Jumaat, September 30, 2005

Denggi

Hari ini kita dihantui dengan masalah Denggi yang meruncing, ketika saat kritikal barulah pengumuman dibuat tanpa pencegahan yang lebih baik terlebih dahulu. Sedar-sedar sahaja, angka kematian sudah melepasi dua orang berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Kita melihat bagaimana perkembangan nyamuk juga semakin proaktif dan kebal terhadap racun semburan asap, sehingga pengarah farmasi di Pusat Racun Negara mengumumkan racun biologi larvicide bti juga dikenali sebagai Bacillus thuringiensis israelensis (BTI). Nyamuk juga berevolusi untuk sehingga membentuk antibodi yang kuat , dan menjadi lali dengan racun konvensional yang bertindak secara kimia. Setakat artikel ini ditulis sebanyak 60 kes kematian akibat denggi.

BTI adalah racun biologi berupa spora yang disemburkan dan menunjukkan tindak balas tentu kepada nyamuk sahaja. Haiwan-haiwan lain tidak terjejas dengannya. Menarik juga? Sebenarnya bacillus bermakna struktur virus (pathogen) yang melawan nyamuk berbentuk rod, dan berpintal-pintal. Apabila nyamuk hinggap di tempat yang disemburkan BTI, spora itu akan melekat pada kakinya dan meresap masuk sebagai pathogen di dalam badan nyamuk. Hal ini akan menyebabkan berlaku mutasi kepada sel-sel nyamuk, yang akan memusnahkan larva dan nyamuk itu sendiri. Ia adalah peperangan biologi di antara nyamuk dan BTI. Betapa hebatnya racun biologi ini, siapa tahu, pada masa hadapan nyamuk yang mutan akan menjadi lebih ganas berbanding ketika ini? Siapa tahu?

Biological control with B.t.i.
While numerous biological control agents can kill mosquitoes, only one biological agent, Bacillus thuringiensis subsp. israelensis (B.t.i.), has seen widespread operational use for the control of mosquito larvae. B.t.i., a spore forming Bacili, was discovered in ‘a stagnant pond located in the Nahal Besor Desert river basin near Kibbutz Zeelim in the north-western Negev Desert of Israel’ (Margalit, 1990) in 1976 by Goldberg and Margalit (1977). de Barjac (in Nugud and White, 1982) identified the new bacterial strain and designated it B. thuringiensis subsp. israelensis serotype H14. Many studies, such as those by Lacey and Lacey (1981), Nugud and White (1982), Lacey and Inman (1985), Kramer et al. (1988), Tietze et al. (1994), and Chui et al. (1995), have evaluated and confirmed the larvicidal capacity of B.t.i. for many mosquito species in different parts of the world.
Thomas and Ellar (1983) describe the mode of action of B.t.i. endotoxins. B. thuringiensis ‘produces a proteinaceous parasporal crystalline inclusion during sporulation.’ When this is ingested by an insect, it solubilizes in the midgut and releases proteins called d-endotoxins. These proteins disrupt internal membranes and result in death. In addition to B.t.i.’s effectiveness against arthropods, the World Health Organization (1995) reports an excellent safety record and a very low mammalian toxicity: ‘LD50 values for both oral and dermal toxicity are more than 30,000mg/kg’.
Most studies on Bacillus thuringiensis resistance development have been done with Lepidopteron populations and considerably fewer have been done on mosquitoes (Tabashnick, 1994). Such studies were undertaken because of the fear that resistance to B.t.i. would develop quickly as it had to other insecticides. In an effort to examine the possibility of resistance occurring and the speed at which it would occur in mosquito populations, Goldman et al. (1986) attempted to artificially select wild and laboratory populations of Ae. aegypti for resistance to B.t.i.. After 14 generations, one wild strain from Rio de Janeiro, Brazil had developed a slight, but significant twofold increase in resistance. A study by Becker and Ludwig (1993) on B.t.i. resistance in Ae. vexans (Meigen) field populations that had sustained 10 years of B.t.i. control, revealed change in susceptibility. The future for B.t.i. is promising since the development of resistance to B.t.i. in mosquitoes is by no means comparable to the speedy and encompassing growth of resistance to organochorine, organophosphate, carbamate and synthetic pyrethroid insecticides.

Hilal Ramadhan

  • Poster Sambutan Hilal Ramadhan 1426H,Klik pada gambar untuk paparan lebih besar
  • Khamis, September 29, 2005

    Belajar al-Quran (1)

    Semasa kita baca al-Quran pula, kita akan bertemu dengan penandaan "Shod-Lam-Ya", "Qaf-Lam-Ya" atau tanda tiga titik yang membentuk segi tiga.

    1. "Shod-Lam-Ya" = washlun aula iaitu washol (baca sambung) lebih utama. Tidak salah sekiranya kita waqaf di situ, tetapi membaca secara terus tanpa berhenti adalah lebih baik.

    2. "Qaf-Lam-Ya" = Waqfun aula (waqaf lebih utama) iaitu memberhentikan bacaan pada kalimah yang mempunyai tandaan ini lebih baik. Tidak salah juga sekiranya dibaca secara washol.

    3. tanda tiga titik yang membentuk segi tiga = berhenti pada mana tempat sama ada pada tanda yang pertama atau kedua. Sebagai contoh lihat ayat 2 surah al-Baqarah.

    Dalam ayat itu terdapat tanda ini, maka berhentilah (waqafkan) bacaan kita pada

    a. kalimah 'raiba' dengan mematikan huruf 'ba', kemudian disambung pada kalimah 'fii hi...{hingga akhir ayat}' ATAU

    b. kalimah fiihi (baca dengan waqaf sebagai fiih-iaitu mematikan baris kasrah pd 'ha') - kemudian disambung pada kalimah 'hudan...{hingga akhir ayat}'

    ok setakat ini dulu.....selepas ini kita lihat pula tentang 'saktah' iaitu penandaan huruf 'siin' kecil.

    Selamat belajar.

    Selasa, September 27, 2005

    Penangguhan Kembara Bahasa 2005


    Penulis di majlis Penangguhan Kembara Bahasa 2005, 11 Sept. 2005, di Wisma Belia Pahang, jam 8 malam.

    ----------------

    Teks ucapan penangguhan Kembara Bahasa 2005
    oleh Menteri Pelajaran Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
    Malam Teguh Bahasa, Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota Kuantan, Pahang.
    11 September 2005.


    Seperti yang kita semua tahu, majlis ini merupakan satu majlis yang penting kerana ia merupakan acara kemuncak bagi program Kembara Bahasa yang telah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri sempena sambutan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) tahun 2005.

    Saya suka mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada setiap pihak yang terlibat bagi menjayakan dan menyemarakkan majlis ini dan menjayakan program Bulan Bahasa dan Sastera Negara.

    Setinggi-tinggi ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang telah membantu, terutamanya kepada tuan rumah pelancaran peringkat kebangsaan tahun ini, iaitu negeri Pahang Darul Makmur. Saya berharap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob akan terus memberi sokongan yang padu kepada Kementerian Pelajaran, bukan sahaja bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti di dalam bulan ini tetapi juga aktiviti-aktiviti di masa akan datang.

    Dengan sokongan beliau dan dengan sokongan tuan-tuan dan puan-puan semua, saya yakin BBSN akan menjadi lebih meriah dan lebih gemilang pada masa akan datang. Semoga dengan usaha kita semua ini, agenda untuk memartabatkan bahasa kebangsaan akan mencapai kejayaan seperti yang kita idam-idamkan.

    Kita hanya ada satu bahasa sahaja - bahasa Melayu, atau lebih tepat lagi bahasa Melayu Malaysia. Dari segi statistik, mungkin bahasa Melayu mempunyai lebih dari 300 juta penutur dan dikatakan sebagai bahasa keempat teramai penuturnya di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Sepanyol dan bahasa Inggeris. Namun begitu, hakikat yang perlu kita fahami dan akui adalah, kewujudan bahasa Melayu Malaysia ini sangat bergantung kepada kesetiaan 25 juta penutur jatinya di Malaysia.

    Walaupun bahasa Melayu Malaysia mempunyai akar yang sama dengan Bahasa Melayu Indonesia, iaitu bahasa pertuturan suku Melayu, penduduk asal Riau - Palembang, yang menjadi lingua-franca semasa era keemasan Kesultanan Melayu Melaka, namun kedua-duanya telah mengalami evolusi yang berbeza di tangan pengguna yang berbeza. Bentuk kedua-duanya sedikit berbeza. Ragam bahasanya, nahu dan tatabahasanya, ejaannya, gaya pengucapannya malah istilahnya juga sedikit berbeza.

    Misalnya, dari segi istilah, jika di sini kita menyebut `itik', tetapi di sana mereka menyebutnya sebagai `bebek'. Jika di sini, `panggung wayang', di sana, `bioskop'. Malah istilah pinjaman juga mengambil arah berbeza. Di sini `elektrik', di sana `listrik'. `Bas' di sini, di sana `bis'. Di sini `bil', di sana pula `bon'.

    Pokoknya, jika istilah sudah mengambil jalan berbeza, pengucapan dan ragam bahasanya juga berbeza, maka secara mudahnya - kedua-duanya tidak sama walaupun mungkin nampak serupa. Benar, memang ada usaha untuk menyeragamkan istilahnya, menyeragamkan ejaannya dan menyeragamkan hukumnya, namun secara logiknya dengan kekuatan penutur bahasa Melayu Indonesia yang melebihi 270 juta orang, tidak mungkin kita mempunyai kekuatan untuk menentukan haluan bahasa Melayu mengikut kehendak kita.

    Malah dari segi pemasaran juga kita sudah terkebelakang. Jika kita ke negara-negara tertentu, kita boleh perhatikan iklan untuk mempelajari bahasa Melayu Indonesia, tidak dipromosikan sebagai iklan untuk mempelajari bahasa Melayu sebaliknya lebih dipromosikan sebagai iklan untuk mempelajari bahasa Indonesia.

    Segala-galanya ini adalah realiti. Begitu juga dengan globalisasi dan ancamannya terhadap bahasa Melayu Malaysia. Ada pihak yang menyatakan bahawa kesan globalisasi yang paling kritikal dan paling zalim adalah terhadap bahasa dan budaya sesuatu bangsa.

    Globalisasi boleh menyebabkan kepupusan sesuatu bahasa. Dikatakan daripada sekitar 6,000 bahasa yang dipertuturkan, hanya 300 sahaja yang dituturkan oleh lebih sejuta orang dan selebihnya, iaitu 5,700 bahasa, dituturkan oleh kurang dari sejuta orang. Dijangkakan separuh daripada 5,700 bahasa ini akan pupus dalam tempoh seabad lagi kerana tidak dipertuturkan dan tidak diajar kepada golongan muda.

    Fenomena yang hampir serupa pernah kita lalui di Malaysia apabila bahasa Melayu di jadikan bahasa kebangsaan kita. Melayu di Semenanjung Malaysia yang turut merangkumi suku Jawa, Banjar, Bugis, Aceh, Padang dan banyak lagi telah menerima dan menggunakan bahasa Melayu Malaysia ini dalam kehidupan seharian mereka. Hari ini, boleh dikatakan majoriti golongan muda dari suku tersebut yang tidak lagi fasih, malah ada yang langsung tidak boleh berbahasa dalam bahasa suku asal mereka.

    Binasa

    Sejarah mungkin berulang. bahasa Inggeris yang seolah-olah sudah menjadi seperti `bahasa ibunda' dan lingua franca globalisasi juga boleh mengetepikan bahasa Melayu Malaysia seperti mana bahasa kebangsaan kita mengetepikan bahasa suku tertentu di Malaysia. Jika kita tidak berhati-hati bahasa Melayu Malaysia boleh mengalami kepupusan.

    Apa yang lebih menakutkan, jika dahulu, bahasa yang mengalami kepupusan didapati binasa antara dua hingga empat generasi atau di antara 50 hingga 100 tahun, tetapi kini, dengan keganasan gelombang globalisasi, kadar kebinasaan ini berlaku hanya dalam satu atau dua generasi sahaja.

    Dengan hanya 25 juta orang penutur dan dengan segelintir daripadanya mempunyai kesetiaan terhadap bahasa Melayu Malaysia yang boleh dipersoalkan, apakah nasib dan masa depan bahasa Melayu Malaysia dalam tempoh 25 tahun akan datang? Kita hanya ada satu bahasa dan bahasa Melayu Malaysia hanya mempunyai kita.

    Tanpa kesedaran, tanpa kerja keras, tanpa pendekatan yang betul, tanpa kesatuan hati, tanpa kerjasama sesama kita dan tanpa fokus yang tepat, bahasa kita mungkin hanya akan tinggal sebagai satu catatan dalam lipatan sejarah.

    Baru-baru ini saya ada meminta Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Ahamad Sipon untuk meneliti, menyenarai dan menyelaras segala aktiviti berkaitan bahasa yang telah dilaksanakan oleh setiap sekolah, bahagian, jabatan, agensi dan badan berkanun di dalam Kementerian Pelajaran, termasuk badan yang berkait langsung dengan pengembangan bahasa seperti DBP, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ketika ia masih di bawah Kementerian Pelajaran.

    Semangat

    Saya telah meneliti laporannya dan saya akui kita mempunyai begitu banyak program kebahasaan dan kesusasteraan. Ada kempen membaca, ada perkhemahan sastera, pertandingan debat, sayembara puisi, deklamasi sajak, pertandingan berbalas pantun, syarahan, pertandingan menulis cerpen dan puisi dan banyak lagi. Biarpun banyak, program tersebut hanya dilaksanakan sebagai satu rutin yang mana falsafah, semangat dan tujuannya tidak benar-benar dapat dihayati oleh masyarakat kita.

    Kita mungkin kaya dengan aktiviti, tetapi kurang semangat yang dapat membakar perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam terhadap bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan kita. Falsafah dan wawasan di sebalik pelaksanaan program mungkin tidak diterangkan dengan jelas atau tidak benar-benar meresapi jiwa peserta, penganjur dan pelaksanaannya.

    Akibat kurang koordinasi, setiap pihak, baik sekolah, maktab perguruan, kolej matrikulasi, DBP, ITNM, MBKM dan PNM kelihatan seperti membawa arah dan haluan sendiri. Pada waktu yang sama tidak ada satu sasaran yang benar-benar jelas diletakkan.

    Ini sangat berbeza dengan semangat dan gerakan kebahasaan sewaktu awal penubuhan DBP 49 tahun yang lalu, iaitu di tengah-tengah semangat menyambut kemerdekaan negara. Semangat dan api perjuangan ketika itu amat berbeza kerana pada saat itu, politik bahasa menjadi begitu penting, lebih-lebih lagi bagi sebuah negara berbilang bangsa dan kaum seperti Malaysia.

    Politik bahasa ketika itu penting, bukan sahaja untuk mengintegrasikan kaum Melayu yang terdiri daripada pelbagai suku, tetapi lebih penting lagi untuk mengintegrasikan kaum Melayu dengan etnik lain yang ada di kalangan mereka tidak memahami langsung bahasa Melayu. Jelas, ketika itu, bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa perpaduan.

    Maka tidak hairanlah, jika sepanjang dekad itu, pengisian gerakan kebahasaan begitu menjurus kepada kempen bahasa, penerapan linguistik sosial serta penerbitan buku bagi kegunaan pendidikan warga Malaysia yang baru sahaja mencapai kemerdekaan.

    Usaha DBP, yang disokong kehendak politik orang Melayu dan kerajaan ketika itu, mempercepatkan penerimaan rakyat bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; memartabatkannya sebagai bahasa rasmi, menjadikannya pengantar kepada pendidikan aliran kebangsaan serta digunakan dalam segala urusan termasuk perundangan dan perniagaan.

    Hari ini akibat globalisasi cabaran kita sudah agak berbeza. Mungkin bahasa Melayu masih mempunyai sedikit peranan sebagai bahasa perpaduan, namun ada peranan yang jauh lebih utama dan jauh lebih mendesak untuk dimainkan oleh bahasa Melayu. Justeru gerakan bahasa yang baru ini memerlukan suntikan baru, hala tuju baru dan nafas baru.

    Ia memerlukan satu sasaran yang jelas, pendekatan yang menyeluruh, koordinasi di antara penggerak utama bahasa, iaitu di antara DBP, ITNM, MBKM, bahagian-bahagian tertentu Kementerian Pelajaran serta kerjasama pihak di luar Kementerian Pelajaran seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

    Gerakan ini perlu berupaya untuk menggerakkan rasa kepunyaan di kalangan rakyat selain mempunyai aktiviti media dan pelan pemasaran yang benar-benar berkesan. Pokoknya, perlu ada strategi, pendekatan dan program-program baru.

    Dalam gerakan ini amat penting bagi kita untuk menjadi realistik. Kita perlu meletakkan keutamaan kita. Kita perlu menyedari hakikat bahawa bahasa Melayu Malaysia tidak mempunyai pembela yang lain selain dari bangsa Malaysia. Disebabkan itu usaha untuk memupuk perasaan cintakan bahasa Malaysia kerana ia merupakan identiti unik bangsa Malaysia perlu digerakkan secara berkesan.

    Melalui gerakan ini, kita berhasrat untuk melahirkan generasi bangsa Malaysia yang berbangga dengan bahasa yang menjadi identiti mereka, mempunyai kefasihan yang tinggi dalam bahasa ini, sedia memberikan penghormatan dan kedudukan yang sewajarnya kepadanya serta gembira mempromosinya di mana sahaja mereka berada di dalam dunia.

    Melalui gerakan ini kita mahu masyarakat sedar bahawa jika kita membiarkan bahasa ini pupus maka kita akan kehilangan salah satu dari identiti unik bangsa kita.

    Dalam agenda Memartabatkan Bahasa Kebangsaan segala inisiatif berkaitan dengannya termasuk usaha meningkatkan amalan membaca, meningkatkan industri perbukuan dan penerbitan serta merancakkan industri penterjemahan perlu bergerak seiring sekata, serentak dengan usaha pengembangan kesusasteraan dan bahasa.

    Serius

    Insya-Allah, dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kita bercadang untuk meningkatkan usaha untuk melatih lebih ramai penulis, penerbit, penterjemah serta penggerak aktiviti bahasa dan kesusasteraan.

    Bagi merancakkan industri perbukuan negara, saya sedang melihat secara serius cadangan untuk mengadakan suatu akta khusus bagi melaksanakan Dasar Buku Negara (DBN) serta cadangan untuk memberikan status organisasi yang sesuai kepada MBKM bagi melaksanakan fungsinya.

    Selain memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada para penulis, kita wajar mencari jalan untuk mengangkat taraf karya penulis Malaysia dan mempromosinya secara meluas di peringkat antarabangsa. Perlu ada strategi pemasaran yang berkesan agar karya-karya penulis Malaysia mempunyai impak di pesta-pesta buku antarabangsa.

    Bagi memastikan haluan gerakan bahasa ini lebih mantap, saya telah meminta DBP untuk mengkaji faktor-faktor yang menyebabkan bahasa Inggeris berkembang begitu pesat dan boleh menjadi lingua franca era globalisasi.

    Amat penting untuk kita menyelidiki bagaimana suatu bahasa yang dikatakan berasal dari dialek suatu suku Jerman yang hanya dipertuturkan oleh sekitar 150,000 orang berkembang pesat menjadi bahasa Inggeris yang dipertuturkan dan difahami oleh lebih satu setengah bilion manusia.

    Amat penting juga untuk kita mempelajari bagaimana bahasa Inggeris ini melangsungkan kewujudannya (survive) walaupun berdepan dengan persaingan, bahaya dan ancaman sepanjang sejarah perkembangannya.

    Pada masa yang sama saya juga mahu DBP mengkaji bagaimana negara Jepun, Jerman dan Perancis mengembangkan bahasa dan kesusasteraan mereka biarpun berdepan dengan cabaran globalisasi. Bagi ITNM pula, saya mahu mereka mengkaji pengalaman negara China, Indonesia dan Jepun dalam penterjemahan dan bagaimana mereka boleh melakukannya dengan begitu cekap.

    Bagi MBKM pula, saya berharap mereka dapat mengkaji bagaimana Korea Selatan yang mempunyai penduduk berjumlah lebih kurang 40 juta orang, dilaporkan mampu menerbitkan sebanyak lebih kurang 40,000 judul buku setiap tahun, iaitu pada kadar 0.1 peratus dari jumlah penduduk semasanya dan 70 peratus daripadanya adalah judul untuk bacaan umum!

    Saya percaya, banyak yang boleh kita pelajari dari kajian-kajian ini dan melaluinya dapatlah kita membuat perbandingan dengan apa yang telah berlaku dalam negara kita dan apa yang telah kita laksanakan sepanjang tempoh 10 - 15 tahun sebelum ini.

    Saya yakin melalui gerakan yang diberi suntikan dan nafas baru ini, kita dapat menggerakkan kesedaran baru bangsa Malaysia untuk memberikan penghormatan dan kedudukan yang sewajarnya kepada bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan dalam negara ini. Walaupun begitu, dalam keghairahan kita untuk memartabatkan bahasa Malaysia, kita perlu bersikap realistik dan rasional.

    Kita masih perlu mengadakan ruang yang mencukupi bagi rakyat untuk mempraktikkan bahasa kedua dan bahasa tambahan yang lain sebagai persiapan untuk menghadapi persaingan era globalisasi.

    Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Utama Rais Yatim telah bersetuju untuk bersama-sama dengan saya mempengerusikan Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Kebangsaan dan Jawatankuasa Induk Penggerak Dasar Buku Negara.

    Dengan kepakaran beliau dan kementerian beliau, saya berharap kita akan dapat menyegerakan gerakan baru untuk memartabatkan bahasa kebangsaan selama ini dan memaklumkan kepada Jemaah Menteri hala tuju seterusnya agenda besar kita ini sepanjang RMK-9, RMK-10 dan RMK-11.

    Bermula hari ini usaha untuk menggerakkan gelombang baru agenda memartabatkan bahasa kebangsaan akan menjadi projek Kementerian Pelajaran Malaysia secara keseluruhan, bukan hanya projek DBP, ITNM atau MBKM. Tahun hadapan saya mahu Bulan Bahasa dan Sastera Negara disenarai sebagai salah satu projek utama Kementerian Pelajaran dan disambut meriah seperti sambutan perayaan Hari Guru, Bulan Patriotik dan Hari Kemerdekaan.

    Semoga setiap peserta yang ada pada malam ini dapat menghayati wawasan dan misi yang ingin disampaikan. Saya berharap segala ilmu yang dapat diterapkan sepanjang tiga hari berada di sini dapat menyuntik semangat tuan-tuan dan puan-puan semua untuk terus berusaha menyemarakkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan kita apabila pulang ke daerah dan negeri masing-masing nanti.

    PS Penulis: “Ada sebahagian kenyataan penting beliau yang tidak dinyatakan di sini”

    Kita sebenarnya 'menang'.


    ‘Jika takut ombak, jangan berumah di tepi pantai’ sama juga ‘Jika takut menanggung risiko, jangan ambil risiko’. Wajah sugul mewarnai setiap pejuang kebenaran. Apakah dengan kekalahan sebelum bertanding itu kekalahan yang mutlak? Apakah pengunduran itu satu penghinaan bagi kita? Kita berundur, dengan penuh keizzahan, kemuliaan dan kemenangan yang dinilai olehNYA. Mereka gelak ketawa dan menraikan kemenangan itu dengan kehinaan (dzillah) yang disediakan olehNYA. Mengapa kita perlu bersedih dan kecewa dengan pengunduran ini? Sekurang-kurangnya kita telah melakukan sesuatu.

    Apa yang dibuat olehku? Ya! Memang aku tidak layak langsung mententeramkan keadaan, kerana aku tidak melibatkan diri sejak dari awal. Sebagai pemerhati, aku memerhati dan mengikut rentak perancangan yang dibuat. Aku juga menjangkakan pengakhiran seperti ini, kerana sudah jelas permainan dan ketetapan pengadil dalam perlawanan ini. Syabas diucapkan untuk sebuah kemenangan dalam ketewasan, ia merupakan sebesar-besar nikmat, semuanya tersembunyi hikmah Ilahi. Buat kalian, sahabat-sahabatku, jangan berduka dengan sedikit usaha yang tidak berjaya, dan mungkin tidak dihargai oleh manusia. Bagiku, anda adalah yang terbaik, dengan usaha yang terbaik dan bersungguh-sungguh yang telah ditunjukkan.

    Petikan di atas adalah sebahagian daripada kata-kata motivasi untuk memulihkan semula semangat sebahagian daripada rakan-rakan yang sudah merasa hampa dengan kekalahan. Sudah adat dalam permainan, ada yang menang dan ada yang kalah. ‘Kebenaran yang tewas akan sentiasa mengatasi kebatilan yang berjaya,’ mungkin saatnya yang sesuai belum ditentukan lagi kerana faktor-faktor tertentu yang mungkin berlegar di sebalik diri kita yang memperjuangkan kebenaran. Mungkin juga, perancanganNYA ke atas gerak kerja kita mengikut sunnahNYA, apakah kita kan berjaya dengan hanya secebis usaha yang dibuat, tanpa perlu menghadapi rintangan dan kesusahan? Jangan bertanya ‘Bila kemenangan akan muncul?, tetapi tanyalah ‘Apakah yang dibuat untuk sebuah erti kemenangan?’.

    Sekian.

    Isnin, September 26, 2005

    PR Kampus


    “Lendew dapat RM200 untuk menjadi pencadang Sdr. Anuar, calon kerusi UMUM Aspirasi” – satu rekod baru (kampus kejuruteraan) dan popular, dalam politik kampus. Betapa ‘hebat’nya cara yang digunakan oleh Aspirasi untuk menang dalam Pilihanraya Kampus (PRK) tahun ini di USM. Ia sebahagian daripada konspirasi tertinggi ASPIRASI bersama KPT dan HEP.

    PRK! PRK! PRK! Aku sememangnya sudah tidak percaya pada sistem pemilihan ini. Saban tahun, ada sahaja isu yang hangat dan panas dibincangkan. Tahun ini juga, memandangkan kekuatan pelajar Cina sudah terserlah, ramai juga di kalangan mereka mula menunjukkan kesedaran berpolitik dalam kampus. Khabarnya borang penamaan calon terpaksa diulang cetak kerana kehabisan. Inilah tahun pertama sepanjang aku menginap di kampus kejuruteraan mendengar perkara ini (sekarang pun kampus kejuruteraan mendapat jolokan Universiti ‘Hongkong’ Malaysia!).

    Memorandum mahasiswa kepada Suhakam, menuntut pilihanraya kampus yang bebas dan adil, bertarikh 12 September 2005)

    Oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

    Kami SMM yang berkesedaran untuk melindungi dan menegakkan hak mahasiswa dalam kampus telah menyaksikan sekali lagi pencabulan hak asasi mahasiswa dan penghakisan prinsip demokrasi yang dahsyat berlaku sepanjang Pilihanraya Kampus(PRK) tahun lepas di beberapa buah universiti awam tempatan.

    Malah, kejadian yang mencabuli hak asasi mahasiswa untuk dipilih dan memilih secara bebas dalam PRK tahun lepas bertambah teruk berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Keadaan tenat ini amat merisaukan sebab ini mengimplikasikan satu fenomena yang universiti sebagai pusat penjanaan intelektual telah gagal melahirkan suasana pembelajaran berjiwa demokratik malah menuju ke arah pembentukan komuniti kampus autokratik yang yakin mengerdilkan jiwa mahasiswa.

    Memorandum yang diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia(SUHAKAM) sebelum PRK berlangsung(12 Ogos 2004) sebagai langkah pencegahan awalan nyata gagal menghalang tunggak demokrasi daripada terhakis oleh penyalahgunaan kuasa pihak Hal Ehwal Pelajar universiti masing-masing.

    JENAYAH DEMOKRASI

    Dengan ini bahawasanya kami, SMM ingin menggesa pihak SUHAKAM sekali lagi agar memberi penumpuan ke atas jenayah demokrasi yang telah berlaku sepanjang RPK tahun lepas, mengambil langkah proaktif untuk mencegah pengulangan kes-kes penyelewengan serta memberi perlindungan kepada mereka yang dinafikan haknya tahun ini.

    PENDIRIAN SMM TERHADAP PILIHANRAYA KAMPUS

    Kami berpendirian bahawa PRK bukan sahaja merupakan medan bagi pelajar dalam mengenengahkan jati diri kepimpinan mahasiswa yang sebenar untuk bertanding secara bebas, malah juga menjadi hak individu yang terpelihara bagi mana-mana mahasiswa untuk menyatakan sokongan dan undian mereka terhadap kepimpinan mahasiswa yang diyakini tanpa rasa takut dan tertekan oleh mana-mana pihak.

    Seperti Pilihanraya Umum yang merupakan proses asas pembentukan Parlimen, PRK adalah satu ruang demokrasi untuk membentuk Persatuan Mahasiswa yang mewakili suara hati seluruh mahasiswa dalam memperjuangkan hak dan kebajikan bersama, serta memberi pandangan terhadap isu-isu negara dan polisi kerajaan.

    Maka, PRK yang bebas dan adil adalah penting agar pengundi dapat menunaikan kewajipannya dengan informasi yang secukupnya dan penilaian yang sewajarnya untuk menyerahkan tanggungjawab dan kuasa sah kepada Persatuan Mahasiswa yang terpilih agar menegakkan isu mahasiswa dan memperjuangkan agenda rakyat.

    Malangnya, perjalanan PRK tahun lepas telah berlangsung dalam keadaan yang nyata berat sebelah dan menindas hak mahasiswa sebagai pengundi. Mahasiswa telah dihimpit dan dimangsakan kepada unsur-unsur yang mencabuli prinsip demokrasi dan hak asasi mahasiswa.

    LAPORAN RINGKAS PILIHANRAYA KAMPUS SESSI 2004/05

    Berikut adalah laporan ringkas berkenaan beberapa kejadian yang berlaku sepanjang perjalanan pilihanraya kampus sidang akademik 2004/05 di beberapa buah universiti:

    1. Ugutan dan Paksaan

    Ugutan dan kecaman melalui ucapan umum pihak berkuasa universiti, buletin dan peraturan ke atas mahasiswa bahawa akan dibuang kolej kediaman sekiranya tidak mengundi calon Pro-Aspirasi Kerajaan seperti di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

    2. Halangan untuk menjadi calon dalam PRK

    Sekatan dan halangan ke atas mahasiswa yang berhasrat untuk bertanding di dalam pilihanraya. Perlakuan amalan double-standard dekan yang enggan menandatangani borang penamaan calon seperti di Universiti Institut Teknologi MARA dan Universiti Malaya; dan calon juga disekat terlebih awal daripada mengambil borang penamaan calon di Universiti Utara Malaysia

    3. Sekatan atas nama Peraturan Pilihanraya

    Beberapa peraturan yang tidak munasabah dikenakan di dalam peraturan pilihanraya seperti satu poster mengandungi semua gambar calon yang bertanding pada satu kerusi, larangan mengadakan rapat umum, larangan menggunakan slogan tertentu dan larangan bertanding secara berkumpulan.

    4. Perlaksanaan e-voting

    Perlaksanaan e-voting merupakan ancaman terkini terhadap hak mahasiswa yang dijanjikan dengan perjalanan pembuangan undi secara rahsia (secret ballot). Kesahihan proses pengundian diragui kerana proses pengundian ini tidak telus. Masalah ketelusan, tahap kepercayaan dan ketepatan yang tidak menyakinkan, berisiko tinggi, Lack of Scrutiny dan kerahsiaan peti undi terancam menjadi asas keraguan mahasiswa terhadap sistem ini di Universiti Putra Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

    5. Tempoh kempen yang tidak relevan

    Tempoh kempen yang terlalu singkat yang mengakibatkan kesukaran calon yang bertanding memperkenalkan diri serta mewartakan manifesto kepada bakal pengundi secara menyeluruh. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hanya diberikan masa sehari untuk berkempen selepas 1 hari penamaan calon diikuti hari pengundian.

    6. Peraturan dan Panduan Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa 2004/2004

    Terdapat banyak peraturan yang menimbulkan keraguan dan masalah. Antaranya: Perkara 36 dalam buku peraturan pilihanraya UM– kawasan mengira undi tidak akan dibuka kepada orang ramai; Calon dan wakil mereka dibenarkan masuk apabila diminta oleh Pegawai Pengurus Pemilihan Kawasan. Ini akan menyebabkan perjalanan sesuatu proses pengiraan undi diragui ketelusan dan keabsahannya serta menghalang proses demokrasi yang sebenarnya

    7. Pembabitan pentadbiran universiti serta penyalahgunaan jentera dan instrumen-instrumen universiti

    Pihak HEP secara terang-terangan telah menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengarahkan ahli Jawatankuasa Kolej Kediaman sebagai jentera sokongan untuk membantu kumpulan tertentu dalam pemilihan MPP.

    Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana jawatankuasa tersebut merupakan badan pelajar di peringkat kolej kediaman yang sepatutnya berfungsi menjaga kebajikan serta memimpin pelajar untuk melaksanakan aktiviti yang bermanfaat bukannya menjadi jentera sokongan kepada mana-mana pihak.

    Walau bagaimanapun, kedua-kedua badan ini telah dieksploitasi dan disalahgunakan oleh pentadbiran HEP dan kolej untuk menghasut mahasiswa-mahasiswi di kolej-kolej kediaman.

    Selain itu mereka juga sewenang-wenangnya menggunakan segala kemudahan yang terdapat di universiti bagi membantu melancarkan pergerakan jentera mereka. Tindakan-tindakan seperti ini jelas berlaku di kampus UM, UKM, UIA, USM, UTM dan UPM.

    TUNTUTAN SMM UNTUK PILIHANRAYA KAMPUS YANG BEBAS DAN ADIL

    Berikut adalah tuntutan kami untuk Pilihanraya Kampus yang bebas dan adil:

    1. Membenarkan calon berpakatan dan bermanifesto secara terbuka supaya pengundi dapat memilih calon berdasarkan agenda dan prinsip.

    2. Melanjutkan tempoh kempen pilihanraya kampus kepada 5 hari berkerja supaya pengundi dapat lebih mengenali calon serta agenda perjuangannya.

    3. Menghentikan ugutan dan ancaman ke atas pengundi supaya pengundi dapat memilih tanpa gangguan dan rasa takut.

    4. Menghapuskan undi elektronik dan penglabelan nombor siri di atas kertas undi supaya kerahsiaan undi dan ketelusan proses pengiraan undi terjamin.

    5. Membenarkan pemantauan dari organisasi luar seperti SUHAKAM dan badan-badan organisasi berkaitan hak asasi dan undang-undang yang lain sepanjang tempoh pilihanraya kampus.

    6. Urusetia Pilihanraya tidak harus dianggotai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar untuk memastikan proses pilihanraya kampus berjalan dengan adil dan saksama.

    Sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang berperanan untuk melindungi hak asasi manusia di Malaysia, kami melihat SUHAKAM bukan setakat memberi tumpuan yang serius terhadap penyelewengan yang berlaku sepanjang Pilihanraya Kampus, malah harus mengambil langkah-langkah berikut:

    1. Mendesak pihak Universiti supaya mengumumkan segera pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar, tarikh Pilihanraya Kampus dan peraturan-peraturan perjalanan pilihanraya sebelum tarikh 15 September 2005.

    2. Menubuhkan satu jawatankuasa pemantau yang akan bertindak memantau perjalanan pilihanraya untuk memastikan pihak urusetia pilihanraya melaksanakan proses ini dengan telus, adil serta bebas daripada sebarang pengaruh politik luaran.

    3. Menghantar surat bantahan kepada pihak universiti, Kementerian Pengajian Tinggi dan Perdana Menteri sekiranya berlakunya ancaman dan ugutan terhadap pengundi oleh pihak keselamatan, pentadbiran penginapan dan falkuti serta memberi perlindungan kepada sesiapa mahasiswa yang diancam dan diugut oleh pihak-pihak tersebut.

    4. Menyediakan laporan berkenaan Pilihanraya Kampus dalam laporan tahunan SUHAKAM sebab pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar di institut pengajian tinggi awam tempatan merupakan salah satu pengukur proses pendemokrasian negara kita.

    Justeru kami berharap supaya segala pemasalahan dan pencabulan yang berlaku terhadap perjalanan dan perlaksanaan proses demokrasi di kampus dapat diambil perhatian serius oleh pihak SUHAKAM agar prinsip-prinsip demokrasi dihormati serta dilaksanakan dengan penuh amanah oleh pihak Universiti. Kami juga berharap supaya segala tuntutan yang dikemukakan mendapat pertimbangan sewajarnya.

    Jumaat, September 23, 2005

    Cerita FELCRA

    Semalam (22/9/05) keluar lagi pertanyaan dalam ruang forum dalam Utusan Malaysia berkenaan status tanah. Sebenarnya ia adalah kes nasional kerana begitulah nasib yang menimpa peserta FELCRA yang berkerja sebagai peneroka; mengusahakan tanah untuk tanaman kelapa sawit, dijanjikan mendapat hak milik (geran) bagi tanah ladang dan tapak rumah.

    Kita mengetahui, FELCRA merupakan GLC yang berfungsi seperti FELDA tetapi banyak perbezaan di antara kedua-duanya dalam aspek pengurusan. Jika dibuat perbandingan, pengurusan FELDA lebih baik dan dikira ‘menepati’ banyak objektif penubuhannya. Begitu juga fasiliti untuk perkampungan yang diwujudkan seperti meyediakan penempatan yang tersusun, klinik desa, dewan serbaguna, balai polis dan ruang pasar (pasar malam @ tani). Mengapa keadaan ini wujud? Tidakkah FELCRA boleh menyelesaikan masalah yang sekian lama menghantui dan menjadi igauan ngeri penerokanya? Janji tinggal janji, begitulah frasa yang paling tepat untuk diungkapkan. Setiap kali pilihanraya umum, isu tanah seringkali dimainkan untuk memancing undi. (Cubalah periksa, Pengerusi FELCRA ketua UMNO bahagian mana?-memang tak salah lah kalau saya katakana mereka sering pancing undi dengan isu pemberian tanah!)

    Perkara tentang kelesuan pegawai GLC yang tidak memahami aspirasi perjuangan UMNO untuk agenda Melayu (betul ke UMNO perjuangkan nasib bangsa Melayu?) telah dicetuskan oleh Ketua Menteri Melaka, Dato’ Ali Rustam (baca temuramah ekslusif dalam Utusan Malaysia, 22 Sept. 2005). Maka sedar atau tidak, kita telah melihat bagaimana akta yang diwujudkan dimanipulasi untuk menafikan hak golongan yang sepatutnya berhak. Kisah-kisah tragis seperti ini boleh dibaca lagi dalam buku ‘Air Mata Rakyat’, atau ‘Air Mata Kerpan’ terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Dan benarlah, jika selamanya kita menjadi pelanduk, ia tidak berupaya melawan dan menandingi kekuatan gajah!

    Dan saya sebagai generasi baru di sebuah perkampungan FELCRA di Hulu Terengganu menyedari bahawa, nasib kami serupa. Bapa kami yang mengusahakan tanah ladang lebih 25 tahun masih belum mendapat geran tanah bagi tapak rumah dan tanah ladang. Alangkah bertuah jika ayahku menjadi peserta FELDA. Tidak lama lagi, status peneroka FELDA akan berubah menjadi ‘usahawan negara’. Bagaimana pula dengan peneroka FELCRA? Benarkah kami pengemis terhormat di bumi sendiri?


    Selasa, September 20, 2005

    Bingkisan kata hari ini


    Bioteknologi (biotek); lapangan sains yang kian mendapat tempat, walaupun baru bertatih untuk dihidupkan dengan luasnya di Malaysia. Perkembangan biotek di Malaysia dirancakkan lagi dengan jalan pintas yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui proses pemindahan teknologi dengan menjemput pelabur luar menceburi bidang ini untuk dibangunkan di Malaysia. Di antara contohnya ialah penghasilan gula Sweta yang diekstrrak dari pokok Stevian, loji pembuatan ‘raja gula’ (kuasa manisannya 400 kali lebih manis daripada gula tebu) ini telah dibina di Nilai, Negeri Sembilan.



    Berikut adalah sebahagian daripada bahan untuk kajian literasi yang dijalankan olehku, jika aku malas (paling malaslah…) kerja yang dibuat dalam mengkaji sumbangan biotek ini, insyaAllah, aku akan hanya mendapat seribu! Seribu duit, kata orang Kedah. But I’m eyeing three thousands for this short research. Doakan kejayaanku dalam menyiapkan secebis kata untuk menghasilkan yang terbaik, insyaAllah peluang ini jarang-jarang diperolehku, memandangkan tempoh akhir bagi kajian ringkas ini adalah pada 20 Oktober 2005.

    Setelah meneliti, rupa-rupanya Ramadhan kian hampir, hanya tinggal lebih kurang dua minggu sahaja lagi. Jika jangkaan 5 Oktober 2005 sebagai 1 Ramadhan, nampaknya bagi mereka yang belum langsai ‘hutang’nya dengan Allah dalam bab puasa ini perlu melunaskannya, by hook or by crook (dalam bahasa Arab dikatakan ‘Laa budda an’ – tidak boleh tidak). Syukur kepada-NYA kerana mempertemukan kita dengan Ramadhan semula, resah nafas yang mendesah kian menghampiri pengakhirnya; mungkin kali ini peluang terakhir mengintai lailatul Qadar. Siapa tahu?

    Kedatangan Ramadhan juga bermakna, inilah musim terakhir bagiku menyambutnya di kampus kejuruteraan, kali terakhir juga dilantik semula sebagai ‘amil zakat PUZ Pulau Pinang, dan kali terakhir jua dijangka mendapat sehelai baju bercop ‘Ramadhan USM’ (yang tidak diperoleh oleh mana-mana pelajar lain).

    Hari-hari terakhir di kampus ini menjadikan seolah-olah berat bagiku untuk melangkah kaki keluar meninggalkan semua kenangan. Keluar meninggalkannya, bermakna turun ke medan sebenar meneruskan perjuangan hidup yang lebih mencabar. Dunia realiti yang bergelumang dengan bermacam ragam manusia berwajah dunia, berwatak dunia atau berwatak dunia tetapi berwajah akhirat atau sebaliknya.

    Isnin, September 19, 2005

    Selamat datang Ramadhan al-Mubarak


    Bermulanya siri khutbah derma bermakna gerak kerja untuk menyambut kedatangan al-Mubarak tiba kepada kemuncaknya. Selepas dibacakan khutbah berbentuk motivasi seperti itu, jumlah kutipan meningkat 10% berbanding minggu sebelumnya. Demikian kesan psikologi yang terhasil daripada pengaruh penulisan.

    Kedatangan Ramadhan al-Mubarak akan dirasai lagi dengan sambutan Hilal Ramadhan pada 22 Sepetember ini. Kali ini, Pusat Islam menjemput Sheikh Faisol Hj. Omar dari Jabatan Agama Islam Negeri Kedah. Pusat Islam selaku nadi penggerak untuk mengimarahkan bulan Ramadhan menyediakan pelbagai aktiviti seperti majlis berbuka puasa, pembahagian bubur lambuk (bubur kanji), tadarus al-Quran, Majlis bersama Anak-anak Yatim, sambutan Nuzul Quran, Qiamullail pada sepuluh malam terakhir, solat Hari Raya, dan jamuan Hari Raya. Semua aktiviti ini memerlukan perbelanjaan kira-kira RM20 000. Pusat Islam hanya memiliki bajet sekitar RM3000 pada ketika ini.

    Tradisi USM Kampus Kejuruteraan akan diteruskan lagi. Pelbagai pihak menghulurkan sumbangan. Kebiasaannya jabatan atau pusat pengajian akan menaja majlis berbuka puasa, dengan kadar minima RM850. Ada juga individu (atau peniaga yang berhampiran kampus) yang bermurah hati mendermakan RM1000 bagi tujuan murni ini. Gerak kerja aktiviti dilakukan oleh satu jawatankuasa tetap yang disertai oleh wakil-wakil setiap jabatan dan pusat pengajian yang terdapat di sini. Hal ini bermakna, hanya empat orang individu yang menjadi master mind dalam penentuan menu berbuka puasa. Manakala sukarelawan yang bertugas bagi persiapan majlis berbuka puasa akan bertukar mengikut pusat pengajian atau jabatan yang menaja majlis tersebut.

    Selamat menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak, semoga kali ini kita dapat meraikannya lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Mengkhatamkan al-Quran sememangnya menjadi kebiasaan kebanyakan daripada kita. Terdapat formula yang mudah yang boleh digunakan bagi mengkhatamkan bacaan dalam sebulan iaitu 4.5 x 5 x 30. Dengan anggapan bilangan hari berpuasa sebanyak 30 hari, setiap kali selepas solat fardhu, bacaan al-Quran dibuat sehingga empat muka setengah (dua pipi setengah).

    Sekian, terima kasih.

    Jumaat, September 16, 2005

    Derma

    Khutbah hari ini, 16/09/2005


    Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

    Hari ini, sedar atau tidak; kita sedang meniti waktu untuk bertemu dengan bulan penuh barakah iaitu Ramadhan Al-Mubarak. Kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak ini memberi peluang kepada kita untuk melakukan sebanyak-banyaknya ibadah sama ada berbentuk khusus (fardhiyah) atau umum (sunat).

    Dalam Islam, ibadat terbahagi kepada dua. Pertama ibadah yang memerlukan ilmu, pemahaman, penghayatan dan pengamalan. Ibadah ini boleh dilakukan oleh semua orang Islam yang mempunyai kesihatan tubuh badan dan cukup syaratnya.

    Manakala yang kedua ialah ibadah yang berbentuk kebajikan. Ia memerlukan ilmu, pemahaman, penghayatan, pengamalan, pengorbanan dan modal. Istimewanya ibadah ini kerana modal yang dilaburkan tidak bererti kita kekurangan sesuatu daripada sumbangan tersebut.

    Ibadah derma, sedekah dan seumpamanya yang memerlukan sedikit pengorbanan harta yang kita miliki mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Tidak semua orang sanggup melepaskan perkara yang disayanginya untuk kebaikan orang lain. Tidak semua orang juga sanggup membiarkan hasil titik peluhnya diguna dengan mudah oleh orang lain yang tidak mengusahakannya. Tidak semua orang sanggup menerima hakikat bahawa harta yang dimilikinya telah berkurang secara zahirnya sehingga terpaksa menangguhkan kemahuannya pula. Semua kesusahan yang mungkin dihadapi ini akan mendapat limpah kurnia Allah yang Maha Kaya yang memberikan rezeki kepada manusia.

    Firman Allah S.W.T yang berbunyi



    “Perumpamaan orang yang membelanjakan harta ke jalan Allah umpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, setiap tangkainya mempunyai seratus biji benih yang lain, dan Allah melipatgandakan ganjaran (pahala) kebajikan kepada sesiapa yang dikehendakiNYA, dan Allah Maha Luas (kurniaNYA) lagi Maha Mengetahui”
    (Al-Baqarah: 261)

    Jika kita belajar ilmu hisab atau matematik, suatu jumlah yang ditolak akan berkurangan. Namun di dalam kira-kira Allah, formulanya sama sekali berbeza. Wang yang dibelanjakan mungkin hanya bernilai satu ringgit, tetapi nilaian di sisi Allah kepada sumbangan ini boleh jadi 70 ringgit sehingga 700 ringgit.

    Jika kita imbau kembali sirah ar-Rasul, para sahabat berlumba – lumba untuk melakukan kebajikan ini. Mereka berlumba-lumba untuk mengorbankan harta benda demi kepentingan agama. Sebagai contoh, Uthman ‘Affan pernah mendermakan empat puluh ekor unta berserta khadam dan barang dagangan beliau untuk membiayai perjuangan Islam. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, mafhumnya;

    Daripada Abu Hurairah r.a, Bahawasanya orang-orang fakir dari kalangan Muhajirin telah datang kepada Rasulullah lalu mereka berkata: ‘Orang-orang kaya meninggal dunia dengan membawa bersama-sama mereka darjat ketinggian dan nikmat-nikmat yang kekal abadi’. Maka Rasulullah S.A.W bertanya kepada mereka, ‘Mengapa jadi begitu?’ Mereka menjawab, kerana mereka dapat mendirikan sembahyang, sama seperti kami, berpuasa seperti kami, mereka bersedekah sedangkan kami tidak, dan mereka dapat memerdekakan hamba tetapi kami tidak dapat berbuat demikian’. Maka Rasulullah S.A.W bersabda, ‘Apakah kamu semua suka aku khabarkan sesuatu amalan yang pahalanya boleh dicapai seperti mana orang-orang yang mendahului kamu semua, dan kamu dapat mendahului orang-orang yang sesudah kamu? Dan tiada seorangpun yang lebih dari kalangan kamu semua melainkan orang yang mengamalkan seperti mana yang kamu lakukan.’

    Mereka berkata, ‘Baiklah, wahai Rasulullah.’ Sabda baginda lagi, ‘Bacalah tasbih, takbir dan tahmid tiap-tiap kali selepas solat sebanyak 33 kali.’ Selanjutnya orang fakir dari kalangan Muhajirin datang kembali menemui Rasulullah S.A.W lalu berkata, ‘Saudara-saudara kita dari golongan hartawan telah mendengar mengenai apa yang kami amalkan, maka mereka juga mengamalkannya seperti kami.’ Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, ‘Yang demikian itu adalah kelebihan daripada Allah yang dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki’


    Hadis di atas menunjukkan kelebihan berpihak kepada orang yang berharta dengan peluang-peluang yang telah diberikan oleh Allah, memungkinkan mereka melakukan kebajikan yang lebih banyak daripada orang-orang yang kurang berada.


    Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

    Derma yang diterima Allah adalah derma yang ikhlas semata-mata keranaNYA. Sikap dan ciri orang yang mendermakan hartanya disebut Allah dalam beberapa tempat di dalam Al-Quran.

    Pertama, seorang yang mahukan dermanya diterima Allah haruslah memberikan perkara yang terbaik. Jika kita mendermakan pakaian untuk anak-anak yatim, berilah pakaian yang baru, jika kita mendermakan beras kepada fakir miskin, berilah beras yang terbaik kualitinya, jika kita mendermakan wang, berilah wang yang paling elok wajahnya. Hal ini dinyatakan oleh Allah dalam firman-NYA yang berbunyi:


    “Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk, lalu kamu dermakan (padahal kamu sendiri memandangnya sebelah mata sahaja). Ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”
    (Al-Baqarah: 267)

    Kedua, orang yang mendermakan hartanya tidak mengungkit-ungkit kebajikan yang telah dilakukan. Sifat ini harus dimiliki oleh setiap daripada kita supaya derma yang diberikan akan diterima Allah. Mengungkit-ungkit, menyebut kebaikan, serta mengatakan sesuatu yang mungkin menyakitkan hati orang yang menerima derma atau sedekah amatlah ditegah oleh Allah. Dalam hal ini pepatah Melayu yang sesuai untuk menggambarkan sikap seorang dermawan ialah ‘Menghulur tangan kanan, tangan kiri disorokkan’. Firman Allah, (maksudnya)


    “Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian tidak menyebut-nyebut pemberiannya dan tidak menyakiti perasaan orang yang menerima, mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Mereka tidak bimbang dan tidak pula bersedih”
    (Al-Baqarah: 262)

    Ketiga, orang yang mendermakan hartanya hendaklah faham bahawa kebajikan yang dibuat merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya. Allah menjadikan manusia berbeza keupayaan, kemampuan meraih harta, kaya atau miskin adalah dengan tujuan agar perbezaan ini mewujudkan peluang untuk melakukan kebajikan. Jika ditakdirkan Allah, semua orang hidup senang, kaya raya, sihat tubuh badan dan berupaya untuk berkerja dengan gaji yang lumayan; maka siapa pula yang akan menerima sedekah? Siapa pula yang boleh bersedekah? Apabila kita memperkatakan hal membasmi kemiskinan, maka perkara itu tidak akan berlaku secara mutlak sampai bila-bila. Allah menyediakan peluang ini supaya kita berfikir untuk memikirkan keperluan orang lain atas dasar peri kemanusiaan, serta merapatkan hubungan persaudaraan di antara golongan yang berada dengan mereka yang kurang berupaya.

    Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

    Apabila kita membuat pertimbangan untuk mengeluarkan derma, atau sedekah dan seumpamanya, seringkali kita menghadapi dilema. Kadang-kadang dating bisikan-bisikan buruk yang akhirnya menjadikan kita terlalu sayang kepada harta yang dimiliki. Bisikan-bisikan buruk ini merupakan mainan psikologi yang dirancang oleh syaitan kepada manusia. Syaitan sentiasa membisikkan janji buruk seperti kekurangan harta dan kefakiran. Firman Allah dalam ayat 268 surah al-Baqarah;


    “Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kedekut dan kikir), sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-NYA. Dan Allah Maha Luas kurniaan-NYA lagi Maha Mengetahui.”

    Selain itu, kebelakangan ini wujud juga keadaan orang-orang yang memberikan sumbangan atau penajaan kepada mana-mana pertubuhan atau golongan atas dasar kebajikan memperlihatkan tindakan mereka kepada khalayak. Implikasi kepada tindakan seumpama ini bergantung kepada niatnya. Jika amalan tersebut dilakukan untuk menggalakkan orang lain atau organisasi lain mengikut perkara baik yang dilakukan itu, maka natijahnya juga baik. Jika perbuatan itu dilakukan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kebaikan, maka dia hanya mendapat pujian dan penghargaan daripada manusia, sebaliknya tidak bermakna di sisi Allah. Maknanya sekarang ini terdapat juga manusia yang tidak mahu menderma kerana bimbang jika dibuat dalam satu majlis yang rasmi, akan menjejaskan niat asalnya untuk menderma. Begitu juga sebaliknya, ada orang yang resah dan gelisah sekiranya sumbangannya yang banyak tidak diberi liputan yang meluas untuk diketahui oleh orang ramai. Maka ditegaskan sekali lagi, segala amal kebajikan seseorang sama ada besar atau kecil nilainya bergantung kepada niat individu tersebut. Berilah sumbangan tanpa mengira besar atau kecil nilainya pada pandangan manusia, kerana Allah tetap menilainya dengan penilaian yang tidak dijangkakan oleh kita.

    Firman-NYA,


    “Tidakkah balasan kebaikan itu dengan kebaikan pula?”
    (Ar-Rahman: 60)

    Allah tetap menjanjikan pembalasan yang baik kepada setiap kebajikan yang dilakukan. Tidak semestinya kebaikan itu datang daripada orang yang kita tolong. Apabila kita memahami konsep kebaikan ini, kita tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan sesiapa sahaja yang memerlukan.

    Sebagai kesimpulannya, Ramadhan yang kian menghampiri kita menyediakan pakej kebajikan yang banyak termasuklah derma. Menyumbanglah untuk kelangsungan aktiviti-aktivti yang dijalankan oleh pihak-pihak yang perihatin bagi menghidupkan penghayatan bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Semoga khutbah minggu ini memberi manfaat kepada kita semua.

    Khamis, September 15, 2005

    Bahasa rojak


    *Penulis bersama Ketua Editor Kumpulan DBP, di Pameran BBSN, Berjaya Megamall, Kuantan pada 10 September 2005.

    4.00-4.45 petang, 10 September 2005 di Dewan Kuantan, aras 3, Hotel Grand Continental, Kuantan.


    Sedikit catatan ucapan Prof. Teo dari Jabatan Bahasa dan Linguistik, UKM.

    Bahasa Melayu yang kita bincangkan hari ini adalah penggunaan Bahasa Melayu baku dalam ranah rasmi. Ranah atau mandala bermaksud bidang. Jika kita perhatikan sekarang ini, terdapat beberapa kepincangan dalam penggunaan bahasa baku yang piawai dalam ranah rasmi seperti dalam bidang pengacaraan, penyiaran, atau perbahasan di Parlimen.
    Gaya berbahasa ini dikatakan sebagai bahasa rojak, Dato’ Rais Yatim merujuknya sebagai bahasa ‘separuh belut separuh ular’. Bentuk-bentuk kepincangan itu termasuklah:

    1. Tempelan, iaitu menyelitkan beberapa perkataan bahasa Inggeris. Sebagai contoh, Jika kita melihat kepada perkembangan teknologi hari ini, so dapatlah kita katakan bahawa Malaysia masih jauh ketinggalan dalam beberapa aspek. Perkataan ‘so’ yang diselitkan itu merupakan tempelan dan secara tidak langsung menjadikan pengucapnya berbahasa rojak.

    2. Ayat yang berselang-seli di antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Perkara ini sudah menjadi lumrah dalam pembikinan filem atau drama TV. Sekejap cakap Melayu, sekejap cakap Inggeris. Apakah ini dimestikan untuk tujuan komersial yang lebih global?

    3. Ayat atau slogan kata yang digunakan secara meluas untuk sesuatu program. Contohnya ‘infotaintment’, ‘edutaintment’, ‘sureheboh’ (sepatutnya ‘surebodoh!’), ‘suresihat’, ‘rakancorp’ oleh PDRM yang dibaca oleh biasa sebagai ‘rakan cop!’. Semua sogan ini digunakan atas alasan perkembangan bahasa yang progresif. Walhal istilah ini tidak pernah dipinjam atau diserap dalam bahasa Melayu. Kita mesti tahu membezakan di antara penggunaan istilah Inggeris yang dimelayukan seperti sofistikated, kontaminasi, informasi, rekreasi dan teknologi. Istilah ini telah diterima secara mutlak tanpa mencampuradukkan istilah yang separuh-separuh seperti slogan yang disebutkan.

    4. Kemudian kita juga lihat penggunaan istilah yang tergantung, sebagai contoh ‘apa nama (disebut panjang-panjang; ‘apa namaa…..’) yang merosakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul. (Cukuplah seorang sahaja di Malaysia ini yang menggunakan istilah seperti itu dalam percakapannya!)

    Jika kita lihat, di dunia ini terdapat hanya empat negara yang memiliki jumlah penutur bahasa Melayu yang teramai iaitu Indonesia, Malaysia, Negara Brunei Darul Salam, dan Singapura. Bilangan penutur sebenarnya sekitar 250 juta orang bukannya 400 juta seperti yang diuwar-uwarkan.

    Jika kita mengkaji perkembangan bahasa di Korea, Jepun, atau Perancis, mereka lebih mengutamakan bahasa mereka sendiri dalam sistem pengajaran. Maka saya melihat perkembangan terkini dalam sistem pendidikan yang mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dalam pengajaran subjek-subjek Matematik dan Sains sebagai ‘malapetaka terburuk’ kepada Bahasa Melayu. Mengapa kita harus mengagungkan bahasa orang lain walaupun alasannya untuk bersaing di peringkat global? Bagaimana kita boleh katakan ia mampu menyaingi tamadun bangsa lain sekiranya pencapaian dalam subjek ini menjadi teruk apabila diajar dalam bahasa Inggeris, terutama di luar bandar?

    Rabu, September 14, 2005

    Pasca 14 September

    Minggu lepas, keluar berita tentang wang syiling RM1, “Mesti dipulangkan kepada bank untuk ditukar dengan wang kertas sebelum 6 Disember 2005” Hari ini, muka depan Utusan Malaysia bertajuk “Hampir separuh syiling palsu RM1 di pasaran”. Kemodenan teknologi menjadikan perkara seperti ini berlaku, namun persoalannya siapakah yang memanipulasi teknologi?

    Asas kepada semua kepincangan berpunca daripada nilai integriti yang kurang dalam diri manusia yang memanipulasi sistem. Sistem yang wujud dengan rangkuman teknologi, manusia yang diberi kuasa dan amanah menyelia tidak akan menjadi betul sekiranya tidak diurus dengan jujur. Ini bukanlah satu tuduhan melulu untuk mengatakan wujudnya konspirasi dalam pembikinan wang syiling, namun asas kepada kepincangan sistem itu seolah-olahnya telah wujud. Saya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak dalam hal ini, tetapi itulah yang sempat difikirkan oleh saya sebagai satu prasangka.

    Minggu lepas juga, berlangsungnya Simposium Kejuruteraan Kimia di UM. Tahniah diucapkan kepada rombongan USM yang mendapat tempat ketiga dalam pertandingan yang disertai semasa simposium tersebut (Johan: UM, Naib Johan: UTP).

    Minggu lepas, saya berada di Kuantan sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dan menyertai dua program dalam BBSN iaitu Perkampungan Penulis BBSN dan Program Teguh Bahasa. Saya telah bergelar ahli Alumni Kembara Bahasa. Pada majlis penangguhan di Wisma Pahang, Menteri Pelajaran telah menerima resolusi daripada peserta Teguh Bahasa bagi memartabatkan semula Bahasa Melayu sebagai bahasa yang disegani. Kita berharap, resolusi ini akan menguatkan lagi tekanan kepada kabinet untuk mengubah dan mengembalikan semula pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu (Ini bukan langkah mundur ke belakang). Prof. Teo dari Jabatan Bahasa dan Linguistik, UKM menyatakan “Pengajaran matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris adalah mala petaka terburuk kepada Bahasa Melayu”. Jika bahasa Melayu tidak dinobatkan, dimartabatkan oleh kita, siapa lagi?

    Saya amat berharap program seperti ini bukan gimik politik semata-mata. Sama-samalah kita tunggu dan lihat proses seterusnya dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu ini. Jangan biarkan ia tinggal sebagai 'perjuangan' sahaja.

    Rabu, September 07, 2005

    Khutbah minggu ini

    Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

    Meski pun 27 Rejab telah berlalu lebih daripada seminggu, mimbar ingin menegaskan bahawa perjalanan Baginda tersebut merupakan titik tolak kepada kewajipan ibadah solat. Ibadah solat adalah sangat istimewa, memandangkan Baginda S.A.W menerima perintah ibadat secara terus daripada Allah di langit. Jika Mi’raj nabi adalah perjalanan roh dan jasad ke langit, maka mi’raj hamba kepada Tuhannya adalah solat.

    Solat yang kita lakukan didefinisikan sebagai ibadat yang dimulakan dengan takbiratul ihram, mengandungi rukun-rukun, perlakuan dan bacaan-bacaan tertentu dan diakhiri dengan salam. Solat merupakan amalan pertama yang dinilai oleh Allah sebelum amalan-amalan lain pada hari kiamat. Mimbar hari ini ingin mengajak kaum muslimin memahami falsafah yang tersembunyi di sebalik ibadah solat di samping penghayatan kita terhadap solat berjamaah.

    Pertama, solat merupakan tanda aras bagi menetukan kualiti manusia yang beriman. Kesan daripada solat yang sempurna, dilakukan dengan ikhlas, khusyuk dan memenuhi semua syarat dan rukun solat akan menghasilkan manusia yang berakhlak mulia, bersakhsiah tinggi dan berintegriti (amanah). Apabila berhubung dengan Allah, hamba yang banyak sujud lebih hampir kepada Tuhannya. Apabila berkomunikasi sesama manusia, ia menyenangkan semua orang di sekilingnya, memberi manfaat orang lain dan jujur terhadap semua amanah yang diberikan kepadanya.

    Firman Allah,


    “Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar”

    Jika ditanya, “Mengapa orang yang bersolat tetapi masih melakukan perkara keji dan mungkar?” Maka jawabnya solatnya belum sempurna. Kualiti solatnya masih belum mencapai tahap yang terbaik bagi mendidik jiwanya menjadi seorang manusia yang baik.

    Kedua, dalam solat, seluruh penumpuan akal dan pemikiran mesti ditumpukan untuk mendapat khusyuk kerana tidak solat bagi orang yang lalai. Lalai dalam solat di antaranya adalah fizikalnya berkeadaan solat tetapi hati, minda dan tumpuannya pada perkara-perkara lain. Betapa solat merupakan tarbiyyah Allah kepada manusia supaya fokus. Dalam aktiviti lain kita sering diperingatkan supaya memfokuskan pemikiran untuk mendapat hasil yang terbaik. Natijah daripada sesuatu tugasan hanya diperoleh jika dilakukan dengan penuh konsentrasi dan rasa tanggungjawab.

    Ibadah solat yang kita lakukan demikian juga. Kekhusyukan dalam solat memerlukan kita menghadirkan hati dan fikiran pada setiap bacaan dan perlakuan dalam solat. Minda tidak boleh menerawang memikirkan hal-hal yang lain di luar solat. Firman Allah,

    “....dan sesungguhnya solat itu berat, melainkan bagi orang-orang yang khusyuk”
    (Ayat 45: Al-Baqarah)

    Falsafah yang terselit di sebalik ibadah solat mendidik kita beberapa perkara. Di antaranya, solat mengajar kita ketepatan masa. Rasulullah pernah ditanya, “Apakah perkara yang paling baik?” Baginda menjawab, “Solat pada awal waktu.” Begitu juga firman Allah dalam ayat 103 surah an-Nisaa,

    “Sesungguhnya solat itu kewajipan yang tertentu waktu-waktunya ke atas orang-orang yang beriman”

    Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

    Ibadat solat yang difardhukan kepada kita bolah dilakukan secara bersendirian atau berjamaah. Namun begitu, solat berjamaah lebih afdhal daripada solat secara bersendirian. Solat berjamaah lebih tinggi nilainya berbanding solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda.

    Berkata Muhammad bin Wasi’, “Tidak ada lagi yang aku inginkan di dunia melainkan tiga perkara
    Seorang saudara yang apabila aku menyeleweng, dia segera meluruskanku.
    Rezeki sekadarnya yang datang tanpa bersusah payah dan tanpa memberatkan tanggungjawab (sehingga aku tidak dapat menanggungnya).
    Solat berjamaah, yang diampuni bagiku kekurangan di dalamnya, sementara dicatat bagiku pahalanya.”

    Sedarlah, solat berjamaah amat penting bagi kita kerana semangat kebersamaan yang ada di dalamnya. Jika dalam aktiviti biasa, kita lebih mudah melakukan sesuatu perkara yang besar dan sukar secara berkumpulan, mengapa dalam solat kita tidak berminat untuk melakukannya secara berjamaah? Sekiranya dalam gerak kerja kita, terdapat sedikit kekurangan, kebuntuan, kesulitan kita akan dibantu oleh rakan sekerja yang mempunyai idea untuk menyelesaikannya. Begitu juga dalam solat, kekurangan dan kecacatan yang ada dalam solat kita itu akan ditampung dan diampuni Allah.

    Selain itu, semangat solat berjamaah mendidik kita falsafah kepimpinan, kerja berpasukan, dan etika kepimpinan dan pengikut. Solat berjamaah yang ditunaikan menyatukan hati-hati semua manusia tanpa mengira bangsa, pangkat, kedudukan dan seumpamanya. Makmum harus patuh kepada seorang imam, tidak boleh mendahului imam. Sekiranya imam tersilap, tidak menjadi kesalahan kepada makmum untuk membetulkan imam tersebut. Saf-saf yang dirapatkan adalah simbolik kepada penyatuan hati-hati orang yang beriman, melakukan perkara yang sama secara bersama-sama. Menurut seorang pakar motivasi, (Dr. HM Tuah) secara saintifik, susunan dalam saf-saf yang rapat ini dapat mengimbangi cas-cas yang berada di dalam tubuh kita. Cas yang berlebihan sama ada positif atau negatif akan dikeluarkan manakala yang berkurangan akan ditarik masuk ke dalam badan.

    Solat berjamaah juga membebaskan diri seseorang daripada sifat munafik dan api neraka.
    Sabda Rasulullah S.A.W
    “Barangsiapa mengerjakan solat secara berjamaah selama 40 hari, tanpa tertinggal satu takbiratul ihram, baginya dua kebebasan: kebebasan daripada kemunafikan dan kebebasan dariapda api neraka.
    Sifat munafik adalah seburuk-buruk sifat, sifat talam dua muka ini merupakan kemuncak kepada kerosakan hati seorang manusia yang telah beriman.

    Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

    Sebagai bapa, yang menjadi ketua keluarga:
    1. ALLAH memerintahkan ahli keluraga supaya bersolat seperti dalam FirmanNYA,

    “Dan perintahkanlah ahli (keluarga) kamu untuk menunaikan solat “ (132: Thoha)
    Seorang ketua keluarga mestilah memastikan isteri dan anak-anaknya menunaikan solat.

    2. nabi memerintah kita mengajar anak-anak kita untuk mengerjakan solat sejak berumur tujuh tahun. Sekiranya pada usia sepuluh tahun, anak kita tidak membiasakan dirinya dengan solat; maka pukullah mereka (dengan tujuan mendidik) supaya mereka memberi perhatian kepada ibadah solat.

    Dewasa ini kita amat bimbang, remaja Islam tidak memberi perhatian kepada solat. Mereka merasakan seolah-olah ibadat solat sebagai amalan ritual yang tidak mempunyai hubungan langsung dalam kehidupan. Kajian yang dibuat oleh Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah menunjukkan 80% remaja Islam tidak bersolat. Kajian ini seharusnya menggerakkan minda kita untuk melakukan tindakan. Pupuklah rasa tanggungjawab menunaikan solat dalam diri anak-anak kita supaya mereka tidak tergolong dalam golongan ini.

    Ingatlah kita bahawa Nabi ketika hampir kepada kewafatannya, baginda sempat memperkatakan tentang solat. Jika di saat-saat terakhirnya baginda masih menekankan perkara ini, ia bermakna solat sangat penting kepada kita untuk dihayati. Kehidupan kita juga akan harmoni jika perlakuan, percakapan dalam solat diterjemahkan dalam kehidupan di luar solat. Maknanya, semua perlakuan, pertuturan, tindak tanduk, dan tingkah laku kita di luar solat hanyalah menjurus kepada natijah yang baik sahaja.

    Semoga khutbah hari ini memberi manfaat kepada kita, insyaAllah.

    Disediakan untuk Pen. Peng. Pusat Islam, USMKKj. Terima kasih diucapkan kepada Pen. Peng. Pusat Islam kerana memberi ruang kepadaku untuk mencoret khutbah yang ringkas ini.

    Selasa, September 06, 2005

    Ceramah Bulanan

  • Poster Ceramah Bulanan di Pusat Islam USM Kejuruteraan.
  • Tentera Allah

    Penulis berbaju batik di Galeri SIRIM, pada 2 Jun 2005.



    Taufan Katrina yang melanda Amerika Syarikat bukanlah sebarangan, ia merupakan angin pusar berbentuk kon yang hebat. Kelajuan angin puting beliung ini di antara 250 – 300 km/j hampir menyamai kelajuan kereta lumba F1. Pun begitu, kelajuan angin yang dijana oleh kereta F1 adalah angin lintang biasa yang tidak mempunyai daya geseran (drag force) seperti Katrina. Semestinya daya ini ditambah nilainya oleh Allah kerana pergerakannya secara selari dengan paksi bumi yang melemahkan daya dan kekuatan strukutur bangunan atau pokok. Lebih hebat lagi, pergerakannya dalam arah serenjang mempercepatkan kemusnahan, sehingga seteguh-teguh pokok boleh tercabut dan melayang, jika pokok yang mempunyai akar tunjang boleh terbang, apalah yang ada pada manusia, kereta, bas, bot, rumah, dan benda-benda lain di bumi. Maha Suci Allah, hebat juga kemurkaan yang ditunjukNYA.

    Menyorot kembali peristiwa pembalasan Allah terhadap kaum 'Aad, dalam surah al-Qamar Allah menceritakan bahawa mereka dilanda angin sejuk. Angin sejuk itu, menurut ahli tafsir dilalukan selama tujuh hari tujuh malam tanpa henti. Sehingga pada hari terakhirnya, semua mayat yang bergelimpangan menjadi seperti ketulan salji. Pohon kurma menjadi hancur sama sekali, menjadi debu-debu halus. Jika sekarang, seorang yang duduk di dalam bilik berhawa dingin dengan suhu serendah 16 darjah Celcius, dia hanya mampu bertahan lima belas minit sahaja tanpa memakai apa-apa penebat haba (seperti baju sejuk). Semasa berada dalam keadaan dingin, pemindahan terma badan menjadi tidak seimbangan. Haba badan menyusut menyebabkan otot dan sel badan menguncup, maka apabila sampai pada suatu tahap ketidakseimbangan terma lampau manusia akan menjadi kejang. Rosaklah sistem penghantaran oksigen dalam saluran darah, kuranglah bekalan oksigen ke otak, akhirnya manusia akan pengsan.

    Jika begini halnya, angin lalu yang teramat sejuk sehingga menusuk sum-sum tulang melanda selama tujuh hari tujuh malam berturut-turut lebih hebat. Haiwan yang berhibernasi secara semula jadi juga tidak mampu menghadapi keadaan ini. Kemudian kita lihat pula kepada sirah ar-Rasul dalam Perang Ahzab, angin juga menjadi tentera Allah sehingga melemahkan sistem pertahanan tentera kuffar. Peperangan ini menjadi petunjuk betapa Allah menghendaki dan telah mengutus bala tenteraNYA berupa angin bagi memperlihatkan kehebatanNYA. Hari ini, penganut agama dan pederi di kalangan bangsa Yahudi menelah bahawa bencana yang menimpa AS adalah disebabkan sokongannya terhadap pengunduran serta pengusiran pendudukan haram Israel di Palestin. Orang Islam pula beranggapan bahawa ini adalah balasan Allah terhadap keangkuhan AS yang sewenang-wenangnya melayak dan menceroboh bumi Islam. Apa pun, sebagai seorang yang beriman dan Islam, kita semestinya mengakui dan mengimani falsafah pemikiran Islam ini.

    Dalam surah at-Taubah, Allah menyebut bahawa Dia memilik kerajaan langit dan bumi, maka menjadi hakNYA untuk memerintah tenteraNYA. Angin, tsunami, gempa bumi, belalang, semut, anai-anai, dan apa sahaja makhluk yang boleh menjadi katalis pemusnah yang berlaku secara alami adalah tentera Allah. Kerajaan AS juga dengan angkuh menyembunyikan statistik kematian rakyatnya, kononnya mengelak aib disebabkan mereka mendakwa sebagai negara terhebat di dunia. Jika jumlah pelariannya sahaja berjumlah 300 ribu, apakah logik hanya 100 orang yang terbunuh? Angka kematian sebenar adalah lebih daripada itu, beribu-ribu tetapi tidak diketahui angka yang tepat. Hal ini samalah dengan keangkuhannya menyembunyikan jumlah korban tenteranya dalam misi kolonial baru di rantau Arab atau dunia Islam yang lain.

    Meski kecanggihan teknologi yang dimiliki menmungkinkan mereka mengelak kemalangan jiwa yang lebih dahsyat (dengan memindahkan penduduk seminggu lebih awal), nampaknya congak kira yang dimiliki oleh manusia terbatas. Katrina dalam bahasa Inggeris dinyatakan sebagai aftermath, iaitu melangkau kiraan. Kekuatan sebenar Katrina jauh menyimpang daripada kiraan yang dibuat. Justeru sistem pertahanan bagi ‘menghalang’ kemaraan dan kuasa pemusnah angin tersebut rapuh dan gagal sama sekali. SubhanaLLAH. Maha Suci Allah, betapa perkara ini menunjukkan bahawa manusia selamanya lemah dan kerdil. Kita tidak sama sekali mampu mencabar kekuatan dan kuasaNYA. Katrina hanya satu persejuta daripada kehebatan angin yang melanda kaum ‘Aad. Malah mungkin kekuatannya tidak terbanding dengan kekuatan angin sejuk tersebut.

    Khamis, September 01, 2005

    Cerita SN ke-4


    Beliau dilahirkan pada 9 April 1935. Kini usianya telah meningkat 70 tahun. Pada tahun 2000, sempena sambutan ulangtahunnya yang ke-65, Sasterawan Negara (SN) ini melancarkan mogok. Mogok sastera yang dibuat sebagai protes; tanda tidak puas hati dengan kerenah birokrasi [1]. Pasti seorang SN yang ke-4 dalam senarai penerima anugerah tertinggi dalam bidang kesusasteraan itu menghadapi liku-liku hidup kerana ketidakadilan proses pembayaran royalti ke atas hasil tulisannya. “Saya bukan mengharapkan wang, tetapi tanpa wang bagaimana mahu meneruskan kehidupan?” Pokok perjuangan sasterawan tulen sepertinya bukanlah wang, tetapi itulah punca rezekinya. Berkarya dan terus berkarya tanpa jemu atau letih.

    Siapa SN yang hebat ini? Beliaulah A Samad Said, menulis karya agung berjudul Salina. Beliau menyiapkan novel Salina ketika usianya 23 tahun, sebaya dengan umurku sekarang.

    Sinopsis Salina.

    Novel Salina diterbitkan pada tahun 1989 oleh A.Samad Said dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Salina merupakan salah satu novel yang mempunyai keunikan tersendiri di dunia sastera Melayu moden. Karya ini mempunyai nilai budaya dan sastera yang tinggi, ia dikatakan sudah pun meninggikan kedudukan sastera Melayu. Siti Salina dalam Salina merupakan seorang yang bersifat jahil dan tidak beriman. Walaupun begitu, dia mendapat simpati dari kalangan pembaca kerana A. Samad Said berhasil mewujudkan amanatnya yang ingin beliau sampaikan akibat peperangan yang buruk.

    Di dalam novel ini banyak unsur pemberontakan akibat daripada kesan peperangan. Sebagian besar watak dalam karya ini adalah sebenarnya korban Perang Dunia Kedua. Dalam pada itu, segala tindak-tanduk Salina juga berpunca daripada perang yang kejam itu. Dia kehilangan orang tua, kekasih, dan cita-cita juga dihancurkan oleh peperangan. Maka, Salina memaparkan imej pemberontakannya dengan menceburkan diri dalam situasi syiqaq. Pemberontakan Salina dapat digolongkan satu pemberontakan yang bersifat pembalasan dendam. Menurut A. Camus pemberontakan seperti ini tidak dapat memberi kesan yang mendalam. Pemberontakannya dipandang juga sebagai satu pemberontakan yang bersifat penyakit(morbid).

    Kalau ditinjau dalam konteks ini, pemberontakan ini adalah salah satu tindakan untuk menghasilkan valuasi baru selepas memusnahkan ketidakadilan yang merupakan formula dasar untuk kehidupan dan juga satu proses untuk menyelamatkan jiwa manusia. A. Samad Said dengan sengaja menciptakan watak Salina sedemikian rupa, kerana masyarakat Melayu yang mementingkan keimanan tidak dapat menerima Salina yang dengan mentaliti yang sihat bertingkah laku seperti yang ditunjukkan dalam novel ini. Bagaimanapun novel yang diciptakan oleh seorang penyair agung ini dapat dikatakan karya sastera yang memberi warna baru kepada dunia novel Melayu.

    Baca lagi komentar Salina dalam Salina: Olak dan Gelombang, oleh Abdul Ahmad

    Pun begitu, aku masih tidak berpeluang memegang novel tersebut (nampak sangat aku malas membaca, dan tidak suka berjalan ke pameran buku). 29 Ogos 2005 [2], satu lagi detik bersejarah dalam hidupnya apabila ada pihak yang perihatin terhadap perjuangan murninya. 29 Ogos 2005, tercatat sejarah baru apabila pengkisahan hidupnya didokumentasikan seperti mana Dokumentasi Sehari Bersama Tuan Guru. Menurut penerbit CD dokumentasi SN A Samad Said ini, pengkisahan itu dimuatkan dalam bentuk audio visual memakan masa 46 minit. Pastinya ia suatu yang menarik untuk peminat sastera, lihatlah bagaimana kehidupan seorang sasterawan yang hebat ini. Berapa lama beliau membaca dalam sehari? Lebih kurang (minimum) enam jam sehari.

    Jom! Sama-sama kita miliki CD yang menyorot kehidupan seorang SN ini.

    Rujukan
    1. A Samad Said: Bersara dari dunia sastera!, Tamadun, Mei 2000, Bil. 69, ms. 52.
    2. Dinsman, Siasah, 19 Ogos – 2 September 2005, Bil. 2.

    Hipotesis


    Sinopsis ‘Hipotesis’.

    Dua minggu selepas penghasilan fiksyen sains bertajuk Hipotesis, aku menemui jawapan pasti tentang kerelevanan pemikiran dalam penciptaan karya tersebut. Secara umumnya aku menggagaskan konsep ubah suai keupayaan makanan tambahan dengan kuasa penyerapan nutrien tanpa memperkatakan genetik yang terlibat secara pasti. Hipotesis terhasil setelah aku meneliti fenomena yang berlaku dalam diriku secara langsung. Ia adalah gambaran kerungsingan akibat tahap perkembangan diri secara fizikal yang lambat; sejak berusia 13 tahun hingga kini – aku mempunyai jisim 45 kg. Persoalan ini telah dikupas secara saintifik dalam Jurnal New Scientist seperti yang tertera dalam artikel “You may not be what you eat” [1] @ “Kamu tidak menjadi seperti apa yang kamu makan.” Tunggukan kemunculan fiksyen sains Hipotesis tidak lama lagi untuk tatapan pembaca; aku akan mengumumkan semula apabila fiksyen tersebut dicetak dalam makalah, insyaAllah.

    Berikut adalah sedikit intisari hasil kajian dalam artikel [1].
    Daripada perspektif genetik, sudah jelas kepada kita bahawa persoalannya bukanlah ‘Kamu adalah apa yang kamu makan’ tetapi lebih bergantung kepada ‘Kamu adalah (diri kamu) apa yang ditentukan oleh tindak balas genetik terhadap makanan yang dimakan.’ Setiap orang telah diprogramkan secara genetik untuk mendapat berat badan lebih mudah tetapi sukar pula untuk mengurangkannya.

    Kajian yang dijalankan oleh Dr. Jose Ordovas dari Tufts University, Amerika Syarikat telah menemui sejenis genetik (gen) yang dinamakan perilipin. Gen perilipin memainkan peranan dalam menetukan tahap kegemukan seseorang. Gen ini memastikan sama ada makanan berlemak yang dimakan oleh seseorang disimpan dalam bentuk lemak atau dikumuhkan dalam kadar yang segera. Menurutnya lagi, kajian ini menjadi titik mula kepada saintis mencari formula baru dalam bidang farmaseutikal bagi mencipta ubat yang berupaya merencat tindak balas gen perilipin dalam tubuh seseorang individu yang gemuk. Apabila gen ini berjaya direcatkan dalam tubuh seorang yang gemuk, kadar metabolisme pembakaran lemak akan meningkat.

    Apa sebenarnya di sebalik penemuan dan ilham Hipotesis? Jawapannya dalam ayat “Dan di dalam diri kamu, apakah kamu tidak melihat (berfikir dan mengkajinya)?” Al-Quran telah mentarbiyyah kita supaya sentiasa berfikir untuk merungkai suatu permasalahan. Masalah itu hanya boleh ditemui jawapannya apabila kita mahu berfikir dan mencari jawapan tersebut.

    Rujukan:
    1. You may not be what you eat, New Sunday Times (Focus), Aug 28, 2005, pg. 22.