Jumaat, Ogos 26, 2005

Komen Prof. Khoo


Prof. Khoo Kay Kim berpendapat bahawa orientasi peperiksaan dalam sistem pendidikan menjadikan ‘Pendidikan bukan lagi pendidikan’. Demikian intipati wawancara khas wartawan Masa dengan beliau dalam edisi Ogos 2005. Berikut adalah satu petikan daripada wawacara ekslusif tersebut.

MASA: Itu bukan pendidikan?

Prof. Khoo: Itu bukan pendidikan. Pendidikan jauh lebih luas. Dan paling penting pendidikan mesti dapat membantu golongan muda berfikir secara rasional, analitikal, sanggup dan berani mengemukakan idea dan konsep baru, dan tak semestinya menerima jawapan yang sudah lama diterima. Sistem pendidikan mesti dapat menolong setiap orang murid sebagai individu. Saya diberitahu beberapa ribu murid yang keluar Tingkatan 5 tidak buat apa-apa. Tak tahu mereka pergi ke mana? Lama kelamaan ia akan menjadi masalah sosial kerana tidak tahu dan tidak boleh membuat keputusan. Mereka tidak belajar membuat keputusan.

Menurut beliau juga, bidang pengajian agama semestinya dijadikan bidang teras seperti sains dan teknologi kerana golongan inilah yang memainkan peranan penting dalam pembentukan modal insan. Beliau mencadangkan supaya pelajar cemerlang yang diserapkan dalam bidang agama diberi pengiktirafan yang setara dengan pelajar aliran sains dan teknologi dan diberi jaminan kerja.

Betapa malunya diri menjadi seorang Melayu dan Islam pula. Lidah Prof. Khoo memang jelas, kritis dan sinis. Meski komentar itu tidak merujuk secara spesifik kepada Islam, namun beliau juga menyentuh serba sedikit kebangkitan Islam di dunia. Terbaru menurutnya, di India sudah terdapat 150 juta umat Islam, tempat kedua di belakang Indonesia dari segi bilangan penganut agama Islam. Namun begitu, negara kita yang kerdil dan berbangga-bangga dengan Islam dan diperintah oleh orang Islam tidak dapat menjadi contoh negara umat Islam yang kompitensi. Mengapa dalam keadaan kita mempunyai peluang dan ruang untuk memperkasakan Islam, tiba-tiba asas pendidikan Islam dicantas sejak awal-awal lagi?

Perubahan dan kesedaran rakyat.

Menyedari hal ini, nampaknya sudah ada satu perubahan yang signifikan bagi melahirkan semula generasi Islamik pada masa akan datang. Sekarang kita sudah lihat bagaimana sekolah Tadika anjuran KEMAS sudah tidak popular. Rakyat yang celik akal dan faham bahaya yang akan datang, sudah beralih dan memilih untuk menghantar anak-anak ke Sekolah Tunas Seri Islam atau PASTI, atau seumapamanya yang berorientasikan Islam. Sekolah ini jauh lebih baik dari segi prasanan pendidikan dengan asimilisasi pendidikan Islam, Sains, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik walaupun bayarannya agak tinggi berbanding Tadika KEMAS.

Perkembangan ini sangat menarik, kerana wawasan 2020 seharusnya diisi dengan modal insan yang lengkap seraba-serbi. Lengkap serba-serbi bukanlah bermaksud sempurna, kerana tiada manusia yang sempurna. Kelengkapan itu merujuk kepada pertumbuhan minda dan jiwa raga generasi baru Islamis yang mempunyai daya intelek dan penghayatan beragama yang tinggi. Jika generasi ini dapat dihasilkan, kita tidak perlu bimbang masalah disiplin pelajar sekolah atau gejala sosial lagi. Inilah cabaran kependidikan generasi baru yang dihadapai oleh ibu bapa dekad ini. Persekitaran yang rosak telah menggugat usaha penerapan pendidikan agama dari rumah kepada anak-anak. Kadang-kadang anak yang tidak matang mudah terpengaruh dengan persekitaran sehingga mereka tidak mampu menjadi bak ikan di lautan nan masin.

Dan ingatlah, semua perkara sama ada baik atau jahat, bermula dari pendidikan. Dan pendidikan jua merupakan punca kebahagiaan.
"Kebahagiaan itu diibaratkan seperti sebatang pohon yang rendang, tempat tumbuhnya adalah jiwa dan perasaan kemanusiaan, ketaqwaan kepada Allah adalah merupakan air, udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya.. " ~ ( Yusof al-Qardawi ) ~

Khamis, Ogos 25, 2005

Komentar Biodiesel


Saya tertarik dengan pendapat saudara AZIZAN AZMAN, dalam artielnya bertajuk Rancang guna biodiesel secara serius(Utusan Malaysia 24 Ogos). Berikut adalah petikan pada perenggan akhir pendapat beliau.

"Tiada perubahan yang perlu dibuat ke atas enjin diesel anda. Sekiranya anda sudah pun mempunyai enjin diesel, anda hanya perlu menukar sistem tangki minyak dan sistem penapisan yang membolehkan minyak sayuran menjadi kurang likat dan seterusnya anda dapat berjalan mengelilingi Malaysia menggunakan minyak sawit! Tidak perlu methyl esther untuk anda menjadi mesra alam. Anda semua boleh melakukannya sekarang dengan hanya menggunakan minyak sawit sebagai bahan bakar enjin diesel anda."

Sebenarnya penggunaan methyl ester dalam pembikinan minyak biologi ini adalah penting bagi tindakbalas kimia.yang dinamakan pemindahan strukutur ester atau transesterifikasi (transesterification). Tanpa tindakbalas ini, minyak sayuran tidak akan meruap bagi menjana kesan pembakaran seperti petrol. Perkara ini adalah pertimbangan dari segi tindak balas kimia, jika benar minyak masak sudah boleh digunakan terus di dalam enjin diesel, sudah lama rakyat Malaysia menggunakan minyak masak yang dibuang dalam enjin diesel.

MPOB [1] telah mengambil langkah bijak apabila membangunkan loji pembuatan biodiesel pertama di Taman Teknologi Labu, Negeri Sembilan. Usaha sebegini amat baik bagi menggalakkan perkembangan Dasar Biodiesel Negara yang telah dilancarkan. Apa jua aspek teknikal yang dibincangkan, pihak kerajaan mesti memikirkan keuntungannya kepada rakyat sekali gus memelihara alam sekitar. Semoga pengasilan minyak baru ini dapat memberi alternatif kepada pengguna untuk mendapat harga sumber tenaga yang lebih murah.

Perkembangan terbaru dalam bidang ini merupakan langkah yang baik bagi Malaysia untuk membuktikan keupayaan dalam bioteknologi. Kita tidak perlu skeptikal dengan perkara ini kerana di seluruh dunia, bilangan nisbah tertinggi yang digunakan untuk menghasilkan biodiesel adalah 15%. (Iaitu nisbah campuran diesel kepada minyak sayuran sebanyak 85:15).


Seperti yang tertera dalam FORUM, Utusan Malaysia 25 Ogos 2005 (ms 12). Terima kasih, editor Utusan Malaysia.

Rujukan:

1. 'MPOB bangunkan loji biodiesel di Labu', Berita Harian, 4 Feb. 2005

Rabu, Ogos 24, 2005

Komen tentang TV


Pengenalan

Kajian Byron Reeves dan Clifford Nass dari Stanford University membuktikan menerusi satu set kajian dan penyelidikan bahawa manusia kini melayani peti televisyen dan komputer sebagai entiti sosial. Kini ramai bercakap dengan televisyen, bersahabat dan percaya hanya televisyen memahami mereka .John Naisbitt mengakui gejala ini dan mengatakan inilah prinsip asas kemajuan teknologi iaitu high-tech dan high-touch. Kedua-dua perkara ini adalah kesan kejayaan teknologi telah mempengaruhi hubungan manusia.

Rancangan Realiti TV.

Konsep rancangan realiti adalah konsep hiburan baru yang memberi habuan lumayan dan segera. Apabila rancangan ini dipopularkan di Barat, dunia lain mula menciplak idea tersebut. Keadaan ini tentunya disebabkan profit atau keuntungan yang berganda diperoleh daripada penganjuran program sebegini. Malaysia selaku negara membangun tidak terlepas daripada biasan atau tempias revolusi program tv. Sebagai contoh beberapa stesen tv di Malaysia telah mempopularkan rancangan realiti tv seperti Mencari Cinta, Akademi Fantasia, X-Plore Race, Mentor dan Who Want to Be Millionaire (sekadar beberapa contoh). Jika difikirkan dari segi pembangunan nilai manusiawi, apakah faedah yang disumbangkan kepada golongan terbanyak terutama penonton?

Apakah yang berlaku di sebalik program realiti tv?

Jika dikatakan program ini mempunyai banyak kelebihan seperti mengasah bakat-bakat baru, ia hanyalah tertentu dan diskrit dalam bidang yang difokuskan iaitu hiburan. Terdapat beberapa kesan buruk program realtiti tv, di antaranya
1. Membazir masa.
2. Mesej picisan dan ringan.
3. Pembaziran wang.
4. Kekeliruan anjakan pemikiran.
5. Pengaruh psikologi yang buruk.

Kesan buruk

Kesan buruk pertama ialah membazir masa. Setiap kali diadakan program realiti tv, ibu bapa dan anak-anak akan berkumpul di hadapan kaca tv. Mereka berfikir dengan cara ini dapat memupuk nilai dan semangat kekeluargaan. Sebaliknya ia tidak memberi apa-apa faedah dalam pembangunan nilai kendiri mahupun keluarga. Jika sebuah keluarga meluangkan masa perdana dengan duduk berkumpul di perpustakaan mini di rumah, sambil membaca buku atau membincangkan permasalahan akademik anak-anak; tidakkah aktiviti memberi faedah kepada perkembangan minda anak dan seluruh keluarga? Masa berhibur semestinya tanpa disedari akan berlalu dengan pantas walaupun sebenarnya mengambil masa yang lama. Hal ini berbeza apabila kita duduk mengadap buku atau apa jua bentuk aktiviti yang memerlukan ketukan minda. Masa yang hanya lima minit dirasakan seolah-olah satu jam. Inilah dia penipuan psikologi, minda yang tidak terlatih dengan aktiviti berfikir dan merenung akan menjadi sukar untuk melakukan perkara yang ilmiah dan bermakna.

Selain itu, program realiti tv memberi mesej picisan dan ringan. Ringan dan picisan adalah dua instrumen yang lumrah dalam program untuk tujuan hiburan. Mesej yang ingin disampaikan kadang-kadang tidak ada, dalam konteks pembentuk dan pembangunan insan. Program seperti ini tidak mengajak penonton berfikir dan menilai secara kritis aspek tertentu. Sebagai bukti, lihatlah mesej yang jelas dibincangkan dalam rancangan Bicara Siswa berbanding Akademi Fantasia. Mengapa wadah perbincangan dalam rancangan Biacara Siswa yang melibatkan cetusan idea-idea bernas kurang mendapat sambutan? Jika dikatakan rancangan tersebut tidak mesra penonton, ia tidak betul. Bahkan di dalam rancangan tersebut disediakan ruang dan peluang bagi penonton menyatakan pandangan.

Ketiga, rancangan realiti juga membazir wang. Bayangkan berapa wang dihabiskan untuk mengundi peserta yang hendak diketengahkan sebagai pemenang? Apakah dengan wang digunakan untuk memenangkan peserta itu akan dapat dikecapi sama hasilnya oleh penonton? Akhirnya syarikat penyedia perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS) mengaut untungnya, yang dikongsi bersama penganjur rancangan. Penonton mungkin tertipu dengan sedikit hiburan yang dihdangkan lantas tidak berasa 'kedekut' untuk membelanjakan sedikit wang untuk mengundi peserta. Keseronokan yang terlampau itulah yang menyebabkan tindak balas spontan penonton untuk membuat undian tanpa memikirkan wangnya hilang. Sebenarnya banyak aspek psikologi yang diolah bagi mencapai matlamat yang berorientasikan keuntungan ini. Bermula dari jumlah penonton sehingga kepada statistik bilangan pengundi, dan kefanatikan terarah.

Seterusnya rancangan tv juga menyebabkan kekeliruan dalam anjakan pemikiran manusia. Hari ini lapangan hiburan dilihat sebagai satu skop baru untuk diiktiraf sebagai medium kejayaan. Berjaya menjadi artis dan hidup glamour seolah-olah kejayaan yang baik. Apabila berjaya menjadi penghibur dan terkenal mudahlah wang diperoleh, banyaklah undangan ke majlis-majlis yang berbayar didapati. Seorang ahli sosiologi Dwight Macdonald memperkenalkan istilah kitsch bagi menggambarkan kelahiran budaya popular (produk media elektronik dan cetak) sebagai produk sampah . Secara mudahnya kitsch adalah budaya pop yang tidak berjejak oleh satu peradaban dan jati diri yang berwibawa termasuklah program realiti tv. Program realiti tv yang diolah sedemikian rupa dengan menawarkan hadiah lumayan mewujudkan jutawan segera tanpa perlu berusaha gigih. Menurut Prof. Diraja Ungku Aziz kewujudan fenomena ini amat membimbangkan untuk perkembangan survival tamadun umat Melayu Islam dalam jangka masa panjang. Katanya untuk menjadi berjaya, tidak perlu belajar empat tahun, tidak perlu memerah otak untuk menghasilkan produk ilmiah yang dapat dimanfaatkan. Maka jika begini halnya, maka tunggulah suatu detik kebebalan berpanjangan dalam perkembangan tamadun ummah ini.

Kesan negatif terakhir rancangan realiti tv ialah pengaruh psikologi yang buruk. Gejala fanatisme yang memuncak, sehingga ikon-ikon yang ditonjolkan atau berhubung kait dengan peserta boleh dieksploitasi dalam perniagaan lain. Sebagai contoh, kita telah mendengar satu lagi ikon popular iaitu tudung mawi dan minyak urut mawi selepas tamatnya program AF3. Bahayanya perkara ini menjadikan mereka dipuja-puja secara berlebih-lebihan. Apakah dengan pujaan sedemikian kita akan mendapat syafaatnya di akhirat sana? Jika minat sekalipun, berpada-padalah. Tidak perlu menterjemahkannya dalam skop yang lebih mendalam dan signifikan. Saya bersetuju sekiranya dikatakan bahawa penampilan artis, pemakaian, gaya rambut, style percakapan dan lirik lagu mempengaruhi peminat*. Namun begitu, berapa banyak artis yang dapat menjadi contoh yang baik dalam semua aspek yang disebutkan itu? Jika ada, ia merupakan kes terpencil dan jarang-jarang ditemui. Jika ada, mungkin artis nasyid tanah air yang kurang mendapat liputan media dalam misi dakwah mereka.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, program realiti tv tidak menyumbang kepada perkembangan mental penonton melainkan menyediakan ruang berhibur. Penonton harus bijak memilih rancangan tv yang berfaedah untuk perkembangan minda mereka.

************************
Disediakan pada 18 Ogos 2005.

* Jangan keliru dengan laporan akhbar berhubung perkara ini dalam wawancara bersama Pegawai Istana Negara. Di dalam laporan tersebut, wartawan yang menulis hanya mengatakan bahawa Dato’ Hassan Din mengatakan seolah-olah lirik sahaja lebih penting berbanding penyampaian dan pemakaian artis.

Isnin, Ogos 22, 2005

Hari al-Quds Sedunia


Pada 21 Ogos 1969, seorang lelaki berbangsa Australia bernama Dennis Michael telah membakar Masjid Al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok dan mimbarnya yang besar (mimbar Sholehuddin). Api marak dengan dasyat sekali seolah-olah seluruh Masjidil Aqsa akan musnah ketika itu. Malah, pihak bomba juga tidak hadir menghulur bantuan. Tetapi Allah telah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan.

Setelah itu orang-orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Dennis Michael. Michael mendakwa bahawa dia diutus Allah untuk melakukan pembakaran itu sesuai dengan berita dari Kitab Zakaria. Kemudian, Yahudi membebaskannya dengan mengatakan Michael gila. Maka, atas sebab itu, Michael tidak dapat dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut. Negeri-negeri Muslim seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa. Maka sejak itu, 21 OGOS setiap tahun menjadi Hari Al-Quds Sedunia.

Kecaman demi kecaman dilakukan ke atas Israel dan umat Islam Palestin sentiasa menjadi wira dalam dunia Islam. Mereka dicop sebagai pengganas oleh Yahudi dan Zionis serta sekutunya di seluruh dunia. Al-Qurtubi mengisytiharkan gerakan intifdah Palestin sebagai suatu jihad, dan mati dalam gerakan Intifadah adalah mati syahid. Demikian dua persepsi dunia terhadap perjuangan rakyat Palestin. Satu pihak yang condong kepada kuffar dan musuh Islam mengatakan ia adalah suatu perkara yang tidak bertamadun, membinasakan diri dan mati katak. Sebaliknya pada kaca mata pejuang-pejuang Islam, dan mereka yang berjuang atas landasan jihad mengimani sesungguhnya erti pengorbanan dan sanggup mati kerananya: ia adalah perjuangan suci.

Pembebasan Palestin tidak akan melalui jalan mudah, satu-satu cara yang paling baik adalah dengan memperjuangkannya melalui peperangan. Siri-siri keganasan Israel dengan memungkiri perjanjian demi perjanjian damai adalah bukti nyata. Situasi terakhir setelah pengunduran penduduk bangsa Yahudi Israel di Genting Gaza, Bukit Golan, dan Tebing Barat yang dirampas dilihat sebagai tidak ikhlas. Ia adalah retorik baru Ariel Sharon. Ariel Sharon dengan angkuh memberitahu dunia bahawa pengunduran itu tidak mengubah kuasanya dari segi demografi. Beliau menjangkakan ‘cengkaman’ akan terus dilakukan dari luar. Betapa Mereka tidak melepaskannya begitu, walaupun penduduk Palestin meraikannya dengan penuh gembira. Mungkinkah Ariel Sharon sedang mengatur strategi baru bagi melanggar dan melenyapkan mereka tatkala mereka leka dengan ‘keamanan’ yang dibayangi Zionis itu? Mungkin juga.

Jika di Palestin setiap hari anak-anak kecil dihangatkan dengan semangat kebencian kepada Yahudi, bagaimana pula dengan Malaysia? Malaysia yang aman dan damai ini sedang juga bergolak. Bergolak dengan masalah sosial yang korup, hilang identiti dan jati diri bangsa, serta ketidakpedulian terhadap nilai agama. Ketika orang lain sibuk membuat formula menguasai kek ekonomi, mengapa kita sibuk-sibuk membahaskan fenomena Mawi? Apa sudah jadi? Aku sudah keliru dengan agenda bangsaku. Tidak perlu memberi ruang dalam minda kita memikirkan fenomena Mawi ini!

Ahad, Ogos 21, 2005

Tilawah


Respon kepada cadangan qari
Perkembangan terbaru program reality TV yang diciplak daripada luar telah menyebabkan evolusi baru dalam bidang penyiaran. Program seperti ini telah terbukti menjadi dimensi baru dalam bidang komunikasi massa, ia telah berjaya memikat jutaan penonton untuk berhibur. Konsep menang-menang yang diwujudkan termasuklah memberi peluang kepada penonton menjadi pengadil di samping juri yang bertauliah merupakan rahsianya. Mereka mengatakannya konsep menang-menang, sedangkan menang itu hanya kepada mereka, kalah pula pada penonton teramai yang menghabiskan masa dan wang untuk menyatakan sokongan kepada peserta pilihan. Lebih teruk lagi jika penonton fanatik seperti mana ditafsirkan menggunakan manglish: - kipas susah mati (die-hard fan), sanggup ‘menderma’kan air mata kerana terharu dan sedih. Sedih kerana peserta pilihan tersingkir. Alangkah baik jika air mata itu dirembeskan kerana keinsafan kepada satu dosa. Alangkah baik jika air mata itu dialirkan keluar ketika munajat diri kepada Rabb, menegenang kekerdilan diri. Alangkah baik air mata itu menjadi manifesto kesungguhan kita dalam taubat.

Minggu lepas, semasa berlangsungnya program Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, seorang peserta mencadangkan konsep AF diadaptasi ke dalam pelaksanaaan pertandingan tilawah al-Quran. Ia hanya merupakan konsep, walaupun pada peringkat akhir, kemenangan ditetapkan oleh hakim yang bertauliah. Jika benar perkara itu akan dilaksanakan, kita tunggu dan lihat, berapa ramai bilangan penontonnya pula. Apakah perubahan itu akan menambah bilangan penonton yang mengikuti rancangan TV tilawah? Katakan jika sekarang penonton AF mencecah 10 juta, maka bilangan penonton rancangan Pertandingan Tilawah secara kasarnya hanya 200 000 orang. Jumlah 200 ribu mungkin mewakili semua peringkat umur, maka berapa ramai pula dari mereka ini yang mahir tentang al-Quran? Berapa ramai di antara mereka tahu untuk membezakan lagu Bayati, Hijaz, Nahwan dan sebagainya. Berapa ramai di kalangan mereka yang tahu kaedah jawab lagu, harakat-harakat dalam setiap jenis lagu yang dibawakan oleh qari/qariah? Berapa ramai pula yang tahu dengan pasti, bacaan ini salah, bacaan ini kurang tepat dan sebagainya? Maka jawabnya, tidak ramai.

Kebimbangan harus difikirkan, dunia kapitalis berorientasikan wang menjadikan manusia lupa segalanya. Kita tidak mahu wujud mentaliti ingin glamour dan cepat kaya menggunakan pendekatan mencuba nasib melalui pertandingan. Lebih-lebih lagi pertandingan yang dibuat berhubung kait dengan al-Quran. Al-Quran bukanlah untuk dibanding-bandingkan sipakah yang hebat mutu tarannumnya. Lebih dari itu, al-Quran sebenarnya perlembagaan hidup yang mesti dihayati. Betapa hari ini, manusia hanya pandai membaca al-Quran tetapi tidak menghayati intipati kehendak al-Quran. Maka jadilah pembaca al-Quran seperti burung tiung yang diajarkan kepadanya mengucap “Assalamualaikum”.

Sedarlah bahawa mendepani waktu dalam medan dakwah amat sukar, maka sukar juga kita mengatakan bahawa program reality TV bagi mencari bakat baru dalam bidang mengaji al-Quran berlagu sebagai tidak tepat. Saya tidak kata cadangan tersebut tidak betul, saya cuma ingin mengajak pembaca memikirkan perkara ini: ‘Adakah wajar al-Quran dipertandingkan?’ Suatu masa mungkin qari dan qariah yang menang hanya disebabkan rupa parasnya, berbanding kualiti bacaannya. Dan tilawah sebenarnya tidak pernah menjadi medium hiburan dalam kamus minda kebanyakan kita.

Jumaat, Ogos 19, 2005

Kajian tentang Kebutaan


Melihat Gambar Lucah boleh menjadikan anda buta.

Kajian ini dijalankan dalam usaha penyelidik menyedarkan masyarakat dalam siri Kempen Keselamatan Jalan Raya untuk memastikan tiada lagi iklan yang berunsur lucah di tepi jalan-jalan yang sibuk; dengan harapan dapat mengurangkan kemalangan.

Kajian terbaru daripada pakar psikologi AS bahawa orang yang ditunjukkan gambar lucah gagal memproses imej yang dilihat selepas melihatnya sekelip mata. Sesetengah pengkaji berkata sesetengah personaliti manusia akan terkesan oleh satu fenomena yang dipanggil “kebutaan emosi teraruh” atau “emotion-induced blindness” – (EIB).

David Zald, dari Vanderbilt University di Nashville, Tennessee, dan Marvin Chun dan beberapa rakan pengkaji dari Yale University di Connecticut, telah menunjukkan beratus-ratus imej (dipaparkan dengan pantas) kepada sukarelawan dan meminta mereka memilih imej yang spesifik. Imej yang ditunjukkan termasuklah persekitaran lanskap atau arkitek, tetapi ahli psikologi memasukkan juga sedikit imej negatif mengandungi unsur kekejaman atau provokasi seksual (gambar yang menggairahkan). Imej-imej negatif (ECI) ini digelar sebagai ‘suapan emosi’.

Lebih dekat jarak ECI dalam jujukan paparan tersebut, lebih ramai sukarelawan gagal melihat imej dengan jelas. “Kami mendapati bahawa manusia gagal mengesan imej visual yang dipaparkan masa 12 saat selepas ECI ditunjukkan. Mereka dapat melihat gambar-gambar bukan ECI dengan menghadapi sedikit masalah selepas beberapa imej yang neutral tersebut ditunjukkan,” kata Zald

Otak Primitif

“Kita berfikir terdapat cerutan awal kepada pemprosesan maklumat pada otak. Jika terdapat sesetengah ransangan yang memerangkap perhatian manusia, ia boleh menghenyak cerutan tersebut. Akibatnya maklumat yang dilihat melalui visual tidak dapat melepasi cerutan tersebut, “ Zald menerangkan. “Perkara ini telah terjadi secara spontan tanpa kehendak kita,” katanya lagi. Dia percaya bahagian primitive otak yang dikenal sebagai ‘amygdala’ memainkan peranan dalam perkara ini. Bahagian otak ini terlibat dalam proses pengesanan input bergantung kepada kestabilan emosi dan mempunyai fungsi autonomik, mempengaruhi kadar degupan jantung dan peluh. Hipotisis di atas dibuat setelah menguji pesakit yang mempunyai masalah ‘amygdala’ dengan menunjukkan gambar yang berunsur ganas. Hasil ujikaji tersebut telah membuktikan bahawa pesakit tidak menunjukkan reaksi kepada imej yang dilihat.

Penyelidik berpendapat EIB boleh menyebabkan pemandu tidak melihat kereta lain atau orang yang berjalan kaki jika mereka terserempak dengan ECI. Kelekaan inilah yang menyebabkan berlakunya kemalangan.

Jurnal Rujukan: Psychonomic Bulletin and Review (August 2005)

Pemurnian Kepada Aspek kajian sains.

Artikel di atas semestinya agak sukar difahami kerana menggunakan gaya bahasa saintifik atau stail penulisan teknikal. Secara mudah, kajian tersebut cuba membuktikan bahawa ransangan spontan kepada naluri seks manusia akan menggagalkan proses pencerapan maklumat lain. Kegagalan ini disebabkan wujudnya ketidaknormalan proses pengaturan maklumat yang disalurkan kepada sel otak untuk ditafsir.
Maka mereka memperkenalkan satu istilah ‘cerutan’ yang terdapat di bahagian otak manusia. Cerutan ini terdapat pada ‘amygdala’ otak manusia. Apabila ketidakstabilan berlaku, proses penghantaran maklumat yang gagal melepasi cerutan ini akan menyebabkan kesan ‘kebutaan emosi teraruh’. Kebutaan ini menyebabkan visual yang dilihat dalam masa 12 saat selepas melihat gambar lucah menjadi kurang jelas, dengan kata lain ia gagal ditafsirkan oleh otak. Maka inilah sebabnya mengapa pengiklanan yang menggunakan imej berunsur lucah harus digam daripada pandangan umum terutama di jalan raya yang sibuk; bagi mengurangkan kadar kemalangan.

Buta mata buta hati
Buta mata adalah kebutaan fizikal, buta jasmani. Buta hati pula adalah kebutaan rohani. Roh yang lesu dan buta menjadikan kita manusia yang tidak nampak kepada kebenaran. Sesungguhnya di dalam Islam telah digariskan penjagaan pandangan mata seperti yang difirmankan oleh Allah dalam ayat 30 dan 31 surah An-Nuur. Maka jagalah mata kita, kerana as-shauqi ada mengatakan “Dari mata turun ke hati….” Madah agung as-shauqi ini mengajak kita menjaga pandangan mata, kerana pandangan itu membawa kepada kerosakan diri dan menjerumuskan kita ke lembah kemaksiatan.

Khamis, Ogos 18, 2005

Peluang kedua.


Mengapa harus bersedih? Apakah dengan bersedih itu, wang yang hilang akan ditemui semula? Mengapa harus bersedih? Apakah dengan tangisan itu, seorang isteri yang telah mati akan hidup kembali? Mengapa harus bersedih? Apakah dengan rintihan kekesalan itu kekasih yang telah berpaling hatinya akan mencintai anda semula? Mengapa harus bersedih? Apakah dengan kesedihan itu kegagalan yang dahulu bertukar menjadi sebaliknya? Mengapa harus bersedih? Apakah masa boleh diundurkan semula agar anda dapat mengelak kemalangan itu? Mengapa harus bersedih? Apakah dengan kesedihan itu takdir yang telah berlaku kepada anda akan berubah? Mengapa harus bersedih? Apakah dengan kekecewaan itu kerugian anda dalam perniagaan boleh diraih semula?

Demikian sikap manusia, mengenang perkara yang buruk-buruk dan membuang masa untuknya. Waktu yang telah berlalu, biarkan ia berlalu. Semua kesedihan, kekecewaan yang disebut di atas tidak layak diberi perhatian yang mendalam. Hari semalam telah berlalu. Nostalgia hitam semalam tidak elok dikaji semula, kerana sesungguhnya ia membantut usaha kita mengorak langkah ke depan. Bayangan kekecewaan, kegagalan, kesedihan, ketidakupayaan masa lalu adalah halangan-halangan yang menyebabkan kita menjadi lesu. Mengimbaunya kembali menjadikan kita terperangkap dalam dunia kesedihan yang berpanjangan. Lihatlah, bagaimana hebatnya seorang manusia yang ditimpa musibah tetapi menanganinya dengan positif. Maharaja yang mengilhamkan idea Taj Mahal umapamnya, atau Hamka, atau al-Qurtubi. Kesemuanya menyumbang sesuatu yang hebat setelah berjaya mengatasi kesedihan mereka. Taj Mahal merupakan salah satu perkara ajaib dunia adalah manifestasi kecintaan kepada seorang isteri yang telah mati.

Mengapa harus sedih? Duhai diriku yang kerdil, bisikkan kata-kata semangat ini. Mengapa harus sedih, tidakkah masih ada ruang untuk berubah? Kegagalan pertama bukan bererti gagal buat selamanya. Jika kegagalan pertama itu telah membuatkanmu berputus harap, lihatlah bagaimana Rasulullah berdakwah selama 23 tahun. Andai kata pada kali pertama baginda berkumpul bersama musyrikin di Bukit Shofa, kemudian baginda mengalah, Islam tidakkan sampai ke bumi Malaysia. Duhai diri yang merasakan lemah, jika hari ini kamu telah berputus harap kerana tidak dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, ingatlah masih ada peluang untuknya. Tidakkah pensyarahmu pernah berkata, "Kamu cari dulu pengalaman dalam bidang industri selama dua tahun, kemudian bolehlah memohon masters secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ). Atau jika mahu membuatnya sepenuh masa, bersabarlah lagi sehingga lima tahun kemudian. Yang penting perlu ada pengalaman dalam industri. Ya, aku tidak bersedih. Sekurang-kurangnya borang masters yang diambil enam bulan dulu diisi jua, insyaAllah diisi jua. Hanya DIA yang tahu tangan yang bertuah yang mengisi borang itu.

Duhai diri, jangan berduka. Kadang-kadang apa yang dicoretkan disampaikan pada pengadil yang tidak boleh mengadili dengan baik. Tidakkah dalam arkib kehidupanmu, telah wujud seorang manusia yang mendapat tempat kedua dalam penulisannya di peringkat negeri. Namun penulisan yang sama mendapat tempat pertama di peringkat kebangsaan. Hebat bukan? Jika artikel demi artikel yang diharapkan untuk disahkan kebaikan isinya oleh admin sebuah portal x, maka sampai bila-bila admin portal x tidak akan membuatnya (untuk menggembirakan hatimu). Mungkin mesej artikel tersebut sangat berat dan tidak dapat diterima pembaca. Namun dirimu tidak bersedih atau putus asa, sekurang-kurangnya ada pengadil lain yang lebih baik dan mengahakiminya dengan baik. Sehinggakan salah satu artikelmu dalam Pertandingan Resensi Buku DBP peringkat IPTA 2005 berjaya memenangi tempat di kalangan pemenang hadiah utama.

Syukur, tidak semesti satu percubaan yang dilihat tidak berjaya bermakna anda sudah gagal. Selagi hidup, kita sebenarnya sentiasa ada peluang kedua dan seterusnya. Jika mati, mati hanya sekali, dan tidak lagi ada peluang kedua untuk hidup dan pulang ke dunia.

This article is inspired by al-Qarni in his book 'Laa Tahzan' or (Dont be Sad).

Rabu, Ogos 17, 2005

Kuliah Ust. Roslan (3)

Bahagian akhir

Pertama, kegemilangan umat Islam akhir zaman berlaku apabila berjaya menjadi seperti garam yang meresap kemasinannya ke dalam air. Betapa jiwa mereka berjaya memberi kesan yang bermakna kepada orang lain.

'Seperti garam yang meresap ke dalam air' diulang hampir sepuluh kali sepanjang ucapannya.

Kemudian sahabat bertanya lagi, "Bagaimana keadaan mereka ketika itu, ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Mereka seperti ulat dalam daun"

Huraian
Kita ambil contoh ulat putih dalam daun pisang. Kita tengok setiap hari lori tanah lalu, daun pisang dilanda habuk dan debu. Tetapi jika kita buka daun yang bergulung, kita dapati ulat di dalamnya putih bersih, tidak kotor. Biar apa yang melanda, ulat tetap tidak tercemar. Maknanya apa? Maknanya umat yang gemilang itu, yang hebat itu adalah mereka yang mempunyai jati diri. Mempunyai prinsip jati diri yang menjadikan mereka tidak mudah terpengaruh oleh anasir-anasir jahat dalam masyarakat. Mereka tak mudah jadi pengikut budaya orang lain. Mereka tidak mudah terpesona dengan cara hidup atau style kehidupan moden yang melalaikan.
Maka kita telah diberitahu di sini bahawa ciri kedua umat yang hebat adalah mereka yang seperti ulat di dalam daun. Ulat dalam kepompong itu tetap suci bersih walau ditujah persekitaran yang kotor.

Kemudian sahabat bertanya lagi, "Bagaimana mereka itu, ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Mereka seperti orang yang menggenggam bara api"

Huraian
Tuan-tuan, muslimin muslimat yang dirahmati....genggam bara api biar jadi abu. Betapa jika kita nak biarkan bara api terus menyala, kita pegang kukuh-kukuh. Kita tatang elok-elok walau tangan kita melecur. Siapa yang boleh buat begitu? Maknanya umat yang cemerlang dan hebat itu, kata nabi mereka yang pegang sungguh-sungguh pada tali Allah. Kalau main-main, tidak ke mana, nak buat baik sikit sudah tentu kita jadi lemah. Rasa tidak bermaya, rasa canggung dan asing lalu meninggalkan kebaikan itu. Berapa ramai umat Islam hari ini yang pegang sungguh-sungguh ajaran Islam? Berapa? Berapa ramai di kalangan kita sanggup bersusah payah untuk kebaikan agama? Ingatlah sesungguhnya syurga itu dibentangi dengan kesukaran, (kepedihan, pengorbanan), manakala neraka itu dibentangi dengan perkara yang menyukakan (sedap pada nafsu, menyeronokkan, melekakan).

--------

Kesimpulannya, kecemerlangan umat akhir zaman ini menurut nabi adalah manusia yang mempunyai tiga ciri:
1. Mempunyai keupayaan merobah keadaan.
2. Mempunyai jati diri.
3. Berpegang sungguh-sungguh dengan ajaran Islam.

Semoga kita berusaha untuk memiliki tiga ciri kecemerlangan umat akhir zaman ini di samping kegemilangan kita dalam bidang akademik. InsyaALlah.

Sekadar rumusan ringkas dengan mengambil intipati kuliah. Semoga bermanfaat untuk kita semua.

Rahsia Mata...


Dalam pada kita biasa dengan kependekan WYSIWYG yang mewakili 'Apa yang Kamu Lihat adalah Apa yang Kamu Dapat', jarang di kalangan kita mendengar DIY (Do It by Yourself) atau buat sendiri. Konsep DIY adalah satu konsep mempelajari perkara yang mudah untuk kegunaan kehidupan sehari-hari. Ia lebih merujuk kepada penyelesaian kendiri yang perlu dipelajari berbanding mengupah orang lain.

Artikel dalam Dewan Ekonomi mengenai konsep perniagaan francais bernama DIY Home Properties adalah aplikasi kepada keperluan pelaksanaan DIY. Bayangkan, jika kita mengupah orang untuk membaiki tombol pintu kita akan dikenakan bayaran perkhidmatan yang menyamai dua kali harga tombol tersebut. Jika DIY dilaksanakan, kitalah yang membeli dan memasangnya semula. Kos membaiki hanya terletak pada harga tombol dan sedikit masa kita. Begitu juga dengan perkara lain seperti menukar lampu kalimantan, mentol, atau fius pada plug barangan elektrik. Namun begitu, tidak semua perkara boleh dibuat sendiri dan kita tiada pilihan untuk mengelaknya.

DIY dalam penjagaan mata dibuat oleh kebanyakan daripada kita dengan membeli ubat mata di kedai-kedai runcit. Berikut adalah artikel yang diedit daripada News Strait Time, 'Steroid eye drops abuse' [1] untuk dikongsi bersama anda. Terima kasih buat Pn. Alin Malek (bukan nama sebenar), Juruteknologi Perubatan USM Kubang Kerian atas pertolongan menterjemah sedikit terma perubatan yang ditanyakan kepadanya.

Seorang pelajar universiti berumur 20 tahun sedang merenung masa depannya, matanya hampir buta. Perawatan kendiri terhadap matanya menjadi punca kepada masalah penglihatan kepada sebelah matanya.

Dia tidak keseorangan. Sekurang-kurangnya lima orang yang melakukan perawatan kendiri terhadap mata menggunakan ubat mata cecair steroid. Pakar mata berpendapat masalah ini meningkat apabila orang awam mengambil ubat mata tersebut untuk menghilangkan kegatalan pada mata atau merawat kekeringan mata (dry eye). Pengerusi Persatuan Optamologi, Prof. Dr. Muhaya Mohamad berkata empat pesakitnya berumur di antara 12 hingga 13 tahun menderita glaukoma selepas menggunakan ubat mata cecair steroid. Beliau berkata: "Ubat mata ini menghilangkan kegatalan dan ketidakselesaan dengan cepat. Sebab itulah mereka yang menggunakannya akan membeli berulang kali. Mereka tidak tahu bahawa ubat tersebut boleh merosakkan mata mereka."

Pakar Perunding Optamologi di Hospital Selayang, Dr. Choong Yee berkata: "Penggunaan ubat mata cecair steroid bagi tempoh yang lama (dua hingga tiga bulan) akan meningkatkan tekanan pada mata. Tekanan ini akan sentiasa naik, jika dibiarkan tanpa dirawat akan menyebabkan kerosakan pada sistem saraf optik. Kehilangan tahap penglihatan berlaku pada bulan keenam sehingga tahun kelima. Ubat-ubatan yang mengandungi steroid tidak boleh digunakan dalam perawatan kendiri."

Apakah yang perlu diketahui oleh kita? Buatlah pemeriksaan mata di klinik, jangan membeli ubat mata di kaunter kedai farmasi. Pembeli harus melihat kandungan deksametason (dextamethasone), fluorormetalon (fluoromethalone), dan betametason (betamethasone) yang menunjukkan kewujudan steroid di dalam ubat mata. "Jika kamu malas berjumpa doktor, lihatlah kandungan ubatan yang dibeli dan hindarkan diri daripada membeli ubat mata steroid." Dr. Muhaya berkata.

Rujukan
[1] NST, 15 Ogos 2005, ms 4.


Selasa, Ogos 16, 2005

Kuliah Ust. Roslan (2)


Kepincangan sistem sosial pada hari ini disebabkan ketidakfahaman umat Islam menghadapi seribu macam bentuk ujian. Ujian demi ujian didatangkan kepada kita daripada musuh-musuh Islam. Hiburan, budaya hedonisme yang kita lihat hari ini merupakan gerak kerja terancang mereka. "wa-lan tardha....(ila akhir ayat)" Maknanya tidak sekali-kali akan redha kepada kamu orang-orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah mereka." Mereka tidak kisah, jika kita menjadi penganut agama mereka, tetapi mereka gembira sekiranya gaya hidup mereka ditiru oleh orang Islam. Kemudian ada seorang sahabat bertanya, "Adakah di kalangan mereka yang lebih baik daripada kami, ya Rasulullah?" Nabi menjawab, "Ya."

Huraian
'Lan' di sini meunjukkan kalimah Nafiah yang bermakna sekali-kali tidak, dari dulu sampai kiamat. Mereka tidak akan berputus asa membuat perancangan jahat untuk memerangi umat Islam dalam apa jua bentuk. Dalam keadaan kalut dan rosak itu, nabi kata masih ada manusia yang dapat bertahan. Masih ada manusia yang tidak luntur semangat beragamanya. Maka hairanlah para sahabat.

Seterusnya bertanya sahabat bertanya lagi "Apakah pada zaman itu wahyu diturunkan?" Nabi menjawab, "Tidak".

Huraian
Jika pada zaman mereka, hidup bersama nabi dan diturunkan wahyu. Setiap kepincangan mereka akan dijawab secara terus daripada Allah melalui perantaraan wahyu yang diajarkan secara terus oleh nabi. Tetapi pada akhir zaman ini, nabi sudah tiada, wahi sudah tamat dan lengkap penurunannya. Maka barangsiapa yang dapat bertahan dan mengekalkan identinya sebagai orang Islam yang menjunjung tinggi kalimah Allah dan sunnah nabi, merekalah lebih baik daripada sahabat. Hal ini menjadikan para sahabat takjub dan kagum dengan kekuatan yang ada dalam diri manusia yang disebutkan itu.

Lalu mereka bertanya lagi, "Apakah engkau melihat mereka, ya Rasulullah?" Jawab nabi, "Tidak." Kemudian bertanya lagi, "Kaifa ya'iisyu dzaalika zaman? - Bagaimana mereka hidup pada zaman itu?" Jawab nabi mereka itu "ka al-milhi fi al-maa-i.....umpama garam yang meresap dalam air"

Huraian
Tuan-tuan, kita ambik contoh lah...kiub garam diletakkan dalam segelas air. Kemasinannya berjaya menukarkan air yang tawar menjadi masin. Kecemerlangan umat ini seperti mana air tersebut merupakan satu perkara yang amat hebat. Maknanya apa? Maknanya mereka boleh merobah suasana. Mereka mempunyai kekuatan dalaman yang mampu menjadi agen perubah kepada umat ini. Minda dan jiwa mereka kental menghadapi semuanya. Maka perkara ini bertitik tolak daripada hati.

Seterusnya ustaz membaca hadis tentang hati bermula "Inna fi al-jasad....(sehingga akhir) {benarlah kata Rasulullah S.A.W atau dengan kata yang lainnya}. Hati itu kata nabi seketul darah dalam jasad manusia. Sekiranya elok darah itu, eloklah keseluruhan jasadnya. Sekiranya jahat darah itu, maka jahatlah diri manusia itu. Itulah hati.

Huraian
Hati merupakan unsur yang penting dalam kehidupan rohaniah manusia. Manusia yang memilik hati yang suci mampu mencerap segala kebaikan dan menolak kejahatan. Maka manjadi penting kepada kita untuk mendidik hati, menjaga dan mengawalnya. Hati yang terikat dengan kalimah Allah, disinari dengan kalamNYA yang suci (al-Quran), tidak berkarat dengan maksiat adalah hati yang baik. Bagaimana kita ingin menjadi umat yang terbaik jika hati kita kotor? Hati diselaputi dosa dan karat noda? Bagaimana kita nak jadi manusia yang mampu mentransisikan atau mentranformasikan keadaan di sekeliling kita? Dari hati yang baik, akan terserlah kebaikannya dari luaran. Tingkah laku, tindak tanduk kita berpunca daripada hati. Kadang-kadang manusia berkata hatinya baik, tetapi luarannya tidak menggambarkan hatinya baik. Jika hatinya baik, maka segala hukum hakam Allah akan terserlah pada peribadinya. Apakah sudah baik hati seorang itu jika dia banyak menderma sedangkan solatnya tidak lengkap? Apakah sudah boleh kita kata hati manusia itu baik jika sentiasa tolong orang, sedangkan dia suka mengungkit-ungkit kebaikannya?

bersambung ..........dua ciri kehebatan manusia akhir zaman..


Isnin, Ogos 15, 2005

Kuliah Ust. Roslan (1)


Posting terdahulu, aku memuatkan IQ Test untuk pengunjung blogku. Ramai (5 orang) juga yang berjaya mengatasi markah IQ yang diperolehku. Syabas dan tahniah. Anda sebenarnya mampu dan boleh lakukannya. Kali ini, apa kata anda beri penghargaan buat diri anda untuk mencuba pertandingan kuiz kesihatan. Hadiahnya lumayan juga, siapa tahu anda akan menjadi pemenangnya? InsyaAllah, belum cuba belum tahu. Saya telah cuba, dan jika saya yang tidak belajar perubatan atau sains farmasi boleh menjawabnya maka anda juga mampu. Tarikh tutup pada 20 Ogos 2005.

Congratulation! Thank you MOHAMAD HANAFI ISA for entering the Mesti Ambil Tahu! Contest
Visit us again on 15 September to see if you are the lucky winner.
I want to try too...klik di sini dan jawab 5 soalan mudah tentang ubat-ubatan. Soalan dalam Bahasa Inggeris

Nota: Pemenang dikira dengan mengambil kira jawapan yang betul dan slogan terbaik.

Hari ini juga aku ingin berkongsi ilmu yang diperoleh minggu lepas.
Demikian sedikit sebanyak ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Roslan Che kepada kami pada malam itu (8 Ogos 2005, 7.50-8.50mlm).

Hidup adalah medan ujian, manusia hidup penuh dengan cabaran. Beliau membaca ayat 1-3 surah Ar-Ruum yang bermaksud "Alif-Lam-Mim, apakah manusia menyangka mereka dibiarkan (hidup di dunia) tanpa diuji? Sesungguhnya telah dikenakan ujian (cubaan, musibah) ke atas umat sebelum daripada mereka untuk Kami mengetahui (di kalangan manusia) orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta." Dunia hari ini dunia yang haru biru, manusia hidup berhadapan dengan seribu satu ujian. Dijuinya manusia dengan hiburan, kemewahan, kesakitan, pangkat, nama, dan lain-lain.

Maka lihatlah di sekeliling kita, berapa ramai umat manusia yang ada pada hari ini dapat menghadapi cabaran hidup ini dengan baik? Lihatlah program-program yang melalaikan kita, saban hari disogokkan dengan hiburan yang melampau. Kemudian beliau memberi komentar kepada AF yang sedang hangat. "Saya juga tengok, tapi tengok untuk memberitahu kepincangannya. Jika saya tidak tengok, tak sedaplah saya nak komen. Nanti saya komen tak betul pula. Bayangkan semasa pemilihan, peserta dikehendaki hadir bersama pasangan. Dalam satu siri yang saya tertonton itu, ada seorang peserta lelaki yang datang bersama teman wanitanya. Mereka pula ditemani oleh ibu bapa teman wanitanya itu. Apabila diumumkan bahawa si lelaki itu terpilih, dia dengan tidak segan silu memeluk teman wanitanya. Ibu bapa budak perempuan itu pula tengok setengok-tengoknya, tanpa rasa apa-apa. Nak tegah tidak juga, seronok pula dia bertepuk tangan ketika anak gadisnya dipeluk oleh seorang lelaki yang belum menjadi suami anaknya itu. Tidak tahulah saya, apa nak jadi dengan ibu bapa zaman sekarang ni"

Menjadi manusia yang berjaya bukan hanya dalam bidang akademik merupakan kejayaan sebenar manusia yang mempunyai kualiti hidup. Iman dan Islam yang bersinar dalam hidup kita merupakan perkara yang besar. Kedua-duanya adalah sebesar-besar nikmat untuk kita. Hari ini, kalau kita mahu mengajak orang membuat kebajikan, amatlah sukar. Tetapi jika diajak ke konsert mudah pula hendak dituruti, atau hendak membeli belah di pasar raya. Jika ke masjid, bilanglah tiangnya. Tiang dan pili air di masjid lebih ramai daripada orang yang solat di dalamnya. Macam kata Isa Samad, masjid berharga lapan juta, jemaah hanya lapan orang. Kemudian beliau membacakan hadis nabi yang bermula "Akan tiba zaman di mana ummatku (pada waktu itu) orang yang melakukan kebaikan dipandang asing. Manakala seorang yang melakukan kejahatan akan diikuti oleh 50 orang yang lain"

Huraian: Pada satu masa akan ada manusia yang membuat kebaikan berasa janggal. Di sekelilingnya manusia yang melakukan kejahatan. Apabila melakukan sunnah, dia diperlekehkan. Dihina dan disindir dengan pelbagai perkara. Sebagai contoh, jika ada seorang yang ingin berubah kepada kebaikan sudah pasti dia dikatakan 'buang tebiat'. Diperlekehkan sehingga orang yang hendak berubah itu rasa putus asa, lalu tidak melakukan pengislahan ke atas dirinya. Sebaliknya apabila melakukan perkara mungkar, tanpa perlu dipaksa-paksa senang sahaja diikuti. Orang kita ni, memang pandai hal-hal seperti ini. Jika di Barat, penyanyi rock hanya pakai subang sebelah, tapi di Malaysia ni, dua-dua telinga dipakaikan subang. Yang tu lelaki tu, yang perempuannya lebih lagi lah dengan style dan gaya keperempuanannya.

bersambung......sambungan kepada hadis itu.....

Sabtu, Ogos 13, 2005

Buat lelaki ..... nilaikan diri kita

Ketika kecil, masih lagi teringat kenakalan itu. Suatu pagi ketika bersarapan, ibu menyediakan roti bakar yang dimakan bersama susu. Kakak telah bersekolah dalam darjah dua, manakala aku pula baru melangkah kaki ke Tadika. Ketika kakak makan, tiba-tiba dia mengangkat piring kecil yang mengandungi susu ke mulutnya. Aku menolak tangannya sehingga saki baki susu yang terdapat di dalam piring terkena hidungnya. Kakak marah, begitu juga ayah. Akibatnya aku didenda supaya pergi ke sekolah berjalan kaki, ayah tidak menghantarku seperti kebiasaannya.

Demikian secebis kenangan lampau yang masih lekat dalam memoriku. Kami dididik dengan satu prinsip tanggungjawab. Jika melakukan kesilapan, orang yang silap mesti menanggung kesilapannya termasuklah didenda. Denda yang dikenakan berbaloi dan sesuai pula dengan keupayaan kami untuk menghadapinya. Rupa-rupanya dalam pendidikan itu, ayahku mengajar kami erti disiplin yang tinggi. Kata ayah, “Jika ingin mendidik, jangan terlalu manjakannya.” Begitu juga dalam banyak perkara, kami diberi sesuatu berdasarkan sedikit kerja yang dibuat. Jika ingin diberi secara terus boleh juga, namun tidak dibuat begitu kerana mahu memupukkan nilai daya usaha.

Di dalam sebuah kitab karangan al-Ghazali, beliau menggariskan 10 prinsip pembaharuan, prisip yang kedua berbunyi "Keluarga adalah asas survival akhlak dan sosial bagi ummah, ia merupakan pendokong tabie bagi generasi yang muncul. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab bersama untuk mewujudkan suasanan yang baik di antara mereka. Lelaki adalah ketua keluarga, tanggungjawabnya jelas seperti yang disyariatkan Allah ke atas setiap individu".

Satu hari saya terbaca artikel dalam portal wanitakini yang menarik. Persoalannya berkisar tentang apakah perlu dijadikan prasyarat seorang lelaki yang ingin dijadikan suami boleh mengimami solat?. Bagus juga perkara itu dibincangkan, kadang-kadang dunia hari ini wujud semacam ketidakseimbangan dalam perkara jodoh ini. Jika ditanya lelaki, apakah kriteria wanita pilihan? Maka ramai yang akan menjawab, "Wanita yang solehah." Sebelum kita sibuk-sibuk dan tergesa-gesa menjawab seperti itu, apakah persediaan diri kita untuk menjadi seorang lelaki yang soleh? Pernahkah kita memikirkan cara-cara dan jalan yang hendak dilalui sebagai mempersiapkan diri kita menjadi seorang lelaki yang baik dan soleh? Atau apakah kita hanya mengidamkan seorang wanita yang solehah, tanpa bersedia memperbaiki diri kita untuk menjadi lelaki yang soleh itu? Kaji dan fikirkan perkara ini untuk persediaan mental kita sebelum melangkah ke alam perkahwinan nanti. Kadang-kadang, umur seusiaku ini adalah umur yang galak. Seringkali diri diinjak-injak naluri inginkan teman, namun apakan daya dunia sekarang ini semuanya berorientasi wang.

"Duhai lelaki, hadiahkan dahulu buat dirimu kecintaan buat dirimu sebelum mencurahkan kasih kepada seorang wanita. Kasih sayang tidak dapat ditumbuhsuburkan andai kata tidak dibajai dengan iman dan modal. Modal yang penting selain iman dan akhlak Islamiyyah adalah wang."
-{petikan luahan rasa seorang serinkandi}

Tidak dinafikan kebenaran kata-kata serikandi tersebut. Tanpa wang kita tidak dapat berbuat apa-apa. Tanpa wang, tiada jaminan kebahagiaan yang betul-betul baik dari seorang lelaki buat wanita. Tanpa wang, bagaimana ingin menyara kehidupan berumahtangga. Tanpa wang bagaimana ingin memberi nafkah dalam bentuk wang yang mesti diberikan kepada isteri? Tanpa wang, bagaimana mungkin seorang lelaki boleh menyediakan tempat perlindungan yang baik? Tanpa wang, bagaimana seorang lelaki boleh menyediakan kenderaan untuk dinaiki? Tanpa wang bagaimana mungkin seorang lelaki dapat menggerakkan agenda rumahtangganya untuk kebaikan agamanya? Pendek kata, tanpa wang perkahwinan tidak membawa apa-apa erti. Sekiranya anda masih mempunyai perasaan yang bukan-bukan tentang perkahwinan, katakan kepada diri anda "Sudah ada wang untuk menjamin kebahagiaan?". Jika sudah ada dan anda mampu, maka perkahwinan itu menjadi wajib buat anda.

"Fikir-fikir, renung-renung, dan olahkan langkah kita"
"Jika mengharapkan seorang isteri seperti Fatimah, jadilah dirimu sebaik Ali" Renungilah formula al-Quran tentang jodoh manusia yang Allah janjikan "Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki yang keji untuk wanita yang keji pula, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik........" {Surah An-Nuur: 26}

Bacaan tambahan: Kecemerlangan Pelajar dan Tanggungjawab Ibu Bapa, Hj. Md. Yusof Abd. Rahim dan Mohamad Hanafi Isa, (sisipan dalam Prosiding Seminar Penasihatan Kekeluargaan Bestari 2, USM)

Khamis, Ogos 11, 2005

Naim Son menjawab.


Fenomena 'Naim son' adalah dunia hipokrit. Hidup kepuraan di sebalik kelemahan sistem yang dibina oleh manusia. Dunia yang dieksploitasi dari kecanggihan, menyalahguna kecanggihan untuk melakukan perkara yang tidak beretika. Naim son menempelak, "Mohamad Hanafi terlalu angkuh menjadi dirinya, seorang yang suka menunjuk-nunjuk kehebatan dirinya." Sebagai jawabnya aku tidaklah begitu, mengapa harus berbangga sedangkan kita tidak miliki apa-apa. Semua orang boleh menjadi apa yang dikehendakinya jika dia berusaha. Usahanya pula hanya berjaya jika Allah yang membenar dan memberi kudrat buatnya. Apalah yang hendak dibanggakan jika hakikatnya semua yang dibuat oleh manusia tertakluk di bawah suatu kuasa yang Maha Mencipta. Insan kerdil sepertiku tidak suka dipuji-puji, jangan jadikan pujian sebagai makanan untuk dilahap. Melahap pujian dan mewah dengan pujian adalah punca kepada kerosakan hati manusia.

Tidakkah banyak di dunia ini manusia yang hipokrit? Kepuraan menebal dalam dirinya, menggambarkan dirinya dengan yang sebaliknya dari dirinya sendiri. Ketahuilah kalian, dunia siber ini kadang-kadang disalahguna oleh sesetengah orang untuk melakukan perkara yang tidak beretika. Maka selamanya hendaklah berhati-hati apabila berhubung dengan orang yang tidak pernah anda jumpa di alam nyata. Mengapa? Alam maya itu akan digunakan untuk menyusahkan anda. Betul tak Naim son? Naim son akan tersenyum membaca artikel ini dan mungkin berbisik sendiri "Engkau telah tewas, 'sahabat'!" Sebelum ini beria-ia benar mengaku diri sebagai seorang yang hebat. Aku menginsafi tiada apa yang hebatnya pada diriku dan tidak mahu dikagumi dengan apa jua bentuk kehebatan. Biarlah aku hidup tanpa mendapat tumpuan mana-mana, tidak dipedulikan sesiapa asalkan aku dapat melakukan sesuatu yang bermanfaat dengan kehendak diriku sendiri. kadang-kadang aku suka melakukan perkara kerana pada dasarnya perkara itu baik. "Doing something by no mean." Tidak perlu dambakan apa-apa daripada sesiapa, tidak perlu mendapat balasan yang baik atau hadiah daripada sesiapa. Maka jika begitu, aku tidak malu untuk menegur atau mengkritik kerana kritikan dibuat berdasarkan perkara yang benar. Sebaliknya mendapat kriktikan pula adalah medium yang baik bagiku untuk menilai semula tindak tandukku. Aku tidak takut dikritik. Kritiklah demi kebaikanku, berilah kritikan yang membina bukan untuk menjatuhkan.

Lihatlah beberapa maklum balas daripada Naim son sebagai menjawab 'seranganku' :
"Di mana letaknya sikap kamu sebagai seorang yang bermaruah? Di mana letaknya nilai diri kamu yang dulunya sentiasa dianggap 'low profile'? Mengapa brebangga dengan sedikit keupayaan yang tidak sebarapa? Betapa kepuraan yang dibuat oleh kamu telah diketahui, maka apakah kamu bimbang menanggung risikonya? Bersediakah kamu mendapat cacian, cemuhan, dibenci dan seumpamanya hasil dari tindakan 'bijak' saya ini? Mengapa haru berasa gentar dan tergugat untuk menghadapi kenyataan hidup, bahawa kamu juga seebnarnya manusia yang penuh dengan hipokrasi? Saya memang gembira melihat kamu dilanda masalah demi masalah walau saya tahu kamu memandangnya sebagai sesuatu yang kecil. Saya tahu daripada penceritaan kawan-kawan, kamu adalah manusia yang tidak kisah. Bersikap 'happy go lucky', sering membiarkan diri ditindas dan ditindas tanpa bertindak balas terhadapnya. Kamu tidak pernah ambil pusing atau mengendahkan semua perbuatan jahat manusia lain selagi mana ia berbentuk kata-kata."

Maka lihatlah pula jawabku, "Aku adalah nadi yang hidup dalam kehidupanku. Aku adalah insan kerdil yang berjalan atas takdirku setelah aku berusaha. Maka tidak patut bagiku berbangga dengan sedikit kelebihan atau kecewa dengan sedikit kekurangan. Tidakkah kita telah dipesan {"Janganlah sekali-kali kamu menyangka bahawa orang yang gembira dengan apa yang mereka lakukan dan mereka suka dipuji dengan perbuatan yang belum mereka lakukan terlepas daripada siksa..."} Betapa ayat ini mengingatkan kita kembalikan kesyukuran kita kepada Allah terhadap apa jua perkara yang telah kita lakukan. Kemudian bandingkan pula kelebihan yang sedikit yang ada padamu dengan orang lain yang lebih baik. Jika beginilah keadaan kamu, maka sampai bila-bila kamu tidak rasa apa-apa kehebatan lagi dalam dirimu. Sebagai menjawab "Apakah kamu resah gelisah menghadapi kebencian orang lain kerana tindakan saya?". Jawapnya "Aku memohon maaf sekiranya sikap Naim son yang kadang-kadang mengambil alih dan mencuri ruang untuk berbincang dengan anda di alam maya menggunakan ikon (sebagai mewakili diriku). Maaflah Naim son dengan kenakalannya, sekiranya anda marah kepadaku marahlah seadanya. Janganlah benci kepadaku, tetapi bencilah kepada sikap hipokrit yang timbul sama ada dari diriku mahu pun dari Naim son. Luahkan kemarahan anda dengan tidak lagi memberi ruang kepadaku untuk berhubung dengan anda di alam maya. Aku lebih suka menjadi umpama Beethoven yang buta seperti yang dikisahkan dalam 'Hatiku terluka di Bukhara'. Wan Hashim Wan Teh menggambarkan betapa dalam dunia seninya, Bethoven mempunyai seorang peminat yang amat mengkaguminya. Pun begitu, mereka tidak pernah bertemu, tidak pernah bersemuka, tidak pernah bercakap melainkan perantaraan surat.

Orang yang mengkagumi Bethoven adalah janda yang kaya raya, beliau menyumbang kekeyaannya untuk kejayaan seni Bethoven yang buta. Beliau jauh sekali inginkan penghargaan daripada Bethoven dalam apa jua bentuk, sekali pun untuk bersua muka. Perkara ini amat sukar untuk ditemui lewat abad 21 ini, malah yang lebih banyak adalah penipuan. Ketahuilah dan pelajarilah, bahawa dunia siber ini akan menjadikan anda mangsa kepada suatu kebohongan. Alam maya menjadikan manusia lebih suka untuk menipu dirinya sendiri dan menipu orang lain juga. Lebih dahsyat lagi, mereka menggunakan medium untuk memerangkap golongan yang lemah terutama wanita bagi memuaskan kehendak nafsu mereka. Hati-hatilah dengan lelaki yang penuh hipokrik ini, hati-hatilah anda dengan manusia tidak anda kenali secara benar. "Ya Allah, ampunilah dosaku atas perkara yang berlebih-lebihan yang dilakukan olehku. Aku tidak mahu menjadi hambaMU yang angkuh sombong dan membangga diri dengan hakikat kekuatan yang tidak ada padaku. Jika diberi kekuatan, aku sedar dan insaf bahawa keduanya datang daripadaMU." Terima kasih Naim son, kamu telah mengajarsesuatu yang berharga buat diriku. Maafkan aku di atas ketidaksengajaan yang dilakukan oleh Naim son yang menggunakan namaku.

Selasa, Ogos 09, 2005

Lewat 8 Ogos


Congratulations, M_Hanafi!
Your IQ score is 117
This number is based on a scientific formula that compares how many questions you answered correctly on the Classic IQ Test relative to others.

Your Intellectual Type is Precision Processor. This means you're exceptionally good at discovering quick solutions to problems, especially ones that involve math or logic. You're also resourceful and able to think on your feet. And that's just some of what we know about you from your test results.


Para di atas menunjukkan salah satu keputusan ujian IQ yang dijalankan secara online untuk menilai tahap kecergasan mindaku. Alhamdulillah, walau markahnya tidaklah banyak sekurang-kurang sel-sel neuronku telah berkerja untuk menilai kemampuan minda pada ketika ini. Aktiviti seperti ini sememangnya agak kurang digemari oleh mereka yang melayari internet, kerana kepantasan menjawab soalan dan ketepatan jawapan amat dititikberatkan. Siapa sahaja bebas melakukan ujikaji ini, jika anda berminat silalah mencuba kemampuan anda menjawabnya. Anda lebih hebat daripada saya jika dapat menjawab semua soalan dalam masa 15 minit atau kurang dan mendapat markah yang lebih tinggi. Selamat mencuba ujian IQ anda di The Classic IQ Test.

Semalam sudah selesai AGM PMIUSMKKj bagi sesi 2005/06. Syabas dan tahniah kepada semua MT yang terpilih. Lidah Presiden baru yang masih saya ingat "Kemenangan ini bukanlah penghormatan kepada kami, ia adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kami." Ucapan seterusnya dari lidah Presiden baru menjadikan aku tiba-tiba mengalir air mata. Terharu dan kagum dengan keinsafan yang dicetuskan olehnya tentang kepimpinan dan harapan beliau terhadap ahli-ahli. Dalam coretan ini, aku lebih suka menyorot kembali kedudukan mantan Presiden yang lalu.

Presiden pertama: Berasal dari Sabah, graduan PPKBSM, sekarang bertugas sebagai jurutera di Perodua.

Presiden kedua: Berasal dari Kelantan, bekas pelajar MML ini memegang tampuk kepimpinan selama dua sidang. Bekas pelajar Kej. Aeroangkasa, tetapi melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana (Masters) di PPK Mekanik. Beliau sedang berada pada fasa terakhir pengajiannya, insyaAllah akan menamatkan pelajarannya pada Oktober 2005. Beliau juga merupakan pensyarah sambilan di UNIKL.

Presiden ketiga: Graduan PPK Eletrik & Elektronik. Juga berasal dari Kelantan dan bekas pelajar MML. Sekarang sedang bertugas sebagai Jurutera Elektronik di Panasonic, Johor. Beliau sememangnya tidak suka diberi liputan dalam mana-mana coretanku (minta maaf kerana sedikit penghargaan yang diberikan olehku di sini).

Presiden keempat: Pelajar tahun akhir di PPKBSM, pengkhususan Kej. Bahan. Juga tidak banyak komentar yang ingin diberi (kerana nanti mungkin dia akan memintaku memadamkannya).

Jika dilihat dari senarai bilangan mantan Presiden PMIUSMKKj, maka tahulah kita bahawa usia persatuan ini hanya tidak lebih lima tahun. Namun begitu usia tidak menggambarkan kematangannya, kerana gerak kerja yang dibuat sedikit sebanyak mewarnai kehidupan masyarakat kampus. Semoga perjalanan aktiviti PMIUSMKKj untuk sidang baru ini juga memberi impak yang baik kepada nadi kehidupan masyarakat kampus dan luar, insyaAllah. "Takziah untuk kami, jangan ucapkan 'tahniah'!" Selamat bertugas.

-------------------------------------------
Aku tatahkan berlian di dalamnya,
hingga aku meninggalkannya,
bersinar tanpa matahari,
berkilau tanpa rembulan,
kedua matanya memancarkan daya tarik
Keningnya melengkung bak pedang dari India,
Hanya milik Allah segala kebaikan,
di setiap kerdipan mata,
di setiap desah nafas yang mengalir di leher,
di setiap tatapan.......
Nukilan 'Aidh al-Qarni, "Laa Tahzan", Penterjemah: Noraine Abu, Alhidayah Publisher, 2005.

Isnin, Ogos 08, 2005

Waqaf lazim


Suatu hari seorang guru menulis
'amin pergi ke stadium batu kawan amir pergi bersama-sama.' Kemudian beliau meminta dua orang pelajarnya menulis semula ayat itu dengan meletakkan tanda baca yang betul.
Pelajar 1 menulis : Amin pergi ke Stadium Batu Kawan. Amir pergi bersama-samanya.
Pelajar 2 menulis : Amin pergi ke Stadium Batu. Kawan Amir pergi bersama-samanya.
Menurut guru itu, kedua-dua ayat di atas betul, tidak ada yang salah.

Kemudian dia menulis pula 'ayah tidak marah kepada kamu kata emak dia gembira dengan tindakan kamu kata adiknya'
Kemudian dia meminta pelajar lain untuk menjawab, "Binalah ayat yang betul"
Pelajar 3 menulis: "Ayah tidak marah kepada kamu, kata emak dia gembira dengan tindakan kamu," kata adiknya.
Pelajar 4 menulis: "Ayah tidak marah kepada kamu," kata emak. "Dia gembira dengan tindakan kamu," kata adiknya.

Namun begitu, guru itu mengatakan bahawa pelajar 4 tidak tepat. Mengapa? Pelajar empat telah memindahkan fungsi kata ajuk yang dibawa oleh seorang pelaku iaitu 'adiknya'. Maka betapa di dalam tatabahasa, perubahan kepada struktur tanda baca mengubah makna ayat sama sekali. Ayat yang ditulis pelajar oleh pelajar empat langsung tidak mempunyai kesinambungan kerana sepatutnya pujukan itu seharusnya dibuat oleh seorang pelaku sahaja. Namun demikian, pelajar empat berpendapat ayatnya tidak juga salah kerana situasi yang dicetuskannya seolah-olah dia dipujuk oleh emak dan adiknya. Maka halnya terpulang kepada guru yang menilai, menurut penilaian guru itu, saya menghendaki jawapannya dijawab seperti yang dijawab oleh pelajar tiga. Akhirnya pelajar empat tetap dilihat sebagai salah.

Jika perkara ini berlaku dalam fenomena pembelajaran di sekolah, secara tidak langsung kita juga melakukan perkara yang sama. Secara sedar atau tidak, kita melakukan perkara tersebut semasa membaca al-Quran. Al-Quran yang kita baca kadang-kadang boleh berubah maknanya apabila dibaca tanpa mematuhi kaedah waqaf yang ditetapkan. Di dalam al-Quran terdapat satu waqaf (tempat berhenti) yang mesti diwaqafkan bacaan padanya. Sekiranya dibaca secara washol (sambung), ia akan menjejaskan makna ayat yang dibaca. Waqaf ini dipanggil waqaf lazim.

Waqaf lazim ditanda dengan huruf 'mim'. Terdapat dua jenis penandaan huruf mim kecil di dalam al-Quran tulisan resam Uthmani iaitu mim yang menunjukkan hukum Iqlab dan mim yang menunjukkan tanda waqaf lazim. Mim bagi hukum iqlab ditulis di atas huruf nun mati (nun sukun) yang bertemu dengan huruf 'ba' atau pada huruf berbaris dua (tan-win) yang bertemu dengan huruf 'ba'. Huruf mim tersebut ditulis dengan ekornya ditarik ke bawah (90 darjah). Manakala mim bagi waqaf lazim ditulis dengan ekornya dicondongkan sedikit (45 darjah). Kita lihat contoh mim waqaf lazim ini. Sila rujuk pada ayat 76 surah Yaasin.

Pertama makna ayat bagi orang yang membaca secara washol.
"Janganlah kamu bersedih dengan ucapan mereka "Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan".

Kedua makna ayat bagi orang yang membaca secara waqaf.
"Janganlah kamu bersedih dengan ucapan mereka. Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan".

Orang yang membaca secara washol berkata seolah-olah ucapan yang menyedihkan itu adalah "Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan". Sedangkan sebenarnya ucapan yang menyedihkan itu ialah cercaan, cacian, maki hamun dan tuduhan palsu yang dibuat kepada nabi. Sebaliknya bagi mereka yang membaca secara waqaf, ia akan membawa makna yang betul iaitu kata-kata semangat yang diberikan kepada nabi supaya tidak bersedih. Kemudian diikuti pula oleh jaminan Allah tentang perhatiannya kepada setiap perbuatan jahat manusia musyrik dan kuffar kepada nabi.

Maka kesimpulannya apabila bertemu dengan tempat waqaf lazim seperti ini di dalam al-Quran, berhentilah bacaan pada tempat tersebut. Membaca secara washol akan mengubah makna ayat tersebut. Di dalam contoh ayat yant yang diberikan itu, hendaklah berhenti pada kalimah 'Qauluhum', dan disambung dengan nafas lain pada kalimah 'Innaa'.

Sekian, selepas membaca artikel ini diharap anda telah

1.Dapat membezakan fungsi penandaan huruf mim kecil di dalam al-Quran tulisan resam Uthmani.
2. Memahami kaedah pembacaan apabila bertemu ayat yang mempunyai waqaf lazim.

Sabtu, Ogos 06, 2005

Masters di USM


Melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana (Masters) merupakan titik mula kepada pengisian kualiti manusia dalam membina tamadun ilmu yang unggul. USM melalui Institute of Graduates Study menawarkan pelbagai program pengajian peringkat sarjana dengan menawarkan pilihan (mod) seperti berikut:

Mod Penyelidikan (Research Mode)
Kerja Kursus (Coursework)
Mod Campuran (Mix Mode)

Syarat kelayakan minima untuk program ini adalah lepasan Ijazah Sarjana Muda (First Degree) dengan PNGK 2.75. Maklumat lanjut tentang program pengajian yang ditawarkan di USM boleh dirujuk dalam laman IPS--klik untuk membuka laman IPS.

Semalam, bermulalah satu dimensi baru dalam wadah kewartawanan. Akhbar tabloid terbaru bernama SIASAH yang dikendalikan oleh M Sayuti Omar dan A Lutfi Othman telah berlegar di pasaran dengan harga RM2. Tabloid ini diterbitkan dua minggu sekali, harapnya menjadi wadah penyampaian maklumat yang signifikan untuk memangkin keberkesanan sistem penyebaran maklumat yang seimbang dari 'suara' yang tidak didengar. Suasana politik demokrasi ala Malaysia kini merupakan politik senyap, akhbar arus perdana tidak menyiarkan berita tentang pembangkang melainkan berita tersebut berupaya menunjukkan imej buruk pembangkang. Apakah silent politic ini akan benar-benar menjadikan mereka bertambah kuat? Pada saya tidak sama sekali, lihatlah di sebalik tindakan mereka. Ketidakendahan mereka kepada lawan sedikit sebanyak menjadi peluru kepada mereka apabila dilanda krisis kepimpinan yang teruk. Tidak lama lagi, kabinet akan berubah dan dijangka pada Oktober 2005, tiga kementerian akan bertukar wajah. Biarlah mereka dengan politik mereka.

Jika saya bincangkan soal politik di sini, saya tidak mampu mengubah apa-apa dalam senario politik ini. Cuma saya ingin mengingatkan kita tidak harus menjadi manusia yang pekak, bisu dan buta. Pupuklah nilai kesedaran berpolitik dalam diri anda bukan kerana ingin menjerumuskan diri dalam politik secara aktif, tetapi untuk menjadi penilai yang baik kepada agenda yang berlaku dalam politik. Kita seharusnya bijak membaca politik dan mempunyai political thinking yang baik. Lihatlah sesuatu dengan mempersolkan apakah agenda yang tersembunyi di sebaliknya.

Jumaat, Ogos 05, 2005

Penceramah vs audien


Bercakaplah kamu kepada audien mengikut tahap kefahaman mereka. Jika seorang penceramah menghadiri majlis untuk menyampaikan ucapan, secara tidak langsung dia mesti memahami pendengarnya. Memahami audien bermaksud meneliti tahap penerimaan audien secara purata. Bayangkan seorang doktor atau ahli dietetik menyampaikan ucapan kepada golongan tua di kampung pedalaman, sudah pasti istilah saintifik yang canggih akan memeningkan benak mereka. Saya pasti 90% daripada audien akan pulang dengan hampa kerana tidak dapat memahami banyak istilah yang asing bagi mereka.

Sekiranya istilah yang digunakan dipermudahkan dengan kata lain diterjemahkan menggunakan contoh-contoh yang boleh difikirkan logik oleh mereka, mesej daripada ucapan yang hendak disampaikan menjadi lebih mudah. Sebagai contoh, jika kita mengatakan "Di dalam pisang terdapat substens yang bernama Kalium. Kalium adalah unsur kimia yang baik untuk mencegah kanser. Maka makanlah pisang setiap hari sebagai diet dalam pemakanan anda". Ayat yang dinyatakan lebih mudah jika disebut Pisang mengandungi bahan kimia yang boleh mencegah kanser. Zat yang terdapat dalam pisang ini dipanggil Kalium. Pakcik-pakcik, makcik-makcik, tuan puan bolehlah amalkan memakan pisang ini sebelum makan setiap hari"

Demikian juga seorang ayah ingin menerangkan perkara yang berkaitan dengan istibraq kepada anaknya yang masih kecil dan belum baligh. Ayah yang bijak akan berkata "Nak, lepas kencing pastikan buat-buat batuk dulu dua tiga kali. Kemudian barulah basuh". Jika si ayah kata berdehem (Ehem,ehem,ehem), mungkin anak itu kurang mengerti atau jika si ayah hanya berkata "Istibraq dulu sebelum basuh kencing tu". Apa tujuan beristibraq? Seperti kita meminum air menggunakan penyedut, apabila habis air di dalam gelas, masih terdapat titisan air di bahagian dalam penyedut. Maka begitu juga halnya dengan saluran uretra (laluan air kencing keluar) manusia. Apabila kita berdehem, kita mewujudkan sistem blowing* yang memaksa saki baki air kencing yang terlekat di salur uretra untuk keluar dengan sempurna. Amalan orang yang tidak beristibraq, adalah umpama orang yang membawa najis, maka alangkah ruginya jika kita solat dalam keadaan tidak suci. Bagaimana kita tahu bahawa masih terdapat saki baki air kencing di dalam saluran uretra? Jika selepas anda kencing dan tidak berdehem, cubalah berdiri dan tundukkan sedikit badan seolah-olah hendak rukuk (sekadar 45 darjah), anda akan dapat rasa aliran air kencing mengalir keluar beberapa titis lagi. Dari segi kesihatan pula, orang yang tidak istibraq mudah dijangkiti penyakit kencing tidak lawas atau uluran.

Maka menyampaikan mesej dalam bahasa yang bertepatan dengan kemampuan daya fikir audien adalah perkara yang amat mustahak. Jika perkara ini diabaikan, isi kandungan ucapan yang diberi tidak dapat difahami dengan sesungguhnya oleh mereka. Tidak hairanlah apabila seorang Dekan APIUM yang berucap dalam Majlis Sambutan Awal Muharam di USM dapat menyampaikan ucapan dan khutbah dalam gaya bahasa yang jauh berbeza. Aku mula terfikir dan mengkaji perkara ini apabila membuat perbandingan di antara dua situasi yang dihadapinya pada hari yang sama di USM kampus Minden suatu masa dahulu. Ketika menyampaikan ucaptama di dalam dewan, beliau menggunakan istilah yang tinggi dan gaya bahasa yang pragmatik. Sebaliknya semasa berkhutbah beliau menggunakan gaya bahasa yang bersahaja dan istilah yang mudah difahami.

-------Glosari------------------

*blowing adalah mengepam udara ke dalam penukar haba (heat exchanger) untuk memastikan air yang terdapat dalam internal cooling tube (pada heat exchanger) keluar dan dikeringkan.

Khamis, Ogos 04, 2005

Nilai implisit dalam pendidikan Melayu

Jika kita belajar Matematik, terdapat persamaan implisit untuk mengaitkan sesuatu fungsi dengan fungsi yang lain. Sebagai contoh persamaan yang ditulis di bawah

w = 3x + 4
u = 2y - 5
z = w - 5*exp(-u)

Daripada persamaan-persamaan yang ditulis di atas, y adalah pemboleh ubah dalam fungsi eksplisit z kerana ia berada dalam fungsi u. Pemboleh ubah ini dikatakan wujud secara implisit yang akan mempengaruhi nilai z. Bahasa pengaturcaraan yang mesti dibangunkan untuk menyelesaikan permasalahan ini adalah dengan menggunakan fungsi pemanggil (call function). Call function adalah fungsi yang dibina oleh penulis skrip untuk membangunkan bahasa pengaturcaraan. Jika anda menggunakan MATLAB, kita harus membina sendiri fungsi bagi z seperti function z = f1(x,y). Semasa menulis skrip pada fail Editor, ia hendaklah disimpan menggunakan nama f1.m iaitu menyamai nama yang diletak sebelum tanda kurungan di dalam function z tadi. Pemboleh ubah di dalam kurungan adalah pemboleh ubah implisit yang akan memberikan nilai tentu kepada w dan u, seterusnya membolehkan nilai-nilai tersebut dipanjangkan kepada z. Bagaimana ingin memanggil fungsi z? Pada bahagian workspace windows (juga dikenal sebagai tetingkap arahan @ command windows), pembangun sistem boleh menulis z = f1(0,0) jika mahukan z dikira dengan menggunakan kedua-dua nilai x dan y yang sifar. Nilai ini boleh dimasukkan dengan apa jua nilai bergantung kepada kehendak soalan. Arahan yang lengkap.

>> z = f1(0,0)
z =
-738.0658

Belajar Matematik menggunakan calculus yang tinggi dan bahasa pengaturcaraan memang menyeronokkan. Apabila kita turun kepada akar budi masyarakat tradisional Melayu, nilai pendidikan implisit juga telah lama mewarnai gaya pendidikannya. Sebagai contoh, jika seorang ibu ingin menasihati anaknya supaya tidak duduk di atas bantal, dia akan mengatakan "Adik, jangan duduk atas bantal tu. Nanti tumbuh bisul". Anak-anak kecil, malah saya juga percaya kepada perkara ini seolah-olah duduk di atas bantal adalah penyebab kepada bisul. Walhal secara saintifiknya, apa kaitan bisul dengan bantal? Apakah di dalam bantal terdapat agen yang menyebabkan berlakunya pengumpulan darah kotor di bahagian badan kita khususnya di pinggul? Maka jadilah kita seolah-olah tidak akan duduk di atas bantal itu kerana takut kepada bisul. Hal ini menyebabkan nilai pengajaran sebenar iaitu perbuatan tersebut sebenarnya tidak baik kerana bantal adlah tempat melabuhkan kepala semasa tidur tidak dapat difahami oleh kanak-kanak. Akar budi dan kesantunan masyarakat Melayu lama dan tradisional amat berkesan mewujudkan fenomena yang keliru dalam pemikiran kanak-kanak. Apabila anak kecil meningkat remaja dan belajar, barulah dia mengetahui hal yang sebenar tentang akhlak yang sikap yang baik. Mengapa? Apakah pengajaran yang diberikan itu tidak tepat? Bukan soal tepat atau tidak, tetapi lebih kepada ketidakperihatinan seseorang yang ingin menyampaikan mesej untuk menerangkan hal yang sebetulnya.

Mengkritik perkara yang lama yang sudah sebati sebenarnya merugikan. Namun itulah hakikat yang mesti difahami oleh kita lebih-lebih lagi apabila hidup dalam era modenisasi. Anak-anak zaman moden lebih terbuka dan dipengaruhi oleh anasir buruk yang merencatkan proses pembentukan jati diri. Sekarang kita sedang berhadapan dengannya, genarasi yang bakal lahir dari darah daging kita akan menjadi medan ujian dalam dimensi kehidupan kita. Maka seharusnya kita sudah bersedia dan memikirkan apakah corak pendidikan yang ingin diberikan kepada anak-anak yang akan lahir itu supaya ia sesuai dengan peredaran zaman. Al-Ghazali mengingatkan kepada kita supaya mendidik anak sesuai dengan zamannya. Justeru, marilah sama-sama kita renung dan fikirkan bagaimana bentuk pendidikan yang bakal dicurahkan untuk zuriat kita?

Kempen: Seminar Penasihatan Kekeluargaan Bestari 2, 14 Ogos 2005, DK4, USM Kampus Kejuruteraan.
Penceramah:
1. Pn. Noraini Ahmad - UIAM
2. Ust. Harith Fadzilah Abd. Halim - JAINP
3. Sheikh Faisol Hj. Omar - JAIK

Yuran
Pelajar - RM5
Suami isteri - RM15
Orang perseorangan - RM10
Berkumpulan (5 orang) - RM35

Selasa, Ogos 02, 2005

Biodiesel

Hari ini, keluar berita "Biodiesel dijual tahun depan" dalam Harian Metro. Biodiesel yang dibuat daripada minyak sawit itu merupakan adunan 5% minyak sawit dan 95% petroleum bagi menangani masalah kenaikan harga petrol dunia. Proses pembuatan minyak ini sama seperti proses saponifikasi dalam membuat sabun tetapi berbeza dari terma tindakbalas. Mengaduk minyak sawit, methanol dan lye (sodium hidroksida - NaOH atau potassium hidroksida - KOH) akan menyebabkan tindak balas transesterifikasi. Demikian kata sumber Journey to Forever, sebuah NGO yang membantu masyarakat dunia membuat sendiri Biodesel. NGO ini bertapak di Hong Kong, sebuah negara kecil yang telah memulakan projek Biodiesel sejak 1999 lagi.

Persoalannya, apakah dengan menawarkan alternatif kepada sumber bahan api ini akan menurunkan kadar inflasi di Malaysia? Jika seorang yang berfikiran biasa-biasa, ia akan mengatakan "sekurang-kurangnya kita mempunyai pilihan untuk mendapat bahan api yang lebih murah". Sebaliknya apabila seseorang itu mengambil kira aspek ekonomi, ia akan mengatakan "sama sahaja keadaannya". Namun begitu, kita tidak mahu mempersoalkan perkara tersebut, tetapi lihatlah kepada potensi biodiesel kepada kebaikan alam sekitar. Lihatlah keputusan kajian yang telah dibuat.

Peratus biodiesel : 0%, 10%, 15%

Kuasa enjin (ton/meter): 993: 993: 998
Kuasa enjin (hp): 239: 235: 238
Amaun asap hitam: 38.5: 36.7: 35.8

Lebih mengejutkan lagi, seorang pemandu bas di China, Mr. Mok menjadikan biodiesel yang dibuat daripada minyak bunga matahari sebagai minuman. Minibus takes landmark trip on sunflower power.

Bacaan Berkaitan
1. Loji Biodesel Pertama Malaysia
2. Biodiesel: Boleh dihasilkan sendiri di rumah!,Mohamad Hanafi Isa, Dewan Kosmik, KKSB, Ogos 2005.

Isnin, Ogos 01, 2005

Planet Baru dan Astora


Hari ini dunia dan manusia bumi terpegun dengan kemunculan planet kesepuluh selepas Pluto. Bermakna kemunculannya sejak sekian lama sudah ditemui kerana keupayaan teleskop telah meningkat. Betul ke ada planet kesepuluh? Dimensi baru dalam bidang astronomi bermula.

Hari ini, 31 Julai 2005. Dunia sekali lagi berubah dengan penemuan planet baru dalam Sistem Suria. Jika dahulu semasa belajar Alam dan Manusia di sekolah rendah, akronim B2MNP2UZ - (Utarid, Zuhrah, Bumi , Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun, Pluto) biasa diguna. 30 Julai 2005, Brown dan rakan-rakannya telah mendakwa sebutir planet baru telah wujud dan diberi nama 2003UB313. Planet yang dilihat menggunakan Teleskop Samule Oschin di Pusat Pemerhati Palomar di San Diego mempunyai diameter 2700 km (Diameter bumi 12700 km). Planet ini terletak kira-kira 14.5 bilion km dari matahari mempunyai saiz 1.5 lebih besar berbanding Pluto. Planet baru ini mengorbit matahari dalam masa 560 tahun untuk satu pusingan lengkap, mengambil masa 280 tahun untuk berada dekat dengan bumi menyamai jarak Neptun. Pada ketika ini, ia berada pada titik terjauh daripada bumi. Hal ini bermakna, planet yang baru ditemui ini dikesan selepas 75 tahun planet Pluto ditemui. Jika begini halnya, sejak bilakah planet ini wujud? Inilah misteri astronomi yang masih belum terjawab. Kita berharap tiada kontroversi berlaku apabila saintis tidak sependapat tentang kewujudan Pluto sebagai salah sebuah planet dalam sistem suria seperti yang berlaku dahulu.

Diedit daripada artikel "The 10th PLANET of Our Solar System", NST, July 31, 2005, pg. 10.
Petikan di atas di'Copy & Paste' daripada blog sahabat.

Kemudian ada orang bertanya kepadaku tentang Astora, aku katakan jangan lihat kepada tulisannya, tetapi perhatikan kepada maksud tersirat di sebalik tulisan-tulisannya. Ustaz Abdul Ghani Samsudin mengingatkan penulis bebas, Astora Jabat supaya kembali kepada kebenaran memandangkan beliau merupakan seorang penulis yang baik serta mempunyai 'ilmu' Islam yang tinggi.