesebuah majalah, ia akan melakukan proses trimming iaitu memotong bahagian tepi yang akan menghasilkan helaian buku biasa. Mesin Heilberge setinggi kira-kira 2.5 meter dan panjangnya kira-kira 5 meter. Inilah penerangan yang diperoleh semasa membuat lawatan ke bahagian percetakan di Ultimate Print Sdn. Bhd iaitu sebuah syarikat percetakan di KKSB.


Fakta 2

Kita jarang mendengar tentang racun Panton-Valentine Leukocidin (PKL). Racun ini ditemui di dalam badan seorang tentera marin Richard Champbell Smith. Pakar yang menganalisis kematiannya merumuskan bahawa toksin di dalam darahnya dihasilkan oleh sejenis bakteria bernama Staphylococcus aureus (S. aureus). Walaupun S. aureus telah dimusnahkan dengan memakan antibodi, ia tetap membahayakan pembawanya kerana kesan PKL yang ditinggalkan dalam badan manusia masih berfungsi. PKL akan merosakkan sistem pertahanan dalam darah yang mengakibatkan kematian [1]. PKL memusnahkan makrofaj dan polimorphonuklear sel darah merah manusia yang menggagalkan sistem imun.

Image Hosted by ImageShack.us
  • bakteria S. aureus

  • Fakta 3

    Dalam falsafah Yoga terdapat satu latihan ‘pandangan minhatis’ iaitu pandangan yang mampu mempengaruhi orang lain. Pelatih dalam bidang ini diberi kertas putih bersaiz 15cm persegi. Di tengah-tengah kertas itu dibuat bulatan hitam yang kecil. Latihan dilakukan dengan pelatih diminta duduk di atas kerusi dari arah yang setentang dengan kertas, dia mesti melihat bulatan hitam tanpa mengerdip mata. Matanya harus berkeadaan tidak berkelip selama satu minit. Kemudian berpaling seketika dan mengualanginya sehingga lima kali. Selepas itu kertas itu dialih ke sebelah kanan, pelatih diminta menggerakkan mata ke kanan untuk melihat titik hitam tanpa menggerakkan kepalanya. Ia diulang untuk beberapa kali, dan dialih pula ke sebelah kiri dan perkara yang sama dilakukan. Selepas melakukan tenungan selama 15 kali, pelatih yang berjaya melihat tanpa mengerdipkan mata atau mengalir air mata dikira berjaya dan mempunyai pandangan mignatis dan ini bererti orang tersebut berupaya mempengaruhi (fikiran) orang lain dengan pandangan matanya [2].


    Fakta 4

    TropBio Research Sdn. Bhd. muncul sebagai syarikat swasta pertama di Malaysia yang terlibat secara khusus dalam R&D industri biotek sejak 1995. Ia menjalinkan kerjasama dengan ForBio Research Ltd., syarikat yang berpangkalan di Brisbane, Australia. Pada awalnya TropBio menempatkan makmal penyelidikan di Taman Teknologi Malaysia yang lebih menumpukan bidang kajian pembiakan tisu (tissue culture) dan cap jari genetic. Kini ia telah dipindahkan ke sebuah rumah yang diubahsuai di Puchong, Selangor dan memberi keutamaan dalam produk pertanian seperti micropropagation, Molecular Genetic, dan tanaman kebun tropika termasuk orkid, pisang, jelutung, dan sentang [3].


    Fakta 5

    Mata wang baru Malaysia mula digunakan pada tahun 1967 dalam nilai ‘Ringgit’ dan kemudiannya menggunakan simbol RM. Untuk identiti antarabangsa ia menggunakan MYR (MY=Malaysia, R=Ringgit). Ketibaan wang baru ini disambut di pelabuhan Swettenham dengan kawalan yang amat ketat. Wang kertas dan syiling ini dihantar dan disimpan di Pejabat Mata Wang, Bank Negara Malaysia di Batu Tiga Shah Alam. Wang ini mula diedarkan pada 12 Jun 1967. Pada tahun 1969, mata wang lama Malaya yang diperakukan sah sebelumnya ditamatkan (tidak boleh digunakan sama sekali) [4].


    Fakta 6

    Rossem atau nama sebenarnya Rosidi Semail adalah kartunis yang terkenal di Malaysia. Genre kartunnya pelbagai meliputi kartun lerang, ilustrasi, dan editorial dalam banyak penerbitan akhbar dan majalah. Tema yang digunakan dalam mesej kartunnya termasuklah tema kanak-kanak, hal ehwal pengguna, kemasyarakatan, kerjaya polis dan tentera, hinggalah suasana politik tempatan dan antarabangsa. Himpunan pengalaman dan perjalanan dunia kehidupan kartunis ini boleh ditatap melalui buku biografinya bertajuk ‘Rossem: Pen, Dakwat, Kertas (2002). Ia pernah menghasilkan komik ‘Mencari Kebenaran: Suatu Dialog Islam-Kristian [terbitan Persatuan Ulama Malaysia (PUM), 1998] [5]. Komik ini telah diharamkan dari pasaran. Mengapa ye? Komik yang sebaik ini telah diharamkan dalam pasaran Malaysia? Adalah lebih baik kandungan komik ini daripada majalah Hai, Mangga, Klik dan lain-lain lagi yang entah apa-apa isinya.


    Fakta 7

    Pernahkah anda mendengar penyakit Methacromatic Leucodystrophy (MLD)? Ia adalah sejenis penyakit yang mengakibatkan fungsi otak tidak normal. Untuk memulihkannya sum sum tulang baru dimasukkan untuk menghapus sulfatides. Sel sum sum yang sempurna dimasukkan akan dibawa ke otak dan enzim Arylsulfatase-A yang diperlukan oleh tubuh akan dijana. Apabila enzim tersebut terhasil, fungsi otak kembali normal. Bagaimana sum sum tulang dimasukkan? Sum sum tulang berupa bendalir kuning pekat disalurkan melalui mesin elutriator. Kaedah ini dijalankan untuk melupuskan sejenis sel darah putih yang dikenal ‘Sel-T’. Ia perlu dibuang kerana ‘Sel-T’ mengakibatkan penolakan terhadap kehadiran sel sum sum penderma (kompilasi) [6].


    Rujukan
    1. Thomas Stuttaford, Staph of nightmare, NST (Focus), June 5, 2005, pg. 19.
    2. Dr. As-Sayyid Al-Jumaily, Hubungan Roh dan Jasad sesudah Mati, Darul Nu’man, 1999, cetakan kedua, ms. 61.
    3. Mohd Sani Md. Said, TropBio Kuasa Industri Bioteknologi Tempatan, Dewan Ekonomi, April 2005, Karangkraf Sdn. Bhd, ms. 11.
    4. Roselin M. Sabai, Sistem kewangan moden dulu hingga kini, Dewn Siswa, April 2005, Karangkraf Sdn. Bhd , ms. 13.
    5. Muliyadi Mahamood, Berdakwah Menerusi Kartun, Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Januari 2005, ms. 30.
    6. Norzailina Nordin, Zuriat, Alaf Dua Puluh Satu Sdn. Bhd., cetakan kedua 2004, ms. 201-202.