Sabtu, Disember 31, 2005

Ayuh! Bangkitlah.


Puitisnya kata ghafirah; kesakitan dan kesusahan guru dalam sekolah hidup. Tatkala menusia diuji seringkali terasa bebannya, namum sehebat mana sekali pun, DIA selaku pemberi ujian Maha Tahu itulah rahmat yang layak diatnggung oleh hambaNYA. DIA tahu, bebanan itu merupakan taklifan yang ngam dan terpikul oleh jasad dan jiwa hambaNYA.

Menceritakan hal ini, arkib kemahasiswaaan universiti yang seadik seabang dengan kampusku menyimpan tiga kisah tragis. Gara-gara tidak berpuas hati dengan percaturan hidup yang telah ditentukan Tuhan, mereka memilih untuk menamatkan perjalanan detik nadi dalam denyut kehidupan. Masih ingat kisah gempar pelajar menggantung diri pada kipas? Masih segar siswa mati kemalangan maut ketika usai peperiksaan akhir semester? Masihkah terbayang-bayang di mata anda tajuk berita siswi menelan sebotol pil tidur? Semesti peristiwa tragik ini tidak melibatkan mahasiswa atau mahasiswi yang menyebut kalimah thoyyibah, mereka tidak punya keyakinan yang padu seperti yang kita semua imani. Mereka orang cha ya nun alif. Islam sebagai ad-din al-hayah, agama kehidupan melarang penganutnya berputus asa daripada rahmat Allah. Puncak kepada rasa putus asa ialah meminta kematian seterusnya membunuh diri. Al-Quran sendiri menyebut betapa dalam keperitan hidup Maryam, beliau menyebut tentang kematian. "Alangkah baiknya jika aku mati dan dilupakan." Dialog ini kita baca apabila memasuki fasa naratif sejarah kelahiran nabi Isa dalam surah Thoha.

Sebagai muslim, kita telah diperingatkan supaya sentiasa cekal dan tabah menghadapi apa jua kemelut kehidupan. Tidak ada masalah melainkan ada pula jalan keluarnya. Cuma tinggal bagaimana kita mengolahnya. Tali yang kusut tidak boleh dikusutkan lagi jika tidak dibuka mengikut punca asal seliratnya. Poinnya, hadapilah masalah yang melanda hidup anda dengan memantapkan emotional quote (EQ) anda pada tahap yang tertinggi. Lemah jiwa dan rasa kesal yang tidak berkesudahan tanpa berbuat apa-apa perkara yang positif hanya merugikan anda. Jadilah seperti manusia besi berjiwa korporat. Ketika manusia dilanda kesusahan, ahli korporat melihatnya sebagai peluang membuat duit. Sebagai contoh, apabila manusia bersusah-susah menghadapi kesejukan musim salji manusia korporat mendapat idea mebuat baju sejuk, sweater, baju tebal dan seumpamanya.

Kadang-kadang kesusahan dan kesakitan mengajar kita erti nikmat yang hilang. Hilang rasa nikmat kerana kesenangan itu membuai diri kita sehingga lupa nikmat itu amat berharga. Ketika hidung bebas daripada lendir bahana influenza alias flue, kita menyedut oksigen dengan senang hati. Bercakap juga tidak sengau bunyinya, kepala juga tidak berdenyut, tangan tidak perlu disediakan dengan sapu tangan atau tisu sebagai pengelap. Apabila flue menyerang, baru kan terasa sukarnya menyedut udara untuk bernafas. Baru insaf diri dihenyak kepeningan mengungsi mandala otak, kecekapan menghurai dan menggarap idea juga lambat-lambat. Tangan juga sentiasa awas, takut-takut bersin dan berselerak hingus yang terhambur dari hidung.

Sebagai mukmin, suka diingatkan ketika perasaan putus asa saudara nabi Yusuf seperti yang dibaca dalam al-Quran. Besarnya sesalan sehingga nabi Yaakub mengatakan 'Laa tarjuuna min rauhillah' - jangan sekali-kali berputus asa dari rahmat Allah. Apabila mereka telah diuji sebagai balasan kejahatan mereka terhadap nabi Yusuf. Perjalanan kehidupan nabi Yusuf sehingga dipertemukan semula dengan nabi Yaakub dan keluarganya yang lain menunjukkan kepada kita bahawa dalam perancangan Allah tersemat sejuta rahmat. Kesedihan nabi Yaakub yang tidak dapat dibayangkan apabila kehilangan anak kesayangannya hanya diketahui oleh Allah. Apakah akan terjadi andai ketika sedih itu, nabi Yaakub mengusir semua saudara nabi Yusuf itu? Apakah akan berlaku jika ketika ujian itu, nabi Yusuf memutuskan untuk mati sahaja di dalam telaga? Apa akan terjadi seandainya mereka tidak mengharapkan rahmat Allah dalam perjalanan hidup mereka? Sudah tentu kita tidak dapat melihat bagaimana kronolgi peristiwa penuh hikmah yang diaturkan oleh Allah buat hamba-hambaNYA.

Begitu juga halnya dengan kita. Jika hari ini kita mendapati sukar untuk mengecap sebuah kejayaan atau dengan kata mudah ditimpa kegagalan, apakah itu petanda hidup sudah berakhir? Mengapa kita tidak mengkaji kesusahan dan keperitan di sebalik kejayaan yang menempa nama di persada dunia? Tidak pernah berlaku dalam peradaban dunia bertamadun manusia berjaya sekelip mata tanpa melalui proses pendidikan dalam sekolah yang daerahnya bernama kesusahan. Sirah keagungan Islam sendiri bermula dengan hal yang sukar dan mencabar. Islam bertapak dan kejap dalam sanubari umat Islam terawal setelah 13 tahun usaha dakwah dijalankan oleh nabi kita. Sejarah telah membuktikan, menjadi seorang manusia bernama Prof. Dzulkifli hari ini, sebenarnya merupakan pelajar tebaik SPM di MCKK setelah menduduki peperiksaan tersebut buat kali kedua. Hal ini bukanlah bermakna saya ingin membuat perbandingan di antara kedua-keduanya, kerana tentu sekali perkara ini merupakan hujah yang naif.

Sedarlah, jika hari ini anda mengeluh tentang nasib diri; suatu masa pasti anda akan bersetuju dan mengatakan, "Baik juga perkara itu berlaku kepadaku pada masa yang lalu. Jika tidak, aku bukanlah aku yang wujud pada hari ini." Pokoknya, tiada masalah melainkan ia bisa diurus, diolah peneyelesaiannya. Berundur sebelum berikhtiar bermakna anda menempa mati sebelum kematian sebenar. Ayuh, bangkitlah!

Jumaat, Disember 30, 2005

Alam mistik, percayakah kita?


Sudah dua tiga hari tidak dapat mencoret sesuatu di laman ini kerana masalah server. Saya menyangka pihak pentadbiran mengenakan sekatan ke atas semua domain yang mewakili aktiviti blogger di sini. Setelah bertanya pada seseorang yang arif tentang IT, saya dimaklumkan bahawa masalah ini berpunca daripada linux, server USM tidak menyokong aplikasi linux! Tidak banyak yang boleh dibuka melainkan Utusan Malaysia, Harakahdaily, Ukhwah.com, Terengganukini dan The Star. Laman web USM juga tidak boleh diakses. Apabila membuat posting ini, saya juga tidak dapat melihatnya sama ada disiarkan pada tarikh yang betul (30 Dis 2005) atau sebaliknya. Sekali lagi diulang, saya hanya dapat membuat posting. Jika anda boleh membaca artikel ini, bermakna posting saya berjaya disiarkan dalam keadaan saya tidak dapat memastikan kesahihannya.

Seorang pembaca bertanya (dengan memanggil saya Ustaz!), "Apakah saya sudah bekerja dan berapa lama sudah bekerja?" Jawapannya saya belum bekerja. Laporan SKT yang ditulis tidak semestinya menunjukkan saya telah bekerja. Saya masih menjadi pemburu ilmu yang tegar, tabah dan sabar melalui liku-liku perjuangan yang berliku. Cuma hal yang saya lalui mungkin tidak sama dengan orang lain, kerana hanya menumpang teduh di desasiswa (hostel pelajar dipanggil desasiswa) selama satu semester sahaja. Pada semester seterusnya saya menginap jauh dari kebingitan kekampungan desa yang penuh dengan aneka ragam mahasiswa dan mahasiswi. Saya amat tidak bersetuju dengan keadaan saya yang terpaksa berhadapan dengan senior-senior yang ala-ala rockers dan menyedut asap tengit yang bukan kemenyan. Asap itu mengundang bahaya buat diri yang digelar sebagai manusia pelaku sekunder.

Tahukah anda? Perokok sekunder yang tidak merokok secara terus mempunyai risiko kesihatan apabila menyedut udara yang tercemar oleh asap rokok. Malah keburukannya lebih besar daripada perokok primer. Protes diam itu menyebabkan saya mencari kedamaian dan tempat yang terasing, jauh dari semua warna-warni kemeriahan desasiswa. Jauh bukan terbuang, tetapi terbilang. Terbilang dek kerana satu-satunya tempat yang teristimewa. Banyak perkara yang ganjil-ganjil menjengah apabila berada sendiri, berseorangan. Tidak lupa, pengalaman 'bergelut' dengan makhluk di alam ghaib. Pengamal perubatan mengatakan bahawa fenomena tersebut disebabkan aliran darah tersekat. Atau mangsa terlalu keletihan sebelum lelap. Namun, dalam keadaan santai dan biasa-biasa kadang-kadang 'tetamu' yang tidak diundang menjenguk jua. Perbezaan alam menyebabkan hanya kesan kekejangan dan sesak nafas menyebabkan mangsa tahu dirinya sedang 'bergelut' dengan jin tersebut. Perlu diketahui melalui pengalaman yang dialami, saya mendapati kesemua peristiwa cemas bertitik tolak daripada kealpaan diri tidak membaca sebarang doa pelindung sebelum tidur. Benar, sebelum mata betul-betul lelap sekitar sepuluh minit memejam mata badan seperti ditimpa batu yang berat di dada. Mata terbuka, telinga mendengar bunyi di sekeliling. Nafas sesak, dan suara tertahan beberapa lama sebelum berjaya 'melawan' untuk melepaskan diri. Itulah serba sedikit alam mistik yang saya yakin ada di sekitar kita.

Rabu, Disember 28, 2005

SKT dan GS


Penghujung tahun, semua kakitangan kerajaan yang bekerja di pejabat sibuk menyiapkan laporan Sasaran Kerja Tahunan (SKT). Laporan SKT melibatkan kerja-kerja yang dilaksanakan sepanjang tahun, termasuk analisis pencapaian sama ada berjaya atau tidak. Tidak kurang juga, hari-hari yang berbaki digunakan oleh sebahagian kakitangan kerajaan untuk menghabiskan cuti tahunan (leave day). Cuti tahunan biasanya di antara 20-22 hari setahun, iaitu cuti yang boleh diambil selain umum. Mungkin pada hari bekerja, seseorang mempunyai kemaslahatan atau kecemasan seperti menghantar anak ke universiti atau isteri/suami/anak sakit/ibu/bapa/mertua yang sakit atau meninggal dunia. Memohon cuti dalam keadaan-keadaan yang disebutkan tertakluk dalam terma cuti tahunan.

Bagaimana jika cuti tahunan tidak dihabiskan? Apabila cuti tahunan tidak dihabiskan, kakitangan diberi opsyen:

(1) Menambah bilangan hari tersebut ke dalam jumlah cuti tahunan pada tahun berikutnya.

(2) Mengumpul hari-hari tersebut bagi tujuan anugerah 'Golden Shake' (GS).

GS merupakan anugerah yang diberi kepada kakitangan yang memberi komitmen terhadap kerja sepanjang perkhidmatannya. Bayaran GS akan dibuat pada bulan terakhir gaji kakitangan tersebut dibayar iaitu lebih tepat pada bulan bersara. Pengiraan dibuat berdasarkan gaji asas yang diperoleh pada ketika umur persaraan didarabkan dengan jumlah GS yang terkumpul. Biasanya pengumpulan GS dibuat dalam jumlah genap gandaan bulan berbanding bilangan hari. Maknanya pengumpulan dibuat dengan sasaran tersendiri kakitangan yang terbabit selama sebulan, dua bulan atau lebih berbanding 25,91atau 87 hari. Sebagai contoh, jika En. Amer bersara pada tangga gaji RM2800 sebulan. Jumlah hari bagi pengiraan GS yang dikumpul oleh beliau selama empat (4) bulan. Maka gaji terakhir yang diterima sebanyak RM14 000. Adakah ini suatu yang mustahil? Takkan sepanjang-panjang perkhidmatan selama 20-25 tahun jumlah GS yang sebegitu tinggi tidak boleh dikumpul.

* Buat catatan peribadi sebagai kenangan pada hari tua: 28 Dis 2005, jam 9.00 hingga 12.00 pm, aku meluangkan masa menaip laporan SKT di Pej. Am Pusat Islam, USM Kejuruteraan.

Selasa, Disember 27, 2005

Vot dan 'kira-kira'.


Seorang sahabat saya membeli peralatan komputer dan meminta supaya dibilkan. Tauke kedai berbangsa Cina bertanya, "Nak tulis yang betul atau 'kira-kira'?" Apakah yang tersirat di sebalik perkataan 'kira-kira' itu? Sahabat yang membeli itu bukanlah membuat pembelian untuk kegunaan jabatan, tetapi untuk diri sendiri.

Biasanya urusan pembelian yang melibatkan harta syarikat atau jabatan, pembelian dilakukan dengan menyediakan vot yang tertentu. Jumlah vot kemudiannya disokong oleh baucer belian atau bil yang disahkan oleh pembekal barangan yang dibeli. Vot ialah amaun wang yang diperuntukkan bagi sesuatu projek atau aktiviti. Jika melibatkan aktiviti atau program biasanya anggaran kasar bagi vot dibuat sebagai langkah keselamatan untuk mengelak defisit. Lebihan daripada vot setelah dibuat audit akan dikumpulkan untuk perbelanjaan lain pada masa hadapan. Bagi kebanyakan jabatan kerajaan, vot tahunan yang dikeluarkan dalam jumlah tertentu dan semua wang mesti dihabiskan pada akhir tahun kewangan. Hal ini bermakna terdapat peluang bagi kakitangan untuk membuat tuntutan yang lebih berbanding nilai belian yang sebenar dan dimasukkan ke dalam poket sendiri. Ini sebab kita biasa mendengar kes bersuhabat melakukan penipuan tuntutan bayaran yang melampaui nilai munasabah. Demikian yang sering berlaku apabila kedua-dua pihak berpakat untuk sama-sama melakukan penipuan tersebut. Malang juga jika peniaga dan kakitangan berkongsi 'keuntungan' yang diperoleh daripada tuntutan palsu yang hanya diketahui oleh mereka. Jika terdapat keraguan, nasib tidak akan menyebelahi pesalah dan mereka akan dikenakan tindakan tatatertib.

Kisah di atas diceritakan bukanlah sebagai dorongan kepada sesiapa untuk membuat perkara yang salah ini demi kepentingan dan kehendak untuk memenuhi gaya perbelanjaan. Bahana berbelanja melebihi kemampuan kewangan akan mendorong seseorang melakukan penyelewengan hatta seorang yang diamanahkan sebagai amil zakat. Sepanjang menjadi amil zakat Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang, penulis telah mendengar kes menggemparkan melibatkan amil zakat. Dek kerana pengaruh wang, amil zakat juga tidak boleh mempertahankan godaan sehingga sanggup menggunakan wang kutipan zakat sebagai modal untuk memulakan perniagaan. Isu berhubung pengurusan zakat dan kelemahan sistem pengurusan PUZ mendapat liputan meluas dalam majalah Melenia Muslim terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) edisi Disember 2005. Justeru perlu diingat bahawa sebagai seorang kakitangan kerajaan atau swasta yang berpendapatan sederhana, janganlah berangan-angan untuk menikmati gaya hidup mewah dengan membeli material yang mahal-mahal di luar kemampuan diri. Semua orang tahu, kemewahan material mempunyai prestij yang tersendiri. Namun secara logik, apa guna prestij jika di sebaliknya ada 'gunung' hutang? Setiap hari, fikiran tidak terlepas daripada memikirkan cara mendapat lebih banyak wang dalam masa yang singkat untuk membayar semua perbelanjaan yang dibuat.

Kesimpulan, hanya keimanan menjadi benteng terakhir untuk memastikan seseorang menjalankan amanah kerja dengan baik.

Citra DBP


Tahukah Anda? Siaran Citra DBP telah dilancarkan secara rasmi pada 16 Disember 2005 di Dewan Bankuet, Tingkat 1 Menara Dewan Bahasa dan Pustaka. Perasmiannya disempurnakan oleh Datuk ZAM (Timbalan Menteri Penerangan) selaku wakil Datuk Paduka Sheikh Fadzil, Menteri Penerangan Malaysia. Citra ditubuhkan pada akhir 2003 bermatlamatkan penyiaran rancangan DBP dan bertindak sebagai medium penyampaian maklumat DBP kepada khalayak. Siaran Citra boleh didengar di udara melalui Radio 1, Radio Televisyen Malaysia (nasional.fm)

Jadual siaran.*

Jumaat - Citra Bahasa
Sabtu - Citra Sastera
Isnin - Citra Bahasa
Selasa - Citra Satera
Rabu - Citra Karya
Khamis - Citra Budaya

Pihak DBP juga menubuhkan kelab peminat Citra yang dipanggil Sahabat Citra.^

Matlamat

- Mendedahkan pengetahuan mengenai bahasa, sastera dan penerbitan kepada ahli Sahabat melalui aktiviti yang dijalankan.
- Mengumpulkan para pendengar siaran Citra di bawah satu kelab.
- Menarik minat para pendengar untuk menjadi ahli baru melalui sambutan ahli.
- Mendekatkan para pendengar dengan pihak DBP secara umumnya dan pihak Citra khususnya.
- Menjalankan pelbagai aktiviti bersama.

Sebarang pertanyaan boleh boleh diajukan kepada Unit Radio, Jabatan Bahasa DBP.
Tel.: 03-21482301/7104/7244/7110/7106/3009
Faks: 03-21445727
E-mel: citra@dbp.gov.my

Nota kaki
*Waktu siaran di antara jam 9.30 hingga 10.00 pagi.
^ Ahli kelab yang keenam (KKC006)

Isnin, Disember 26, 2005

Arak dan fetus


Pada tahun 2005, saintis telah merakam imej bayi yang rosak dan tidak dilahirkan akibat amalan meminum arak oleh ibu ketika hamil. Pakar berpendapat hanya segelas arak seminggu mampu merencat perkembangan mental bayi yang akan dilahirkan. Tabiat buruk ibu hamil ini menyebabkan bayi menjadi 'tidak keruan' di dalam rahim. Ketidaknormalan kelakuan hiperaktif bayi disebabkan pembentukan sistem saraf pusatnya terganggu. Apabila ibu meminum etanol sebagai contoh, etanol akan melepasi plasenta dan memasuki persekitaran kitaran fetus. Etanol akan dicerna oleh fetus yang bernyawa, pencernaan makanan di dalam tubuh fetus menggunakan asid lemak sebagaimana manusia biasa. Sintesis akan berlaku apabila tindak balas kimia berlaku di antara alkohol dan asid lemak menghasilkan asid lemak etil ester. Dalam keadaan ini alkohol dikenal sebagai teratogen iaitu bahan kimia yang merencat perkembangan bayi dalam kandungan.

Profesor Peter Hepper dari Unit Penyelidikan Kelakuan Fetus, Belfast University telah menjalankan penyelidikan yang mengaitkan bahaya arak kepada ibu yang mengandung [2]. Kajian yang dibuat membabitkan 40 orang sukarelawati dari kalangan mereka yang hamil. Menurutnya 20 orang daripada sukarelawati mengaku mengambil alkohol manakala yang selebihnya tidak meminum arak sepanjang waktu mengandung. Semua sukarelawati menjalani ujian imbasan ultrabunyi pada minggu ke-18, 20,25,30 dan 35. Setiap siri ujian imbasan dibuat, beliau mengambil masa 45 minit untuk melihat kelakuan bayi dalam rahim. Beliau mendapati bayi-bayi yang dimiliki oleh ibu yang mengambil alkohol mempunyai gerak balas luar biasa seperti 'lompatan' secara terpaksa apabila didedahkan dengan bunyi bising (daripada alat ultrabunyi) dan beberapa rangsangan lain. Manakala bayi-bayi normal pula menunjukkan gerak balas yang 'matang' dan biasa.

Pakar neurologi kanak-kanak berpendapat, jika pembentukan sistem saraf pusat telah sempurna seawal minggu ke-18 fetus akan berkeadaan baik. Keadaan buruk yang diperoleh daripada kajian Profesor Peter Hepper merupakan gejala Sindrom Alkohol Janin (FAS - Fetal Alcohol Syndrome). Menurut Mohamed Izham Mohammed Ibrahim [3] seorang pelajar ijazah kedoktoran, kanak-kanak FAS biasanya mempunyai masalah pembelajaran, hiperaktif, gagal memberi tumpuan, kurang ingatan, sukar menyelesaikan masalah, tidak mempunyai koordinasi yang baik, gangguan percakapan, penglihatan dan pendengaran.

Nota kaki
[2] Jonathan Carr-Brown dan Mrtyn Halle, Alcohol makes baby twitch in the womb, News Sunday Times (Focus), 25 Dis 2005, ms. 16.
[3] Mohamed Izham Mohammed Ibrahim, Kesan Mudarat Alkohol Terhadap Janin, Buletin Pusat Racun Negara USM, 1998.

Jangan tidur lepas makan


Pernahkah anda mendengar penyakit Ransangan Gastro Esofagus (GERD)? Dalam bahasa Inggeris GERD bermaksud Gastroesophageal Reflux Desease. Penyakit ini seakan-akan serangan jantung, tetapi keradangan berlaku di ulu hati dan sakit dada.

Menurut Ketua Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi, PPUM Prof. Khean Lee Goh, setiap kali kita makan, perut akan menghasilkan asid hidroklorik yang memainkan peranan penting dalam perncernaan makanan dan membunuh bacteria. Asid ini sepatutnya berada di perut sahaja, tetapi jika berlaku aliran songsang iaitu mengalir ke atas dan memasuki esophagus, ulu hati akan berasa pedih. Apabila aliran berlebihan, dada pesakit menjadi panas dan sakit seperti yang dialami pesakit jantung.

Beliau menasihatkan supaya tidak mengamalkan amalan tidur sebaik sahaja selepas makan, sebelum makanan dicerna dengan sempurna[1].


[1] Zamri Rambli, Sakit dada simpton GERD?, KOSMO! 25 Dis 2005, ms 36-37.

Jumaat, Disember 23, 2005

Kegembiraan semalam


Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Ilahi. Tahniah buat adinda Siti Nor Asiah Bt Isa[1], adikku yang keempat kerana berjaya meneruskan tradisi abang-abang dan kakak-kakak. Keputusan PMR yang baru diumumkan sekali lagi melonjakkan nama baik keluarga, tentunya ayahanda dan bonda orang yang sedang bergembira meraikan kejayaan itu. Apabila kejayaan itu menjadi tradisi keluarga, orang lain tentunya tidak hairan. Tiada siapa yang pelik dengannya, kerana sudah menjadi budaya cemerlang dengan pencapaian penuh semua A dalam subjek yang diambil. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan izinNYA jua setelah berusaha dengan gigih.

Kini fokus sedang beralih kepada adikku yang ketiga, bekas pelajar SESMA sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Terengganu. Apakah mungkin dia akan berjaya menyaingi pencapaian abangnya yang pernah mendapat tawaran belajar di luar negara? Belum pasti lagi, beliau baru sahaja berjaya menduduki temuduga untuk menyambung pelajaran di UTP. Semoga kejayaan yang bermakna juga menjadi miliknya yang menggunakan nama AKI. Masih segar dalam ingatan, menjadi kerabat SBP merupakan satu tuah buatnya. Sejak awal kemasukannya ke SESMA, aku sudah mengamanahkan pimpinan PUISMA untuk menjaganya. Mendidik dan memberi ruang kepadanya supaya apabila berada di kalangan senior SESMA, dia akan menjadi orang kuat PUISMA. PUISMA merupakan badan kerohanian pelajar yang bergerak aktif di sekolah tersebut. Syukur, percaturan dan perancangan politiking ini menjadi. Dia merupakan produk SESMA yang juga hard core PUISMA. Terima kasih diucapkan buat bekas pimpinan PUISMA tahun 2001 kerana menjalankan amanahku dengan baik.

Apakah cerita ini tidak selayaknya berada di sini? Tidakkah kita perlu bercerita juga kegembiraan kita kepada orang lain? Tidakkah berkongsi cerita seperti ini menunjukkan kita menunjukkan rasa syukur kepadaNYA? Tunjukkan di mana dalilnya. Sila buka al-Quran dan baca surah Adh-Dhuha, lihatlah pertanyaan Allah dalam ayat terakhir itu. "Maka apakah dengan nikmat-nikmat Allah kamu menyebutnya?" Tetapi kadang-kadang, manusia lebih suka mengeluh dan menyebut sesuatu apabila ditimpa musibah. Inilah silap orang kita, apabila musibah melanda mudah dan lancar mulut menyebut "Aduh....tak sihat." Atau "Huhh...demam sikit." Jadi berpadalah kita dalam menghadapi musibah, ujian keimanan dari Allah buat hambaNYA. Sebab itu, kita dianjur berdoa seperti "Ya Allah, kami memohon keimanan yang menggembirakan hati kami. Dan kami memohon keyakinan yang mantap, sehingga kami tahu bahawa tidak ada musibah yang menimpa kami melainkan telah tertulis untuk kami. Dan jadikan kami orang yang redha dengan bahagian (kurniaan/musibah) yang Engkau berikan kepada kami."

Nota kaki
[1] Di bawahnya masih ada enam orang, seorang lelaki dan lima perempuan.

Jangan biarkan tragedi berulang


Tinggallah bumi Jordan, tinggallah bumi Timur, bumi yang subur dengan Islam sehingga kembang mewangi di gugusan Barat. Sejarah sudah tercipta. Ia berulang kerana pejuang kebenaran terus berjihad menghidupkan puntung-puntung bara Islam. Bosnia hari ini kami datang setelah seluruh bumimu lumpuh dan runtuh. Jangan salahkan Barat, jangan salahkan musuh tetapi salahkan salahkan diri sendiri. Runtuh iman, hilanglah segala-galanya. Itulah dirimu Bosnia. Tandus kedamaian, kontang kasih sayang, tersisih iman dan derhaka membara. Sedarilah. Insaflah. Mulakan semula jalan yang dipilih oleh para Rasul dan anbiya. Nescaya engkau akan berjaya. Bosnia! [1]

Demikian coretan rasa dan citra nusa yang digarap dengan baik oleh Abu Hassan Morad dalam Natasya. Apakah suatu hari tidak mustahil, perkataan Bosnia bertukar menjadi Malaysia? Kita tidak mahu perkara yang buruk ini menimpa generasi mendatang. Kita memang tidak mahu tamadun bangsa kita ranap dan dihenyak oleh musuh sedemikian rupa. Namun apakah kita boleh rasa aman dan selamat dengan kebobrokan masyarakat Malaysia yang ada hari ini? Apakah ada jaminan kita akan aman selama-lamanya dengan keadaan muda mudi Islam yang hanya pada namanya Islam tetapi sifar pegangan dan sensitiviti agamanya? Setiap remaja Islam merupakan generasi penerus ummah ini. Jika kita tidak memeinkan peranan memperkasa dan mempertahan jati diri Muslim dalam diri siapa lagi? Sejarah tragis Bosnia memang tidak dikehedaki oleh kita, malah tidak pernah terbayang oleh kita dek rasa aman dan selamat untuk selama-lamanya. Apakah persedian kita untuk mempertahan diri kita? Akidah kita? Iman kita? Agama kita? Ada orang yang skeptikal, kononnya aliran pendidikannya sekular, maka tidak menjadi tanggungjawabnya untuk agamanya.

Tahukah anda? Setiap penganut agama lain telah didoktrinkan dengan pemikiran bahawa mereka merupakan tentera-tentera dan duta bagi agama mereka? Mereka dengan bangga memperlihatkan identiti agama melalui pemakaian simbol sebagai syiar agama mereka. Saya pernah mengajar beberapa orang kanak-kanak Palestin, tinggal di bumi bertuah ini kerana bapa mereka menyambung pelajaran di peringkat ijazah kedoktoran di tempat saya menuntut ilmu. Bayangkan betapa hebatnya mereka, dalam usia baru meningkat remaja (belasan tahun) sudah ada kesedaran diri terhadap agama. Katanya, "Kami benci dan tidak suka meraikan hari Sabtu dan Ahad sebagai hari cuti. Mengapa kita tidak bercuti pada hari Jumaat?" Penulis teragak-agak juga menjawab persoalan ini. Memang hari Sabtu adalah hari suci bagi bani Israel, manakala hari Ahad adalah hari kemuliaan orang Kristian. Saya tidak pernah berjumpa dengan remaja-remaja Melayu Islam yang suka membincangkan perkara seperti ini yang menyentuh sensitiviti agama. Kebanyakan remaja kita hanyut dalam dunia remaja yang hanya sekali, seronok dengan kesenangan, lalai dengan budaya hedonisme, dan malang lagi terdapat remaja kita yang menjadi ensiklopedia artis!

Tanya diri kita, apakah aras dan tahap kepedulian kita untuk membangunkan agama Islam yang suci ini? Ayuh mulakan dari diri kita, jika bukan kita siapa lagi?

Nota kaki.

[1] Trilogi Abu Hassan Morad [Natasya, Julia dan Cinta Madinah], USPD (2005), ms. 111.

Kenyataan Media MAFREL


Adakah anda tahu tentang MAFREL? Penulis pernah melibatkan diri dengan NGO ini secara langsung. NGO ini memainkan peranan bagi memastikan proses pilihanraya Malaysia berjalan dengan telus dan adil.

Media Statement

On December 3, 2005 MAFREL issued a media statement to release its findings highlighting three main irregularities of the Pengkalan Pasir electoral rolls:


· 70.92% of the electorates were found to be without any house address;

· 4.26% of addresses registering six or more electors were found to be non-existent; and

· 20.44% of the electors in traceable addresses were unrecognized by the house owners or tenants of the addresses.


MAFREL statement also emphasized that the polling process of the Pengkalan Pasir by-election would be exposed to the problem of unrecognized voters and the possibility of impersonation. Subsequently MAFREL called upon polling agents of candidates and political parties to be more alert and cautious during polling to determine that only qualified and genuine electors were allowed to vote, and to avoid the voting process be seriously undermined by systematic presence of “phantom voters”.


The statement was carried by Malaysian alternative media such as Malaysiakini, Siasah and Harakahdaily. None of the mainstream media took notice.

This paper was prepared by Abd Malek Hussin (founder) and presented as part of MAFREL Report on Election Observation of N.12 Pengkalan Pasir, Kelantan, 2005.

Rabu, Disember 21, 2005

Hukum Lima Saat


Suatu hari roti yang dimakan terjatuh ke lantai, seorang sahabat cepat-cepat mengingatkan supaya ditiupkan roti tersebut. Katanya kuman belum sempat 'melompat' secara berseloroh, dan menjadi amalan saya ketika kecil sehingga kini berbuat begitu tanpa mengalami masalah selepas memakannya.

Tahukah anda? Seorang pelajar sekolah tinggi bernama Jillian Clarke telah membuktikan prinsip gastronomi ini betul dan menamakannya Hukum Lima Saat (HLM). Beliau menjalankan eksperimen ketika menyertai program pertukaran pelajar di Hans Blaschek's University of Illinois. Konsep gastronomi yang dicadangkan ialah: Jika makanan jatuh ke lantai dan menyentuh lantai dalam masa kurang lima saat, makanan tersebut selamat untuk dikutip dan dimakan. Gastronomi didefinisikan mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat (muka surat 439) sebagai kajian, seni atau amalan memilih, menyediakan makanan yang baik. Menurut Clarke lagi, HLM membawa kita ke zaman Genghis Khan, manusia pertama yang menentukan jangka masa yang selamat bagi makanan untuk berada di atas lantai apabila jatuh. Namun begitu, piawai yang ditetapkan olehnya pada ketika itu agak panjang iaitu sehingga 12 jam. Sumbangan ini sekurang-kurangnya dikaji semula sesuai dengan perkembangan dunia sains yang ada pada hari ini. Jika Genghis Khan menetapkan masa yang agak panjang, kajian yang dilakukan hanya sesuai dengan kemampuan teknologi pada zamannya.

Beberapa penemuan yang ditemui daripada kajian Hukum Lima Saat.

*Tujuh puluh peratus perempuan dan 56% lelaki percaya dan pernah menggunakan gastronomi seperti yang dicadangkan dalam HLM. Mereka mengamalkan HLM secara spontan dlam kehidupan tanpa mengetahui konsepnya.

*Wanita lebih ramai daripada lelaki yang memakan makanan yang telah jatuh ke lantai.

*Gula-gula dan biskut manis lebih digemari untuk dikutip semula berbanding kubis bunga atau brokoli.

*Jika makanan dijatuhkan ke atas lantai yang mempunyai mikroorganisma, makanan tersebut akan tercemar apabila berada di atas lantai selama lima saat atau lebih.

Kajian ini telah memenangi Anugerah Ig Nobel ke-14 dalam bidang Sains.

Judi SMS


Walaupun beberapa pihak mempertahankan bahawa peraduan ‘menguji minda’ yang disiarkan stesen televisyen tertentu pada awal pagi, tidak mempunyai unsur perjudian, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, tetap menegaskan ia adalah judi.

Harussani berkata, sebarang pertandingan membabitkan bayaran tertentu dan menyediakan wang ganjaran, adalah judi dan haram di sisi Islam. “Kalau kena bayar, ia ditakrif sebagai judi. Caj RM2 untuk setiap panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) menjadi kos yang perlu dibayar dan itu adalah judi. Kalau tiada hadiah, tidak mungkin orang akan membayar untuk masuk peraduan itu.

“Mereka (pihak tertentu) faham atau tidak takrif judi? Kalau tidak tahu, tanya... jangan main-main. Lagipun perkara ini sudah difatwakan Majlis Fatwa Kebangsaan, pertengahan tahun lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut pula enggan mengulas kerana menganggap penjelasannya mengenai isu itu baru-baru ini, sudah memadai.

Peraduan ‘menguji minda’ yang disiarkan pada awal pagi itu memerlukan penonton melengkapkan perkataan atau meneka gambar rajah dengan menghantar SMS atau membuat panggilan telefon pada talian yang tertera di kaca televisyen. Pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM300 dan RM500 serta berpeluang mendapat wang tambahan sekiranya mampu menjawab soalan bonus, yang menawarkan hadiah RM10,000 bagi lima soalan.

Bantuan pembayang yang diberikan hos rancangan itu serta soalan yang agak senang mendorong ramai penonton terutama yang berjaga hingga awal pagi menyertai peraduan itu menerusi SMS dengan caj RM2 setiap SMS. Bagi panggilan telefon pula, pemanggil disyaratkan berusia 18 tahun ke atas dan setiap panggilan dicaj RM2, tidak kira sama ada mereka berjaya bercakap dengan hos acara itu atau sebaliknya. Amat jelas, peluang bercakap dengan hos bergantung kepada nasib kerana penganjur memiliki sistem sendiri untuk membolehkan suara pemanggil ke udara.

Rujukan

Saipul Adli Mohamad, Harian Metro, 8 Disember 2005.

Artikel di atas diedit daripada laporan akhbar yang dinyatakan. Anda juga boleh membaca jawapan Ust. Zaharuddin Abd. Rahman (JUDI SMS) dalam majalah I, Disember 2005, ms. 78.

Selasa, Disember 20, 2005

Kesempitan dan peluang



Ketika mengendalikan sesi latihan dalam kumpulan (LDK) yang digelar Selari Sains, kami membuat modul membaling telur. Pada awal-awal perbentangan modul, langsung tidak terfikir olehku bagaimana mungkin sebiji telur yang dilepaskan dari aras satu, dua, tiga dan seterusnya boleh berkeadaan selamat apabila jatuh ke tanah. Semua peserta diberikan hanya sebiji telur, mereka dikehendaki membalingnya dari aras pertama bangunan empat tingkat dengan syarat telur itu masih selamat. Kriteria selamat yang dipiawaikan tentunya tidak mengalami keretakan atau pecah.

LDK ini telah dijalankan di blok bangunan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, USM Kejuruteraan. Peserta kem diberi masa 30 minit untuk memikirkan cara, mencari bahan-bahan bantu yang lain bagi memenuhi syarat yang ditetapkan dalam modul ini. Setelah melihat sendiri penyelesaian yang dikemukakan oleh peserta-peserta, sedarlah saya bahawa; dalam kekurangan ada peluang. Kreativiti peserta terserlah dengan kesungguhan yang tiada bandingnya. Mereka mencari apa sahaja bahan terbuang seperti plastik, botol, kertas, tali, kain buruk, span, stoking dan kotak untuk melindungi telur yang dibaling.

Terdapat beberapa metod yang digunakan seperti membungkus telur dengan kertas dalam keadaan hentakan dikurangkan. Lebih hebat lagi, ada yang berjaya membuat payung terjun menggunakan plastik sampah, botol dan belon. Setelah selesai acara permainan baling telur, hanya lima biji telur yang pecah akibat sistem pertahanan yang tidak mantap. Semua kumpulan (18 kumpulan) yang lain berjaya memenuhi standard keselamatan yang diberikan oleh fasilitator. (Catatan: Kumpulan PMR digabungkan sehingga jumlah kumpulan dikecilkan kepada tujuh kumpulan. Jumlah kumpulan yang dibentuk dalam kem ini: 31)

Sedarlah, dalam kekurangan ada ruang dan peluang untuk manusia mengubah keadaan. Kreativiti dan daya usaha hanya datang dengan penghayatan yang sesungguhnya apabila manusia berada dalam kesempitan, dengan syarat ada kemahuan untuk mengubah keadaan itu. Orang yang pesimis terhadap dugaan dan cabaran hidup adalah manusia yang gagal sebelum berjuang. Mereka lebih suka mengalah tanpa berikhtiar dengan baik, sehingga menganggap kononnya itulah takdir buatnya. Akhirnya dia menyalahkan takdir, sedangkan dirinya merupakan penyebab utama kepada keadaan yang buruk itu. Tidak semua yang susah, sukar dan memeritkan akan berakhir dengan tragedi atau natijah yang buruk jika kita berusaha untuk mengubahnya. Berusaha dengan bersungguh, dan bertawakkal kepadanya. “Dan menjadi haq bagi Kami (Allah) menolong orang-orang yang beriman” (Ar-Ruum:47)

Kesimpulan: Tangani masalah kehidupan anda dengan positif, jangan melihat masalah atau musibah sebagai perkara yang negatif. Ingatlah, setiap manusia yang beriman diberi taklifan yang layak dan mampu ditanggungnya (rujuk ayat 286: al-Baqarah).

* Gambar menunjukkan hasil kreativiti peserta melepaskan telur dari aras 3. Telur dijatuhkan seperti aksi penerjun yang menggunakan payung terjun.

Isnin, Disember 19, 2005

Kem Tunas Cemerlang



Kem Tunas Cemerlang Pelajar Muslim 2005, anjuran Pusat Islam USM Kejuruteraan bersama Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah berlangsung pada 17-19 Disember 2005.

Kem yang julung kali diadakan secara bersama ini berjaya menarik seramai 253 orang peserta yang terdiri daripada calon peperiksaan UPSR dan PMR pada tahun 2006. Seramai 128 (50.6%) orang peserta adalah lelaki dan bakinya (49.4%) adalah perempuan. Yuran penyertaan baki kem ini sebanyak RM60 bagi seorang peserta atau RM100 bagi penyertaan adik-beradik. Menariknya, terdapat dua slot ceramah yang sama-sama dihadiri oleh peserta dan ibu bapa atau penjaga.

Seramai 42 orang pemudah cara (fasilitator) yang terdiri daripada pelajar-pelajar sarjana, sarjana muda daripada beberapa buah universiti seperti UiTM, UM, USM, UKM, UPM (ahli-ahli JIM) dan wakil Persatuan Mahasiswa Islam USMKKj. Sepanjang program banyak perkara yang baru dipelajari terutama sekali aspek psikologi kanak-kanak. Menguruskan kanak-kanak yang masih ‘buas’ dengan keletah dan ragam anak-anak kecil memang meletihkan. “Oleh sebab itu, dalam kursus psikologi pendidikan guru, mereka diajar pedagogi pendidikan bagi memahami pemikiran kanak-kanak,” kata En. Zaili dari Sekolah Men. Jawi, yang merupakan penceramah bagi sesi ceramah motivasi II bertajuk “Membina Matlamat Skor A”. Sebanyak sembilan sesi kuliah dan empat sesi latihan dalam kumpulan (LDK) yang dijalankan sepanjang program.

Sepanjang program, kami diuji dengan karenah dan keletah adik-adik yang masih dalam dunia kanak-kanaknya. Pun begitu, secara keseluruhan semua acara yang berlangsung mendapat maklum balas yang baik. Lebih daripada 95% peserta yang bersetuju untuk mengikuti kursus susulan bagi memastikan semangat dan minat untuk berjaya tidak luntur. Justeru, jawatankuasa kem mengingatkan bahawa mungkin selepas ini akan dibuat kem susulan, sebagai kesinambungan daripada kem ini. Walaupun letih dengan jadual program yang padat, namun kepuasan jelas terserlah pada setiap wajah fasilitator, peserta, ibu bapa dan pihak penganjur sendiri. Syabas!

Kem Tunas Cemerlang Pelajar Muslim 2005 tamat pada jam 4.45 petang, 19 Dis 2005.


Selingan ceramah motivasi (sebagai salah satu aspek pendekatan dalam pedagogi pendidikan) yang tidak dapat dilupakan

“Jika susah, tiada orang yang kisah.
Jika bersedih, tiada orang yang bertanya.

Tetapi jika kamu ‘KENTUT’ semua orang memandang kamu.” - Cikgu Zaili.

Cemerlang anak, cemerlang ibu bapa


Kecemerlangan hari ini biasanya ditakrifkan dengan pencapaian hebat dalam peperiksaan. Orientasi akademik yang lebih menjurus kepada peperiksaan telah menjadikan pelajar yang cerdik tetapi rendah nilai akhlak Islamnya. Justeru kecemerlangan itu haruslah disedari oleh ibu bapa sebagai seorang anak yang berjaya dalam bidang akademik dan pada waktu yang sama mempunyai syakhsiah yang terpuji. Cabaran dunia hari ini mengajak kita berfikir semula untuk menilai siapakah sebenarnya yang benar-benar cemerlang itu. Apakah dengan berjaya mencapai keunggulan dalam akademik, tetapi nilai agama dikesampingkan? Atau apakah dengan mempunyai budi perkerti yang baik, akhlak Islam yang murni tetapi kurang berjaya dalam lapangan ilmu? Kita tidak mahu kedua-duanya, kedudukan yang terbaik adalah mempunyai kelebihan dalam kedua-duanya, baik dan cemerlang dalam akademik juga syakhsiahnya.

Kalau kita lihat dan perhatikan, ibu bapa hari ini lebih resah dan gelisah sekiranya anak-anak tidak dihantar ke kelas tuisyen. Jarang kita mendengar ibu bapa menjadi susah hati sekiranya tidak dapat menghantar anak-anak untuk belajar al-Quran. Jarang kita mendengar ibu bapa menjadi risau jika anak-anak tidak pandai solat. Kita sering mendengar "Alaa...dia masih kecil lagi. Nanti bila besar tahulah dia untuk solat". Perkara ini harus disedari oleh ibu bapa agar anak-anak yang mewarisi kita menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Berbalik kepada persoalan 'Kecemerlangan Pelajar dan Peranan Ibu Bapa', kecemerlangan seorang anak semestinya bermula dari rumah. Suasana yang harmoni di rumah akan mempengaruhi jiwa dan mental anak-anak. Sebab itu kita lihat kebanyakan kes juvana yang berlaku berpunca daripada kepincangan institusi kekeluargaan. Ibu bapa bergaduh di hadapan anak-anak, ibu bapa mengabaikan tuntutan agama dalam kehidupan, ibu bapa sibuk mengejar kerjaya sehingga mengabaikan perhatian kepada anak-anak dan sebagainya. 80% daripada kes juvana yang berlaku disebabkan runtuhnya sistem dalam institusi kekeluargaan Islam. Sebagai ibu bapa kita mesti faham bahawa anak-anak yang masih mentah dan tidak matang mudah dipengaruhi oleh anasir buruk. Sekiranya ibu bapa tidak memberi perhatian kepadanya, mengabaikan asuhan dan didikan agama, maka sudah pasti anak-anak mudah terjebak dalam arus kerosakan. Kita tidak nafikan, ada juga kes pendidikan agama yang secukupnya telah diberi namun anak yang membesar akhirnya menjadi rosak. Hal ini bukanlah alasan untuk kita tidak menjalankan usaha mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berguna.

Sebelum kita pergi jauh, saya ingin memecahkan sedikit mentaliti ibu bapa hari ini. Kadang-kadang ibu bapa amat pesimis, terlalu rasa rendah diri dan tidak berani untuk menjadi pendorong kepada anak-anak. Jarang sekali di kalangan ibu bapa yang menemani anak-anak ketika melakukan kerja rumahnya kerana bimbang akan ditanya oleh anak-anak soalan yang tidak difahaminya. Lebih-lebih lagi apabila mata pelajaran Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris. Perkara ini sebenarnya suatu kesilapan yang tidak disengajakan. Aspek psikologi anak-anak sebenarnya akan berkembang dan digerakkan apabila anak-anak merasakan kasih sayang yang dicurahkan melalui perhatian daripada ibu bapa. Buatlah apa sahaja di samping anak-anak yang sedang melakukan kerja rumahnya atau mengulangkaji pelajarannya. Sekurang-kurangnya apabila kita menemani mereka belajar, mereka rasa bertuah kerana kita mengambil berat tentang perkembangan pelajaran mereka. Selain itu, setiap kali pulang dari sekolah, kita jarang juga bertanya kepada anak-anak apakah yang dipelajari hari ini, berapa markah ujian yang diperoleh, bila peperiksaan, ada kelas tambahan atau tidak? Ruang yang paling baik untuk membincangkan perkara ini dalam suasana yang biasa dan santai iaitu ketika makan tengah hari atau makan malam.

Perkara yang hendak ditekankan di sini ialah tugas bapa bukan sekadar menyediakan wang untuk membeli peralatan pembelajaran anak-anak semata-mata.

Artikel ini adalah sebahagian daripada kertas kerja yang disediakan dalam Seminar Penasihatan kekeluargaan Bestari 2, 2005.

“Alangkah bertuahnya anak-anak, rasa dihargai dan disayangi sekiranya ibunya memuji tulisannya yang cantik. Biar pun kita tidak pandai untuk mengajar mereka untuk menyelesaikan masalah pelajaran.” – Ust. Ellias Hj. Zakaria (Ceramah Motivasi untuk Ibu bapa: Sibuk, di mana tanggungjawab ibu bapa? – 17 Dis 2005)


Sabtu, Disember 17, 2005

Biotek: Cabaran semasa


Sektor perladangan tanaman kontan ini juga mempunyai ruang menokok nilai tambah supaya harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat dan lebih stabil pada masa hadapan. Kecanggihan teknologi dalam bidang biotek memungkinkan terhasilnya baka sawit yang lebih baik dan varieti pokok yang tahan penyakit. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang menjalankan kajian genetik ke atas pokok sawit bagi menghasilkan pokok transgenik (pengubahsuaian genetik) bagi tujuan ini. Menurut Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Pegawai Penyelidik Prisipal MPOB, kaedah kejuruteraan genetik ini menjimatkan masa penghasilan varieti pokok sawit yang baru sehingga 80 peratus berbanding kaedah biasa. Manakala sasaran utama penghasilan baka baru ini ialah bagi meningkatkan kandungan minyak tak tepu (oleik) melauli pengurangan minyak tepu (palmitik). Oleik amat penting kerana digunakan sebagai bahan asas dalam industri oleokimia.

Biotek merupakan sektor baru yang harus diteroka dengan lebih sistematik agar perkembangannya memberi natijah yang baik kepada semua. Perancangan yang teliti harus dibuat supaya aplikasi teknologi baru ini boleh dimulakan dari sumber tempatan dengan kekayaan biodiversiti yang ada, sehinggalah kepada aktiviti pembuatan dan pemasaran produk. Guna tenaga optimum yang melibatkan penduduk tempatan akan mengecilkan taikotomi keadaan semasa dan masa hadapan dalam krisis ketiadaan kerja di negara ini. Bajet 2006 yang dibentangkan memberi petunjuk ke arah sasaran penubuhan 100 buah syarikat biotek menjelang tahun 2020. Hal ini bermakna peluang pekerjaan baru yang akan diwujudkan dianggarkan sebanyak 280000.

-----------
Dalam beberapa tahun percubaan ini, akan ada orang yang terlibat dengan medan eksperimen sistem. Sistem yang belum mantap akan menjadikan sebahagian daripada kita yang mungkin terpaksa menjadi korban atau mangsa keadaan. Jika anda benar-benar mahu menceburinya dengan selesa, anda harus bertindak dengan serius apabila biotek telah mantap di Malaysia. Namun, alangkah hebatnya anda jika menjadi pemula kepada bidang yang belum diteroka walau pun agak sukar pada awalnya.

Akaun Friendster dipadam.


Jangan kecewa dengan saya. Itulah sahaja yang mampu dikatakan setelah memutuskan untuk menamatkan penggunaan servis friendsters (laman rangkaian persahabatan global?). Tentu ramai yang bertanya, mengapa? Sebelum menyertainya, terfikir juga friendster merupakan tempat untuk sentiasa ‘keep in touch’, sedangkan konsep ‘keep in touch’ tidak wujud melainkan orang-orang yang paling akrab dengan anda.

Umpama aku berjalan di lorong berduri, seorang tua menasihatiku supaya menjauhinya. Aku berdegil dan berkata, duri itu kecil dan meneruskan perjalanan. Oleh sebab tusukan duri terlalu kecil dan tidak menyakitkan, aku mengira akan selamat apabila beberapa serpihan tajam menusuk masuk ke dalam tapak kaki. Sedar atau tidak, sekian lama mendiami ruang berdarah, dengan anasir pathogen yang dibawa, antigen di dalam tubuh tidak mampu melawan bahana yang datang bersama-samanya. Nanah membarah, dan kesakitan mula tampak dan dirasai. Demikian sesuatu yang baik, tetapi diselangi dengan bahaya kebinasaan, anda akan terpalit dan terkesan dengan keburukan yang sedia ada. Meski anda mengatakan dengan tegas, aku tidak mahu menjerumus diri ke arahnya. Friendster bukan sekadar ruang mengekalkan jaringan persahabatan (chain of friendship), malah menjadikan anda yang bukan diri anda yang sebenarnya. Jika kamu menyelidiki, memerhati, dan tahu terma ‘menjadikan anda yang bukan diri anda’ tentu anda juga memadamkan akaun friendster anda sepertiku.

Perkara kedua, berkenaan Studio traffic, melayari internet secara automatik oleh search engine. Anda dibayar untuk aktiviti surfing dengan hanya login akaun anda di situ. Beberapa orang yang menceritakan kepadaku tentangnya dengan penuh minat, kerana telah mendapat habuan berupa wang tunai. Anda tidak pernah menyelidik di sebalik studio traffic. Adakah anda tahu, search engine menjalankan aktiviti surfing dengan memasuki laman-laman porno, dan perjudian seperti loteri, kasino, nombor ekor, lumba kuda dan seumpamanya. Maka inilah beberapa contoh laman web yang dilayari secara automatik yang akan memberi mata kepada anda bagi pengiraan bayaran yang akan diberi kepada anda. Anda kata bukanlah anda terlibat secara langsung, tetapi tidakkah ia sesuatu yang termasuk dalam perkara syubhah? Samar-samar dan tidak jelas sumber kewangan anda itu.

Rabu, Disember 07, 2005

Teranostik mencabar kewibawaan dunia perubatan


Aczone, sejenis ubat baru untuk jerawat telah diketengahkan di Amerika Syarikat pada bulan Julai 2005. Panel Pemakanan dan Ubata-ubatan (FDA) AS berkata, pesakit terlebih dahulu dimestikan menjalani ujian ketahanan enzim yang boleh memberi risiko terhadap serangan anemia.

Era penggunaan ubat-ubatan kendiri tanpa nasihat doktor sedang berleluasa. Pakar-pakar perubatan berpendapat terapi akan menjadi sesuai dengan seseorang pesakit bergantung kepada genetik atau pertimbangan kesihatan yang lain. Hal ini menyebabkan orang ramai mendapat ubat-ubat yang berkesan kepada mereka dan terhindar daripada kesan sampingan yang buruk. Namun, penetapan yang dibuat ke atas Aczone dilihat sebagai 'halangan' terbaru. Syarikat farmaseutikal bimbang jika ujian genetik dilakukan, hal ini akan mendorong doktor-doktor memberi ubat atau mengehadkan jualan ubat-ubat kepada pesakit tertentu. Berikutan penatapan FDA ini, Astellas selaku pengeluar Aczone menghentikan operasi pengilangannya.

Menurut Dr. David A. Mrazek, 80% daripada psikiatris di klinik Mayo mengguna ujian genetik bagi membuat perskripsi ubat-ubat kepada pesakit. Sesetengah syarikat farmaseutikal juga menawarkan ujian yang serupa secara terus kepada pelanggan. Mary Jane Q Cross, seorang artis di New Hampshire menghadapi masalah ketumbuhan kekal di bahagian kanan badannya. 14 tahun dahulu, dia mengambil Prozac untuk mengurangkan stres dan sedang mengalami kesakitan pada jari-jari sehingga tidak boleh memegang berus. Pada tahun lalu, dia membayar USD600 (RM2300) kepada Genelex untuk membuat ujian genetik. Analisis Genelex menunjukkan bahawa Mary mempunyai komplikasi terhadap beberapa jenis ubat yang pernah diambilnya termasuk Prozac. "Jika saya tahu hal ini, saya tidak akan mengambil ubat sejak 14 tahun lalu," Mary berkata.

Saintis telah menemui beberapa contoh variasi genetik yang membantu pengecaman tahap penerimaan, tindak balas dan kesan sampingan ubat-ubatan ke atas pesakit. Kebanyakan syarikat pengeluar ubat mengambil sampel DNA ujian klinikal untuk mengkaji ketiga-tiga indikator bagi menghasilkan ubat yang sesuai.Sebagai contoh, Camptosar yang dikilangkan oleh Pfizer sesuai kepada pesakit barah usus yang mempunyai variasi genetik UGT1A1. Pun begitu, hanya 10% daripada pesakit kanser usus yang boleh menerima Camptosar pada dos permulaan yang rendah. Masa lebih lama diperlukan untuk mewujudkan kombinasi ujian DNA dan penentuan ubat yang khusus. Dalam perubatan, istilah yang digunakan untuk kombinasi ini ialah teranostik (theranostic).

Bidang perubatan yang khusus untuk mengkaji teranostik dipanggil farmakogenetik (pharmacogenetic). Menurut Presiden Genomas, Dr. Gualberto Ruano beliau tidak nampak sebarang petunjuk bahawa ubat-ubatan dipasarkan secara terpilih berdasarkan DNA peaskit dalam masa lima tahun akan datang. Bayangkan bagaimana sukarnya untuk menentukan ubat bagi pesakit-pesakit yang menghadapi penyakit yang sama, kerana setiap pesakit mempunyai taburan genetik yang berbeza. Ujian teranostik oleh ahli farmakogenetik tidak penting menurut pandangan sesetengah pakar. Hal ini kerana ujian tersebut hanya memberi maklumat tentang pembentukan protein, jika genetik wujud kadang-kadang ia tidak aktif.

Apabila diajukan persoalan tentang farmakogenetik, pakar sentiasa merujuk kepada Herceptin, ubat yang diberi kepada 20 - 30 peratus pesakit barah payudara. Pesakit-pesakit ini mempunyai tahap limpahan protein Her2 yang berlebihan. Herceptin telah diberi kepada pesakit-pesakit barah ini sejak tahun 1998 dan masih kekal digunakan sebagai bukti sukarnya ahli farmakogenetik membuat formula ubat yang baru sebagai alternatif.

Ujian pertama berkaitan genetik pesakit bermula dengan analisa taburan enzim yang terlibat dalam metabolisma ubat-ubatan, iaitu enzim-enzim dlam keluarga Cytochrome P450. Taburan genetik yang mengehad keberkesanan sesetengah enzim tidak boleh mencerna ubat-ubat dengan cepat, memberi kesan kepada pengumpulan dadah di dalam tubuh untuk jangka masa yang panjang. Hal ini menjadikan kandungan darah di dalam tubuh mengandungi toksid yang tidak diperlukan oleh badan sehingga boleh membawa maut. Seorang doktor telah menulis surat yang tersiar dalam The American Journal of Psychiatry keluaran Jun 2005 berkenaan kesan negatif ubat. Di dalam suratnya, beliau menyebut seorang pesakitnya mati setelah menerima Paxil (ubat anti-tekanan) dalam amaun yang kecil. Menurutnya kematian tersebut disebabkan kegagalan tubuh pesakit mencerna ubat yang dimakannya.

Dipetik dari The Brave New World of Personalised Medicine, NST (Focus), Dec 4, 2005, ms. 16.

Sekurang-kurangnya terdapat tiga persepsi berbeza dalam hal ini.

1.Pihak yang ingin membuat keuntungan mengatakan bahawa teranostik menyusahkan mereka kerana pengeluaran ubat dihadkan dan boleh dijual kepada pelanggan yang kecil.

2.Pakar perubatan yang menghayati disiplin keilmuan dan mempunyai kesedaran sosial yang tinggi, tahap perikemanusiaan yang mendalam akan menggunakan teranostik untuk membuat diskripsi ubat kepada pesakit.

3.Bagi seorang peaskit, semestinya teranostik dipilih kerana keberkesanan ubat lebih terfokus, di samping tiada risiko kesan sampingan.

Selasa, Disember 06, 2005

Kem Tunas Cemerlang

Kem tunas cemerlang pelajar muslim

Tarikh : 17, 18 & 19 Disember 2005
Tempat : Kampus Kejuruteraan, USM

Sasaran
 Calon UPSR ( 2006 )
 Calon PMR ( 2006 )

Aktiviti
 Motivasi
 Kursus Teknik Belajar & Minat subjek Sains, Matematik & Bahasa Inggeris oleh guru-guru pakar.
 Program kerohanian dikendalikan oleh Pusat Islam

Yuran Penyertaan
 RM 60.00 - Seorang
 RM 100.00 - 2 beradik

Borang Penyertaan
 Boleh diambil di Pejabat Am Pusat Islam Kampus Kejuruteraan USM.

Cuti sekolah


Cuti sekolah merupakan masa yang paling banyak bagi anak-anak menghabiskan masa di rumah. Semestinya anak-anak tidak terlalu sibuk berkejar ke sana-sini bagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Pun begitu, perancangan yang rapi perlu dibuat bagi memastikan anak-anak tidak membazirkan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam hal ini, campur tangan ibu bapa bagi menentukan pengisian cuti sekolah anak-anak amat bermakna untuk kelangsungan diri mereka sebagai pelajar.
Bagi anak-anak yang akan menjadi calon peperiksaan penting (UPSR, PMR, SPM, STPM) pada sesi persekolahan tahun hadapan, persediaan awal harus dibuat. Masa depan anak-anak pada masa hadapan bermula dari sekarang. Cuti bukan bermakna menutup buku untuk sementara waktu dan melupakan alam persekolahan sepanjang masa tersebut. Pengisian ini boleh dibuat dengan memastikan anak-anak membuat latih tubi secara bersendirian atau bersama rakan-rakan yang lain. Latih tubi ini amat penting supaya mereka tidak lupa dengan ilmu yang telah dipelajari, di samping memberikan kekuatan kepada mereka membiasakan diri dengan jenis soalan peperiksaan.
Bagi ibu bapa, inilah juga peluang untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam diri anak-anak. Pembelajaran subjek Sains dan Matematik merupakan cabaran dalam medan pendidikan kerana anak-anak terpaksa menguasai bahasa ini. Kelas-kelas intensif untuk bahasa ini boleh menjadi alternatif kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak. Jika ibu bapa berkemampuan mengajar sendiri, langkah itu lebih baik dan menjimatkan wang. Kita perlu menyedari bahawa persaingan dalam medan ilmu dibezakan oleh tahap penguasaan ilmu seperti mana yang difirmankan Allah

Mafhumnya: “Dan apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Dan sesungguhnya orang yang mengambil peringatan itu adalah orang yang berilmu” (Az-Zumar:9)

Ahad, Disember 04, 2005

Logamaya.


Idea konsep bagi memberi penghargaan kepada pembaca blog ini.

--------

Pernahkan anda terfikir bagaimana kewujudan sesuatu yang maya tetapi dilihat sebaliknya oleh mata kita. Apakah pandangan mata kadang-kadang menipu kita secara psikologi? Perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil dan berlaku secara saintifik tanpa disedari oleh kita. Semasa kita berada di dalam sebuah kereta atau sedang menunggang motorsikal pada hari panas, kelihatan seolah-olah lopak air berada di atas jalan raya. Namun begitu, lopak air yang kelihatan tidak wujud apabila kita benar-benar berada pada tempat tersebut. Fenomena ini dikenal sebagai logamaya atau fatamorgana.

Fenoemana logamaya melibatkan
1. Pembentukan imej maya.
2. Memerlukan kewujudan lapisan udara dengan ketumpatan yang berbeza.
3. Memerlukan kewujudan lapisan udara dengan suhu yang berbeza.
4. Disebabkan oleh pantulan dalam penuh dan pembiasan cahaya.

Di dalam al-Quran, Allah menceritakan perihal keadaan manusia seperti ini. Penceritaan sifat yang diistilahkan oleh saintis sebagai logamaya ini boleh dilihat sebagaimana firman-Nya di dalam ayat 39 surah An-Nuur dengan maknanya ".....umpama fatamorgana di tanah rata, disangka air oleh orang yang dahaga, tetapi apabila didekatinya air itu tiada....". Ilmu Fizik menjelaskan kepada kita untuk memberi jawapan kepada fenomena alam ini dan diaplikasikan dalam pelbagai bidang.

Jika kita melihat dalam siri animasi, konsep logamaya diimaginasikan sebagai imej maya yang timbul dari skrin telefon bimbit apabila seseorang berhubung dengan seseorang yang lain. Jelmaan imej maya itu menjadikan hubungan dua hala itu seolah-oleh wujud dan nyata. Kita juga mungkin biasa melihat bagaimana idea konsep ini dibangunkan untuk memindahkan jasad manusia dengan pantas. Sebagai contoh, seorang manusia yang berada di tingkat satu yang menaiki lif. Ketika masuk di dalamnya, satu sinar dikeluarkan dan jasad tegarnya hilang sekelip mata dan timbul di salah satu sel dalam bangunan lain dalam beberapa saat sahaja. Jasad baru yang berada di bangunan lain itu adalah imej mayanya yang boleh berinteraksi secara 'hidup' walaupun badannya yang asal masih di tingkat satu. Imaginasi ini mungkin kelihatan mengarut, tetapi perkembangan terbaru teknologi generasi keempat (4G) hari ini pasti menjadikan semua khayalan ini sebagai suatu yang realiti.

Tawaran saya sebagai menghargai pengunjung blog ini.

Saiapakah yang mempunyai kreativiti untuk membuat kesinambungan kepada idea-idea konsep yang dinyatakan ini? Anda boleh mengolah supaya artikel ini menjadi lebih panjang dan menarik. Tambah beberapa isi sahaja dan hantarkan kepada mana-mana makalah untuk dinilai oleh editor majalah.

Sebelum anda menyambung idea ini, pastikan anda memaklumkan kepada saya terlebih dahulu. Mungkin anda akan mendapat sedikit honorium @ royalti daripada penulisan tersebut oleh pihak yang menerbitkan artikel anda untuk tatapan pembaca mereka.

Sepanjang aktiviti penulisan blog ini, beberapa artikel yang terkandung di dalamnya telah 'ditukarkan' dengan wang. Dan saya berpuas hati kerana dapat 'memasar'kannya. Anda boleh bertanya kepada saya teknik dan cara-cara untuk berjaya seperti saya.

Sabtu, Disember 03, 2005

Sebuah dedikasi sempena Hari Warga Staf


Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana berjaya menyatukan hati-hati kita bagi menjayakan Hari Keluarga USM 2005 ini. Selawat dan salam buat junjungan kita Nabi Muhamamad S.A.W.

Kita rasa bertuah kerana diberi kesempatan untuk bersama-sama menghayati kebersamaan dalam gerak kerja bagi memastikan kecemerlangan universiti yang tercinta. Mudah-mudahan perhimpunan ini dicatat sebagai antara amal ibadah kita kepada Allah, InsyaAllah.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih dipanjang umur untuk mengerjakan ibadah kepada-Nya. Seperti mana yang kita maklum, ibadah dalam Islam terbahagi kepada dua, iaitu ibadah khusus dan umum. Ibadah khusus merupakan tanggungjawab terus kepada Allah seperti solat, puasa, zakat dan haji. Ia menjadi tunggak kejayaan dalam melengkapkan keperibadian diri sebagai muslim. Manakala ibadah umum pula bersifat hubungan manusia sesama manusia dan makhluk lain. Skopnya lebih luas dan mencakupi pelbagai lapangan kehidupan seperti kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, berorganisasi, dan bernegara. Ibadah umum melibatkan setiap individu muslim yang memainkan peranannya sama ada sebagai bapa, ibu, anak, majikan, pekerja, pemimpin, pengikut dan sebagainya. Setiap daripada kita yang ada di sini mungkin memegang lebih daripada satu watak yang disebutkan di atas, tanggungjawab juga bertambah besar apabila lebih banyak watak yang dipegang.

Dalam konteks sebagai warga staf, sudah tentulah konsep berkerja sebagai ibadah harus difahami dan dihayati dengan bersugguh-sungguh. Kerja sebagai ibadah ialah satu tuntutan kehidupan yang akan mendorong manusia mengecap kebahagiaan di dunia mahu pun akhirat. Pelbagai pendekatan digunakan bagi melahirkan pekerja yang cemerlang dirangka oleh pihak pengurusan sesebuah organisasi. Antaranya menyediakan latihan-latihan intensif, kursus induksi, kem motivasi, latihan dalam kerja, anugerah tahunan organisasi, serta aktiviti luar seperti rekreasi, sukan dan hari keluarga.Semua peluang yang disediakan ini menuntut kebijaksanaan kita bagi membahagikan masa kerana semestinya mengalih perhatian kita daripada tugas utama sebagai pekerja. Mengimbangi keperluan kerja utama dan aktiviti lain yang melibatkan organisasi induk yang lebih besar adalah agenda yang tidak boleh dikesampingkan. Maka setiap warga kerja mesti memiliki sifat-sifat dan sikap pekerja yang dinamik. Mesra, mudah berurusan, perhubungan (public relation) yang baik, disiplin, komitmen yang tinggi, kesetiaan, jujur dalam menunaikan amanah adalah contoh-contoh nilai positif yang harus ada dalam diri pekerja. Berkerjalah seolah-olah kita merasakan tidak ada kehidupan tanpa melakukan pekerjaan itu. Dalam hal ini, suka saya bawakan ayat al-Quran yang kita baca yang bermaksud "dan katakanlah (wahai Muhammad) beramallah (berkerjalah) kamu, maka Allah, rasul-rasul dan orang-orang beriman akan memerhatikan perbuatan kamu..." (At-Taubah:)

Ayat ini memberitahu kita bahawa dalam melakukan apa jua pekerjaan, niat dan tujuan mestilah betul, ikhlas kerana Allah semata-mata. Natijah yang baik daripada perbuatan kita hanya dilihat dan dinilai oleh Allah, rasul dan orang-orang yang beriman. Hal ini bermakna tidak bermakna perkara yang baik tetapi kurang mendapat perhatian, sokongan padu daripada orang lain merupakan perkara yang sia-sia untuk dilaksanakan. Al-Quran mengajar kita supaya mengikhlaskan diri dalam semua perkara dan menunaikan amanah dengan jujur. Bertitik tolak daripada dua perkara ini, akan mewujudkan warga kerja yang berkualiti, cemerlang, memiliki pemikiran luar biasa (think out of the box), mempunyai rasa hormat yang tinggi, dan boleh memberi kerjasama sepenuhnya dalam mencapai objektif jabatan atau organisasi. Pakar pengurusan iaitu Stephen Covey yang menulis buku Tujuh Tabiat Orang yang Berjaya memberi tips tajamkan gergaji. Tips ini diberi sebagai peransang bagi mewujudkan warga kerja yang sentiasa mahu terkehadapan. Ini bermakna konsep berkerjalah kamu yang disebut dalam al-Quran adalah asas kepada semangat kerja yang berterusan, tanpa memikirkan sama ada memenuhi kepentingan peribadi tertentu atau sebaliknya, tanpa mengenepikan kepentingan organisasi yang lebih kolektif. Pakar itu juga mengatakan bahawa sikap sentiasa ingin belajar sesuatu yang baru, rajin bertanya, suka menghulurkan bantuan sama ada idea atau tenaga perlu ada bagi memastikan diri kita berfungsi di dalam sesebuah organisasi.

Membangun organisasi umpama berdiri tegaknya sebuah bangunan, anggaplah setiap daripada kita merupakan batu bata kecil digunakan dalam strukutur bangunan. Hilang satu bata, bermakna catat struktur keseluruhan bangunan. Retak satu bata, bermakna akan retak berpuluh-puluh lagi ikatan bata yang lain. Mewujudkan kebersamaan dalam tindakan ke arah mencapai matlamat organisasi perlulah dijana melalui kekuatan kerjasama di kalangan warga kerja. Unit-unit kecil yang memainkan peranan sebagai suborganisasi harus memahami kehendak organisasi secara kolektif, mewujudkan rangkaian dan persefahaman yang baik, dan kerjasama yang erat.
"dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan, dan jangan kamu tolong-menolong dalam hal kejahatan dan permusuhan" (al-Maidah:3)
Kita mempunyai peranan sendiri dalam jabatan-jabatan kecil yang bernaung di bawah nama universiti. Maka sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dan pangkat harus berkerjasama ke arah mencapai misi dan visi universiti. Soal perbezaan identiti ras (bangsa), taraf ekonomi, atau tahap pendidikan harus diketepikan. Dalam hal ini, junjungan besar kita Muhammad S.A.W berbunyi


"Tidak ada kelebihan seorang Arab dengan orang 'Ajam (bangsa asing) melainkan taqwa kepada Allah" atau


"Manusia itu sama taraf, sama seperti ratanya sikat. Tidak ada kelebihan bangsa Arab ke atas bangsa asing melainkan taqwa kepada Allah" (au-kama-qol)

Natijah daripada kerjasama.

Kesatuan hati dan pemikiran amat penting kepada kita dalam menjayakan sebuah misi universiti. Terdapat beberapa kebaikan atau natijah yang positif daripada kerjasama setiap warga kerja. Pertama mewujudkan sebuah organisasi yang dihormati, yang dapat melahirkan pekerja yang baik. Individu yang dihormati dan menghormati pula pihak lain berurusan dengan rapat terutama mahasiswa akan menghasilkan graduan yang baik. Organisasi yang berkesan diurus dengan tidak wujudnya karenah birokrasi sehingga menyusahkan orang-orang yang berurusan dengannya. Sesuai dengan seruan, (Yassiruu wala tu'assiruu)

"Permudahkan dan jangan menyusahkan"

Kedua, masyarakat di sekitar dapat merasakan keberadaan kita di dalam sebuah institusi yang disegani tahap keilmuannya. Peranan organisasi memberi kesan kepada kelangsungan ummah seperti memasyarakatkan universiti ke arah membina hubungan yang erat di antara universiti dan masyarakat setempat. Gagasan idea pembangunan ummah yang unggul boleh dimulakan dari sebuah universiti dengan membangunkan nilai insan setiap individu di dalam daerah universiti, seterusnya meresap masuk ke dalam minda masyarakat. Alangkah malang sekiranya kewujudan kita tidak memberi kesan yang positif dalam perkembangan tamadun bangsa komuniti yang tinggal berhampiran universiti. Secara umum, universiti memainkan peranan ke arah pembangunan nusa yang memberi kesan-kesan positif dalam bidang sosiologi, ekonomi, budaya dan keilmuan sebuah negara.

Ketiga (yang terakhir untuk dinyatakan di sini), dengan kerjasama dapat melahirkan warga kerja akan menghargai organisasi, setia dan gigih bekerja untuk memajukan organisasi. Hal ini bersesuaian dengan tema Hari Keluarga Warga Staf USM 2005, 'Universitiku Rumahku'.

Sekian.

Ucapan ini disediakan untuk ucapan Pen. Peng. Pusat Islam sempena menyambut Hari Keluarga Warga Staf USM 2005.

Prinsip Hedonisme


Faisal Tehrani menukilkan......

Cuba anda telitikan prinsip yang mendasari fahaman hedonisme seperti yang dihuraikan berikut ini. Manusia ini punya macam-macam masalah di dunia. Kelazatan dan kesenangan, atau keseronokan dan keriangan ialah sesuatu yang mesti diburu dalam hidup. Ini kerana itu sahajalah yang benar, yang betul, yang mesti ditujui dan merupakan kebaikan. Untuk pengetahuan anda, fahaman seumpama yang tersebut itu diasaskan oleh Epicurus dan aliran ini dinamakan epicurean. Ada sesetengah manusia mengenal fahaman bodoh dan tak senonoh ini sebagai cyrenaicism. Ideologi bangang yang menyangkakan hidup di dunia hanyalah untuk berlazat-lazat saja kemudian terpecah-pecah pula kepada macam-macam jenis. Ada fahaman yang mementingkan keseronokan untuk diri semata-mata, digelarkan dengan nama egoistic hedonism, yang jenis lain pula dinamakan universal hedonism iaitu keseronokan di peringkat universal, dan ada juga falsafah hidup yang bergelar psychological hedonism iaitu manusia ini kononnya berbuat apa sahaja pun atas keinginan untuk mencapai keseronokan dan kelazatan[1].

Rujukan:

1. Advencer Si Peniup Ney, Faisal Tehrani, ms. 83-84.

Saya membeli buku secara online di ujana.ilmu.com.my
Stok di Ujanailmu.com Sdn. Bhd.

Novel ini berjaya mengungkap permasalahan hiburan dari kaca mata Islam. Terdapat tasawwur Islam mengenai hiburan. Cerita diolah dengan memanipulasi kisah Nabi Sulaiman dan Zulaikha apabila Ust. Sulaiman melalui advencer ke alam jin. Ia merupakan luahan rasa penulis novel ini terhadap kebobrokan nilai hiburan yang didambakan oleh kebanyakan remaja Islam.

Rahsia telur


Semalam ketika lewat Asar, seorang sahabat mengunjungi bilik penulis. Beliau menghadiahkan sebiji telur ayam rebus selepas menghadiri majlis kenduri kahwin rakannya. Kebetulan pada hari yang sama penulis juga menghadiri kenduri kahwin seorang pekerja syarikat perkhidmatan kebersihan dalaman, juga membawa pulang sebiji telur rebus. Penulis berhasrat memakan kedua-keduanya pada keesokan pagi, sebagai sarapan pagi.

Ketika mengupas telur-telur itu, penulis menghadapi kesukaran untuk mengupas sebiji daripadanya. Bentuk telur yang dikupas berkematu seperti permukaan bulan, berlopak-lopak akibat bahagian putih telur melekat pada kulitnya. Sebiji telur lagi dapat dikupas dengan mudah dan berada dalam keadaan sempurna seperti telur tersebut masih diliputi kulit kerasnya. Tiada sebarang 'kecederaan' kepada bahagian putih telur yang berada di dalamnya. Membran yang menjadi selaput nipis di luar bahagian putih telur tidak melekat dengan kejap pada bahagian putih telur yang masak.

Melalui pengalaman memasak yang dimiliki, penulis tahu mengapa keadaan ini berlaku. Sebiji daripada telur-telur itu dimasak menggunakan air biasa, manakala yang satu lagi dimasak dengan air yang dicampur garam. Apakah sebenarnya fungsi garam dalam hal ini? Seorang penulis buku bernama Norman N Potter dalam bukunya Food Science edisi kelima menulis tentang telur ayam. Pada halaman 238 buku tersebut, beliau membahagikan telur ayam kepada beberapa bahagian penting. Yolka atau kuning terlur, putih telur, membran atau selaput luar putih telur dan kulit telur (hard shell). Apabila telur dimasak menggunakan air garam, berlaku proses resapan air garam ke bahagian dalam melepasi kulitnya. Tetapi air garam ini mempunyai tindak balas yang berbeza berbanding air biasa kerana ia mewujudkan lapisan filem nipis di antara membran telur dengan bahagian putih telur. Air biasa juga meresap melepasi kulit telur, tetapi membran yang nipis melekat pada bahagian putih telur apabila ia masak sepenuhnya. Akibatnya, apabila dikupas membran masih melekat dengan kuat pada bahagian putih telur sehingga menyebabkan telur tersebut lebih sukar dikupas untuk mendapat bentuk yang cantik. Sila lihat ilustasi di bawah.



Jalan-jalan dalam hutan


Hobi yang sukar dan mencabar, tetapi seronok apabila melaluinya. Semestinya bagi saya adalah 'jungle tracking'. Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, sekurang-kurangnya sekali setahun penulis pasti menyertai aktiviti yang mencabar ini. Perjalanan menjejak lorong-lorong kecil di hutan, dengan nyanyian uggas dan kepelbagaian floranya amat mengasyikkan. Kaki yang melangkah pasti tidak terlepas daripada perhatian pacat-pacat yang laparkan darah. Bagi penulis, perjalanan seumpama ini tidak perlu dirisaukan sangat kerata secara purata hanya dua ekor pacat yang berjaya hinggap dan kenyang dengan darah. Mungkin darah penulis ini 'tawar' dan mungkin juga pacat 'kesian' kepada penulis yang seperti tidak berapa ada darah.

Sebelum melangkah jauh, terlebih dahulu penulis doa. Doa yang diambil daripada al-Quran untuk melindung diri daripada gangguan haiwan yang melata. Maksud doa daripada ayat al-Quran itu bermaksud, "Tuhan, aku memohon perlindunganmu daripada kejahatan haiwan yang melata (melainkan) engkaulah yang memegang ubun-ubun mereka. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus. Doa berbunyi dari "Rabbi a'uudzubika min syarri kulli daab-batin anta aakhidzun bina-shiyatiha inna rabbi 'ala shiroothin mustaqiim." Doa ini disandarkan kepada ayat 56 surah Hud.



  • Boleh juga dibacakan terus ayat ini sebagai doa, sekiranya anda tidak mahu menggunakan doa yang dicadangkan di sini. Ayat ini juga perlu diamalkan ketika bermusaffir seorang diri ke tempat asing, supaya tidak diganggu oleh kejahatan manusia dan tidak disesatkan dalam perjalanan. Tidakkah Allah berfirman, "sesungguhnya dijadikan setiap haiwan itu (daab-batin) daripada air. Sebahagiannya menjalar dengan perut, sebahagiannya berkaki dua, dan sebahagiannya berkaki empat..." (ayat 45: An-Nuur). Kalimah 'daab-bah' terdapat dalam empat belas ayat di dalam al-Quran.

    Hutan yang lembap menjadi habitat semula jadi pacat. Apabila menghisap darah, pacat mengeluarkan enzim yang dapat membekukan darah. Enzim inilah yang membantu kadar pengeringan darah dan tahap kesembuhan akibat kesan gigitan pacat. Jika anda mendapati seekor pacat kekenyangan, cabut pacat tersebut dan biarkan sahaja tempat belalainya bertapak tanpa dikesat terlebih dahulu. Jika dikesat, kesan pembekuan menjadi lambat dan berkemungkinan bahagian yang digigit lambat sembuh (dan berkudis). Apabila digigit pacat, anda sebenarnya bertuah. Pacat mengeluarkan darah kotor yang terdapat dalam badan, maka tidak hairan jika pakar perubatan menggunakan ahli keluarga pacat alias lintah dalam pembedahan. Lintah juga digunakan bagi tujuan berbekam pada ketika ini.

    Perjalanan aktiviti penulis pada kali terakhir amat berguna. Sebagai menutup tirai tahun 2005, ilmu tentang hutan semakin bertambah secara tidak formal. Kali terakhir membuat penjelajahan hutan, penulis dan peserta lain diajar serba sedikit ilmu kehutanan.

    Beberapa pantang larang di dalam hutan.

    1. Jangan tidur di laluan. Laluan yang digunakan oleh pengembara juga digunakan oleh makhluk lain seperti jin. Seorang penunjuk jalan menceritakan pengalaman beliau dialih oleh jin ketika tidur dalam kawasan laluan atau denai.

    2. Jangan bercakap perkara yang bukan-bukan di dalam hutan. Membuat bising dan terlalu bersuka-ria akan mengundang padah. Mungkin kehadiran anda dalam keadaan bising mengganggu hidupan lain di alam ghaib.

    3. Jika membuang air, jangan membuang di kawasan lidah jin. Kawasan air sungai yang berpusar seperti bentuk Ying Yang, iaitu air di antara dua permatang.

    4. Jangan membuang air di dalam lubang-lubang yang sedia ada sama ada di tanah atau di pokok. Lubang ini merupakan tempat tinggal haiwan berbisa atau jin.

    5. Tidak digalakkan tidur di tepi sungai yang mempunyai aliran air yang kuat. Bunyi air yang kuat mungkin menyebabkan kita tidak menyedari kehadiran binatang buas. Jika tentera, mereka tidak berkhemah di kawasan ini kerana mengganggu perhatian mereka terhadap pergerakan musuh.

    Ilmu perubatan daripada khazanah hutan.

    1. Kulit kijang - merawat buasir.
    Kulit kijang yang diawet menggunakan garam, dijemur sehingga kering. Carikan juga putik kelapa yang masih merah, dan dikeringkan. Kedua-dua bahan ini dibakar sehingga menjadi arang, debu arang dibungkus dengan kain. Rendam bungkusan di dalam air dan airnya diperah. Minum air tersebut sebanyak tiga kali, insyaAllah penyakit buasir akan sembuh.

    2. Hempedu beruang- merawat darah beku, membuang darah kotor.
    Beruang merupakan haiwan paling lasak di dalam hutan. Memakan madu sejak kecil, sehingga kepalanya seperti topi keledar - kalis peluru. Jika terjun daripada pokok tinggi ia tidak mengalami kecedaran serius seperti patah atau pendarahan dalaman. Hempedu beruang dicampur dengan beras pulut dan dimasak. Menurut pemandu arah kami, ubat itu dijual dengan harga RM5 bagi setiap biji beras pulut yang bersalut hempedu beruang. Ia amat mujarab untuk mencairkan darah beku dan membuang darah kotor dari badan.

    Hanya dua perkara ini sahaja yang sempat dicoretkan oleh penulis sebagai catatan dalam pengembaraan terakhir pada tahun ini.

    Darah muda


    Jiwa muda, darah muda! Begitulah perkataan yang sinonim ditujukan kepada orang muda. Ketika muda, semangat berkobar-kobar. Ketika muda belia, semangat melakukan sesuatu sentiasa tinggi. Tidak salah mempunyai semangat juang yang tinggi, tetapi hendaklah disertai kefahaman, ilmu dan penghayatan prinsip serta nilainya. Tindak tanduk orang muda haruslah rasional dan berjejak, tidak terlalu melulu sehingga menyusahkan orang lain.

    Bercakap soal penghayatan prinsip dan nilainya, teringat saya kepada gelodak darah muda yang mengalir dalam diri sendiri. Pernahkan anda mengalami keadaan ini? Ketika berada di jalan raya, saya kadang-kadang tidak sedar dengan sikap memandu laju. Peliknya apabila menjadi pembonceng, saya rasa amat bimbang dengan 'kegilaan' gaya pemanduan sesetengah sahabat. Ketika melanggar peraturan kecil di jalan raya, saya kadang-kadang tidak berasa bersalah. Apabila terdapat orang lain yang melakukannya, terasa pula bengangnya. Hati kecil pasti mengatakan itu salah!

    Prinsip dan nilai (P&N) yang semakin hilang penghayatannya menjadikan kebanyakan daripada kemalangan di jalan raya. P&N membentuk sikap dan tindakan kita. Hal ini menjadi titik tolak kepada semua aktiviti yang dibuat. Justeru teroponglah diri sendiri dahulu sebelum kita 'meneropong' diri orang lain. Saya masih ingat moto Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), 'Membantu memperbaiki diri untuk memperbaiki orang lain', Konsep ini telah lama ditunjukkan oleh nabi. Inilah yang dikatakan dakwah bi al-hal iaitu menunjukkan teladan yang baik untuk ditiru.

    Namun kerana rasional juga, orang-orang muda yang bersemangat sering dilabelkan oleh golongan berumur sebagai tidak bijak. Maklumlah orang-orang tua mahukan pendekatan lama yang tidak perlu diubah. Minda dan persepsi mereka kadang-kadang amat tegar untuk dilenturkan kerana merasakan mereka terlebih dahulu makan garam. Pengalaman yang mereka lalui menyebabkan sukar bagi mereka menerima pembaharuan dan pendekatan terkini yang perlu digagaskan bagi perkembangan belia. Justeru siapa yang perlu dipersalahkan? Darah muda orang muda atau pengalaman hidup golongan tua?

    'Kegilaan' lain yang terdapat pada orang muda ialah mengharapkan natijah yang segera. Terdapat sebahagian daripada orang-orang yang berjiwa muda tidak sabar dengan demokrasi. Mereka mahukan pendekatan yang lebih radikal, sedangkan pendekatan itu tidak sesuai diamalkan di Malaysia. Malaysia pada pendapat saya masih mempunyai ruang-ruang diplomasi, walau saban tahun demokrasi yang dipersetujui bersama-sama merugikan pihak tertentu. Saya pernah ditanya tentang jemaah Islam yang radikal, pendekatan yang digunakan adalah berdasarkan latar belakang Indonesia. Itulah Hizbu at-Tahrir (HT), jemaah yang diwujudkan sebagai rasa tidak puas hati kepada PAS. Katanya PAS terlalu berlembut dengan mengikut rentak demokrasi berparlimen, Malaysia masih perlu mengamalkan konsep sederhana yang tidak memerlukan pertukaran kerajaan secara bersenjata.

    Perlu diketahui, sebagai seorang yang cintakan Islam seseorang harus memahami beberapa tasawwur seperti Fiqh Harakah dan Fiqh Waqie. Maka mendepani massa seperti yang berlaku di Malaysia seharusnya mengikut lunas-lunas Fiqh Waqie yang sebenar. Lunas-lunas tersebut menunjukkan kepada kita secara praktikalnya umat Islam Malaysia boleh diikat hati dan pemikiran dengan pendidikan Islam. Usaha-usaha menarik minat mereka ke arah mencapai cita-cita mewujudkan masyarakat Islam dan pemerintahan yang Islamik masih boleh dilakukan dengan bebas. Tidak dinafikan terdapat juga sekatan-sekatan untuk menyuburkan perkara ini, fenomena yang biasa berlaku sejak zaman nabi lagi. Namun menggunakan kekerasan bukanlah cara yang terbaik kerana sudah pasti melibatkan kerugian nyawa, kerosakan harta, dan keadaan huru-hara.

    Maka janganlah pula ada di kalangan golongan yang sedang bersemangat dalam HT ini menjadikan iltizam dan semangat juang mereka sebagai fitnah kepada gerakan Islam. Kita tidak mahu wujudnya pengganas baru di sebalik agama di Malaysia.

    Jumaat, Disember 02, 2005

    Jangan tangankan mukanya.


    Mendidik anak-anak secara praktikal bermula dari usianya mencapai tahap mumayyiz. Apa itu mumayyiz? Mampu membezakan di antara baik dan buruk, bersih dan kotor. Awal-awal mumayyiz adalah ketika berusia enam tahun, melangkah usia tujuh tahun lidah dan minda anak-anak boleh dilentur. Justeru seawal umur tujuh tahun, nabi menganjurkan ibu bapa mendidik anak kecil untuk solat. Ketika ini, perkataan dan percakapan anak-anak haruslah dijaga. Jika mengeluarkan perkataan yang buruk, maka ibu bapa harus mendenda mereka, menjelaskan perkataan tersebut tidak baik untuk diucapkan. Usia sepuluh tahun, tahap mumayyzinya telah matang. Waktu pendidikan awal selama tiga tahun untuk membiasakan diri dengan kewajipan solat sudah semstinya melekat dan kejap dalam pengamalan mereka. Ketika ini, apabila mereka liat mengerjakan solat nabi menganjurkan supaya dipukulkan anak kecil itu. Pukulan pula bukan dengan maksud mendera, pukulan pula bukan sebarang pukul. Pukullah anak-anak dengan rotan, merotan pula di bahagian tapak kaki seadanya. Hari ini, ibu bapa yang gagal menguruskan tekanan hidup menjadikan anak-anak sebagai medan melepaskan tekanan. Fenomena penderaan ini berpunca daripada ketidakfahaman mereka terhadap tanggungjawab mendidik anak-anak. Harus diingat, perbuatan menampar anak-anak atau isteri jauh sekali daripada aspek pendidikan dalam agama Islam.

    Menampar semestinya pada bahagian muka, bahagian yang mewakili maruah manusia. Jika hal berkaitan maruah, kita sering mendengar frasa 'air muka', atau pepatah menconteng arang ke muka. Dalam kisah Hadis al-Ifki, nabi diuji dengan isteri baginda A'isyah R.A. Ketika A'isyah terlalu emosi dan jiwanya bergoncang dengan tekanan daripada tuduhan yang disebarkan, nabi memanggil Abu Bakr. Saidina Abu Bakr as-Siddiq selaku bapa mertua nabi diundang untuk menjadi hakim. Nabi meminta Abu Bakr mententeramkan anaknya. Apabila berhadapan dengan kedua-keduanya, A'isyah yang tertekan mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati nabi. Sahabat baginda yang terapat ini tidak sanggup membiarkan keadaan itu. Lantas di atas kapasitinya sebagai bapa, beliau merasakan haknya untuk mengajar A'isyah. Tangannya ringan singgah ke muka A'isyah. Kemudian baginda menegaskan, bukanlah maksud baginda memanggil Abu Bakr untuk menampar A'isyah. Kita lihat bagaimana pendidikan yang ditunujukkan oleh nabi kepada kita. Betapa dalam pendidikan, pendekatan psikologi yang bersifat membujuk lebih berkesan daripada kekerasan ke atas fizikal. Ingatlah wahai sahabatku, jika nanti anda menjadi seorang suami jangan tangani isteri dengan penampar. Jika anda seorang bapa @ ibu, jangan mudah-mudah menghadiahkan mereka (anak-anak) dengan tapak tangan di muka. Sepanjang saya membesar, muka yang dicium oleh ibu dan ayah tidak pernah menerima bekas tangan seorang ayah. Setegas-tegas seorang bapa, kami hanya menerima rotan sebagai bentuk denda fizikal.

    Rancang ibadah haji anda




    Dalam undian 'Target mengerjakan haji' yang dibuat, rata-rata ahli forum memilih 'Apabila sudah berkemampuan'. Penyedia poll menggariskan had-had umur tentu bagi pilihan. Fenomena seperti ini, menunjukkan ramai di antara kita yang tidak meletakkan matlamat dalam bentuk yang solid, diskrit pada masa. Mereka lebih gemar meletakkan garis panduan target yang samar-samar, tidak pasti bilakah waktu yang ideal untuk mencapai perkara tersebut. Membuat perancangan untuk menunaikan sesuatu perkara (lebih-lebih lagi yang melibatkan wang), haruslah mengikut jangkaan-jangkaan di 'luar' batas kemampuan segera. 'Luar' itu maknanya memerlukan nafas panjang dengan perancangan yang strategik, mengambil masa terkumpul yang lama dan panjang. Sikap manusia yang gopoh-gapah banyak merugikan. Jika hari ini, berniaga pulangan keuntungan yang berlipat kali ganda diharap diperoleh seawal setahun umur perniagaan. Akibatnya ramai peniaga yang gagal menerima keuntungan dalam margin yang kecil, sehingga melupakan lima tahun akan datang keuntungan yang besar itu mampu dicapai.

    Justeru, kita perlu mendidik diri untuk menerima yang sedikit. Berdikit-dikit dengan sesuatu kebaikan, akhirnya bak kata orang, pasir halus yang disusun dalam acuan konkrit mampu berdiri dengan gah menjadi sebuah bangunan yang kukuh. Ibadah haji yang ditunaikan dan akan ditunaikan memerlukan wang yang banyak. Dalam merencang, apakah tabungan yang telah dibuat secara berkala dan istiqmah yang telah dibuat? Saya telah mengkaji perkara ini, ketika belajar saya menabung RM50 sebulan untuk keperluan ini. Apabila bekerja nilai itu bertambah menjadi RM100. Semasa akaun tabungan menjadi tanggungan bapa (9-18 tahun), beliau memasukkan RM5 setiap bulan. RM5 bagi seorang bapa seperti ayah saya sudah cukup besar, kerana kami semuanya seramai 8 orang (pada ketika tabungan itu dibuat). Maka dengan perancangan ini saya berharap (jika dipanjangkan umur) dapat menunaikan haji pada umur 40 tahun, semestinya bersama-sama isteri. Bagaimana pula dengan anda? Apakah perancangan anda untuk ibadah haji ini?